BismillahirRahmanirRahim

Aliran Sufi Naksibendi

Kamu bebas untuk menuruti sesiapa sahaja.

Sekiranya perasaan cinta terhadap Allah subhana wa ta’ala mula berputik di hati kamu tatkala berada di satu perhimpunan, maka hendaklah kamu berterusan untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Untuk menyemai perasaan cinta terhadap Allah subhana wa ta’ala bukanlah suatu perkara yang dianggap mudah. Keagungan dan kebesaran Allah subhana wa ta’ala tidak dapat kita bayangkan. Sesungguhnya, Allah s.w.t menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran(haq) dan menuntut kepada semua manusia supaya membina kehidupan atas dasar kebenaran, dan supaya mereka tidak mengatakan sesuatu selain kebenaran pula.

Oleh itu, Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul-nya ke muka bumi ini sebagai wakilnya untuk mempermudahkan tugas mengenali keagungannya. Para rasul juga telah diutuskan untuk membantu manusia keluar dari kegelapan nafsu dan menuju kepada cahaya makrifat.

Baginda rasul, Nabi Muhammad s.a.w merupakan utusannya yang terakhir bagi sekian hambanya di muka bumi. Rasulullah s.a.w amat tinggi martabatnya di sisi Allah s.w.t dan beliau merupakan hamba yang amat dikasihi. Kita telah diperintahkan untuk memuji Allah s.w.t serta mencintai dan memohon salawat serta salam ke atas Rasulnya yang mulia, para sahabatnya, pewaris mereka, Awliya, dan juga yang mempertahankan perjuangan agama yang benar.

Tujuan kamu ke mari haruslah ikhlas menuntut ilmu semata-mata untuk ke Jalan Allah s.w.t. Ibarat bekas yang penuh berisi air, sekiranya dituang lagi air ke dalam bekas itu, nescaya akan tumpahlah airnya. Ini membawa kepada kerugian yang nyata. Akan tetapi, jika air dituang ke dalam bekas yang kosong dan setiap kali dituang, akan diminum air itu sedikit demi sedikit, maka terasa hilang haus didada.

Seseorang yang mendahagakan ilmu Allah haruslah mengibaratkan diri mereka sebagai bekas yang kosong itu. Mereka harus mampu menilai dan membezakan nikmat yang diperolehi sebelum dan setelah bekas itu diisi air. Mereka tidak harus mengizinkan perasaan bongkak dan pengetahuan sedia ada yang cetek, mengatasi keinginan untuk mempertingkatkan ilmu ke Jalan Allah. Keikhlasan hati nurani seseorang itu akan mendorong mereka untuk menambah ilmu di dada. Keangkuhan hanya akan membawa kepada kerugian.

Perjalanan Sufi

Aliran Sufi yang terunggul – Osmanli Naksibendi Hakkani

Tariqah Naksibendi Hakkani merupakan aliran sufi yang berpegang kukuh kepada ajaran Islam dan Hadis Rasullullah s.a.w. Ia adalah satu-satunya aliran sufi di mana silsilah batiniah menjejak kembali kepada sahabat karib baginda Rasullullah s.a.w, Saidinna Abu Bakar r.a. Beliau adalah sahabat karib yang menemani baginda Rasullullah ketika beliau sedang menyembunyikan diri di Gua Hira sewaktu musuh sedang menyusul. Menurut Rasullullah s.a.w, segala rahsia yang telah Allah tanamkan di hatinya telah baginda curahkan ke dalam hati nurani sahabat karibnya itu. Rahsia yang merupakan ilmu dan hikmah kerasulan ahli sufi telah dipindahkan dari hati ke hati menerusi satu Grandsheykh ke Grandsheykh yang lain. Pada kurun ke sembilan belas, aliran ini telah dinamakan sempena Grandsheykh yang menetap di Asia tengah, iaitu Shah Bahauddin Naksibend/ Naqshaband dari Bukhara.

