Sohbet dari Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-kibrisi

Jumaat 20 Muharram, 1425
39th Street Dergah, Manhattan, New York

Selamun aleykum. Meded Ya Sayiddi, Ya Sultan Evliya, Mevlana Sheykh Nazim al-Hakkani. Meded.

Kemuliaan budi pekerti merupakan ciri penting yang harus diberi keutamaan dalam hidup setiap manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya saya itu diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” Kesemua para Rasul Allah s.w.t. telah diutus untuk menerapkan ciri penting ini di jiwa setiap umat manusia. Adab pergaulan yang sempurna tidak hanya terbatas kepada pergaulan sesama insan, malahan terdapat juga peradaban yang tertentu dalam perhubungan manusia terhadap alam persekitaran, adab perhubungan manusia terhadap maha pencipta yang agung, adab dan ketertiban terhadap para alim ulama, adab di antara kaum wanita dan kaum lelaki serta adab perilaku kanak-kanak terhadap orang dewasa. Jika seseorang itu tidak memiliki peradaban yang sesuai di atas perkara-perkara tersebut, maka lambat laun, mereka akan terjerumus ke lembah yang menuju ke arah kesesatan yang nyata.

Adab serta disiplin memainkan peranan terpenting dalam hidup setiap manusia. Terdapat undang-undang di sini sana, di setiap pelusuk negara. Ia berperanan untuk mendisiplinkan setiap manusia dengan caranya yang tersendiri. Kita bukanlah haiwan. Kita adalah manusia. Fitrah manusia tidak mengizinkan kita untuk hidup bersendirian di pergunungan. Manusia perlu hidup bermuafakat sesama insan. Sikap menghormati hak setiap individu serta jalinan kasih mesra sesama insan harus dipupuk. Apakah kamu mengerti apa yang sedang saya perkatakan ini? Pelajarilah cara-cara untuk hidup saling kasih mengasihi di antara kita. Pada masa ini, jalinan kasih mesra sesama manusia kian pupus ditelan kejahilan hidup. Kita harus bangkit dan bertekad untuk kembali mempelajari cara-cara untuk berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w bersabda, “ Kamu tidak akan menjejaki Syurga, dan juga tidak termasuk dalam golongan hamba yang beriman sekiranya kamu tidak mengucapkan kalimah ‘La ilaha illallah.” Baginda berkata, “ Sekiranya kamu tidak melafazkan La ilaha illallah kamu tidak akan masuk ke Syurga,” Ini bererti, jika kamu tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan yang esa, nescaya kamu tidak layak untuk menjejakkan kaki ke Syurga milikNya. Saya rasa ini amat adil. Tidak? Kamu tidak mahu menerimanya? Bahkan kamu masih lagi ingin berkata, “ saya ingin ke syurga anda”? Allah tentu akan membalas dengan berkata, “ Saya telah memberi kamu Dunia. Tinggal di sana. Jangan kamu datang ke Syurga.”

Beriman terhadap Allah s.w.t pencipta alam semesta dan menerima dunia dan akhirat, memberi kamu kebenaran untuk ke Syurga. Sebaliknya, jika kamu ingkar, kamu hanya akan mengenali diri kamu sendiri dan ketahuilah bahawa kehadiran kamu di Syurga tidak langsung diterima.

Sekiranya saya mengunjungi kamu di rumah dan kamulah yang berkuasa di rumah itu, sudah tentu saya harus patuh pada setiap garis pandu yang telah kamu tetapkan di rumah itu. Jika saya ingkar maka kamu akan berkata, “ Awak tidak layak untuk melakukan sehendak hati di rumah saya. Keluarlah!” Kamu tentu tidak akan lagi menerima kehadiran saya ke rumah kamu.

Pencipta semesta alam, Allah s.w.t berfirman, “ Asal kamu yang nyata adalah di Syurga. Kamu datang dari Syurga. Itulah rumah kamu. Tujuan kamu di dunia ini semata-mata untuk menerima dan meyakini bahawa Aku adalah Tuhan kamu. Sesudah itu, kembalilah kamu ke rumahmu (Syurga). Jika tidak, tinggallah kamu di Dunia ini. Jangan kembali ke tempat asalmu. Tinggallah sehendak hati kamu di Dunia ini. Tinggallah.” Inilah sebab mengapa kebanyakkan manusia tidak ingin kembali ke tempat asal kejadian mereka. Mereka berkata, “ Tuhan tidak wujud. Segala ciptaan tidak wujud. Kita semua akan mati dan terhapus begitu sahaja.” Kamu tidak akan terhapus. Yang terhapus itu hanya minda kamu yang cetek. Daya pemahaman kamu itulah yang akan terhapus.”

Ketahuilah bahawa kamu tidak akan ke Syurga sekiranya kamu tidak melafazkan kalimah La ilaha illallah. Jika kamu tidak berkata La ilaha illallah, kamu bukanlah di antara golongan orang yang beriman. Seseorang yang beriman harus melafazkan kalimah La ilaha illallah kerana ini merupakan detik permulaan terhadap ketetapan iman. Apakah pengertian La ilaha illallah? Ia bererti, “ Aku mempercayai wujudnya pencipta alam semesta ini. Aku percaya bahawa terdapat seseorang yang mencipta diriku.”

Kamu menggelarkannya Allah, Tuhan atau apapun gelaran yang kamu senangi. Hakikatnya ialah dia yang satu. Keesaan itu tidak dikongsi kuasa oleh mana-mana pihak.
Gelaran ketuhanan yang maha Esa itu ialah Allah. Beliau berkata, “ Itulah nama saya.” Sebagai contoh, saya boleh memanggil kamu Hamdi, Gandhi, Mindi, Bindi, Yandi, tetapi kamu akan berkata kepada saya, “Nama saya Ali.” Sekiranya saya berkeras juga untuk memanggil dengan gelaran Hamdi, sudah tentu kamu tidak akan memulakan pergaduhan hanya disebabkan hal ini. Tetapi kamu akan menjelaskan, “Baiklah walau bagaimanapun, kamu akan tetap memanggil saya Ali jika kamu ke rumah saya.”

Allah s.w.t. berfirman, “Allah adalah gelaran saya. Kamu memanggilnya Jehovah, tuhan atau sebagainya, tetapi pokoknya Aku adalah pencipta kamu. Aku telah mencipta kamu dan kedua ibu bapa kamu. Aku mencipta datuk dan nenek kamu dan apa jua yang wujud di muka bumi ini. Aku adalah maha pencipta. Jadi Akulah Tuhan yang berkuasa ke atas segala-gala yang berada di muka bumi ini dan juga di alam akhirat. Sekiranya kamu menerima akan kebenaran ini, maka masuklah kamu ke SyurgaKu. Jika kamu menyangsikannya, kamu tidak berhak ke atas SyurgaKu.”

Rasulullah s.a.w bersabda, “Menerima keesaan Allah s.w.t merupakan visa untuk memasuki Syurga.” Ini menjelaskan bahawa sekiranya seseorang Kristian menerima dan berkata, “Allah adalah tuhan yang satu.Tiada perpisahan. Tiada Trinity atau sebagainya.” Ini bermaksud bahawa orang tersebut memiliki keimanan. Beliau akan masuk ke Syurga. Jika seorang Yahudi berkata, “Tuhan itu wujud dan Dia telah mencipta Muhammad s.a.w, Musa, Adam dan para rasul yang lainnya,” maka dengan kepercayaan itu juga beliau akan masuk ke syurga, tetapi segala perilaku dan perbuatannya akan disoal terlebih dahulu. Yang nyata, visa untuk ke Syurga ialah dengan melafazkan kalimah La ilaha illallah. Ini merupakan visa untuk melayakkan diri kamu ke Syurga.

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “ Jika kamu melafazkan kalimah tersebut maka kamu akan dianggap sebgai seorang yang beriman.” Tetapi, beliau berpesan (sekarang kepada kaum Muslim pula), “sekiranya tiada perasaan cinta dan kasih mengasihi diantara kamu, maka kalimah La ilaha illallah yang telah dilafazkan tidak akan dipertimbangkan. Ini bererti, keimanan kamu tidak kukuh.” Ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang memberi tumpuan terperinci kepada seseorang secara individu. Islam menumpukan perhatiannya kepada apa yang berada di hadapan orang itu. Perhatikanlah apa yang ada di hadapan kamu. Sekiranya kamu memberi kepada orang itu, nescaya Allah akan memberi kepada kamu. Cinta hadir dengan memberi. Bukan setakat dengan berkata,

“Saya cinta padamu sayangku.”

“Apa? Kamu mencintai saya? Bilamana saya keluar bekerja, kamu membawa seorang lelaki ke rumah ini? Itukah erti cinta bagimu? Mashallah.”

Atau, perkara yang serupa juga boleh berlaku sekiranya seseorang lelaki berkata, “Saya cinta padamu sayangku.”
“Ya, cinta yang kamu lafazkan, tetapi sejurus itu, kamu akan berpaling ke suatu sudut yang lain dan berlaku curang terhadapku.”

Sekarang ini, perkara yang sedemikian rupa sedang berleluasa . Lelaki, mahupun wanita, kedua-duanya serupa dalam melakukan perkara yang terkutuk ini. Keadaan pada masa kini amat dashyat. Inilah masa di mana manusia hidup di tengah-tengah kejahilan. Masa yang ditakluki dengan pelbagai perbuatan tercemar umat manusia. Sudah tentu, kebanyakkan di antara mereka melakukan perkara yang terkutuk ini secara bersembunyian dan mereka berfirkir bahwa tiada sesiapa yang akan dapat mengesan perbuatan sumbang ini.

Allah s.w.t maha mengetahui. Ini yang harus kamu ingatkan di benak fikiran kamu. Allah juga telah memberi kuasa kepada sesiapa yang beliau inginkan agar mereka juga mengetahui. Jangan kamu persoalkan bagaimana mereka ketahui. Sesungguhnya mereka ketahui segala apa yang tersirat. Paras rupa kamu ibarat sebuah buku. Apa yang tersirat di hati dapat dibaca dari raut wajah kamu. Mereka yang mempunyai penglihatan yang istimewa ini, mereka yang memiliki binokular, akan mempergunakan keistimewaan yang diberi untuk membaca dari raut wajah kamu. Apabila hati kamu terbuka, maka segala yang terkandung didalamnya akan dapat dibaca dan dibongkar.

Allah s.w.t bersifat maha pengasih lagi pengampun, terutama sekali pada waktu ini dimana kejahilan yang teramat berat tersebar luas di merata kawasan. Sekurang-kurangnya, pada zaman Rasulullah s.a.w, zaman jahiliah yang pertama, manusia tidak berpengetahuan. Oleh itu, mereka tidak beriman. Tatkala para Sahabat Rasulullah (saw) memberitahu dan mengajar mereka sesuatu, mereka mendengar dan menerima dengan rela hati.

Manusia pada zaman ini memiliki pengetahuan yang meluas dalam segala urusan. Disebabkan pengetahuan yang mendalam ini, mereka ungkal dan menjadi lebih jahil. Mereka bersifat tamak dan menafikan segala kebenaran kerana mereka fikir mereka mengetahui segalanya. Mereka tidak ingin mendengar dan tidak pula ingin membuka minda mereka untuk menyedari, “mungkin semua yang berlaku ini akan membawa kepada sesuatu.” Tidakkah kamu melihat bahawa mereka asyik menanyakan, “apakah kelulusan kamu? Di maktab manakah kamu mendapat pendidikan?” Seseorang menjawab bahawa beliau tamat pengajian di Universiti Columbia dan saya pula berkata bahawa saya menamatkan pengajian di University Havard. Sekarang beliau mula mendengar kata-kata saya. Sekiranya saya berkata yang saya habis pengajian di University Fordham, tentu sahaja kata-kata saya akan disia-siakan.

Alhamdullillah, saya berkata secara am. Tapi begitu ramai yang sedang memperlihatkan kepada ijazah atau kelulusan seseorang dan berkata, “Saya hanya akan patuh kepada yang ada kelulusan yang tinggi sahaja.” Ijazah senang diperolehi. Anda boleh membelinya sungguh senang sekali. Hanya perlu memberi maklumat kepada seorang pakar dalam bidang komputer dan dia akan mencetakkan ijazah itu. Tetapi tiada ilmu yang dapat diperolehi dengan ijazah tersebut. Kamu masih jahil.

Begitulah sikap manusia di masa ini. Berjuta malah beribu juta di antara mereka yang memiliki pengetahuan cetek tentang ilmu akhirat. Bahkan mereka menjadi sombong dan jahil. Mereka menutup setiap pintu yang menuju ke arah ilmu akhirat dengan berkata, “Semuanya berakhir selepas kematian kita di dunia ini. Tiada lagi yang wujud selepas itu.” Mengapakah mereka berpendirian sebegitu rupa?” Oleh kerana Shaytan telah menghasut dan berkata, “Jangan menerima segala-galanya. Hiduplah sesuka hatimu di dunia ini. Sekiranya kamu mempercayai tentang Akhirat, maka kamu tidak akan hidup seperti haiwan. Sekiranya kamu mempercayai, kamu akan hidup seperti seorang manusia. Kamu akan menerapkan disiplin ke dalam hidup kamu. Kamu akan meletakkan undang-undang ke atas dirimu.” Shaytan juga berkata, “Tinggalkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan hidup kamu dan marilah hidup berleluasa bersamaku kerana kamu akan menemaniku ke api neraka.” Itulah hala tujuan yang Shaytan sedang arahkan kepada sekian umat manusia.

Kejahilan di masa ini adalah yang teramat dashyat jika dibandingkan dengan kejahilan pada zaman Rasulullah s.a.w. Pada masa itu, manusia tidak mempunyai pengetahuan yang luas. Sungguhpun begitu, mereka bersifat terbuka dan mendengar segala ajaran yang dibawa kepada mereka. Terdapat beberapa ketua seperti Abu Jahil yang agak luas pengetahuannya. Disebabkan itu, mereka menjadi sombong dan jahil. Dengan megahnya beliau berkata, “saya tahu, saya mempunyai ijazah.” Abu Lahab juga berkata, “saya mempunyai ijazah. Sayalah orang yang terpelajar di antara kamu sekalian.” Dan kedua-dua mereka menjadi dalang bagi orang-orang yang jahil.

Kini, dengan peredaran waktu yang begitu pesat, keadaan bertambah lebih buruk dari yang sudah. Seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun boleh berdiri di hadapan kamu sambil berkata, “Tiada apa jua yang wujud (selepas kematian).” Lantas saya bertanya, “ wahai anak kecil, kamu sendiri belum mengetahui tata tertib untuk memasuki tandas. Dari manakah terbitnya mentari pagi?”

