BismillahirRahmanirRahim

Doa buat seluruh Ummat akhir zaman

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibirisi

Jumaat, 19 Rajab,1428
3 August, 2007
Osmanli Naksi-I’bendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York.

(Selepas solat Jumaat, seseorang memohon kepada Sheykh Abdul Kerim Efendi: “Sheykh, tolong mohon doa untuk seluruh ummat.”)

Sheykh Effendi: Auzu billahi min ash-sheytanir rajim.
BismillahirRahmanirRahim. Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet.

Ada sepotong hadis khusus buat masa kini; Akhir Zaman. Yang mulia, baginda Rasulullah (sws) bersabda, “Kamu harus tahu apa yang kamu minta , dari siapa kamu meminta dan bagi pihak mana kamu meminta.” Muslim pada masa kini, mashaAllah. Tidak ada doa yang dapat menyelamatkan mereka kecuali mereka menyelamatkan diri mereka sendiri. Kaum muslimin hari ini telah meninggalkan jalan utama yang terselamat demi memasuki ke jalan hutan belantara. Amaran demi amaran diturunkan setiap siang dan malam, namun mereka masih lagi menuju ke arah dunia hutan rimba itu. Tiada doa yang akan dimakbulkan. Doa hanya akan terkabul jika mereka mempunyai tujuan ikhlas untuk memahami kesilapan yang telah dilakukan dan insaf. Hanya ketika itu pengampunan akan diberi kepada umat ini.

Rasulullah (sws) bersabda, “ Apabila kamu hampir pada saat-saat itu di Akhir Zaman, maka akan diturunkan bencana di merata kawasan”, dan tanda-tanda bencana itu jelas kelihatan sekarang ini. Sudah tentu ianya bukan suatu rahmat jika terdapat kapal-kapal terbang yang menceroboh masuk ke sesebuah negara untuk menjatuhkan bom kan? Ini merupakan suatu laknat. Letupan dan ledakan bom terlihat dan didengari di merata kawasan. Katakan apa yang kamu suka. Tetapi itu adalah hakikat yang nyata. Ianya sedang berlaku. Mengapa ia berlaku? Apakah sebab dan tujuan di sebalik kezaliman ini? Kita harus mengetahui puncanya. Bertanyalah. Adakah pegangan hidup kita berlandaskan ajaran Rasulullah (sws)? Ataupun kita telah jauh terpesong dari landasan itu? Ternyata sekali kita telah jauh terpesong. Terlebih dahulu, untuk mendapat bantuan, kita harus kembali ke jalan yang betul. Ia adalah mudah bagi Allah, tetapi tidak semudah itu buat kita. Allah melihat pada kejujuran kita. Allah melihat sambil berfirman, “ Jika kamu menghadapkan diri kamu kepadaku, ikhlas mencari jalan pulang kepadaku, maka akan ku pendekkan setiap laluan yang panjang itu. Aku mampu untuk menunggang tebalikkan semua ini serta membangunkannya semula.”

Tiada dendaman dalam Islam dan tiada Jihad tanpa Khalifah

Sekarang ini, Ummat Islam harus pertama sekali mengetahui, “Apa kesilapan kita? Di mana bermula kejatuhan kita?” Masalah utama berpunca daripada Ummat Islam sendiri, yang tidak mencari untuk memahami keadaan sambil bertanya, “Di manakah punca kejatuhan/kegagalan kita?” Mereka hanya berlari untuk membalas dendam, itu sahaja. Perkara begini langsung tidak diterima Islam. Para sahaba-e kiram juga berperang. Akan tetapi mereka menghunus pedang dan berperang demi untuk Allah. Mereka tidak berperang untuk membalas dendam. Mereka berperang kerana mereka ditindas dan kebenaran tidak diberikan kepada mereka untuk berpegang teguh kepada Shahadat. Maka perintah untuk berperang diturunkan pada ketika itu. Apabila kuasa jatuh ke tangan para Muslimin dan mereka kembali ke Mekkah disertai askar yang besar, apakah yang dilakukan oleh Rasulullah (sws)? Adakah beliau langsung membalas dendam terhadap kekejaman yang dilakukan? Ataupun beliau memaafkan setiap daripada kalangan mereka?