Tujuan murni aliran kerasulan ini ialah untuk mengarahkan manusia ke Jalan Allah s.w.t. Matlamat teragung ini hanya dapat dikecapi dengan memesongkan pandangan seseorang itu dari urusan duniawi dan kesibukan melayan hawa nafsu. Dengan ucapan kalimah “La ilaha illallah” seseorang hamba Allah akan meningkatkan keyakinan dan keimanan terhadap pencipta mereka yang teragung.

Ini disusuli pula oleh ucapan kalimah “Muhammadan Abduhu wa Rasulullah” di mana seseorang itu harus ikhlas memahami dan mengamalkan cara hidup baginda Rasulullah s.a.w yang praktikal. Murid yang sesungguhnya berada dalam Tariqah Naksibendi Hakkani adalah sahabat, penolong dan pendukung dari setiap pembela Sayidinna Muhamad s.a.w. Menerusi pengambilan bai’ah dan sohbet, adalah tugas kita untuk bersahabat dan berasosiasi dengan para nabi, para Awliya dan para pewaris mereka. Murid yang sesungguhnya mengikuti aliran sufi ini akan dapat meningkatkan tahap keimanan mereka dengan berasosiasi dengan Sheykh yang akan mengirim inspirasi dan memindahkan ilmu dan hikmah dari hati ke hati.

Tarikatu Sohbah wal hayri fi jamiyah

Perkara yang amat dititikberatkan oleh aliran sufi Naksibendi ini adalah peperangan menentang hawa nafsu, Syaitan dan cinta pada keduniaan.

Seseorang murid yang ingin menyertai perjuangan ini harus pertama sekali mendampingi seorang Sheykh yang akan memberi penjelasan yang luas mengenai ertikata kehidupan dan cara-cara seseorang murid menempuhi ranjau dan liku kehidupan seharian.

Shah Naksibendi pernah berkata “Tarikutan sohbah wal hayri fi jamiyah” – kebaikan akan terserlah menerusi persatuan ini. Sebagaimana seorang pesakit yang menaruh sepenuh kepercayaan kepada doktor yang merawatnya, begitu juga hendaknya tingkah laku seorang murid terhadap Sheykh yang merupakan pakar dalam memperbaiki akhlak dan meningkatkan taraf keimanan hati seseorang murid.

Allah s.w.t menjadikan kehidupan ini bukan sebagai “rumah”kehidupan yang serba bahagia, mantap dan kekal akan tertapi kehidupan dunia ini adalah “rumah” ujian dan cobaan. Oleh itu, seseorang murid hendaklah mensucikan hati daripada segala macam keinginan yang bersifat duniawi seperti mengagungkan kebendaan dan kemewahan. Di samping itu, hendaklah dia bersabar di atas segala kesulitan dan musibahnya. Dengan terkikisnya sifat-sifat yang tidak diingini, seseorang murid itu akan dapat menjadikan hatinya sebagai takhta di mana duduknya Allah s.w.t. Perbanyakkan berzikir menyebut nama Allah dan bersalawat ke atas Nabi adalah antara amalan yang sentiasa dipraktikan sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w supaya manusia menghiasi diri dengan taat kepada Allah dan menghimbau mereka supaya menunaikan kewajipan yang diperintahkan olehnya.

“Barangsiapa yang berada di jalan Allah nescaya beliau tidak akan berasa bangga dan membesar-besarkan setiap amalan yang dilakukan. Cinta membuat seseorang itu melakukan apa jua ikhlas semata-mata kerana Allah” – Shah Bahauddin.

Syekh

    Grandsyekh Mevlana Muhammad Nazim al-Kibrisi

merupakan Grandsyekh yang ke empat-puluh dari rangkaian sufi terunggul Osmanli Naksibendi Hakkani.