“Dari Utara.”

“Mereka belum lagi mengajar itu kepadamu di sekolah.” (Sheykh tersenyum)

Ternyata sudah bahawa kanak-kanak ini tidak mengetahui apa-apa. Walhal mereka juga tidak mahu menerima segala ajaran kerana ibu bapa di rumah hanya mendidik anak-anak untuk menjadi seorang yang hanya mementingkan diri sendiri dan seorang yang hanya memberi arahan. Kanak-kanak kecil memerintah ibu bapa mereka. Mashallah terhadap disiplin. Mashallah.

Maka itu, Rasulullah s.a.w telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Manusia harus terlebih dahulu memiliki kesempurnaan adab. Setelah ini dimiliki, apabila mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w, mereka akan melengkapi peradaban yang lebih sempurna. Meniru cara hidup Rasulullah s.a.w harus membawa kamu ke kedudukan yang tertinggi di mana kamu akan dapat memahami, “Oh, Tuhan ku mencipta diriku ini di Ahsani Taqweem.” Ya , insan yang amat sempurna. Yang paling sempurna dari segi bentuk, gaya, segi material, kerohanian, dan setiap pergerakan yang teramat sempurna. Barang sesiapa yang menerima pemberian dari Allah s.w.t, nescaya orang itu akan menjadi makhluk yang paling sempurna. Suatu hari kelak, dia akan mencapai kedudukan yang tertinggi.

Kian ramai diantara manusia yang tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah s.w.t. Seringkali kedengaran rintihan orang-orang yang berkata, “Kulitku gelap dan aku tidak menyukainya,” “Kulitku putih tetapi aku ingin menukarkanya menjadi gelap.” Inilah diantara golongan manusia yang sentiasa tidak berpuas hati dengan pemberian Allah s.w.t. Mereka melihat pada diri sendiri dan berkata, “ saya kelihatan terlalu pucat, saya terlalu cerah, saya itu dan ini, rambut saya terlalu kerinting dan saya ingin meluruskannya.” Mereka yang berambut lurus pula ingin mengerintingkan rambutnya. Ada pula yang menginginkan mata yang berwarna biru, ada pula yang mengingkan mata yang hitam. Lantas mereka menggunakan lensa mata yang beraneka jenis sehingga menyebabkan mata mereka menjadi rabun dan rosak. Saya berkata, “Lihatlah mata kamu, ia kelihatan seperti mata kucing,” mereka rasa terhina dengan kata-kata ini (Shyekh tersenyum). Tetapi bila saya berkata, “ mata kamu kelihatan seperti mata seekor singa,” mereka (dengan megahnya) berkata, “ah, itu sudah semestinya.” (Sheykh tertawa sinis).

Kamu tidak menyukai apa yang telah Allah s.w.t berikan kepadamu? Alangkah jahilnya manusia ini! Setiap pemberian adalah anugerah daripada yang maha berkuasa. Bukan dari orang sebarangan. Betapa besarnya berkat yang datang bersama pemberian Allah s.w.t. Dia telah memberi kesempurnaan itu hanya padamu. Rupa bentuk kamu dan segala-galanya amat sempurna. Tidakkah kamu gembira? Hanya jika kamu memahami maksud yang tersirat, maka kamu akan mencapai nikmat kebahagian. Jika tidak, kamu akan mendapati diri kamu keluar dari kamar doktor dengan perubahan yang tidak menentu ke atas raut wajah dan tubuh kamu, (saya tidak suka menyebut nama seseorang, tetapi ia perlu dilakukan pada waktu ini), kemudian, kamu akan kelihatan seperti Michael Jackson. Kamu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diubah kerana semua anggota tubuh kamu mulai tertanggal satu persatu. Jangan melakukan kesilapan yang sedemikian rupa. Bersyukurlah terhadap segala pemberian Allah s.w.t. kerana pemberian itu merupakan nikmat dan barakah buat dirimu. Ini menandakan bahawa Allah s.w.t amat senang dengan kamu. Bersyukurlah dengan kenyataan ini. Jika tidak, kamu tidak akan dapat mengenal erti kebahagian di dunia mahupun di Akhirat.

Rasulullah s.a.w datang untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dan meninggikan martabat sekian umat manusia. Barang sesiapa yang mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w, mereka bukan sahaja tidak berdaya untuk menyakiti sesama manusia, bahkan mereka juga tidak tergamak untuk mencederakan seekor semut yang tidak bermaya. Orang-orang yang begini hanya akan bangkit di suatu masa nanti, untuk menentang demi kerana Allah s.w.t, di bawah naungan seseorang yang bakal hadir [Mahdi as]. Sekiranya ini berlaku, berwaspadalah, kerana kamu semua tidak akan dapat lari jauh. Kamu tidak akan terselamat.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi
Jumaat , 26 Jumad al-Akhir, 1430
19 June, 2009
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi
Siddiki Center
New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Sultan Evliya, medet.

Alhamdulillah, Alhamudlillah, astaghfirullah, astaghfirullah al-azim wa atubu ilaih. Allah subhana wa ta’ala, Pencipta semesta alam telah berfirman, ‘Wahai hambaku, usah membiarkan dirimu diperdayai oleh dunia yang bersifat sementara ini.’ Dalam pesanan beliau itu, Allah turut menjelaskan erti Dunia yang sebenarnya. Beliau berkata, ‘ Jangan kamu diperbodohi oleh dunia ini.’ Tetapi kita telah mengizinkan diri ini untuk diperbodohkan. Apakah sebabnya? Manusia kurun ke 21 amat mengutamakan Dunia dalam hidup mereka. Mereka mengejarinya sepenuh masa tanpa mengingatkan Allah subhana wa ta’ala. Mereka tidak mengingati Allah di dalam solat dan tidak pula di dalam Zikir. Allah langsung tidak wujud di dalam hidup mereka. Hanya nama yang disebut-sebut, namun seluruh jiwa raga mereka ditumpukan kepada persoalan dunia. Masalah dunia yang tiada berkesudahan.

Kurun ke 21. Kurun di mana dunia dihuni oleh firaun-firaun dan namrud-namrud. Begitulah keadaan yang telah berlaku ke atas diri Namrud yang sebenarnya. Apakala diajak oleh Ibrahim (alayhi salam) untuk kembali bersujud kepada Tuhan maha berkuasa bagi sekian langit dan bumi, dengan angkuhnya beliau menolak. Dikatakan pula olehnya, ‘Akulah satu-satunya Tuhan yang berkuasa. Apakah terdapat Tuhan yang lainnya?’ Ibrahim (as) menjawab, ‘Kamu tidak memiliki sesuatu apa pun. Apa yang menyebabkan kamu mengaku diri sebagai Tuhan?’ Namrud membalas, ‘Segala-galanya adalah milik aku. Aku adalah Tuhan di muka bumi ini. Jika Tuhan kamu itu adalah Tuhan di kayangan, maka aku pula adalah Tuhan bagi bumi ini. Sekarang, aku mencabar Tuhan kamu itu. BeritahuNya bahawa aku mengisytiharkan peperangan. Akan aku hantar pasukan tentera-tenteraku.’

Manusia kurun ke-21 ini berkelakuan seperti Namrud. Tiada perbezaan diantara mereka. Setidak-tidaknya Namrud itu mempunyai kuasa di dalam cengkaman. Kuasa duniawi. Tetapi manusia kini tidak memiliki sesuatu apa pun. Kosong. Dengan kekosongan itu, mereka tetap ingin menjalani hidup ibarat Namrud. Ketahuilah bahawa Allah subhana wa ta’ala sedang memberi pengajaran kepada kita menerusi contoh kehidupan orang-orang terdahulu. Setiap yang berlaku ke atas diri mereka harus dijadikan sebagai iktibar untuk kita memperbaiki hidup diri sendiri. Allah swt sendiri telah mengatakan, ‘Ambillah iktibar.’ Quran-e Kerim bukan sekadar ayat-ayat kosong yang tidak membawa sebarang pengertian. Kata-kata mutiara itu harus dijadikan pedoman hidup bagi setiap insan yang wujud. Sama ada ianya diambil sebagai pengajaran atau diri kamu sendiri akan dijadikan pengajaran bagi yang lain. Begitulah keadaan yang sebenar.

Berbalik kepada kisah Namrud, maka dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Dia berkata, ‘Aku ingin berperang dengan yang satu itu.’ Allah swt menjawab, ‘Katakan kepadanya bahawa aku akan menghantar pasukan tentera untuk menghadapinya. Bersiap sedialah.’ Namrud mula untuk mempersiapkan diri sambil menantikan kedatangan pasukan tentera yang telah dijanjikan. Sambil memandang di sekililing, dia bertanya, ‘Di manakah mereka?’ Ibrahim (as) menjawab, ‘ Jangan khuatir. Mereka sedang dalam perjalanan ke sini. Lihat di atas.’ Dengan serta mertanya, langit diselubungi kegelapan. Apakah yang sedang berlaku? Pasukan tentera nyamuk datang menyerang.’ Ini adalah satu pengajaran bagi kita semua. Allah subhana wa ta’ala ingin memberitahu bahawa, ‘Kamu adalah jauh lagi rendah dari sang nyamuk. Kamu berlagak sombong terhadapKu dengan mengisytiharkan ketuhanan dirimu? Lihatlah itu, aku tidak perlu untuk menyediakan askar-askar yang gagah perkasa untuk menghadapi kamu. Hanya nyamuk-nyamuk kecil amat memadai.’ Maka pasukan tentera nyamuk telah berjaya menumpaskan askar-askar Namrud. Begitu juga dengan riwayat hidup Namrud yang juga telah ditamatkan oleh seekor nyamuk yang kerdil.

Cuba kita renungi keadaan manusia pada masa kini. Apakah yang telah berlaku kepada mereka? Nyamuk-nyamuk kini bebas berterbangan di sana sini, namun manusia tetap ingin menjadi seperti Namrud dan Firaun yang menentangi kuasa maha Pencipta semesta alam. Sungguhpun dalam keadaan bersujud, mereka masih tetap menentang. Setidak-tidaknya, orang-orang pada zaman Namrud dan Firaun itu langsung tidak bersujud kehadirat Illahi. Dengan secara terang-terangan, mereka menonjolkan keangkuhan. Namun kini, dalam keadaan mereka yang sedang bersujud dengan dunia, rukuk dengan dunia atau pun berzikir dengan dunia, hanya satu perkara yang sedang memenuhi fikiran manusia. Dunia. Sehari suntuk, mereka disibukkan dengan Dunia. Hidup mereka dibebani dengan pelbagai masalah. Apakah sebabnya?

‘Permulaan bagi setiap masalah berpunca daripada perasaan cinta kepada Dunia. Ia menjadi penyebab utama berlakunya segala kerosakkan di muka bumi ini.’ Itulah yang pernah disabdakan oleh Rasulullah (sws). Seluruh manusia di Dunia ini yang terdiri daripada pelbagai jenis dan ragam, semuanya sedang sibuk dengan urusan duniawi tersendiri. Apa jua yang sedang kamu sibukkan selain daripada Allah dan Rasulnya (sws), itulah Dunia buat kamu. Itulah yang sedang kamu kejari dan layani sepenuh masa. Itulah Dunia kamu. Kamu terlalu mementingkan urusan Dunia.
Sedarkan diri kamu! Usah kamu terus hidup dalam hayalan. Jangka hayat Umat Muhammad (sws) adalah diantara 60 hingga 70 tahun. Tidak ramai diantara mereka yang dapat hidup melewati usia 70 tahun. Mereka yang mampu untuk hidup lebih lama dari itu, kebanyakkannya akan menjadi nyanyuk dan hilang ingatan. Kaum Muslimin tidak sepatutnya mengalami keadaan nyanyuk dan hilang ingatan. Ini bukanlah diantara sifat-sifat orang muslim. Namun ianya tetap berlaku disebabkan perasaan takut mati. Akibat daripada kehidupan yang bergelumang dengan dosa-dosa, maka perasaan takut mati wujud di kalangan sekian orang-orang Islam. Walaupun demikian keadaannya, mereka masih tidak sedarkan diri. Mereka tidak mempelajari sambil mempersiapkan diri dengan berkata, ‘Azrail akan datang untuk membawaku pulang. Aku harus bersiap sedia untuk menghadapi saat-saat itu. Aku harus bersiap sedia bukan untuk Dunia, tetapi untuk Akhirat. Aku bukanlah dicipta untuk Dunia, tetapi untuk Akhirat. ‘ Sekiranya manusia memberi keutamaan terhadap persoalan ini, maka setiap masalah dan keraguan yang bersangkutan dengan dunia akan terhapus.

Malangnya, manusia kini lebih mengutamakan kehidupan di dunia ini. Sepanjang hidup itu dihabiskan dengan berlari berpusing-pusing di sekeliling tanpa arah tujuan untuk mengejari sesuatu yang bersifat sementara. Terdapat juga beberapa amal kebaikan yang turut disempurnakan tetapi semua ini telah dapat dihancurkan oleh perasaan cinta terhadap dunia yang melebihi segala-galanya. Cintailah Akhirat. Jika Dunia yang kamu idamkan, maka kamu harus menyintai Akhirat, cintai Allah swt. Dengan sendirinya, dunia akan mengejar kamu. Segala apapun yang menjauhkan dirimu dari Allah swt, Itulah Dunia kamu. Sebagai contoh, harta kekayaan, kereta, computer, wang simpanan, anak-anak. Jika hidup kamu sedang disibukkan dengan semua ini dan ia menjauhkan kamu dari Allah swt, maka itulah Dunia bagi kamu. Ini tidak seharusnya berlaku. Kamu sepatutnya berusaha untuk meningkatkan diri ke tahap yang lebih tinggi. Diri kamu itu harus disibukkan dengan Allah swt serta Rasulnya (sws) kerana tujuan ciptaan kamu adalah untuk berkhidmat kepada yang maha Esa.

Allah subhana wa ta’ala berfirman, ‘telah kami ciptakan Jinn dan manusia untuk mengenali dan menyembah kami.’ Penyembahan bukan setakat dengan berdiri dan duduk turun naik ibarat robot-robot. Ia harus diikuti dengan rasa kesedaran serta pengertian bahawa, ‘Allah swt sedang melihat aku. Apakah yang sedang dilakukan dan apa pula yang sedang difikirkan? Apakah perkara yang telah mempersibukkan diriku. Diri ini telah dicipta hanya untuk satu tujuan. Iaitu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik keapda Allah swt. Malangnya kita tidak menjalankan kewajipan yang satu ini. Apa yang sedang kamu sibukkan itu? Perhatikan diri sendiri dan kamu akan menemui jawapannya. Jika kamu masih lagi tidak mengerti, maka nantikan sahaja kedatangan Azrail. Dia berada tidak jauh dari kita. Dia terlalu dekat dengan kita.

