BismillahirRahmanirRahim
Medet

Sheykh Abdul Kerim (Hz.) memberi ucapan mengenai sesetengah kumpulan tertentu yang telah menimbulkan fitnah dan menyebabkan kekeliruan ke atas Osmanli Naksibendi.

Penterjemahan Sohbet – 6/6/08

Auzibillahi Min ash-Shaitani Rajim

BismillahirRahmanirRahim

Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya

Kami memohonkan bantuan serta sokongan dari Sheykh kami. Sahibul Makam, sesiapa yang menjaga kawasan ini dan mempunyai kaitan dengan Sheykh kami, maka beliau juga boleh menyampaikan kepada yang tersebut.

Yang dimaksudkan itu,mungkin akan menyampaikan sesuatu agar dapat kami mengucapkan perkara yang akan membawa keuntungan dan keberhasilan kepada sesiapa jua yang mendengar. Insha’Allah. Kesemua sohbet menghala ke arah satu tujuan, iaitu untuk mepertingkatkan mutu kehidupan dan untuk menjadikan kita seorang hamba Allah s.w.t yang lebih sempurna akhlaknya. Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan; sekiranya terdapat dua orang yang sedang menyusukan seekor kambing, dan masa yang diambil untuk menyusukan kambing tersebut itu agak panjang, maka duduklah sambil berbual-bual diantara kamu, nescaya keberkahan akan diturunkan ketika itu. Tidak kira berapa lama masa yang diambil untuk menyusukan kambing tersebut. Ada diantara mereka yang pakar dalam hal ini dan mereka mengambil masa yang singkat. Ada pula orang yang memerlukan lebih masa. Di sini dapat pula kita mengambil iktibar bahawa terdapat pakar dan ahli dalam setiap urusan yang tertentu.

Seringkali saya tidak mengerti, termasuklah terhadap soalan yang baru diajukan, biasanya, golongan Wahhabi yang berkata, “Saudara, kamu terlalu pantas. Kamu harus perlahankan sedikit.” Walhal mereka sendiri tidak melakukan amalan yang sunnat. Mereka tidak menunaikan yang sunnat. Mereka hanya menunaikan yang fardhu dan sejurus selepas itu, bergegas keluar dari masjid. Mereka hanya memerhatikan seseorang itu melakukan sunnat dengan pantas sambil berkata, “ Saudara, saya sedang memerhatikan anda tadi. Anda melakukan salat sunnat dengan begitu pantas sekali. Itu tidak sah saudara.” (Sheykh Effendi tertawa). Itu tidak sah?! Bagaimana pula dengan apa yang kamu lakukan? Kamu sendiri tidak menunaikan yang sunnat. Itulah hakikatnya. Jadi, janganlah kamu cuba untuk memberikan pendapat mengenai perkara yang sedemikian.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Sama ada kamu menjadi seorang guru, atau seorang murid.” Seorang mengajar, sementara yang seorang lagi mendengar dan belajar. “Ataupun jadilah pihak yang ketiga. Ini merupakan golongan orang yang memerhatikan si guru tersebut dan muridnya berinteraksi. Mereka menyukainya lantas terus mendengar.Terdapat juga pihak yang keempat. Mereka ini senang dengan guru, murid dan juga si pemerhati itu. Mereka menyukai apa yang sedang dilihat mereka sungguhpun mereka itu bukanlah di antara golongan kumpulan tersebut.” Baginda Rasulullah s.a.w terus berkata, “ Janganlah kamu menjadi pihak yang kelima. Nescaya kamu akan musnah.” Oleh itu, berkatalah, “sama ada saya menjadi seorang guru, murid, pendengar atau si pemerhati yang menyukai apa yang sedang diperhatikan itu. Tetapi hendaklah saya menghindari golongan kelima agar hidup saya tidak akan musnah.”