Beliau adalah Sultan bagi sekian para wali, para Qutub dan ahli Ghaus di zaman ini dan beliau juga mewakili baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemegang rahsia “Akhir zaman” dan kedatangan Mehdi a.s. Beliau berketurunan Hassani-Hussaini, keturunan Nabi Muhammad s.a.w. melalui silsilah keluarga kedua ibu dan bapanya.

Grandsyekh Nazim juga berketurunan Ghaus Azam Abdul Kadir Jilani melalui silsilah keluarga bapanya, dan berketurunan Mevlana Jalaluddin Rumi dari silsilah keluarga ibunya, semoga Allah meningkatkan darjat dan martabat mereka. Beliau dilahirkan di Cyprus dan sentiasa mengembara menjelajahi seluruh pelusuk dunia membawa misi kedamaian dan menghidupkan cahaya keimanan di seluruh dunia.

    Sheykh Abdul Kerim Al-Kibrisi

merupakan wakil Sheikh Nazim sebagai khalifah di seluruh pelusuk dunia. Beliau diberkati bukan sahaja dengan berketurunan Rasulullah s.a.w malah juga merupakan keturunan diraja Sultan Ottoman.

Sheykh Abdul Kerim telah dilahirkan di Cyprus dan menerima asuhan serta didikan khusus dari Sultanul Awliya Mevlana Sheykh Nazim. Beliau telah diarahkan ke Amerika Utara pada usia yang muda untuk mendalami erti kehidupan serta menyebarkan ajaran Islam dan ilmu kesufian di negeri ini dan ke seluruh dunia.

Dergah

Pusat Sufi yang juga dikenali sebagai Dergah merupakan ‘ambang pintu’. ‘Ambang pintu’ yang dimaksudkan ini sesungguhnya membawa seseorang menuju kepada pencipta yang teragung.

Islam sangat menekankan pemeluknya supaya menempuh cara hidup sederhana. Dergah merupakan satu kawasan di mana kesederhanaan menjadi tunggak amalan cara hidup seseorang murid. Ini dilakukan dengan penuh keimanan dan keyakinan terhadap pencipta yang teragung, Allah s.w.t.

Dergah adalah sebuah kawasan yang telah dikhususkan untuk beribadah, beramal, bermesyuarah dengan mengamalkan cara hidup ahli sufi. Cara hidup yang serba sederhana bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Rasulullah s.a.w serta amalan tradisi Ahli Sufi yang telah diwarisi selama seribu empat ratus tahun.

Dergah dibuka kepada umum. Seperti kata Rumi “Hadirlah sesiapa yang berminat. Ini adalah kawasan untuk berpadu kasih dan cinta sejati”. Sheykh pernah menukil kata-kata dari Allmarhum Hazrat Hajja Anna, isteri kepada Grandsheykh yang berkata “Selamat datang kepada mereka yang hadir, dan selamat jalan kepada mereka yang pergi.” Tiada paksaan bagi mereka yang hadir, yang tinggal dan yang kembali.

Edeb, Ya Hu!

Terapkan Adab dan budi pekerti yang tinggi. Ini amat ketara di mana sahaja kamu berada sebagai peringatan kepada semua untuk menampilkan sifat dan sikap yang terbaik. Islam menghargai fitrah yang murni dan ajaran-ajaran sejalan dengannya. Amal ibadah tidak akan mencapai kesempurnaan dan tidak akan tertunaikan maksud tujuannya, bilamana tidak dapat membentuk budi pekerti luhur dan perilaku yang lurus. Budi pekerti yang luhur menjadi nadi bagi keutuhan iman kerana ia membawa kepada kebijaksanaan, kepercayaan dan sikap rendah diri.

Adab merupakan perkara terpenting dalam amalan tradisi kerasulan. Seseorang harus mampu untuk mengutamakan hati dan perasaan mereka disekeliling dan membahagi-bahagikan apa yang mereka miliki walaupun hanya dengan secebis roti. Kemantapan fitrah yang baik terletak pada keimanan dan kebajikan.