Pada zaman Rasulullah (sws), terdapat seorang penzalim yang bernama Hajjaj. Dia telah menarik salah seorang daripada cucu Rasulullah (sws) untuk menghadapinya. Sewaktu bersemuka, dia mula menanyakan beberapa soalan. Dia berkata, ‘Hey budak kecil, kamu telah melampaui batas. Akan ku penggal leher mu.’ Cucu Rasulullah menjawab, ‘Aku tidak takut. Aku akan merasa sedikit gentar hanya jika aku tahu bahawa kuasa Azrail juga turut berada di dalam tangan kamu. Tetapi, sebelum sempat kamu berundur dari kerusi itu, Azrail mungkin akan mendapatkan kamu.’ Kata-kata ini cukup untuk menggegarkan hati si penzalim itu. Dia mulai merasa takut. Walhal dia itu adalah seorang Amir. Amir bagi sekian orang-orang ramai. Dia juga merupakan seorang Pentadbir yang tidak leka dalam mendirikan solat lima waktu sehari. Ya. Malangnya, hati itu lebih terpaut dengan Keduniaan. Dunia, satu perkataan yang telah berjaya untuk menggoncangkan dirinya dan lantas membawa kepada kejatuhan dirinya dari takhta kerjaan.

Azrail berada tidak jauh . Dia begitu hampir dengan kita semua.

Wa min Allahu tawfiq
Bihurmatil Habib
Bihurmatil Fatiha

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi
Rabu 18 Rajab, 1426
24 Ogos, 2005
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi Siddiki Center
New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim

Medet Ya Seyidi Ya Sultanul Evliya, Medet.

Saya percaya bahawa semua orang yang hadir di sini telah pun memberi beyat kepada Sheykh Mevlana. Apakah erti beyat? Siapa yang tahu apakah itu beyat? Biar saya berikan penjelasan tentang makna beyat yang sebenarnya. Sewaktu Baginda Rasulullah (alayhi salatu wa salam) berserta dengan para pengikutnya yang beriman sedang dalam perjalanan untuk menunaikan ibadat Haji, mereka telah berhenti sejurus sebelum memasuki kota Mekah. Di situ, Rasulullah (asws) telah mengutuskan Osman (radiyallahu anh) ke Mekah sebagai wakilnya untuk menemui pihak Mushrik di situ. Tujuan penemuan itu adalah untuk memeterai satu perjanjian dengan golongan yang tidak beriman untuk mengumumkan kepada mereka bahawa kedatangan Rasulullah bersama para pengikutnya bukanlah dengan tujuan untuk berperang. Perjanjian ini juga akan memberi jaminan bahawa tiada sebarang serangan yang akan dilancarkan ke atas kaum Muslimin sewaktu mereka memasuki kota Mekah.

Sewaktu pemergian Osman (ra) ke Mekah, telah tersebar luas berita yang mengatakan bahawa beliau telah dibunuh oleh kaum Mushrik di sana. Pada ketika itu, turunlah Ayat dari Allah swt yang memerintahkan agar mereka yang beriman untuk mengambil beyat. Beyat merupakan satu perjanjian kepada Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa walau apa jua keadaannya, mereka tidak akan berpisah dari Rasulullah (alayhi salatu wa salam). Mereka bersumpah tidak akan meninggalkan Baginda Rasulullah, dan jika perlu, nyawa mereka sanggup dikorbankan demi mencapai tujuan murni itu.

Dalam pengambilan beyat, Rasulullah (asws) telah menghulurkan tangan beliau. Merekan semua meletakkan tangan mereka di atas tangan Baginda (asws). Lantas Allah berfirman, “Tangan Allah berada di atas tangan kamu semua.” Ini bermaksud, “Allah meletakkan perlindungannya ke atas diri setiap diantara kamu selagi kesetiaan diberikan kepada Rasulullah (asws).” Maka mereka semua memberi beyat kepada Rasulullah (asws). Mereka bersumpah untuk tidak mengkhianati Baginda (asws), dan walau apa pun keadaannya, mereka telah bersumpah untuk berpegang teguh kepada beyat itu selagi hayat dikandung badan.

Apakah pandangan kamu, jika terdapat sesiapa diantara mereka yang cuba untuk menarik diri dari beyat itu, apakah mereka akan menemui keselamatan pada waktu itu? Sudah semestinya tidak. Apabila Osman (ra) kembali pulang kepada Rasulullah (asws), beliau menjelaskan, “ Ya Rasulullah, kami tidak dibenarkan masuk ke kota Mekah pada tahun ini. Tetapi perjanjian telah ditandatangani unutk mengizinkan kita masuk pada tahun hadapan.” Mendengarkan penjelasan ini, Rasulullah (sws) mulai untuk berfikir sejenak. Seterusnya beliau berkata, “Baiklah, kami menerima perjanjian tersebut.” Dan Baginda mengarahkan, “sekarang, kamu semua dikehendaki untuk menyembelih binatang sepertimana kamu harus lakukan untuk menunaikan Haji. Ibadah kamu diterima. Cukurlah rambut kamu dan keluar dari Ihram kerana Haji kami ini telah diterima.”

Selepas memberikan arahan tersebut, Rasulullah (asws) menuju masuk ke dalam khemah beliau. Pada ketika itu, terdapat beberapa orang yang kurang senang dengan cadangan Rasulullah (asws). Mereka tetap berkeras dalam memenuhi keinginan masing-masing untuk memasuki Mekah. Rasulullah (asws) keluar dari khemah dalam keadaan rambutnya yang telah dicukur. Beliau telah pun keluar dari Ihram dan mula untuk menyembelih binatangnya. Melihatkan tindakan Rasulullah (asws), mereka semua turut melakukan yang serupa. Mereka terperangkap dan merasa serba salah. Mereka berkata, “Tiada pilihan lain. Jika Rasulullah (asws) sendiri telah melakukan begitu, kita juga harus melakukan yang serupa.” Rasulullah (asws) telah memberi amaran dengan mengatakan, “Jangan silap dalam memikirkan bahawa setelah membuat perjanjian di atas nama Allah, apabila hati kamu mula berubah kelak, kamu akan menggugurkan beyat itu dengan anggapan bahawa hidup kamu akan terus terselamat.”

Ketahuilah bahawa barangsiapa yang telah bertindak sedemikian, hingga ke saat ini, mereka belum lagi menemui keselamatan. Tiada keselamatan bagi diri mereka. Tiada keselamatan di Dunia dan tiada keselamatan di Akhirat. Beyat adalah sumpah setia di atas nama Allah bahawa kamu kini sedang berdiri di jalan Allah dan RasulNya (asws). Kamu akan kekal berdiri di jalan ini seterusnya. Ini juga bermakna bahawa segala perintah Allah harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh prihatin. Dengan cara ini, kita akan dicintai Allah (subhana wa ta’la) dan RasulNya (asws).

El-Fatiha.

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi
Jumaat 4, Zul-Qaedah, 1430
23 Oktober, 2009
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi
Siddiki Center
New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Sultan Evliya, medet.

Alhamdulillah, alhamdulillah. Astaghfirullah, astaghfirullah al-azim wa atubu ilaih. Baginda Rasulullah (asws) bersabda, ‘Berwaspadalah terhadap pandangan mereka yang beriman. Sesungguhnya mereka memandang dengan Nur Allah.’ Kamu tidak akan dapat memperdayai mereka. Adakalanya, kamu beranggapan bahawa mereka telah terperangkap ke dalam jerat tipu helah kamu sebab mereka penyabar. Namun itu tidak benar. Mereka adalah golongan manusia yang paling penyabar. Mereka hanya menanti, memerhatikan dan memahami. Terdapat juga sebuah hadis yang berkata, “orang-orang yang beriman tidak akan memperdayai sesiapa jua. Jika kamu kini sedang diperdayai, maka ternyata bahawa kamu bukanlah dari golongan orang yang beriman. Begitu juga keadaannya jika kamu kini sedang memperdayai seseorang hamba Allah. Kamu belum mencapai ke tahap keimanan yang kukuh. Alhamdulillah, Akhir Zaman. Akhir bagi akhir Zaman. Begitu suntuk sekali masa yang tinggal untuk Mahdi (alayhi salam) melaungkan Takbir yang terakhir. Telah ditetapkan bahawa Mahdi akan melaungkan Takbir sebanyak tiga kali. Hingga ka saat ini, takbir yang pertama dan kedua telah pun dilaungkan. Satu daripadanya akan dilakukan secara fizikal sewaktu panji-panji Rasulullah (sws) berkibar. Tiada banyak waktu lagi yang tinggal. Setiap penghuni dunia dan segala-galanya dalam ciptaan kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat genting itu, alhamdulillahi rabbil alameen.

Kita tidak sabar untuk menantikan kedatangan hari-hari yang dijanjikan itu. Orang yang beriman, ya, golongan yang beriman bukan sekadar tidak sabar dalam menantikan kehadiran Mahdi (as), malah mereka turut mengalu-alukan ketibaan hari Kebangkitan. Ini kerana mereka terdiri daripada golongan hamba Allah yang tidak mempunyai apa-apa yang hendak diselindungi. Mereka tidak merasa gentar kerana kegentaran itu hanya ditujukan khusus buat Allah subhana wa ta’ala. Maka itulah sebabnya orang-orang yang beriman harus sentiasa berada di Sirat-ul Mustaqim, harus sentiasa cuba sedaya upaya patuhi perintah Allah serta RasulNya (asws). Jika kamu mampu untuk melaksanakan perintah ini, maka kamu tidak harus merasa takut. Seluruh penghuni dunia boleh datang untuk menyerang kamu, namun Allah telah memberi kamu dua telinga. Setiap dari serangan itu boleh memasuki ke satu telinga dan ditolak keluar menerusi telinga yang satu lagi.

Dunia kini sedang mengalami keadaan yang amat memilukan. Kebanyakan ummat manusia telah kehilangan pegangan Iman mereka. Hanya sebilangan kecil diantara mereka yang memiliki Iman yang kukuh. Mereka itu sedang menanti di sebalik tabir. Yang lainnya hanya bersandar kepada Iman yang goyah. Bilamana Iman itu ditiupi angin, ia akan turut condong ke arah tiupan angin itu. Ini bukanlah Iman. Ia bukanlah iman yang akan dapat membantu orang-orang mukmin untuk melintasi jembatan Sirat kerana keadaan mereka sendiri tidak mantap. Keadaan yang tidak mantap ini sudah pastinya akan membuat kamu jatuh.

Rasulullah (asws) telah memberi arahan tentang apa yang harus dilakukan dalam kita mengharungi kehidupan sukar pada masa ini dan bagaimana dapat kita tempuhi kehidupan seharian. Beliau bersabda, ‘Jangan mencampuri hal yang bukan menjadi urusan kamu. Jauhkan diri dari keadaan yang begitu. Awasi diri kamu sendiri. Usahlah kamu sibuk menyelidiki secara mendalam dengan pikiran yang kamu akan memperbaiki agama kamu. Beberapa hadis dan ayat yang kamu tahu, kamu harus jadikannya sebagai landasan hidup kamu kerana akan berlaku beberapa kekeliruan yang akan timbul dari dalam Islam. Kekeliruan yang dimaksudkan itu akan bermula dari golongan yang kini mengakui diri mereka sebaga pewakil Islam. Dan golongan pewakil inilah yang bakal menjadi penyebab menularnya kekeliruan hingga mencengkam ke seluruh dunia. Kekeliruan akan tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia sebelum ia memantul balik ke arah mereka yang bertanggungjawab dalam memulakan kekeliruan itu.

Seringkali apabila kamu menabur fitnah mengenai diri seseorang, kata-kata palsu itu akan tiba ke pendengaran mangsa yang difitnah itu. Berkat perlindungan Allah swt, kata-kata itu akan diarahkan ke langit. Di atas situ, akan terdapat sebuah benteng yang tidak akan membenarkan kata-kata palsu itu untuk menembusi ke langit yang seterusnya. Maka kata-kata itu akan turun semula ke bumi. Di bumi, Allah juga telah membentengi seluruh dearah Timur, Barat, Selatan dan Utara. Kata-kata itu kini terperangkap. Akhirnya ia akan berbalik kepada orang yang bertanggungjawab dalam memulakan kepalsuan itu. Ia akan terus berdamping dengan orang itu sebagai satu bebanan besar yang terpaksa dipikulnya hingga ke hari kebangkitan.

Baginda Rasulullah (sws) telah memberi amaran kepada kita semua bahawa terdapat dua anggota tubuh manusia yang akan menjadi punca kebinasaan mereka. Yang satu adalah lidah manusia dan yang satu lagi adalah di bahagian sulit. Harus dikawal penggunaan kedua anggota ini dengan sebaik mungkin. Malangnya, jelas dilihat bahawa manusia kini tidak prihatin dalam penggunaan kedua-dua anggota ini. Semua orang begitu sibuk berbual dan menambah-nambah perkataan ke atas apa yang mereka dengarkan. Berbohong, menipu dan fitnah menjadi amalan seharian yang berleluasa di dunia ini. Namun begitu, segala bentuk kejahatan dan tipu muslihat yang sedang dirancang itu tidak akan berhasil. Jika kamu adalah satu-satunya manusia yang tinggal di muka bumi ini, dan jika seluruh penghuni dunia sedang menyerang diri kamu….ia mungkin akan berlaku. Adakalanya, Allah subhana wa ta’ala akan menguji hambanya. Ini mungkin akan berlaku. Apakah tindakan kamu? Haruskah kamu berpaling ke pihak yang salah itu kerana mereka sedang menyerang? Kamu harus mengenali Iman diri sendiri. Iman, Shahadatmu itu harus mampu untuk menemukan kamu ke jalan yang benar. Pengertian Shahadat itu adalah seperti sabda Baginda Rasulullah (asws), ‘Berwaspadalah daripada pandangan mereka yang beriman.’ Apabila Shahadat itu benar-benar menusuk ke jiwa, kamu akan dapat melihat. Tiada sesiapa pun yang dapat memperbodohkan diri kamu. Kamu akan melihat, kamu akan mengerti dan kamu akan berjalan di atas Sirat, alhamdulillahi rabbil alameen.

Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Ia telah meninggalkan kita dan kini tiba masanya untuk kita menghadapi satu lagi bulan yang suci. Bulan di mana orang-orang Mukmin di seluruh dunia sedang mempersiapkan diri untuk melaksanakan ibadah Haji. Mereka yang tidak berkemampuan untuk tujuan murni ini seharusnya berniat agar Allah subhana wa ta’ala meletakkan nama mereka di sisi orang-orang yang berpeluang untuk ke sana. InsyaAllah. Amat sedih jika diperhatikan bahawa sekian ramai para jemaah pergi untuk menunaikan Haji tetapi ramai yang telah menemui kegagalan. Ini kerana mereka telah melangkah pergi ke Haji berserta dengan sifat-sifat tercela dan mereka tidak rela untuk meninggalkan tabiat-tabiat buruk itu. Mudah, amat mudah sekali. Manusia kini sedang mempersiapkan diri untuk ke Haji dan seiringan dengan itu, banyak perkara yang Halal diubah menjadi Haram bagi diri mereka. Mereka tidak boleh melakukannya lagi. Padahal, hukum melakukannya adalah Sunna dan adalah perintah dari Baginda Rasulullah (asws) untuk mamakai harum-haruman terutamanya pada hari Jumaat. Namun kini, kamu tidak dibenarkan untuk menggunakan wangian dan segala jenis minyak atar sewaktu menunaikan Haji. Mereka melarang kamu berbuat demikian, tetapi mereka pergi dengan rokok di bibir mereka. Saya juga tidak berasa hairan jika suatu hari kelak, mereka duduk dihadapan Kaba dan merokok.

Jika perbuatan buruk ini dilakukan oleh orang-orang kebanyakan, mereka tentu akan berkata, ‘Sheytan telah mempengaruhi mereka.’ Tetapi pada masa ini, ramai yang kononnya bergelar Sheykh, Imam, para wakil dunia dan juga para wakil Rasulullah serta wakil kumpulan Tarikat, kebanyakan mereka mempunyai rokok di bibir masing-masing. Puff, poof. Ini jelas menandakan bahawa kamu sedang berpihak dengan Sheytan. Sheykh Mevlana pernah berkata, dan memandangkan ini adalah mimbar untuk memberi khutba, biar saya berkata puting [pacifier] daripada Sheytan. Apakah kamu sedang meletakkan puting sheytan itu di bibir kamu? Dan pada masa yang sama, kamu berani mengumumkan, ‘Saya mewakili Allah dan Rasulnya (asws)’? Thuuuh! Kamu tidak boleh kawal ego kamu sendiri dalam berhenti menghisap rokok, satu perkara, dan kamu fikir bahawa kamu sedang mewakili Islam? Eh, begitulah keadaannya pada masa kini.

Seperti yang telah dikatakan, orang ramai kini sedang sibuk membuat persiapan untuk berangkat ke kota Mecca bagi melaksanakan ibadah Haji. Ramai juga yang akan ke sana berserta dengan Sheykh mereka. Mereka sedar dan mengatakan, ‘kami tidak dibenarkan untuk memakai harum-haruman.’ Semua orang tahu larangan itu datang langsung dari Rasulullah (sws). Eh, baginda sendiri yang tidak membenarkan kamu menghadap Kaba dengan berbau harum. Bagaimana dapat kamu menghadapi Kaba dengan berbau yang busuk and mengkejikan itu? Begitulah cara pemikiran manusia masa kini. Sesuatu yang menyenangkan diri sendiri, itulah yang akan diterima tanpa soal siasat. Setiap perkara yang bakal dilakukan, mereka akan melihat pada kemudahan buat diri sendiri. Mereka akan berkata,’Ini benar kerana ia sesuai dengan diri saya.’ Agama diubah-ubah mengikut kepentingan diri sendiri. Sekiranya terdapat seseorang yang menegur, ‘Ini adalah perkara yang salah. Kamu tidah boleh melakukannya,’ ohhh.., mereka tidak akan menerima, malah mereka akan berubah dengan serta merta untuk menjadi, bukan serigala yang buas, malah dubuk yang mengganas.

Alhamdulillahi rabbil alameen. Setiap ciptaan Allah mempunyai had jangkamasa yang telah ditetapkan. Setiap yang bermula, pasti akan menemui kesudahannya. Begitu juga dengan apa yang sedang kamu lakukan di dunia ini. Kehidupan kamu itu dibina oleh perkara-perkara serta amalan yang telah dilakukan dalam kehidupan seharian kamu. Di satu hari yang telah dijanjikan nanti, kamu akan tiba ke hari Perhitungan dimana setiap perbuatan itu akan dipersoalkan. Jika kamu beranggapan bahawa kamu telah mampu memperdayai beberapa orang di dunia ini, maka ketahuilah bahawa perbuatan bodoh itu hanya telah memperdaya diri kamu sendiri. Pada hari Perhitungan yang dijanjikan, setiap perbuatan itu akan dibentangkan di hadapan diri kamu dan orang ramai akan turut menyaksikannya.

Kini manusia begitu mentakuti sesama mereka. ‘Jangan ditayang-tayangkan kepada khalayak ramai kesalahan yang telah aku lakukan. Ia akan mencemari reputasiku.’ Memang benar, kamu merasa malu tetapi tidakkah kamu merasa lebih malu jika kesalahan itu dibawa kehadapan Allah untuk diadili dan orang ramai akan memerhatikan? Mereka tidak sedikit pun merasa takut kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah swt begitu rapuh sekali. Tidak kira sama ada Dajjal atau Mahdi yang wujud di sebelah sana, asal sahaja mereka menjanjikan sesuatu, orang ramai akan berpihak pada yang itu. Di satu hari, mereka akan berada di pihak askar-askar Mahdi, dan di hari yang lainnya mereka akan berpihak dengan para pengikut Dajjal. Usahlah kamu berada dalam keadaan yang tidak menentu itu. Jika kamu adalah salah seorang daripada mereka, maka kamu harus sedarkan diri dan insaf kerana Baginda Rasulullah (sws) telah bersabda, ‘ Apabila kemunculan hari-hari terakhir semakin dekat, inilah yang akan berlaku. Manusia akan bertukar-tukar pihak. Dari satu pihak ke satu pihak yang lain.’ Pastikan yang kamu berdiri teguh di pihak yang Hakk sewaktu takbir dilaungkan. Kamu tidak seharusnya berada di sisi Dajjal dan pengkut-pengikutnya.

Dajjal akan muncul dalam pelbagai bentuk rupa. Dia akan muncul dengan penampilan yang berbeza-beza bagi golongan Kristian, golongan Muslimin dan golongan Yahudi. Berjaga-jagalah. Kita kini sedang menempuhi hari-hari sukar yang dijanjikan itu. Rasulullah (sws) terlalu kerap membincangkan tentang kekeliruan Dajjal sehingga menyebabkan para sahabat berkata, ‘Kami sangkakan bahawa Dajjal itu sedang bersembunyi di belakang pohon kurma. Dan sebaik sahaja Rasulullah (sws) pergi meninggalkan kita semua, dia akan menonjolkan diri.’ Seribu empat ratus tahun telah berlalu. Kini, tibalah masanya bagi kita menghadapi saat-saat yang sering diperkatakan itu. Para pembesar dan pegawai kanan Dajjal telahpun muncul di sana sini. Kamu perlukan mata yang awas untuk melihatnya. Begitu ramai yang kini sedang berlari ke arah mereka. Perhatikan hidup kamu. Perhatikan gerak langkah yang kamu ambil. Hanya kamu sendiri yang akan dipertanggungjawabkan bagi kehidupan kamu. Sama ada kamu akan ke Syurga ataupun kamu akan terjerumus ke dalam api neraka. Tidak kira di mana jua kamu berada, Syurga atau Neraka, ia hanya menunjukkan tahap keimanan kamu dan dengan keimanan yang rapuh itu, kamu pastinya tidak akan mampu untuk melintasi jembatan Sirat.

Kata-kata ini adalah untuk kamu, untuk diri saya dan untuk seluruh umat manusia.
Wa min Allahu tawfiq
Bihurmatil Habib
Bihurmatil Fatiha.

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

7 Jumaat Jumad al-Akhir, 1431
May 21, 2010
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York.

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Sultanul Awliya, Medet.

Sheykh Effendi : Bagaimana dapat kamu melindungi diri dari musuh jika musuh itu sendiri tidak dikenali? ‘X’, menurut pendapat kamu, mampukah kamu menyelamatkan diri dari musuh yang sedang cuba untuk menyerang, menghancurkan dan membinasakan diri kamu? Musuh itu sanggup melakukan apa sahaja demi tujuan itu. Tiada undang-undang atau batasan. Dia melakukan segala-galanya. Setiap keburukkan dari bentuk apa sekalipun akan ditujukan kepada orang yang hendak dibinasakan itu. Jika orang itu tidak mengenali siapakah musuh yang sebenar, apa kamu fikir dia akan berdaya untuk menyelamatkan diri dari musuh itu? Jawablah.

Murid : Tidak, Sheykh Effendi.

Sheykh Effendi : Jadi, siapakah musuh kamu? Manusia tidak akan berhenti menyebarkan kekeliruan. Apakah sebabnya? Kerana musuh itu. Ini adalah kerana kamu tidak dapat melihat dengan jelas dan kamu juga tidak mengenali musuh itu. Hmm? Jadi, siapakah gerangan musuh kamu?

Murid : Ego saya. Diri saya sendiri. Yang sentiasa memikirkan bahawa dia itu betul. Yang suka bermegah-megah kepada orang ramai. Yang suka menonjolkan diri ke hadapan dan melakukan sehendak hati.

Sheykh Effendi : Kadang-kala diri itu tidak suka menunujuk-nunjuk. Ada yang berpura-pura mempamerkan sifat rendah diri. Seperti tidak bersalah, seumpama para malaikat. Itulah yang sedang cuba ditayangkan oleh sesetengah orang. Kepura-puraan. Mereka tidak akan menayangkan diri secara terbuka. Namun mereka tetap sedang bersandiwara. Cuma persembahan kali ini dilakukan dengan cara terselindung. Maka orang itu sendiri tidak akan menyedari. Jadi, siapakah musuh kamu?

Murid : Sheytan.

Sheykh Effendi : Sheytan? Apakah terdapat sheytan yang lebih besar dari manusia kini? Sekarang, sheytan sedang berehat sambil berkata, ‘Aku tidak dapat melakukan yang lebih dashyat dari manusia.’ Sekarang, manusia telah pun melangkah ke universiti untuk mendapatkan PhD dan sheytan lalu berkata, ‘Mereka sedang mendapatkan PhD. Mereka kini lebih dashyat dari aku. Aku juga harus memilikinya.’ Memang mudah bagi orang ramai mengatakan ‘Sheytan’. Lihat dulu pada sheytan yang sedang bertakhta di dalam diri itu. Diri kamu sendiri.

Musuh kamu adalah ego kamu sendiri. Ego yang paling buruk itulah merupakan musuh kamu. Amat mustahil bagi seseorang untuk mengenali ego mereka tanpa menyerahkan diri kepada seorang Guru/Sheykh. Beliaulah yang akan mengasuh serta mendidik kamu agar mampu mengenal ego sendiri. Penyerahan harus disertai dengan ketaatan. Tanpa ketaatan, penyerahan itu tidak membawa sebarang pengertian. Kepada mereka yang ingkar, tiada harapan bagi mereka untuk menemui perlindungan. Tiada harapan. Penderhaka. Allah berfirman, ‘sewaktu kamu dibangkitkan semula pada Hari Perhitungan, kamu akan merayu, ‘Oh Tuhan kami, kini kami mula memahami hakikat yang sebenar. Berilah kami peluang sekali lagi. Kembalikan kami ke dunia. Akan kami taati setiap perintahMu terlebih dahulu sebelum kami datang menghadapi diriMu kali ini.” Allah menjawab, ‘Tidak perlu. Kamu telah diuji sekali. Itu sudah mencukupi. Sekiranya kamu dihantar ke dunia beribu kali, tiada perubahan yang akan berlaku. Kamu tetap sama. Jadi lupakan sahaja itu. Kini, masanya telah tiba untuk kamu dilenyapkan. Kamu kerugian’.

Kehidupan dipersia-siakan. Bukan Jahannam. Ramai yang tidak memahami perbezaan di antara kedua ungkapan ini. Ya, hidup terbazir dan dicemari perbuatan yang tidak mendatangkan hasil, dengan kekotoran dan kebodohan. Bertanggungjawab. Manusia akan dipertanggungjawabkan. Sama ada mereka ingin memperbaiki diri sendiri, atau berada terus dalam kejahilan. Itu bukan persoalannya. Yang nyata, mereka harus bertanggungjawab. Jika seseorang itu tahu di mana letaknya mulut mereka, di manakah tempat untuk mencari makan sewaktu kelaparan, bila masanya untuk keluar dari rumah dan pulang, jika mereka tahu cara-cara untuk mengadu mengenai perkara-perkara yang mengganggu dirinya di Dunia ini, maka bertanggungjawablah. Tidak lagi menjadi persoalan. Adalah tugas manusia untuk mendidik diri sendiri, menemukan pusat-pusat pengajian, untuk menyerah diri kepada pusat pengajian tersebut serta mentaati guru di pusat itu agar dapat membuat kemajuan.

Pada pandangan kamu, apakah yang akan terjadi kepada para murid yang telah diberi bantuan grant? Semua orang di sini diberi bantuan tersebut. Apa yang telah kamu lakukan setelah diberi bantuan itu? Cuba salah seorang dari kamu beritahu saya, apakah kebaikkan yang telah kamu lakukan hingga dapat menemui Sultanul Awliya? Huh? Apakah, pada fikiran kamu, telah dilakukan? Terlalu banyak puji-pujian yang telah kamu berikan pada diri sendiri. Yang lelaki, mahupun yang perempuan. Apakah kebaikkan yang telah kamu lakukan, beritahu saya? Dan kamu duduk di dalam bilik darjahnya dengan tidak henti-henti menonjolkan sifat degil dan ingkar. Apa kamu fikir ketaatan itu cukup dengan sekadar duduk diam membisu di hadapan Sheykh sepanjang masa? Tanpa mengiyakan atau membantah. Namun sejurus selepas perhimpunan bersurai, kamu mula bercakap tanpa henti dan tanpa batasan. Apakah itu ketaatan? Apakah itu yang kamu fahamkan dengan maksud ketaatan? Huh, biar saya jelaskan perkara yang sebenar. Dengan guru yang begitu, kamu boleh katakan apa jua perkara yang tidak elok didengari, secara terang-terangan. Saya mungkin akan memadamkannya. Tetapi saya tidak akan tergesa-gesa untuk memadamkannya jika kamu memperkatakannya di belakang saya.