Itulah yang sedang berlaku dimasa ini. Semua orang sedang asyik berkata-kata, Kami pula berkata: sekiranya terdapat seseorang yang mendengarkan perbualan tersebut, teruskanlah. Sekiranya ia tidak menghasilkan sebarang kebaikan, hendaklah kamu berhenti daripada berkata-kata. Jangan diteruskan perbuatan yang sia-sia itu. Tidak kira di mana kamu mendengarkannya. Dengarkanlah langsung kata-kata yang datang dari Rasulullah s.a.w dan al-Quran, mereka telah menyatakan “berkatalah yang benar tentang segala pengetahuan yang kamu tahu. Sekiranya kamu tidak mengetahui akan sesuatu perkara, adalah lebih baik bagi kamu untuk berdiam diri.”

Sekarang ini, sering kelihatan orang ramai bergegasan untuk menimbulkan masalah terhadap diri mereka sendiri. Seperti yang telah Grandsheykh perkatakan, “Sekiranya kamu melihat sekelompok orang yang sedang duduk bersama seorang ketua yang mereka sukai, haruslah kamu membiarkan kumpulan tersebut. Jangan mencampuri urusan mereka. Tidak kira sama ada apa yang mereka lakukan itu adalah baik atau tidak. Jangan kamu mengatakan apa-apa kepada mereka kerana itu bukan urusan kamu.” Sheykh berkata, “Allah telah menciptakan setiap seseorang itu dalam keadaan dan kedudukan yang berbeza-beza. Mereka akan bertemu dan saling menyukai maka wujudlah hidup bermasyarakatan di antara mereka. Sekiranya kamu sebagai orang luar mencampuri urusan mereka, sungguhpun kamu mempunyai kuasa, maka kamu akan terpaksa membahagikan kuasa kamu kepada dua pihak. Ini akan menyebabkan kelemahan bagi pihak kamu. Sudah tentu kamu tidak akan terdaya untuk membuat pihak tersebut menuruti cara kamu kerana mereka telah mempunyai ketua yang mereka taati. Kamu hanya akan menyemarakkan api kemarahan di hati mereka. Apa yang akan kamu perolehi adalah celaan serta sumpahan dari mereka. Perbuatan kamu tidak membuahkan sembarang hasil, malah ianya akan membawa kesan yang amat buruk bagi diri kamu. Inilah yang sedang berlaku ke atas diri manusia pada masa ini. Mereka sentiasa dilaknati kerana sering mencampuri hal urusan orang lain.

Saya memperkatakan hal demikian kerana sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa orang murid dari Sheykh yang tertentu, di atas hasutan Sheykh tersebut, mengambil sepatah dua kata dari sohbet yang didengari dari Sheykh mereka dan mula untuk menentang kumpulan Sheykh Mevlana yang satu lagi. Mereka fikir, mereka mempunyai hak untuk melakukan perkara sedemikian. Hentikan sahaja perbuat yang sia-sia ini. Perbuatan sebegini tidak baik bagi diri kamu kerana di suatu masa kelak, hidup kamu akan dibebani dengan pelbagai masalah. Tiada sesiapa yang akan dapat membantu untuk memikulnya. Ini termasuklah Sheykh kamu yang sendiri tidak berupaya untuk membantu kerana beliau juga akan dibebani dengan sesuatu musibah akibat mencampuri urusan yang berada diluar kuasanya.

Sheykh Mevlana merupakan seorang Grandsheykh. Sheykh Mevlana adalah Sultanul Awliya. Sekiranya kamu menerima kenyataan ini dengan seikhlas hati, sudah semestinya kamu juga meyakini bahawa beliau merupakan seorang Sultan yang lazimnya dikelilingi oleh para penasihat yang bijak pandai dan juga para wazir. Tidak mengapalah sekiranya kami bukan diantara para wazir tersebut. Mungkin sahaja kami merupakan seorang daripada badut di dalam istana yang sedang menghiburi Sheykh Mevlana dengan gelagat lucu kami. Tidak mengapa. Itu sudah cukup utuk menggembirakan hati kami. Kami tidak berlomba-lomba untuk menjadi wazir. Kami juga tidak berkejaran untuk merebut takhta Sheykh Mevlana dan mengharap-harapkan agar kami dapat memiliki takhta tersebut setelah pemergian beliau. Kami tidak melakukan perkara-perkara begitu. Kepada mereka yang sedang menanti dengan segunung harapan, ketahuilah bahawa penantian mereka itu adalah sia-sia belaka. Ini kerana yang akan pergi bukanlah Sheykh Mevlana. Bahkan diri mereka sendiri yang akan dilenyapkan dahulu. Ini yang kami doakan.