Inilah yang sedang berlaku kepada kita. Muslim hari ini. Ummat terkini yang sedang kita bicarakan itulah yang sedang menggunakan senjata untuk berperang sambil berkata, “kami sedang melakukan Jihad”. Ternyata mereka itu tidak siuman. Akal fikiran mereka itu tidak dapat mengawal perasaan mereka. Mereka hilang akal. Tanpa seorang Khalifah, kamu tidak dibenarkan untuk mengisytiharkan Jihad. Dimana dalam Islam dapat kamu temui Jihad yang disytiharkan tanpa sebarang Khalifah? Siapa kamu untuk mengisytihar Jihad? Kamu hanya seorang individu. Adakah kamu disokong oleh kuasa dari Illahi? Tidak. Oleh kerana kamu tidak mempunyai sokongan Allah swt, maka kamu itu berada dalam cengkaman kuasa penzalim. Mereka juga merupakan hamba Allah subahana wa ta’ala. Terdapat hamba yang baik dan juga hamba yang jahat. Itu tidak menjadi hal. Sheytan juga merupakan hamba Allah. Kita tidak boleh berkata di dalam doa, “tolong hapuskan Sheytan dari muka bumi,” Bolehkah kita membuat doa ini? Tidak. Allah menempatkan Sheytan di sini. Maka Sheytan datang dan berbisik. Bukan Sheytan yang melakukan kejahatan tetapi manusia yang melakukannya. Sheytan hanya menjalankan tugas. Tugas Sheytan adalah untuk membisikkan perkara-perkara salah ke telinga manusia dan jika manusia melakukan kesalahan itu, maka mereka telah diperalatkan oleh Sheytan. Jika manusia melakukan kesalahan, bukan Sheytan tetapi manusia itu sendiri yang melakukannya. Sekiranya mereka melakukan kebaikan dan mentaati perintah Allah dan Rasulullah (sws), maka mereka akan diperalatkan oleh Allah subhana wa ta’ala dan Allah hanya melakukan yang terbaik menerusi tangan itu.

Jadi, sekarang ini, terdapat dua jenis manusia. Kita tinggalkan Ummat buat seketika. Sekarang ini, terutama sekali pada masa ini, kerana Rasulullah (sws) bersabda, “Akhir zaman akan menjadi amat berlainan. Kamu akan dapati beberapa bangsa yang akan membuat pengakuan bahawa mereka itu beriman, tetapi jika kamu memeriksa, kamu tidak akan dapat menjumpai walau setitik keimanan di dalam jiwa mereka.” Dan akan juga terdapat bangsa yang digelar kafir, mereka yang tidak beriman, tetapi kebanyakkan daripada mereka itu akan menjadi taat setia. Itulah hakikatnya sekarang ini.

Jadi, sekiranya seseorang individu datang kepada kamu untuk memohonkan doa untuknya, bagi pihak dirinya itu, kamu boleh berkata, “Ya Rabbi, kamu yang telah menghantar orang ini kepadaku untuk mendoakannya.”
(Penyoal berkata : “ Saya memohon doa dari kamu buat diri saya sendiri.”)

Sheykh Effendi : Ah, buat diri kamu. Itu kita doakan. Buat Ummat, kita doa dengan cara yang lain, “ Ya Rabbi, kami telah melakukan kesalahan. Sekarang kami sedar. Kami kembali semula ke arah mu.” Seterusnya, seperti yang dilafazkan oleh Imam Ali (ra) dalam doanya, “Sekiranya kamu menutup pintumu padaku, aku tidak ada lagi tempat lain untuk menuju selain daripada kembali kepadamu, kerana tidak ada lagi pintu yang lain bagi diriku.” Dia berkata, “ Aku bukan seorang yang sempurna.” Beliau merupakan seorang yang sempurna. Beliau merupakan seorang yang cukup sempurna. Beliau adalah seorang Murshid, beliau cukup sempurna. Namun beliau tetap berkata, “ Saya bukan seoarang yang sempurna, tetapi saya juga bukan yang terburuk dikalangan mereka yang melakukan keburukkan. Saya bukan yang terburuk dikalangan mereka. Saya hanya seorang hamba yang lemah, saya mempunyai kelemahan sendiri dan saya mohon keampunan dari Mu.” Sekiranya terdapat sesiapa di dunia hari ini yang ikhlas memohon doa seperti ini, ikhlas meyakininya dan bermohon, maka dengan segera akan diturunkan jawapan kepada mereka yang berkata, “Aku menerima doa kamu.”

Bagaimanakah ummat boleh berpecah menjadi berbilang bangsa.