Jangan menjadi seorang yang munafik! Golongan munafik tidak dibenarkan untuk melangkah ke Syurga. Jangan lupa.

Murid : Sewaktu di sini (dergah) saya rasa seperti berada di sisi anggota keluarga sendiri. Namun apabila pulang ke rumah, perasaan terpaut terhadap keluarga saya sendiri yang dicintai semakin pudar. Malah, saya rasa seakan mereka sengaja membuat saya berperasaan begini.

Sheykh Efendi : Betul. Itu sudah semestinya. Semua orang yang berada di sini sepatutnya berperasaan begitu. Dengan cara itu, kehadiran mereka akan terasa di sini. Malangnya itu tidak berlaku. Seperti kata saya tadi, penyakit kurun ke 21 ini teramat berat sekali bagi manusia hinggakan saya hanya cuba memastikan agar kalimah Shahadat itu tidak putus diucapkan dari lidah mereka. Setidak-tidaknya, untuk mereka memelihara kalimah Shahadat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa mereka telah mencapai ke kedudukan-kedudukan yang tertentu. Tetapi pada hakikatnya, itu tidak benar. Hanya untuk menghidupkan Shahadat agar dapat kamu keluar dari dunia ini dengan kalimah yang suci itu. Ini yang harus dipelihara. Jika tidak, kamu sedang berada dalam bahaya. Pusat-pusat pengajian bertujuan untuk mengingatkan kita tentang persoalan ini. Sekurangnya, ia mengingatkan tentang kematian.

Apa yang sedang dikejarkan di luar sana? Tiada sesuatu apa pun. Tiada. Tiada. Kamu sendiri tahu jika terdapat sesuatu yang dikejar, sudah pasti kamu telah pun dapat memilikinya kini. Apa lagi yang sedang dikejarkan? Kehidupan ini telah berlalu. Jika usia kamu telah melewati empat puluh tahun, maka kehidupan itu telah jauh berlalu. Kamu boleh katakan, ‘Saya rasa seperti orang muda’. Katalah apa yang kamu suka. Mereka yang berusia 80 tahun sedang berkata, ‘Saya rasa seperti 18 tahun’. Eloklah itu. Kamu boleh berperasaan begitu. Jika itulah yang diakui, maka ia bermakna bahawa kamu telah gagal untuk memperolehi sesuatu apa pun sepanjang kehidupan itu. Sepatutnya, kamu harus mengatakan, ‘selama 80 tahun ini, aku rasa seolah telah hidup di dunia 800 tahun lamanya’. Malangnya, kamu berkata pula, ‘saya rasa seperti baru berusia 18 tahun’. Kamu telah terperangkap. Terperangkap di dalam masa itu. Terperangkap bersama ego sendiri. Perkara apakah yang telah dilakukan pada waktu itu hingga kamu tidak dapat menarik diri keluar dari situ? Hanya kekufuran. Seterusnya? Perkara-perkara terlarang yang telah Allah haramkan ke atas dirimu. Dan kamu masih merelakan diri untuk terus diperangkap? Jika seseorang datang untuk mengingatkan kamu tentang kisah silam, kamu seharusnya pejamkan mata dan berpaling ke arah lain agar peristiwa itu tidak dapat diingati semula. Walaupun teringat, kamu harus melarikan diri darinya. Malangnya kini, kamu sedang asyik mengingatkan diri tentang hal itu sepanjang masa?

Sukar bagi saya untuk mempercayai keadaan ini. Ia jelas menunjukkan bahawa identiti seseorang itu telah hilang. Orang itu tidak akan dapat menemui identitinya semula. Bererti, kamu tidak lagi tahu siapa diri kamu yang sebenar. Identiti sebenar. Begitu mudah untuk mengatakan, ‘Saya adalah orang ini. Saya dilahirkan di sini, pada tanggal ini, di tempat ini’. Itu bukan identiti kamu. Kamu harus menemukan identiti sendiri. Apakah yang sering diperkatakan? Seseorang yang mengenali diri sendiri, mengenali Allah. Maka selama ini pengertian kamu terhadap Allah adalah atas dasar imaginasi sendiri. Tanpa menemui Allah, pemahaman kamu adalah menurut imaginasi, menurut penyesuaian ego, kerana kamu tidak berusaha untuk meningkatkan diri. Kamu sedang berusaha untuk membawa Allah turun ke tahap pemahaman kamu yang rendah itu. Ini tidak akan berlaku. Ia tidak pernah berlaku dan tidak mungkin akan berlaku. Mereka yang telah capai pada kedudukan yang tinggi, akan turun ke bawah untuk menarik ke atas sesiapa yang masih di bawah. Dan kamu masih berdegil untuk terus terperangkap dalam lubuk hina yang di bawah itu. Begitulah keadaannya. Mungkin kamu telah melakukan banyak perkara dalam hidup kamu di masa lampau itu. Mungkin juga kebaikkan yang dilakukan itu telah mendatangkan manfaat bagi diri kamu. Tetapi kesimpulannya adalah, kamu tidak menemui diri sendiri

Apakah yang dapat dilakukan manusia di dunia ini? Tiada apa-apa. Itulah kebenarannya. Manusia mengatakan, ‘Saya sedang melakukan kebaikkan’. Kebaikkan bagaimanakah yang telah dilakukan itu? Apakah bentuk kebaikkan yang sering dibangga-bangga manusia? Sekiranya dunia ini berada di dalam genggaman kamu dan kamu mendermakan kesemuanya itu, kamu masih belum melakukan suatu kebaikkan. Kamu menuntut sesuatu yang belum pernah menjadi milik kamu. Dunia ini telah wujud sebelum kamu atau datuk moyang kamu diciptakan. Begitu juga dengan setiap kemewahan yang sedang berputar-putar di sekeliling dunia ini, ia sememangnya sediakala wujud. Ia tidak pernah ke mana-mana. Ia tidak naik ke atas atau tenggelam ke bawah. Apa pun yang ditenggelami akan ditimbulkan semula. Jadi seluruh harta kekayaan di dunia ini sentiasa berada di sini. Kamu masih belum wujud. Seterusnya, Allah telah berfirman bahawa kamu telah dihantar ke dunia ini melalui setitik air yang kotor.

‘Jangan menghina saya sedemikian rupa!’ Ada yang berkata, ‘Jangan menghina saya begitu!’

Kamu tidak ingin tahu asal usul kejadian kamu yang sebenar. Kamu muncul dari tempat yang paling kotor. Manusia tidak memahami kebenaran ini. Mereka berjalan di permukaan bumi seakan dunia ini adalah hasil ciptaan mereka. Hanya dengan memandang ke cermin, mereka menjadi begitu sombong. Sekeping kaca yang berkilauan itu mampu membuat mereka sombong dan angkuh. Bayangkanlah jika cermin itu tidak wujud. Tentu sekali kamu tidak akan berperangai sombong begitui. Benar? Jika kamu tidak dapat melihat penampilan diri, sudah tentunya kamu tidak akan menjadi riak dengan kecantikkan sendiri. Maka kamu telah terpadaya. Bukan sheytan yang memperdayakan. Sheytan kini tidak lagi perlu bekerja keras untuk memperdayai kamu. Kini, terlalu banyak tipu helah dan perangkap yang telah dibentangkan dihadapan seseorang itu sebelum sempat Sheytan datang untuk mendampingi diri mereka.

Abdul Khaliq Ghujdawani Hazratleri pernah berkata, ‘Aku adalah seorang penjaga pintu. Sepanjang empat puluh tahun, aku tidak pernah membuka pintu pada seruan yang salah. Empat puluh tahun. Aku telah berjalan di muka bumi ini tanpa memijak sebarang kekotoran selama empat puluh tahun’. Kita sedang mengikuti perjalanan Tariqat itu. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki ini dicemari oleh kekotoran akibat berpijak di merata kawasan. Penjaga pintu apakah yang dimaksudkan itu? Beliau juga mengatakan, ‘aku tidak pernah membuka sebarang ruang di hati ini terhadap perjalanan yang salah. Aku adalah penjaga pintu. Aku akan disoal pada hari kebangkitan kelak, ‘mengapakah kamu meletakkan perkara yang salah ini di hati kamu?’ Usah kamu merayau-rayau menuding jari kepada orang lain, ‘Dia yang melakukan ini, dia melakukan itu’. Tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. ‘apakah yang telah aku lakukan hingga menyebabkan orang itu bertindak sedemikian rupa?’ Itulah yang harus kamu tumpukan. Kamu seharusnya disibukkan dengan persoalan ini.

Semalam, saya terlupa untuk mengemukakan satu lagi perkara apabila kamu bertanya mengenai kemaafan. Islam tidak menganjurkan agar seseorang itu untuk langsung berkata ‘saya mohon maaf’. Bahkan Islam menuntut agar seseorang itu pergi meminta keampunan dan memohon juga agar hak orang itu dihalalkan ke atas dirinya. Terdapat dua dosa yang diketahui umum. Dosa besar yang telah Allah subhana wa ta’ala firmankan, ‘ Jangan datang kepadaku dengan dua perkara. Nescaya aku tidak akan mengampuni dosamu.’ Adakah kita memandang berat terhadap perkara ini? Apakah dua dosa yang dimaksudkan Allah subhana wa ta’ala. Telah berulang kali saya membicarakan tentang dua hal ini. Berapa ramaikah yang tahu? Angkat tangan kamu. Dua dosa. ‘Y’, apakah yang pertama?

Seorang murid : BismillahirRahmanirRahim. Melakukan Shirk.

Sheykh Effendi : Jangan membuat Shirk. ‘Jangan hadir padaku dengan Shirk’. Apakah pula yang kedua? Siapa yang tahu? Beritahu kami apa yang telah dipesan Allah. ‘Kamu tidak harus menghadapi ku dengan apa’?

Seorang murid : Hak orang lain.

Sheykh Efendi : Hak orang lain. ‘Jangan kamu menghampiri ku dengan itu’. Kamu faham ‘X’? Bukan hanya mengatakan, ‘saya minta maaf’. Dan seterusnya? ‘Okay’. Perkara masih lagi belum selesai. ‘Saya datang untuk memohon maaf terhadap kesalahan yang telah dilakukan keatas dirimu. Tolong maafkan saya dan maafkan juga hak saya bagi setiap kesalahan terhadap dirimu’.

Huh, berani sungguh. Keadaan tidak akan berubah. Dua perkara ini tidak akan berubah. Tidak kira siapa yang sedang melakukannya. Manusia kini sedang asyik melakukan kesalahan ini. Dari yang kecil hingga ke dewasa. Mereka tidak berhati perut. Ini kerana mereka telah mengasingkan diri. Manusia telah mengasingkan diri dari kebenaran dan mereka berkata, ‘Mengapakah saya berlainan? Saya amat berlainan!’ Itu Shirk. Shirk yang tersembunyi. Pencipta yang sama telah menciptakan dirimu dan orang yang lain itu. Apakah yang berbeza? Ego yang telah ditanam ke dalam orang itu, turut ditanamkan juga ke dalam diri kamu. Apakah perbezaannya? Yang membezakan ialah kamu sedang berusaha gigih untuk membersihkan ego kamu. Kamu sedang menjadi seorang hamba yang lebih baik. Apabila kamu sedang menjadi seorang hamba yang baik, usah berkata, ’saya berlainan. Saya harus diberi keutamaan. Saya ini.’ Jangan. Ia akan menjerumuskan kamu lebih jauh ke bawah. Jika berlakunya sesuatu di sekitar dirimu, harus disoalkan terlebih dahulu, ‘Kesalahan apakah yang telah saya lakukan dalam hal ini? Perbuatan salah yang bagaiman telah saya lakukan hingga ditimpa musibah ini?’

Malangnya kamu tidak melakukan ini. Jika terjadinya sesuatu ke atas diri kamu, janganlah kamu terus pergi berhadapan dengan orang yang menyebabkan berlakunya perkara itu. Kamu sepatutnya bertanya, ‘Apakah yang telah aku lakukan untuk menerima hukuman ini dari Allah subhana wa ta’ala. Aku yakin bahawa aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap orang ini. Tetapi apakah sebenarnya kesalahan ku maka hukuman ini diturunkan.’ Hmm. Bila dibelek-belek lembaran muka surat hidup kamu, akan dapat kamu temui jawapannya. Ia ada di situ. Tetapi kamu telah menutup lembaran itu. Jangan ditutup. Pastikan agar seluruh dunia ini melupakan kejadian tersebut, namun kamu harus mengingatinya.

Lupakan dua perkara. Mereka yang telah melakukan kesalahan pada dirimu dan semua amal kebaikkan kamu terhadap orang lain. Setiap perbuatan salah yang dilakukan seseorang terhadap dirimu, lupakan semua itu. Dan terdapat juga dua perkara yang tidak harus dilupakan. Jangan melupakan Allah dan hari kebangkitan yang telah dijanjikannya di mana kamu akan hadir ke hadirat Illahi. Jangan melupakan kematian. Semaikan di hati kamu sepanjang 24 jam berserta dengan setiap hembusan nafas. Jangan mengatakan, ‘Sheykh ini sengaja menakut-nakutkan orang.’ Kamu ingin merasa ketakutan? Pergi ke tanah perkuburan dan nantikan di sana. Atau berlari jauhlah dari kawasan perkuburan itu. Pergi ke tempat-tempat hiburan. Pergi ke kota Atlantik atau ke Disneyland. Pergi dan menjadi mabuk di sana. Tapi saya difahamkan bahawa malaikat maut diberi kebenaran untuk pergi ke mana jua. Dia tidak memerlukan tiket masuk. Waktunya juga tidak terhad dan tidak diduga. Kamu tidak boleh berkata, ‘Ini adalah waktu peribadi saya.’ Manusia kini melakukan perkara-perkara secara peribadi. Mereka kini mempunyai masa-masa peribadi yang tertentu.

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang lelaki yang juga merupakan salah seorang murid Sheykh Mevlana. Dia teringin untuk berkahwin. Dia meluahkan hasrat hati itu kepada Sheykh Mevlana. Sheykh Mevlana berkata, ‘Tidak, jangan berkahwin. Jangan. Jangan. Tidak usah. Tumpukan perhatian pada perjalanan ini.’ Lelaki itu menjawab, ‘Tidak Mevlana. Aku tidak boleh hidup tanpa itu.’ Mevlana berkata, ‘jangan berkahwin.’ Lelaki itu berdegil juga dan terus berkahwin. Belum sempat empat puluh hari berlalu, mereka menemuinya. Lelaki itu telah meninggal di atas isterinya sewaktu mereka sedang bersatu. Azrail tidak berkata,’ yang ini adalah murid Sheykh Nazim dan dia sedang melakukan sesuatu yang amat peribadi. Mungkin, saya harus mengetuk pintu dan berkata ‘sarungkan pakaian mu.’