Jika kamu ingin menentang, kamu tentu akan tewas dan segala-galanya yang kamu miliki akan juga terhapus. Kamu sendiri tidak berhak untuk menentang mereka yang bersalah, bagaimana pula kamu fikir kamu akan mendapat kebenaran untuk menentang mereka yang berada di jalan yang benar. Allah s.w.t dan Rasulnya amat melarang keras perbuatan kamu itu. Allah s.w.t. dan Rasulnya melarang dengan berkata, jangan bertengkar. Dengan kebenaran yang kamu miliki, jangan bertengkah. Allah s.w.t. melarang perbuatan yang amat tercela itu.

Katakanlah kamu mengetahui sesuatu perkara yang kamu rasa adalah amat berkesan bagi diri kamu. Itu adalah hak kamu. Simpanlah buat diri kamu. Lakukan yang terbaik buat diri kamu. Sekiranya perbuatan kamu disukai oleh orang ramai yang sedang memerhatikan, mungkin mereka akan mengikuti jejak kamu itu. Inilah yang sedang Sheykh Mevlana lakukan.

Saya pernah hidup bersama beliau – sudah tentu terdapat pihak-pihak yang sibuk menyebarkan fitnah mengatakan saya baru semalam bertemu Sheykh Mevlana. Itu tidak benar sama sekali. Saya telah dilahirkan di bawah telapak kaki beliau. Datuk saya telah berkhidmat kepada Sheykh Mevlana. Bapa saya juga telah berkhidmat kepada beliau. Sekarang ini saya sedang berkhidmat kepada Sheykh Mevlana, begitu juga dangan anak lelaki dan cucu lelaki saya. Kami semua sedang berkhidmat kepada Sheykh Mevlana. Jadi, kami adalah lima generasi berturut-turut. Saya tidak fikir ada diantara para khalifa yang mengakui memberi perkhidmatan terhadap Sheykh Mevlana sepanjang lima generasi mereka. Tidak pula wujud diantara kami yang pernah berlaku salah ke atas diri Sheykh Mevlana dan kami tidak berniat untuk melakukan sebarang kesalahan terhadap beliau. Tidak pernah dan tidak akan terlintas di hati kami untuk melakukan perkara yang terkutuk itu. Sekiranya ia berlaku, maka saya bemohon kepada Allah s.w.t dan saya berkata kepada Sheykh Mevlana sendiri, “Sheykh Mevlana sekiranya saya berpaling tadah terhadapmu, maka berdoalah agar sekarang juga nyawa saya diragut keluar daripada muka bumi ini.” Tetapi beliau menjawab, “ Itu tidak akan berlaku kerana saya memerlukan kamu. Kamu mempunyai tugas untuk dilaksanakan. Saya memerlukan kamu.”

Tujuan kami kemari bukanlah untuk memperkatan hal-hal yang sedemikian. Tetapi, oleh kerana terdapat sekelompok orang yang mula bergiat untuk menyebarkan fitnah dan kekeliruan di sana sini, maka kami berkata kepada golongan tersebut bahawa kami tidak akan memberi sebarang jawapan dan penjelasan. Kami tidak akan mejawab. Kami hanya akan menyatakan sesuatu agar orang-orang kami faham di mana kedudukan kami yang sebenarnya. Ini adalah kerana terdapat di anatara mereka yang berkata, “Sheykh, mengapakah kamu tidak menyerang balas dan mengatakan yang serupa terhadap mereka itu?” Saya berkata bahawa kami tidak akan menentang kerana itu hanya akan menjatuhkan martabat kami ke tahap serendah mereka. Seranglah sehendak hati mereka. Kami tidak akan membalas kerana perasaan cinta terhadap Sheykh Mevlana. Malah sekiranya perlu, kami akan menghulurkan bantuan kepada mereka. Apabila tiba masanya kelak, kami akan membantu mereka, inshaAllah. Insha’Allah, pada masa itu, hati kami akan tergerak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka. Tetapi buat masa ini, tiada gunanya bagi sesiapa sahaja untuk melakukan begitu. Ia hanya akan menimbulkan kekeliruan.