Muslimin tidak melakukan ibadah. Mereka tidak lagi menyembah. Mereka tidak bersembahyang. Sembahyang bermaksud mereka tidak mendirikan salat. Tetapi mendirikan salat adalah ibadah yang telah dan sedang kamu lakukan. Manakala, berdoa dan memohon doa bagi pihak diri kamu dan juga bagi sekian ummat, itu tidak lagi dilakukan oleh kaum muslimin. Mereka tahu untuk berteriak dan meraung kesakitan ke doktor, ke sana, kemari dan saya bertanya, “Berapa kali dalam sehari kamu duduk di satu sudut menadah tangan memohon kepada Allah dengan berkata, “Aku adalah hamba Mu yang lemah. Kau memberiku bebanan ini tetapi aku tidak berdaya untuk memikulnya. Bantulah diriku ini.” Berapa minit dalam sehari para muslimin melakukan ini? Jika mereka melakukan ini dengan secara jujur, maka akan dapat kita lihat bantuan dihulurkan dengan segera kerana Allah itu berada dekat denganmu jika dibandingkan dengan diri kamu sendiri. Tetapi manusia kini tidak bermohon. Mereka hanya tahu meminta bantuan dari para doktor. Walhal doktor itu sendiri memerlukan bantuan dari doktor yang lain. Dan doktor itu pula memerlukan doktor yang lain.

Jadi kejatuhan kita berpunca daripada keimanan yang kian rapuh. Kita harus kembali semula kepada keimanan itu, iman yang kukuh. Kita harus bermula dengan memupuk keimanan diri sendiri. Satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah dengan meniru gaya hidup tercontoh para sahaba-e kiram. Kita harus lihat dan mempelajari cara hidup mereka, perilaku dan reaksi mereka mengharungi situasi genting dalam hidup yang penuh dengan cabaran. Dari situlah dapat kita berbalik kepada asal usul diri kita.

Pada suatu masa, tidak berkurun-kurun lamanya. Tidak pula berkurun dahulu. Hingga mencecah ke tahun 1923. Hmm? Bangsa Islam, para ummat Islam berada dalam naungan satu pemerintahan. Sekarang ini, berapa banyak pemerintahan yang wujud? Berapa banyak bangsa Islam? Kita menyebut “Umat Islam”. Berapa banyak kerajaan yang telah terbentuk daripada Umat Islam? Siapakah yang telah memecah belahkan mereka? Siapakah yang menjadi dalang di sebalik perpecahan ini? Islam atau dunia Kristian? Mereka berkata, “Kami sedang menghayati jejak langkah dunia Kristian.” Seterusnya, mereka berpaling arah dan daripada menuju ke masjid-masjid Allah memohon keampunan, mereka berlari menuju ke hadapan bangsa-bangsa bersatu (UN) atau ke kedutaan negara sambil berteriak, “Bantulah kami! Hak kami telah dirampas!” Ataupun mereka ke Eropah, ke negeri-negeri di Eropah sambil mengadu, “ kami menuntut hak kami” Hak kamu? Kamu berlari ke arah serigala yang kelaparan untuk menanyakan, “ kami menuntut hak kami?” (Sheykh Effendi senyum) Mereka semua sedang bersiap-sedia untuk menghapuskan kerajaan ini. Itulah matlamat mereka. Kamu semua berlari memohon pertolongan dari mereka? Betapa ceteknya pemikiran orang-orang Islam. Mereka diperbodoh-bodohkan kerana mereka telah meninggalkan jalan yang memegang kepada ajaran serta tradisi Rasulullah(sws).

Tiada doa umum bagi pihak bangsa Islam.

Rasulullah (sws) bersabda, “ Apabila sesebuah bangsa itu meninggalkan pegangan yang dibawa oleh para Rasul dan kembali hidup menuruti ego masing-masing, maka usahlah kamu berdoa untuk mereka. Berdoalah untuk diri kamu sendiri dan untuk mereka-mereka yang berkejaran membuat kebaikan demi untuk menjadi hamba Allah yang taat setia. Berdoalah bagi pihak mereka. Jika tidak, kamu akan dipertanggungjawabkan atas mencampuri urusan Allah.” Ini adalah masa-masa yang amat dashyat. Jika kita mengkaji semua tradisi dan Islam, akan dapat kita lihat bahawa kita hampir berada di penghujung jalan. Namun masyarakat masih lagi terlena dibuai mimpi. Mereka masih lagi mencari jalan yang sia-sia dan berkejar-kejaran ke arah itu. Pasar-pasar raya dan Pasar serbeneka sentiasa penuh sesak, membuat manusia begitu sibuk sekali dengan cara itu. Ini bukanlah gaya hidup bagi orang-orang Islam. Muslimin dikutuk kerana mereka meninggalkan pegangan iman. Islam merupakan gaya hidup. Islam bukan hanya setakat sepatah dua kata. Islam mengajar manusia cara-cara untuk hidup, untuk makan, tidur, bekerja, di mana harus seseorang itu bekerja, bila untuk bekerja, di manakah hak bagi kaum wanita, di manakah hak bagi kaum lelaki, di manakah hak untuk kanak-kanak, hak bagi orang dewasa dan hak bagi golongan tua. Islam mengajar kita semua ini. Malangnya kita kehilangan semua ini dan kerana kehilangan itu, amaran demi amaran diturunkan silir berganti. Tetapi kita masih tidak sedar diri. Kita masih lagi berseronok dengan gaya hidup yang salah dan berterusan mengamalkan cara hidup begini. Kita berkata, “Cukup! Sudah mencukupi. Apakah kamu sedang menunggu untuk jatuh ke dalam gaung? Hentikan! Setidak-tidaknya berhenti sejenak di jalan yang salah itu. Duduk dan berfikir. Bila kamu duduk dan berfikir, maka kamu akan kembali menyedari dan berkata, “Oh, saya telah tersilap.”