Fahamkah kamu betapa seriusnya keadaan ini? Atau kamu hanya mentertawakan hal itu? Adakah kamu faham bahawa kamu turut terlibat? Kamu juga adalah salah seorang dari mereka? Apakah kamu mengerti bahagian itu? Mengerti bahawa ‘Ia mungkin terjadi pada diriku. Ia telah berlaku ke atas orang lain. Siapa kata perkara ini tidak akan menimpa diriku?’ Tahukah kamu tentang hal ini? Jika kamu tahu, maka kamu akan menjadi lebih takut, lebih gentar, lebih berwaspada, lebih tenang dengan setiap yang wujud di sekitaran. Kamu tidak akan terus pergi berhadapan dengan orang yang sedang memegang roda steering yang bebadan tegap dan gagah untuk berkata, ‘Kamu terlalu kasar Sheykh’.

Siapakah kamu yang berani untuk menyoal Sheykh sendiri? Apakah Sheykh kamu bersifat kasar dan tegas terhadap dirinya sendiri? Sudah semestinya dia teramat kasar dan tegas pada diri sendiri. Begitu tegas hingga terlupa untuk makan selama beberapa hari. Jika makanan tidak disajikan, sudah tentu dia tidak akan teringat langsung pada soal makan. Allah, Allah. Namun, masalah anak-anak buahnya sendiri tidak akan dilupakan. Sungguhpun dia tidak berbicara dengan mereka, atau menjawab soalan mereka, dia masih tetap mencari huraian bagi masalah mereka. Allah, Allah.

Teramat Dashyat. Masa yang paling dashyat. Sedarkan diri kamu dari terus terlena dalam keadaan yang dashyat itu! Jika tidak, kesudahannya merupakan suatu bencana. Ini adalah bilik darjah yang baik. Hanya perlukan sedikit disiplin dan ketaatan. Itu sahaja. Lakukan sendiri. Jangan dipaksa. Terdapat beberapa cara untuk melakukan perkara itu juga. Tetapi kita berkata, ‘jika kamu mengaku sebagai umat manusia dan kamu telah diturunkan ke dunia dengan tujuan untuk memahami, mengenali, menyintai serta menyembah Allah, maka lakukanlah ia tanpa sebarang paksaan. Ini kerana Allah telah meminta agar ibadah kamu itu dilakukan dengan penuh ketaatan dan perasaan cinta. Bukan dengan cara marah dan paksaan serta merungut mengatakan, ‘Ohh! Aku tidak ingin melakukannya, tetapi aku tidak mempunyai pilihan lain’. Ya. Begitu ramai yang sedang berbuat demikian. Tanpa perasaan cinta, tiada apa pun yang akan dapat digerakkan. Cinta mampu mengalihkan gunung-ganang. Malangnya cinta itu telah pupus. Lihatlah keadaan diri sendiri. Allah tidak memutuskan hubungannya. Malah kamu yang telah memutuskan hubungan cinta itu kerana pandangan kamu telah dialihkan pada perkara-perkara lain. Kamu mula menyintai perkara-perkara lain. Itulah yang telah berlaku pada dirimu. Itulah masalahnya.

Dan jika kamu mula merasai, ‘Ya, bila aku tidak lagi bersama persatuan ini, Sheykh ini, aku rasa keseorangan. Aku rasa seakan berada jauh. Seakan diri ini telah terputus tali persaudaraan’. Itulah masanya di mana sesuatu sedang ditanam di dalam jiwa kamu. Sesuatu sedang dibangunkan di situ. Apabila keluarga sendiri kelihatan seperti orang asing. Jika mereka ingkar terhadap perintah Allah, maka mereka semua menjadi asing bagi diri kamu. Sama ada kamu sedang beramah mesra ataupun berbual dengan mereka, itu tidak lagi penting bagi kamu. Wujud atau tidak mereka di sesuatu tempat, bukanlah sesuatu yang dihiraukan lagi.

Inilah hakikat. Begitulah keadaannya kini. Begitu juga keadaannya sebelum ini. Inilah cara manusia mendekati Allah. Setiap mereka yang telah berjaya mencapai pada tujuan murni ini melakukannya dengan cara yang serupa itu. Apakah kamu tidak membaca? Tidakkah kamu mengenali sejarah para Awliya Allah? Mungkin tidak. Mungkin kamu tidak lagi membaca kerana kamu memiliki ilmu yang begitu mendalam. Ya, oleh kerana kamu tidak membaca dan tidak pula datang untuk menanyakan soalan-soalan sama ada yang bersifat duniawi, kerohanian atau ukhrawi. Ini bererti bahawa ilham tidak langsung sampai kepada diri kamu. Ia masih tetap diturunkan. Tetapi kamu telah menghadangnya. Kamu tidak dapat melihat apa-apa. Kamu buta dan tuli. Jika kamu buta di Dunia ini, maka kamu juga akan menjadi buta di Akhirat kelak. Tiada sebarang ilham yang telah dapat diresapi jiwa kamu. Jika tidak, kamu tentu akan datang untuk menanyakan soalan.

Kini, saya sedang menantikan. Menanti kerana terdapat langkah-langkah yang perlu kamu lalui. Kamu telah tiba ke tahap yang ketiga. Mereka yang telah turun dan naik berulang-kali memahami bahawa terdapat kesukaran di peringkat ketiga itu. Sesiapa yang bakal menempuhi perjalanan itu sudah pasti akan bertanya, bagaimana cara untuk aku meredahi laluan ketiga itu. Perjalanan kali ini amat berlainan dengan yang pertama dan kedua.’ Malangnya tidak. Mereka hanya datang dengan khayalan dan bayangan tersendiri. Melihat-lihat ke alam yang ghaib. Tinggalkan semua perkara itu. Adakah kamu seorang penganut Buddha? Atau kamu hanya sedang mencari-cari sesuatu dalam bentuk khayalan? Ini jelas menunjukkan bahawa kamu tidak membuat sebarang kemajuan. Apakah puncanya? Dunia. Itu sahaja. Hati kamu masih terpaut dengan perasaan cinta dan puji-pujian kepada dunia. Tiada yang lainnya. Maka itu juga bermakna bahawa kamu turut mengenal erti cinta. Kamu tidak tahu apakah erti cinta.

Sedarkan diri kamu itu. Jangan menipu diri. Tidak kira di mana kamu berada dan siapa sebenarnya diri kamu. Kamu hanya satu lagi makhluk ciptaan Allah subhana wa ta’ala. Sama ada kamu berjaya, atau kamu gagal. Ramai orang yang telah menempuh alam persekolahan pernah bermegah dengan mengatakan, ‘aku telah melakukan yang terbaik dalam bidang ini dan itu’. Mereka telah berbohong pada diri sendiri. Hanya selepas menduduki peperiksaan, mereka mulai sedar bahawa mereka tidak melakukan yang terbaik. Namun, mereka tetap mengaku, ‘saya telah melakukan dengan baik.’ Seterusnya? Bila keputusan diumumkan, mereka akan menyalahi guru. Mereka menuduh, ‘dia adalah guru yang tidak baik. Aku telah berusaha dan melakukan yang terbaik tetapi dia tidak memberikan keputusan yang sepatutnya. Dia adalah punca kegagalan ku.’

Seluruh dunia maklum bahawa seorang guru tidak dibenarkan melakukan kesalahan yang begitu. Apatah lagi untuk mengulanginya berkali-kali. Mereka sedar bahawa terdapat guru-guru lain yang akan menyemak semula kertas peperiksaan itu. Malangnya ramai di sekeliling mereka mula untuk mempercayai tuduhan yang tidak berasas itu kerana mereka juga turut berada dalam situasi yang serupa. Mereka bersatu menjadi sebuah kumpulan yang menentang guru dan sistem pendidikan. Mereka akan berkumpul di jalanraya-jalanraya mengibarkan bendera sambil berteriak, ‘Kami menuntut hak kami!’ Pertama sekali yang jelas menunjukkan bahawa kamu itu bersalah ialah tindakan menuntut hak kamu di jalanraya. ‘Aku inginkan hak aku!’ Siapakah yang memiliki hak kamu? Siapakah yang mengawal hidup kamu? Saya atau Tuhan kamu? Kepada siapakah yang sedang kamu berteriakan itu? Kepada Tuhan kamu menjerit,’Aku inginkan hak Aku?’ MashaAllah, SubhanAllah.

Ya, hendakalah kamu menyedarkan diri kamu dari terus terlena demi untuk kebaikkan sendiri. Jangan menipu diri. Ini kerana masa telah jauh berubah. Keadaan kini begitu dashyat sekali. Apakkah kamu tidak mendengar? Jika kamu fikir bahawa saya sedang mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan kata-kata Sheykh Mevlana, tidakkah kamu mendengar apa yang telah beliau katakan? Dia berkata, ‘Semua orang sedang berlari menuju ke jahannam. Hanya segelintir manusia yang terkecuali. Yang lainnya sedang dalam kelekaan, kebodohan serta kelenaan.’ Tidakkah itu yang sering beliau katakan? ‘Selamat datang, O penghuni rumah sakit jiwa!’ Kamu faham maksud di sebalik kata-kata ini? Yeah? Rumah sakit jiwa. Bererti, kamu masih lagi memiliki sifat kehaiwanan. Bererti, kamu kehilangan daya untuk berfikir. Kamu tidak mempunyai akal. Dan? Ini adalah rumah sakit jiwa. Terdapat kemungkinan bahawa kamu akan dapat kami pulihkan dan kamu akan keluar dari penyakit itu setelah memahami siapa diri kamu yang sebenarnya. Selamat datang ke Rumah Sakit Jiwa.

Mengambil dadah? Dadah yang diambil itu tidak dapat membantu kamu. Ia hanya akan menambahkan lebih banyak masalah mental pada diri seseorang. Ia akan membuat kamu lupa diri. Berkelakuan seperti patung dan zombi. Kamu tidak akan dapat berfikir hingga ke nafas yang penghabisan. Ini kerana, sekalipun jika kamu ingin berfikir, orang ramai di sekeliling tidak akan membenarkan. Mereka akan berkata, ‘Oh, dia sedang berfikir. Dia sedang kemurungan. Berikan lebih banyak suntikan ubat.’ Dan lambat laun orang itu akan berhenti berfikir.

Ini berbeza pula dengan keadaan orang yang kini sedang duduk mengelamun di hadapan saya. Dia sedang khayal dan tidak mendengarkan. Dia tahu mengapa ini berlaku. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang tidak diketahuinya. Saya dapat memberitahu kenapa perkara itu sedang menimpa dirinya. Hmm. Saya seorang yang pakar. Apabila merenung kepada mata diri seseorang, akan dapat saya ketahui. Mata boleh berbicara. Seperti sebuah pita rakaman, kita akan dapat menonton semula di kaca television sepanjang 24 jam dengan hanya memutar ke bahagian awal. Huh? Saya lihat, dengan serta mertanya kamu semua sedang mengalihkan pandangan dan melihat ke arah bawah. Lebih ramai yang seharusnya melakukan begitu.

Itulah sebabnya kita sering berkata bahawa kamu tidak dapat merenung ke mata saya sewaktu sedang berbicara. Jika Allah serta Rasulnya adalah saksi bagi diri kamu, nescaya kamu tidak akan dapat merenung ke mata saya kerana kamu tidak akan menemui apa jua yang telah kamu katakan itu. Itupun jika kamu memiliki daya penglihatan. Dan? Jika kamu masih mengakuinya, maka kamu adalah seorang pencuri. Kamu sedang menipu dan berbohong dengan cara itu.
Kesimpulannya ialah kamu harus menyedarkan diri sendiri. Dunia ini tidak wujud secara kebetulan. Kamu juga tidak dicipta secara kebetulan. Allah subhana wa ta’ala telah mencipta kamu dan memberi tumpuan pada diri kamu itu. Jika kamu fikir bahawa kamu tidak berharga, kamu salah. Kamu amat berharga. Namun, harga diri itu hanya akan diberi menerusi kesetiaan terhadap Tuhanmu. Dan dari memohon kepada Allah subhana wa ta’ala. Mohonlah agar diberi petunjuk dalam cara untuk berkejaran dan belajar dan berusaha untuk membuat kemajuan. Kamu tidak sepatutnya berada terus dalam keaadan yang cuai dan leka. Saban hari hanya berpusing-pusing di lingkaran yang sama. Bangunkan diri kamu. Kamu harus melenyapkan kilauan yang sedang mengaburi pandangan mata kamu. Silauan yang membuat kamu percaya bahawa diri kamu telah berada jauh di atas. Lihatlah kebawah. Apa yang sedang berada di bawah telapak kaki kamu. Jangan memandang ke atas. Dengan cara ini, kamu akan menemui keselamatan.

Wa min Allahu tawfiq
Bihurmatil Habib
Bihurmatil Fatiha

Semua ini berlaku akibat ego kamu sendiri. Ego kamu adalah musah yang terburuk. Ego tidak akan berhenti untuk berehat hingga ke penghujung nafas. Ia tidak akan berehat hingga ke akhir hayat. Dan ego mempunyai terlalu banyak tipu helah. Jika kamu cuba untuk mencegahnya dari satu sudut, ia akan datang dari sudut yang baik. Jika kamu ingin menderhakai tuan kamu, ia akan memenggalkan leher kamu di situ. Maka, kamu tidak akan dapat mengatasi ego kamu dengan cara bersendirian. Mustahil.

Selam aleykum wa rahmatullah wa barakatahu.

Fatiha.

.

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Kibrisi
Sabtu, 2 Shaban 1427 / 26hb August, 2006
Stamford, Connecticut

Medet Ya Seyyidi Ya Sultanul Awliya Medet.

(Sheykh Effendi sedang berbual-bual dengan para tetamu apabila salah seorang daripada mereka mengajukan soalan berikut) :

Soalan : Apakah kepercayaan agama orang-orang Turki sebelum Islam?