Timur, Barat, Selatan dan Utara – terdapat dua bilion penganut agama Islam. Berapakah daripada bilangan dua billion penganut Islam tersebut yang kamu fikir benar-benar mengamalkan cara hidup keislaman. Sekiranya kamu tidak terdaya untuk melakukan apa-apa, berlarilah kepada mereka itu. Berlarilah untuk membawa mereka ke jalan yang benar dan cara kehidupan Islam yang sebenarnya. Jika kamu tidak mampu untuk melakukan ini dengan alasan kamu sedang berada di Amerika, maka di negeri ini sendiri terdapat 300 juta manusia yang sedang hanyut. Dekatilah salah seorang daripada mereka. Usah kamu hanya membuang masa dan tenaga kamu terhadap diri saya kerana akhirnya kamu akan tewas. Ini adalah kerana saya tahu apakah tujuan hidup saya yang sebenarnya.

Saya tidak menginginkan kenaikkan pangkat dan tiada sesiapa yang dapat memberikan saya apa sekalipun. Saya tidak merancang untuk mendirikan gedungan rumah-rumah serta mahligai yang tersergam indah atau apa sahaja untuk diri sendiri. Apa yang sedang saya rancangkan ialah untuk memperkukuhkan keimanan saya. Barang sesiapa yang ingin mendampingi saya, mereka juga harus melakukan sebagaimana yang sedang saya lakukan ini. Jika tidak, mereka bebas pergi mengurusi hidup mereka dengan cara yang tersendiri. Begitu mudah. Kami tidak pernah mendesak sesiapa untuk mengikuti kami.

Bagi mereka yang mengikuti cara kami, itulah perjalanan Osmanli Naksibendi. Ya, kelihatan seperti kami mengatakan bahawa kami telah terpesong daripada Naksibendi Hakkani – kami tidak. Kami mendapat kebenaran langsung daripada Sheykh Mevlana untuk membuka sebuah cawangan ini yang bergelar, Osmanli Naksibendi Hakkani, ini adalah arahan langsung. Sheykh Mevlana sendiri yang telah memberikan panji-panji bagi pusat dergah kami.

Pernah di suatu masa dulu, terdapat seorang Sheykh yang tidak putus-putus menyerangi saya. Pada ketika itu, saya sedang duduk di dalam makam Sheykh Abdullah, yang terletak di dergah kami. Perasaan saya pada ketika itu amat pilu akibat serangan yang bertalu-talu. Si penyerang itu menuduh bahawa saya ini telah dirasuk Sheytan dan sesiapa sahaja yang berada di keliling saya juga telah dirasuki Sheytan. Tatkala orang itu sedang memperkatakan begitu, saya merenung jauh ke arah kolam dan terlihat nama Allah s.w.t terukir di celah-celah timbunan salji dan bersamaan dengan itu adalah ukiran nama baginda Rasulullah s.a.w. Selepas itu, ia bertukar menjadi nama Ali, Abu Bakar dan Omar dan semua nama-nama itu. Lantaran itu saya berkata, Alhamdulillah ya Rabbi. Allah sedang meletakkan tandatangan beliau; bukan saya yang melakukan perkara itu.

Pergilah ke lelaman web kami, dan lihatlah sendiri. Kami tidak menayang-nayangkan kejadian tersebut. Perkara ini berlaku pada tahun 2002, dan selama tahun-tahun yang telah berlalu itu, kami tidak pernah menayangkan serta menggembar-gemburkan kepada orang ramai sambil berkata, “lihatlah apa yang telah berlaku di kolam kami.” Allah s.w.t meletakkan tandatangan beliau di sana. Sekiranya kamu masih berkeras juga untuk menentang, sudah semestinya kekalahan yang akan menanti diri kamu. Kamu tetap akan tewas kerana niat saya dan niat pengikut-pengikut saya amat luhur.

Saya tahu benar bahawa tujuan pengikut-pengikut saya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Saya meyakini hal ini dan saya tidak menyangsikannya. Mereka yang saya ragui tidak akan kekal lama di sisi saya. Saya pastikan yang mereka akan pergi jauh. (Sheykh Effendi sedang menperkatakan tentang seseorang murid yang tertentu). Alhamdulillah, dia sedang mempelajari. Kita semua sedang mempelajari.