Kesederhanaan dalam menempuhi hidup seharian menjadi teras di dergah. Ini dapat dikecapi apabila seseorang murid itu mendekatkan diri kepada keindahan alam semulajadi yang jauh dari kesibukkan dan kekeliruan arus pemodenan.

Selain memasak dan mengemas, murid akan diberi tugas seharian antaranya seperti mengembala kambing, menternak ayam dan itik, mengurusi ladang serta bercucuk tanam. Bermesraan serta menyesuaikan diri kepada alam semulajadi disamping berjinak-jinak dengan haiwan akan dapat membantu seseorang itu untuk mengimbangi tenaga batin mereka. Ini seterusnya dapat memberi ketenangan di jiwa, meleraikan kekusutan di benak fikiran dan langsung membawa kepada keinsafan.

Pekerjaan di ladang ini sungguhpun kelihatan ringan tetapi ia berterusan. Setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara fizikal dengan pekerjaan seharian. Memang menjadi lumrah para Sufi bahawa berkhidmat pada umum adalah lebih tinggi darjatnya daripada beribadah secara bersendirian.

Setiap pekerjaan yang hendak dilakukan di Dergah haruslah bermula dengan melafazkan kalimah “BismillahirRahmanirRahim” dan ianya harus dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Setiap pekerjaan yang dilakukan secara paksaan dan kemarahan tidak akan diterima.

Setiap hari bermula dengan bersolat fajar. Sementara menantikan terbitnya matahari, murid akan duduk bertafakkur bersama Sheykh. Pada waktu ini beliau akan memberikan kata-kata hikmah dan nasihat buat renungan bersama. Ini juga merupakan waktu yang sesuai bagi para murid untuk mengajukan sebarang kemusykilan. Adakalanya, murid akan menceritakan mimpi mereka untuk diterjemahkan. Mimpi merupakan sesuatu yang amat penting dalam perjalanan hidup seseorang murid.

Tatkala terbitnya matahari, murid boleh kembali untuk berehat seketika, bertafakkur atau memulakan tugas seharian. Setiap hari bermula dengan pekerjaan di ladang yang akan berakhir pada waktu Asar. Pekerjaan harus diselesaikan sebelum masuknya waktu senja.

Murid akan bersolat Maghrib bersama Sheykh dan ini diikuti dengan makan malam. Sejurus selepas solat Isyak ditunaikan, Sheykh akan memberi khutbah sambil minuman the dan manisan dihidangkan. Ada kalanya alunan muzik klasik Ottoman akan diperdengarkan sambil mendeklamasikan sajak. Suasana hidup di dergah dihangatkan lagi dengan senda gurauan yang juga memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan tahap kesedaran diri seseorang murid.

Setiap tahun akan sentiasa disibukkan dengan hari-hari dan malam yang suci, hari perayaan dan peringatan yang semuanya akan disambut di dergah.

Pusat Dergah tidak pernah putus daripada kunjungan para tetamu dan murid dari merata Dunia. Mereka yang tidak tinggal berdekatan dengan dergah akan cuba berkunjung pada hujung minggu. Semua ini dilakukan dengan tujuan mendekatkan diri dengan Syekh serta muridnya dan meninggalkan kepentingan duniawi.

Tidak dapat kita bayangkan betapa berat dan besarnya tugas serta tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang Syekh. Beliau merupakan penawar bagi segala macam penyakit kerohanian, mental dan emosi. Di samping itu, beliau juga mendidik, mengasuh serta melengkapkan diri setiap murid dengan segala persiapan untuk mereka tempuhi gejolak cabaran yang mendatang di akhir zaman kelak.

“Sesiapa yang mengenali diri mereka, maka mereka mengenali Allah”.

“Allah tidak melihat pada bentuk tubuh badan seseorang, dia menyelam jauh ke dalam lubuk hati mereka”