Sheykh Effendi: Orang-orang Turki berasal dari Asia Tengah. Mereka datang dari Erganakon. Orang-orang Turki adalah bangsa yang paling berakar di muka bumi ini. Asal-usul mereka adalah dari keturunan anak Nabi Nuh (aleyhi salam), yang telah merantau ke Asia Tengah. Selepas mereka semua keluar dari bahtera Nabi Nuh (as), salah seorang dari anak lelakinya telah pergi ke Asia Tengah. Nuh (as) mempunyai tiga orang anak lelaki. Sam, Ham dan Yafes. Yafes telah merantau ke Asia Tengah, menetap di sana dan mempunyai beberapa orang anak. Bangsa Turki berasal dari keturunanYafes. Semua orang-orang Turki datang daripadanya. Yafes mempunyai seorang anak yang bernama Turk. Menurut kamus bahasa, Turk bermakna kuat dan berkuasa. Dari keturunan itulah datangnya orang-orang Turki. Mereka semua menetap di Asia Tengah.

Pada waktu itu, di Asia Tengah, dengan secara perlahan-lahan mereka mula meyimpang dari agama sebenar. Mereka mula mempercayai apa yang kita gelarkan Shamanism. Kamu tahu Shamanism? Shamans. Tetapi orang-orang Turki tetap mempercayai kewujudan tuhan yang tinggal di kayangan. Tuhan itu bukanlah seperti manusia. Dia tinggal di langit. Itulah kepercayaan mereka. Apabila Rasulullah (salatu wa salam) datang, dia berkata kepada para sahabat, “Jangan berperang dengan orang-orang Turki. Pergi dan sebarkan kepada mereka agama ini. Mereka akan menerima dengan mudah.” Ini adalah kerana mereka percaya akan wujudnya tuhan di langit itu. Terdapat Gokturks (turks-kayangan), Ayturks (turks-bulan) dan lain-lain lagi. Ada kumpulan mempercayai tuhan yang berada di kayangan dan ada juga kumpulan lain yang mempercayai bahawa bulan sabit itu disokong oleh kuasa Tuhan. Jadi, itulah kepercayaan mereka, Gokturks, Hunturks (Hun Turks) dan yang lain-lain.

Apabila tibanya Islam, mereka menerima dengan begitu mudah sekali. Sewaktu mereka sedang menganuti agama Shamanism, pada ketika itu jugalah Buddhism sedang giat berkembang di bahagian dunia itu. Jadi terdapat beberapa orang Turki yang menganuti agama Buddha. Mereka merupakan orang-orang yang memiliki kepercayaan dan pegangan agama yang tinggi. Tetapi ketua-ketua dari puak masing-masing memainkan peranan utama dalam memastikan agar generasi mereka sentiasa memiliki kepercayaan agama yang kukuh. Ini adalah kerana orang Turki hidup berpuak-puak dan mereka sentiasa mematuhi dan mentaati ketua masing-masing. Menurut sejarah, mereka tidak rela dipisahkan dari ketua mereka. Sewaktu di Erganakon, di pertengahan Asia Tengah, bekalan air dan segala sumber keperluan kehabisan, mereka terpaksa keluar dari kawasan itu. Jadi mereka mula untuk mencairkan gunung dari dalam, mereka menemui jalan dan keluar dari puncak pergunungan Himalaya. Dari situ, mereka berpecah menjadi beberapa kumpulan dan beberapa puak. Tiga puak bergerak ke arah utara dari Asia Tengah. Satu puak menetap di tempat yang sekarang ini kita kenali dengan panggilan Mongolistan. Mereka tinggal di situ dan menjadi orang-orang Mongol. Puak yang satu lagi telah pergi ke Siberia dan menetap di kawasan itu. Sementara puak yang lain pula merantau terus mengelilingi Alaska hingga mereka tiba di Amerika dan menjadi apa yang kita kenali sebagai orang India-Amerika (orang Asli Amerika). Orang-orang India-Amerika berasal daripada latar belakang Turki.

Terdapat profil untuk bangsa itu. Untuk bangsa yang kian lama sudah berakar, sememangnya ada profil. Bangsa itu yang kemudiannya berpecah, seperti masa kini di Hungary, mereka yang kamu gelarkan Hungarian itu adalah orang-orang Turki. Turki dari kelompok Hun. Finlandians juga Turki. Fin. Mereka semua berasal dari bangsa Turki. Tetapi kerana mereka meninggalkan agama Islam dan menganuti agama kristian, maka semuanya telah lenyap. Banyak puak di Bulgaria juga merupakan orang-orang Turki.

Soalan : Jadi orang-orang Turki dari Bangsa Turkey yang wujud kini, apakah kepercayaan agama mereka 2,000 tahun dahulu?

Sheykh Effendi : Shamanism. Setengah dari mereka itu Buddhist dan setengah lagi Shamanis. Tetapi mereka sentiasa mempercayai, seperti dalam agama Shamanism, kewujudan Tuhan. Orang-orang Turki tidak pernah menyembah berhala. Mereka tidak menerima penyembahan berhala. Jadi bila Islam tiba, mereka berkata, “Agama ini amat sesuai bagi kami. Ini yang kami percaya.” Tetapi, terdapat beberapa orang ketua yang tahu bahawa agama ini tidak akan dapat memanfaatkan mereka. Jadi mereka melakukan pemberontakan ke atas para ketua yang cenderung kepada Islam. Terdapat juga kumpulan yang ditawan oleh raja dan ketua dari kumpulan pemberontak itu dihukum pancung kerana mereka mempunyai pengaruh yang hebat. Sejurus ia dihapuskan, yang lainnya mula menerima Islam. Apabila Raja-Raja menerima Islam, seluruh rakyat jelata turut menerima Islam. Maka Islam mula berkembang pesat di Asia Tengah dan dari situ, ia menular ke seluruh kawasan.

Ini berlaku sebelum raja-raja di bahagian (dunia) itu mulai menerima Islam. Sebagai contoh, Iran tidak menerima Islam, Kaum Parsi masih lagi tidak menerima Islam pada waktu itu. Tetapi Turki menerimanya di Asia Tengah.

Jadi mereka sedang berdiri di pertengahan kawasan mereka (Persia) dan Asia Tengah dan mereka menjadi satu bangsa besar yang sangat berkuasa. Ini merupakan ancaman terbesar bagi Parsi ketika itu kerana mereka tidak boleh lagi berperang. Orang-orang Turki Seljuk sedang mara. Kaum Seljuk itu sangat berkuasa. Apa yang berlaku ialah terdapat di satu masa dulu di mana terjadinya perpecahan yang amat besar. Perpecahan di antara kaum Shia dan kaum Sunni berlaku (pada kurun ke sepuluh dan kurun ke sebelas tahun Masihi). Kini, Raja Seljuk (Togrul Beg) mendapat inspirasi untuk datang dan mempelajari dari pemerintahan (Abbasid) Khalifah. (Beliau berfikir), “Ini adalah cucu Rasulullah (sws) dan saya harus pergi mengunjungi beliau, lihat apa yang akan beliau katakan dan saya akan menurut cara itu.” Jadi, orang-orang Turki mula beredar dari Asia Tengah dan mereka itu merupakan para pejuang. Tiada bangsa yang dapat berdiri di hadapan mereka. Jika mereka mempunyai satu sasaran, akan ditumpaskan sasaran itu dengan begitu mudah.

Maka apabila Raja Seljuk datang bersama rakyatnya, dia menempatkan pengawal-pengawalnya di merata kawasan. Dia memastikan kawalan yang ketat dari setiap penjuru kerana dia tahu apa yang sedang berlaku di Persia (yang kita gelarkan sebagai Iran di masa ini) pada ketika itu. Dia tahu bahawa fahaman Shia semakin menular manakala fahaman Sunni kian lemah dan pupus. Dia harus memilih satu pihak. Jadi dia membuat keputusan untuk pergi ke Baghdad untuk berjumpa dengan Khalifah terlebih dahulu. Tetapi dia akui bahawa Iran merupakan bangsa yang sangat berkuasa. Lantas dia meletakkan askar-askarnya (di tempat-tempat utama) dan berkata, “ Jaga semua ini dengan baik sehingga saya pulang dari bertemu dengan Khalifah. Selepas saya pulang, kita akan membuat keputusan dalam memilih pihak.”

Raja Seljuk itu merupakan seorang yang buta huruf. Beliau tidak tahu membaca dan menulis. Dia berkata, “Sewaktu saya berada di kehadirat Khalifah, inspirasi mula datang untuk saya membantu Khalifah agar membangunkan semula cara Ehl-I Sunnat.” Ini adalah kerana jika Ehl-I Sunnat semakin lenyap, Islam akan karam sepenuhnya. Maka dia mengambil keputusan untuk menuruti cara Ehl-I Sunnat dan menjadi orang yang amat berkuasa dalam menentang Iran, menjatuhkan beberapa daerah dan menghancurkan fahaman salah kaum Shiite. Dia mula mara ke Timur Tengah kerana di situ terdapat kaum Shiites yang sangat berpengaruh, di Egypt dan di semua kawasan itu. Dia memusnahkan segalanya dan mendirikan benteng di sempadan kerana pihak Byzantin dan Greek (puak Eropa) sedang mula untuk menyerang Islam (Perang Salib). Mereka mula untuk mendirikan benteng pertahanan untuk menghadang kemaraan pihak musuh. Mereka menjadi orang pertama dalam menghadapi tentangan dari orang-orang Eropa, berdiri di tengah-tengah medan pertempuran dan menghentikan segala-galanya.

Jadi, kerana mereka telah banyak membantu dalam perjalanan Ehl-I Sunnat, Khalifah itu telah memberi mereka gelaran tertinggi yang berkata, “Kamu sekarang adalah ketua bagi askar-askar.” Mereka mula memerintah dari situ, berterusan secara perlahan-lahan, berterusan, berulang-alik dan terdapat banyak perkara yang mengalami perubahan secara perlahan, tetapi mereka menjadi lebih berkuasa hingga ke masa kerajaan Ottomon. Apabila kuasa jatuh ke tangan Ottoman, mereka pergi ke Egypt di mana orang-orang Turki Mamluk (mereka adalah mamluk yang berasal dari kini dikenali sebagai Cherkezistan, iaitu Circassia) sedang memerintah. Mereka (Turki Mamluk) berkhidmat sebagai askar-askar upahan. Tidak lama kemudian, bangsa Mamluk menakluki kesemua negeri itu dan mula memerintah. Apabila bangsa Mamluk mula menyimpang dari perjalanan agama yang sebenar, maka Sultan Selim (Pemerintah Ottoman) memberi kata putus dan berkata kepada mereka, “ Saya akan pergi ke sana untuk mengambil Khilafat dari kamu. Jika kamu menentang, saya akan menghancurkan kamu semua.” Jadi sewaktu mereka melalui kawasan padang pasir yang kini dikenali sebagi Padand Pasir Sinai (di mana mereka kini tidak boleh melalui dengan segala senjata-senjata yang dimiliki dan Sultan Selim melaluinya dengan askar-askarnya) mereka (orang-orang Mamluk) berkata, “adalah amat mustahil untuk melalui kawasan padang pasir ini.” Mereka (Ottoman) melaluinya, dia (Sultan Salim) tiba di Egypt, mengambil alih Khilafat dari situ, dia mengelilingi ke Damascus, memberi kuasa besar kepada ahli-ahli agama di sana yang mempercayai pegangan Ehl-I Sunnat dan menyebarkannya ke seluruh kawasan dan dia kembali ke Istanbul. Sejak dari masa itu hingga ke tahun 1923, Ottoman menjadi satu-satunya kuasa yang memerintah sebagi Sultan dan Khalifah. Seluruh negeri-negeri Islam berada di bawah naungan mereka.
.

(Sheykh Efendi seterusnya berbicara mengenai tajuk yang lain)

Al-Fatiha

Khutba Jumaat oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

Jumaat 25 Rabi-ul Awwal, 1428
April 13, 2007

Osmanli Naks-I’bendi Hakkani Dergah, Siddiki Center, New York.

Auzu billahi minash sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet.

Alhamdulillah wa shukr Allah wa astaghfirullah. Baginda Rasulullah (sws) bersabda, “ Di kalangan orang-orang mukmin, mereka yang memiliki iman yang terbaik sekali adalah mereka yang mempunyai nilai budi pekerti yang tertinggi.” Kita harus memeriksa diri sendiri. Lihatlah di mana letaknya budi pekerti kita. Jangan asyik berbangga diri sambil berkata, “saya seorang yang beriman.” Keimanan seseorang itu akan terhapus jika dia tidak mempunyai akhlak yang mulia. Sheytan juga merupakan makhluk yang beribadah. Ibadah yang dilakukan sheytan itu terlalu banyak sekali untuk dihitung. Jika dikumpulkan seluruh ibadah umat manusia dari permulaan Adam (as) hingga ke manusia yang terakhir, ia tidak akan dapat menandingi ibadah yang telah dilaksanakan sheytan. Tidak terkira banyaknya ibadah sheytan. Amat mustahil bagi sekian manusia untuk mencapai ke tahap keimanan yang pernah dimiliki sheytan. Tetapi malangnya, segala-gala yang dimiliki sheytan terhapus dengan sekelip mata. Hanya satu perkara sahaja yang telah menyebabkan kejatuhan sheytan. Dia telah melupakan akhlak yang mulia. Satu perkataan. Hanya dengan melafazkan satu perkataan, maka terlucutlah segala budi pekerti yang pernah dimiliki. Sheytan hilang keimanan dan akibat dari itu, dia telah diusir keluar dari kehadirat Illahi.

Apakah sebabnya maka Allah (subhana wa ta’ala) menjadikan sheytan sebagai contoh? Mengapakah sheytan dihantar kepada manusia sambil kita dipesan untuk, “Perhatikan dan pelajari.” Apakah tujuannya? Adakah sekadar untuk kita berkata bahawa kita adalah jauh lebih baik dari yang itu? Tentu sekali tidak. Kita harus mengambil iktibar serta memahamkan pengajaran di sebalik apa yang sebenarnya telah berlaku. Jika seseorang itu memiliki iman yang mantap, maka jiwanya akan sentiasa bergetaran, hatinya akan tersentuh dan menjadi ketakutan. Sebelum mulut dibuka untuk berbicara, dia akan mula merasa takut. Dia seharusnya tahu apa yang hendak diluahkan dan kepada siapa kata-kata itu akan ditujukan. Dia harus fahami terlebih dahulu. Jika tidak, iman yang dimilikinya itu tidak kukuh. Ia bergoncangan dan rapuh. Ini juga menunjukkan bahawa iman yang sebegini turut mempunyai nilai yang tersendiri. Tetapi harga bagi nilai yang rapuh ini begitu cenderung ke arah duniawi. Ia terlalu bersifat keduniaan. Lama kelamaan, di suatu masa kelak, sheytan akan tipu dan perbodohkannya.