Kesimpulannya ialah, melakukan perkara-perkara tersebut tidak akan membuahkan sebarang hasil kepada sesiapa pun. Kamu hanya akan menimbulkan kekeliruan, dan kamu akan dilaknati serta dicemuhi oleh orang tersebut. Kerap kali, sumpahan orang akan menjadi bebanan buat diri kamu. Dan adalah amat sukar bagi kamu untuk meloloskan diri dari bebanan tersebut. Jadi, terimalah nasihat saya ini. Bantu diri kamu sendiri. Hentikan perbuatan yang tidak berfaedah. Sekiranya kamu masih berkeras juga, kemusnahan tidak akan berlaku ke atas diri saya. Insha’Allah saya berada di bawah lindungan Sheykh Mevlana dan juga saya dilindungi oleh beginda Rasulullah s.a.w.

Kepada mereka-mereka yang fikir dan mengakui mempunyai kaitan rapat dengan Rasulullah s.a.w, saya bertanya, “ Arahan siapakah yang sedang kamu patuhi? Adakah kamu sedang menuruti arahan Sheytan?” Bertanyalah. Sekiranya kamu fikir kamu mempunyai darjat yang tertinggi, maka bertanyalah sendiri kepada Rasulullah s.a.w. Sekiranya kamu menganggap bahawa darjat kamu telah sampai ke tahap ketuhanan, maka kamu seharusnya duduk bersama Allah s.w.t. sambil menjengah ke dalam lubuk hati saya dan lihatlah sendiri pekerjaan yang sedang saya lakukan. Insha’Allah, semua yang kamu fikirkan itu adalah tidak benar. Yang salah tetap akan menjadi salah. Yang batil tidak akan dapat mengatasi yang haq.

Tujuan kami di sini bukan untuk mengutip derma. Di lelaman web kami, tidak akan dapat kamu lihat ruangan iklan yang berkata, “hulurkanlah sumbangan kamu, saudara.”

Ya, sememangnya kami mempunyai sedikit wang. Tetapi, Alhamdulillah, sejauh ini kami mampu bertahan dengan apa jua jumlah wang yang ada. Kami tidak menerima derma dari mereka yang tidak mempercayai tujuan murni kami, mereka yang tidak menyintai kami dan mereka yang bukan diantara anggota kumpulan kami. Kami tidak menerima derma daripada orang-orang sebegini. Sekiranya mereka datang untuk memberikan sumbangan kepada kami, saya langsung menolaknya dan berkata, “jangan berikan kepada kami. Kami tidak menerima pemberian kamu itu. Pergilah kepada Sheykh Mevlana, dan berikan derma anda itu kepada beliau atau kepada Sheykh-Sheykh yang lain. Kami tidak menerima derma anda itu.”

Insha’Allah, setiap orang harus tahu apa yang sedang mereka lakukan dan tujuan mereka melakukannya. Kita harus ikhlas melakukan sesuatu demi kerana Allah s.w.t, sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh Sheykh Mevlana, “ Anakku, sekiranya kamu dapat menghulurkan bantuan kepada seseorang di Amerika, itu adalah lebih baik bagimu daripada segala kemewahan dan kekayaan yang terdapat di Amerika ini.” Insha’Allah, inilah matlamat utama saya, dan inilah yang telah menjadi matlamat saya setibanya saya ke negeri ini. Kerana dari saat itu, ramai yang telah bertanya sama ada saya ini merupakan Khalifa Sheykh Mevlana.