Cuba kita renungi keadaan sebatang pokok. Batang pohon serta akar itu ibarat iman seorang manusia. Dahan-dahan pokok menyerupai amalan baik seseorang insan. Dedaun yang tumbuh menghijau pula ibarat ilmu pengetahuan yang mengisi diri seseorang itu. Apakah pula ciri terpenting sekali bagi pokok itu? Sudah pastinya buah-buahannya. Adalah amat sia-sia bagi seseorang menanam pokok yang tidak menghasilkan sebarang buah-buahan. Tiada gunanya ditanamkan pokok yang begitu. Hanya menghabiskan masa dan tenaga. Begitu juga keadaanya dengan Iman, amal kebaikan serta ilmu pengetahuan seseorang manusia. Kesemua ini sepatutnya membolehkan manusia untuk menghasilkan buah-buahan yang bermutu tinggi. Buah yang dimaksudkan itu adalah nilai pekerti yang mulia. Jika seseorang itu tidak memiliki akhlak yang baik, mereka akan diusir keluar dari kehadirat Illahi. Barang sesiapa jua yang tidak mempunyai adab pekerti yang mulia, mereka tidak akan dapat berdiri di sisi orang-orang yang tinggi nilai pekertinya. Kamu akan ditendang keluar. Kamu akan diusir pergi atau mereka sendiri yang akan mengundurkan diri.

Pada zaman dahulu, hidup manusia sentiasa disandarkan pekerti murni dan adab yang sempurna. Mereka sering berpesan, menurut hadis-e-sharif, mengatakan, “Budi pekerti yang baik mampu untuk merubah seekor haiwan menjadi manusia dan merubah manusia menjadi raja, Sultan.” Sekarang ini, orang ramai sedang sibuk berlari untuk mengejarkan sesuatu di Dunia. “Saya inginkan ini. Saya inginkan itu.” Berlari ke sana dan ke sini. Alhamdulillahi Rabbil Alameen, Allah telah menutupi setiap jalan bagi mereka yang tidak memiliki akhlak yang baik. Keizinan tidak lagi diberikan pada mereka untuk melalui dan melewati batas yang telah dihadkan. Akibat dari keterbatasan had laluan ini, mereka yang tidak berakhlak baik akan kerugian segala-gala yang mereka memiliki.

Baginda Rasulullah (sws) telah diutuskan untuk mengajar manusia budi pekerti yang agung. Sabda baginda, “ Allah (subhana wa ta’ala) adalah guru bagi diriku. Dia telah mengajarku kemuliaan budi pekerti”. Dan Dia telah mengutuskan Rasulullah (sws) untuk mengajak kita akhlak dan budi pekerti yang mulia. Kita telah diberi contoh-contoh sebagai pengajaran. Contoh yang berlaku di kawasan padang pasir di mana ummat manusia telah kehilangan panduan. Merekah kehilangan kompas, kehilangan perilaku yang baik, kehilangan segala-galanya. Apakala tibanya baginda Rasulullah (sws), mereka berpegang erat kepadanya. Yang paling erat genggaman mereka terhadap Rasulullah (sws) adalah golongan yang memiliki iman yang terbaik dan akhlak yang termulia. Di manakah kedudukan kita? Apakah kita ini hanya setakat meniru-niru? Hanya sekadar memperkatakan sesuatu atau kita ini telah mencapai ke sesuatu tahap yang tertentu? Periksalah diri kamu sendiri. Periksa. Jangan menanti serta mengharapkan agar orang lain berkata, “Kamu adalah orang ini. Kamu adalah orang itu. Kamu mempunyai darjat yang tinggi. Kamu mempunyai darjat yang terlalu rendah.” Dunia mungkin mengatakan bahawa kamu itu berkedudukan di lubuk yang paling rendah dan hina. Periksalah tingkah laku kamu. Jika kamu memiliki akhlak yang mulia, maka tempat kamu telah dikhususkan di kehadirat Illahi.

Pekerti yang mulia bukan sekadar membuka mulut dan berbicara menurut sesuka hati. Pekerti yang mulia harus menjadikan seseorang itu lebih berwaspada dalam membicarakan sesuatu. Mereka harus mengetahui masa-masa yang sesuai untuk mengutarakan sesuatu hal dan mengawasi arah tujuan kata-kata yang telah diluahkan itu. Mereka juga harus mengetahui jika kata-kata yang diucapkan itu akan mendatangkan kebaikan atau kemusnahan. Ini juga menjadi penyebab utama maka baginda Rasulullah (sws) berpesan, “Berjanjilah kepadaku dua perkara ini nescaya aku akan memberi jaminan pada dirimu dan akan aku nantikan kamu di pintu Syurga untuk dibawa masuk ke dalam. Dua perkara. Pertama adalah apa yang terletak diantara dua kaki kamu yang harus dilindungi dan yang kedua adalah lidah kamu yang perlu dikawal. Sewaktu kamu membuka mulut untuk memperkatakan sesuatu, pastikan setiap kata-kata yang dilafazkan itu adalah sesuatu yang benar. Berbicaralah mengenai hal-hal yang memanfaatkani diri kamu dan diri orang lain. Jika tidak, hendaklah kamu terus berdiam diri”.

Semua orang membuat pengakuan, “Saya hanya mengenali Allah.” Bagaimankah caranya untuk kamu mengenal Allah? Apakah jalan yang harus dilalui untuk menuju serta mencapai kehadirat Illahi? Semua ini akan jelas kelihatan apabila seseorang itu membuka mulut mereka untuk berbicara. Maka itu, manusia yang berakhlak mulia akan sentiasa berada dalam keadaan yang berfikir, memahami serta mengerti dan mengaku bahawa, “Tuhanku sedang memerhatikan. Walaupun tiada seorang manusia pun yang hadir pada ketika ini, namun Allah sentiasa memerhatikan.” Seorang insan yang berakhlak mulia akan berkejaran dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Mereka akan menunaikan setiap tanggungjawab demi untuk Allah. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan. Jika sesuatu itu dilakukan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, maka lambat-laun, kamu akan menjadi penat. Akibat dari kepenatan ini, kamu tidak akan dapat meneruskan pekerjaan itu. Maka dari situlah, setiap tingkah laku kamu akan jelas diperlihatkan.

Baginda Rasulullah (sws) bersabda, “orang yang berada dekat denganku di Akhirat kelak merupakan orang yang mempunyai akhlak yang terbaik.” Yang juga menjadi keutamaan di dergah ini dan jelas kelihatan di sekitar kawasan dergah, “Edep Ya Hu, Edep Ya Hu, Edep Ya Hu.” Ungkapan ini diluahkan seperti ayat-ayat yang sering dipaparkan di merata tempat. Edep! Terapkan nilai serta budi pekerti yang mulia. Diri kamu harus terlebih dahulu dihiasi dengan kesempunaan akhlak yang teragung. Jika ini dapat dilakukan maka dalam perhubungan seharian kamu terhadap orang lain akan jelas memperlihatkan nilai budi yang mulia.

Malang sungguh, keseluruh rakyat kini telah kehilangan kompas, kehilangan pedoman hidup, tersasar jauh dari landasan yang menuju ke arah kebaikan. Setiap ajaran-ajaran murni yang telah diturunkan lesap begitu sahaja. Ini berpunca dari ketandusan adab yang mulia. Manusia kini melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. “Tiada sesiapa yang dapat memberi arahan kepada diri aku ini. Aku bebas melakukan apa sahaja.” Kamu tidak boleh bersifat begini. Mungkin, secara lahiriah kamu memang kelihatan seperti dapat melakukan apa sahaja yang diingini. Namun pada hakikatnya, kamu hanya sedang mempersiapkan diri untuk kesengsaraan. Riwayat hidup kamu akan berakhir dengan satu kesengsaraan. Jika kamu tidak sedarkan diri secepat mungkin, jika kamu tidak ingin merujuk serta mendengarkan kata nasihat dari golongan tua yang arif lagi berpengalaman, maka kamu itu sedang melakukan lebih banyak kemusnahan pada diri sendiri di kemudian hari.

Kita harus sentiasa awas berwaspada. Kita harus memeriksa diri sendiri. Jika keselamatan di Dunia dan di Akhirat yang sedang diidamkan, maka perhatikanlah dan fahamilah kedudukan diri kamu yang sebenar. Apakah tujuan hidup kamu? Kesemua Shariat, Tariqat, Pengajian dan ilmu pengetahuan bertujuan untuk mengajarkan manusia tata-tertib serta perilaku yang teragung. Setiap perintah dan larangan Allah (subhana wa ta’ala) adalah untuk kebaikan diri sendiri agar tersemainya nilai pekerti yang mulia di dalam jiwa setiap insan. Mereka yang berakhlak mulia akan ke Syurga. Namun mereka yang tidak memiliki sifat yang mulia ini hanya sedang menutupi pintu Syurga buat dirinya sendiri. Tidak kira dimana kamu berada. Mungkin kamu sedang duduk sepanjang dua puluh empat jam di dalam masjid. Tetapi apabila tiba ke penghujung hayat kamu, Sheytan berjaya mencangkuk serta menarik diri kamu ke arahnya. Mungkin juga kamu telah menghabiskan sepanjang hayat kamu di tempat yang terkotor dan tercemar. Namun dengan memiliki perlakuan yang mulia serta pekerti yang luhur, di akhir hayat kamu, para Awliya akan membelitkan tali mereka dikeliling dirimu untuk menarik kamu keluar dari segala kekotaran yang pernah mencemari hidup itu. Allah (subhana wa ta’ala) tidak akan membiarkan hamba-hamba yang berakhlak baik untuk menderita sekurang-kurangnya ke akhir riwayat mereka.

Fahamilah bahawa kita harus meneliti pada cara hidup sendiri yang ditempuhi saban hari. Harus dipastikan bahawa terdapat kemajuan keatas hari-hari yang berlalu itu. Dari hari Jumaat yang lepas hingga ke Jumaat yang bakal tiba, bertanyalah pada diri sendiri, “ Di manakah kedudukan saya kini? Apakah yang telah dilakukan sepanjang minggu ini? Bagaimana saya melakukannya? Apakah langkah yang telah diambil? Apakah tujuan saya dalam melakukan sesuatu perkara itu? Apa sebabnya dilakukan sesuatu pekerjaan?” Bertanyalah. Jika terdapat sebarang kesalahan dalam perbuatan ini dan jika ianya dilakukan demi untuk kepentingan diri sendiri, ego sendiri, maka kamu harus berasa malu. Malu pada diri sendiri. Tetapi jika kamu menemui sesuatu dan mengatakan, “semua ini saya lakukan kerana Allah”, maka bergembiralah kamu. Jika tidak, kamu mungkin hanya kelihatan gembira secara lahiriah. Terlompat kegirangan sambil tertawa, hee hee hee, khee khee khee. Bergembiralah. Namun ia hanya satu pertunjukan.

Di pihak yang lain, terdapat pula seseorang yang sering kelihatan sedih, menundukkan kepala tanpa banyak berbicara, dan pada masa kini, ramai dikalangan mereka ini, yang tinggi ilmu di dada, tidak lagi ingin berbicara. Kata-kata hanya ditelan dan disimpan di dalam hati. Mulut mereka dikatup. Ini kerana jika mereka menyuarakan sebarang pandangan walau sekecil biji zahrah sekalipun, ratusan malah ribuan jawapan akan dilemparkan terhadap kata-kata itu. Dari kaum wanita hingga ke kaum lelaki, dari yang kecil hingga ke dewasa dan hingga ke golongan tua, semuanya sedang sibuk berkata-kata. Namun, mereka yang berilmu dan berakhlak mulia lebih gemar berdiam diri. Mulut mereka dikunci dan tumpuan hanya diberi dalam usaha meneruskan hidup mereka dengan cara yang diredhai. Maka jelas kelihatan bahawa seluruh dunia ini, dari timur ke barat, dari seorang pembantu rumah hingga ke Para Pemimpin dunia, semuanya kehilangan pegangan dan akhlak yang mulia. Dari murid-murid hingga ke guru-guru sekolah. Dari para Imam hingga ke para jemaah. Semuanya telah kehilangan dan mengabaikan budi pekerti yang luhur.

Allah (subhana wa ta’ala) telah mengajar kita. Baginda Rasulullah (sws) juga turut mengajar kita. Allah berfirman, “ di dalam diri Rasul yang aku utus itu, terdapat banyak kebaikkan yang beliau miliki. Ambillah dan contohilah diri beliau itu. Jika kamu mengabaikannya, maka hidup kamu akan dirudung kekusutan yang berpanjangan.” Hidup kita semua akan terseksa dengan penderitaan yang berlarutan. Jika kita dan seluruh dunia ini ingin mencari jalan untuk meleraikan kekusutan hidup ini, maka hendaklah kita berpatah balik kepada baginda Rasulullah (sws). Janganlah setakat mengambil buku untuk membaca timbunan hadis-hadis baginda seraya berkata, “saya tahu ini, saya tahu itu.” Kamu seharusnya berpegang kepada hadis-e sharif untuk menerapkan setiap amalan baginda dalam hidup kamu. Jika seorang itu kini berpegang kepada hanya satu hadis, satu hadis-e sharif, bukan dua atau selebihnya, dan berjanji kepada dirinya dan kepada Allah, “hidup saya akan berlandaskan hadis ini. Setiap perbuatan yang bakal dilakukan saban hari akan dilandaskan dengan hadis ini. “ Jika ini yang menjadi pegangan hidup kamu, maka hadis itu amat mencukupi bagi menemukan keselamatan buat hidup kamu. Tiada apa lagi yang diperlukan.

Tidak perlulah bagi kamu untuk mengetahui seluruh kandungan al-Quran. Tidak perlu juga bagi kamu untuk mengetahui jutaan hadis-hadis yang ada. Hanya satu. Hanya satu hadis yang menjadi pengangan hidup kamu. Itu sudah mencukupi. Walau sekalipun kamu mampu untuk menghafal jutaan hadis-e sherif atau pula kamu merupakan seorang hafiz Quran, hafiz mazhab atau ahli fiqir, tetapi akhlak serta pekerti yang mulia dan luhur tidak diterapkan ke dalam jiwa, maka kamu akan menemui kegagalan. Kita semua akan gagal. Allah (subhana wa ta’ala) telah memberi kita contoh yang terbaik menerusi baginda Rasulullah (sws). Jika kita mengambil dan menerapkan nilai yang mulia itu dalam hidup ini, kita akan menang. Jika ia diabaikan, kita akan menemui kegagalan.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.