Sebenarnya, sewaktu saya berusia sembilan belas tahun, dan waktu itu jugalah Sheykh Mevlana telah mengarahkan saya ke mari, beliau telah berkata kepada saya, “Pergi dan jadilah kamu Khalifa saya.” Pada waktu itu, saya sendiri tidak mengerti apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah Khalifa. (Sheykh Effendi tersenyum). Saya tidak tahu apakah yang harus saya lakukan. Saya tiba dan mula melakukan beberapa perkara. Dan sekiranya mereka masih bertanya sama ada saya ini merupakan salah seorang daripada Khalifa Sheykh Mevlana? Ya, saya adalah diantara Khalifa beliau. Apakah saya ini salah seorang daripada Sheykh beliau? Ya, saya adalah salah seorang daripada Sheykh beliau. Apakah saya ini salah seorang daripada wakilnya? Ya sayalah diantara para wakil beliau. Apakah saya ini diantara para murid beliau? Ya, sayalah diantara murid beliau yang terbaik. Saya tidak pernah memperkatakan sesuatu yang tidak benar terhadap Sheykh saya dan saya tidak pernah mengizinkan hati saya untuk meragui apa yang telah diperkatakan oleh Sheykh saya selama lima puluh tahun ini. Lima puluh tahun.

Insha’Allah, setakat ini sudah mencukupi buat renungan diri kamu dan saya dan semuanya, kerana saya tidak akan mengulangi kata-kata ini lagi kepada sesiapa pun. Tidak kepada orang-orang saya, dan tidak pula kepada para musuh yang ada. Inilah hakikat yang sebenarnya dan Insha’Allah ia akan berterusan sebegini. Hari demi hari, secara perlahan-lahan, sudah tentunya kami akan maju setapak lagi kehadapan, dengan pertolongan dari Sheykh kami. Sekiranya Sheykh kami melepaskan cengkaman tangan beliau dari kami, saya tahu yang saya tidak akan berdaya untuk menggerakkan jari-jemari saya. Itu saya akui. Sekiranya terdapat sesiapa yang mengatakan bahawa saya melakukan sesuatu tanpa pertolongan dari Sheykh saya, maka orang itu merupakan seseorang yang teramat bodoh sekali kerana pertolongan ini hanya mampu sampai kepada saya menerusi beliau. Inilah sebabnya saya dapat melakukan sesuatu.

Sekiranya beliau meninggalkan saya, maka saya tidak akan terdaya melakukan apa jua. Segala kebaikkan yang telah didatangkan menerusi tangan kami, penghargaannya bukanlah milik kami. Penghargaan itu adalah milik Sheykh Mevlana. Kami tidak layak untuk menerima sebarang penghargaan. Itu merupakan hak milik Sheykh Mevlana. Kami tidak akan mengizinkan sesiapa pun untuk menyatakan yang sebaliknya. Sama ada mereka melakukannya dengan secara terbuka ataupun bersembunyian, dan tidak kira pula apa darjat orang itu. Kami berani untuk bersemuka dengan para jeneral, para duta dan juga para President, untuk menegaskan bahawa mereka itu salah dan Sheykh Mevlana itu benar. Terdapat di antara kamu dan beberapa orang Sheykh yang mengakui akan kebenaran kata-kata saya ini. Dan saya masih lagi berpegang teguh dengan pendirian ini malah mengumumkannya ke seluruh dunia.

Kebanyakkan daripada mereka itu tidak memiliki keberanian yang serupa ini apabila berhadapan dengan situasi yang sedemikian. Sekiranya terdapat orang lain yang menyerang Sheykh Mevlana tetapi memberi pujian kepada diri mereka, mereka hanya berdiam diri. Pujilah saya sebanyak mungkin mengikut sehendak hati kamu, tetapi jika pada waktu yang sama, kamu menyerang Sheykh Mevlana, kamu itu berada di bawah telapak kaki seekor anjing. Kamu tidak dapat memberikan saya apa-apa. Dunia ini letaknya di bawah telapak kaki saya. Saya tidak meletakkannya ke dalam poket, dan kamu juga tidak dapat meletakkan dunia ini ke dalam poket saya. Sudah semestinya kamu tidak akan dapat meletakkannya ke dalam hati saya. Itu telah lama saya lontarkan jauh dari lubuk hati ini.

Untuk pengetahuan mereka, apa jua yang kami lakukan adalah dengan berkat pertolongan daripada Sheykh Mevlana. Saya pernah berkali-kali memperdayakan mereka dengan berkata, “Di manakah kamu mendapatkan wang?” Saya berkata lagi, ” Sheykh Mevlana telah memberi saya cek terbuka yang bernilai dua juta dolar.” Mereka mempercayai. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, saya hanya diberi dua puluh dolar dari Sheykh Mevlana. Saya masih menyimpan wang itu di dalam poket saya. Saya tidak pernah menggunakan wang tersebut. Terdapat keberkatan yang turun berterusan. Itulah rahmat di sebalik pemberian daripada Sheykh Mevlana.

Kami tidak ke Cyprus untuk mengambil wang daripada Sheykh Mevlana. Malah kami ke Cyprus dengan membawa wang untuk diberikan kepada Sheykh Mevlana. Alhamdulillah, kamu semua tahu betapa sukarnya keadaan kami di sini. Setiap sumbangan yang diberi oleh sesiapa pun di sini, ketahuilah itu bukan hak milik saya.

Sekiranya ada diantara kamu yang berfikir bahawa dermaan kamu itu menjadi milik saya, itu adalah kenyataan yang palsu. Setiap sumbangan yang diberi, walau sekecil mana sekalipun jumlahnya, kami akan tetap membawanya kepada Sheykh Mevlana. Beliau yang akan membahagi-bahagikan wang itu mengikut sehendak hatinya. Dan kepada si pemberi itu, keberkatan akan menyebulungi diri mereka dua kali ganda daripada apa yang telah diberikan.

Itulah yang sedang berlaku. Seperti yang telah saya katakan, terdapat beberapa orang yang tidak mengambil iktibar daripada apa yang sedang berlaku ini, dan saya fikir mereka tidak akan pernah mengerti. Oleh itu, ada baiknya jika saya tidak mensia-siakan tenaga dan waktu saya terhadap orang yang begitu. Pernah saya katakan kepada salah seorang daripada mereka bahawa inilah kali pertama dan terakhir saya memberi penjelasan. Saya tidak pernah pergi kepada mereka dan mempersoalkan perbuatan mereka. Saya tidak akan berbuat demikian. Setiap kali kami bertemu, saya memberikan penghormatan yang sewajarnya. Sungguhpun mereka sedang menyerang saya dengan kata-kata yang tidak pernah saya dengar diucapkan oleh orang-orang Yahudi sekalipun. Penganut agama Kristian sendiri tidak pernah malafazkan kata-kata yang sedemikian terhadap saya. Alhamdulillah, saya menelan semua ini.

Tetapi, akan tiba waktunya nanti dimana debu-debu jalanan akan mendap. Dikala itu, kita akan dapat sama-sama pastikan siapa sebenarnya yang sedang menunggang di hadapan. Sama ada yang berada di hadapan itu merupakan seekor kuda atau pula hanya seekor keldai. Kami semua akan dapat memastikan perkara yang sebenarnya.

Wa minallahu tawfiq—-setakat ini sudah mencukupi buat kamu, buat mereka-mereka yang tertentu itu, buat rakaman video dan buat sesiapa sahaja yang akan mendengar. Sekiranya kamu masih lagi ingin memperkatakan sesuatu, terserah! Sekiranya kamu ingin mencabar saya, lupakan sahaja niat kamu itu, kerana saya tidak akan memandang ringan cabaran-cabaran yang mendatang. Dan jika terdapat sesiapa yang mencabar, maka saya rela mempertarungkan nyawa saya sendiri untuk berhadapan dengan cabaran tersebut. Tetapi memandangkan saya mempunyai banyak lagi tugas-tugas penting yang harus diselenggarakan, maka saya tidak akan mensia-siakan nyawa saya di tangan kamu itu. Kehidupan saya ini adalah untuk Allah s.w.t dan Rasulnya serta untuk Sheykh Mevlana. Insha’Allah, saya bermohon kepada Allah s.w.t.(Sheykh Effendi memandang ke arah pendengar) di kehadiran kamu semua, saya tidak akan terpesong daripada jalan yang menuju kepada cahaya keimanan yang memperteguhkan kepercayaan saya terhadap Sheykh Mevlana.

Sekiranya saya melakukan yang sebaliknya, sekarang juga saya bermohon kepada Allah s.w.t untuk meragut nyawa saya. Saya tidak teragak-agak untuk berkata bahawa jika di suatu hari kelak saya akan terpesong, adalah lebih baik jika riwayat hidup saya ditamatkan sekarang juga.
Wa minallahu tawfiq.
Al-Fatiha.