Kita telah berpecah dan ditumpaskan

Jadi, apabila kaum Muslimin serta kerajaan Islam duduk dan berfikir tentang kesilapan mereka, mereka akan dapat melihat dengan jelas dan mula memahami, “di mana kita telah tumpas?” Itu yang harus kita fahamkan terlebih dahulu. Sekarang ini, kita lemah. Satu setengah juta Muslimin sedang berada dalam keadaan yang lemah. Tetapi mereka memiliki segala-galanya. Mereka memiliki kesemua wang ringgit di muka bumi ini dan mereka mampu untuk mendapatkan apa sahaja yang diingini. Tetapi mereka tetap lemah kerana mereka berpecah belah. ( Sheykh Effendi mengangkat tangan sambil merenggangkan jari jemari beliau). Begitu mudah untuk mematahkan jari jemari ini. Apabila kamu berpecah belah menjadi masyarakat yang kecil, itu terlalu mudah. Mereka akan menyerang satu pihak, dan memusnahkan pihak yang satu lagi. Mereka menyerang satu pihak dan membinasakan pihak yang lain dengan secara perlahan-lahan. Apabila kita bersatu, ini akan memberi kekuatan. ( Sheykh Effendi menyatukan jari-jemari dan membentukkan satu penumbuk). Penumbuk sebegini tidak mudah untuk ditumpaskan.

Muslimin meninggalkan Islam. Yang tinggal hanya nama Islam. Rasulullah (sws) bersabda, “ Di akhir zaman, masjid-masjid akan tersergam indah dengan rekabentuk yang canggih, tetapi malangnya, kamu tidak akan dapat menemui seorang yang beriman diantara jemaah di dalam masjid itu.” Hanya nama Islam sahaja yang akan kekal. Orang akan membaca Quran, tetapi Quran yang dibaca itu tidak akan dapat menusuk ke dalam jiwa mereka. Masjid yang begitu indah itu akan menjadi kosong dan lengang. Bukankah ini yang sedang berlaku kini? Katakan. Katakan. Sudah tentu ianya benar. Pergi dan lihat di mana sahaja. Mereka sedang membina. Mereka sedang berlari dengan berkata, “Bantulah masjid-masjid itu, bantulah masjid.” Pada setiap Jumaat, “Bantulah masjid. Duit, duit, duit, bantulah masjid.”

Mereka membina masjid. Apakah kegunaan masjid itu bagi diri kamu? Kamu tidak lagi mengadakan majlis keramaian di situ. Setidak-tidaknya, jika terdapat majlis keramaian dan beberapa kegiatan yang lain, ada juga orang yang akan berdoa di situ. Mereka berkata, “ Tidak. Kamu tidak boleh melakukan ini. Kamu tidak boleh melakukan itu.” Majlis keramaian juga tidak dibenarkan di masjid-masjid itu dan akibatnya, masjid menjadi lengang. Kosong dan tidak bermaya. Di masjid kini, tidak lagi dapat kita temui pegawai-pegawai berkuasa yang boleh diajak berbicara kerana mereka sekarang berkata, “kamu tidak boleh memberitahu saya semua ini. Saya telah menyumbang wang sebanyak ini pada masjid itu.” (Sheykh Effendi senyum).

Jad fikirlah semua. Seakan cara orang-orang Kristian. Mereka ke gereja hanya sekali dalam seminggu, iaitu pada hari Ahad. Selain dari itu, gereja menjadi lengang. Para muslimin, eh, begitu ramai di antara mereka yang kini tidak juga menunaikan solat Jumaat. Allah berfirman, “ Itu adalah hari kesucian kamu. Hari yang paling suci! Tinggalkan perkara-perkara yang lain. Ia akan menjadi haram buat kamu.”

Mereka berkata, “ Saya sibuk. Saya sedang bertugas.” Jadi sekarang ini, saya rasa, kita tidak lagi dapat berdoa. Kita hanya boleh berdoa untuk para penyelemat, iaitu mereka-mereka yang akan dapat mengubah cara hidup, untuk datang dengan segera. InshaAllah. Jika tidak, dengan keadaan begini yang berterusan, pola yang telah diletakkan di negeri-negeri kita oleh negeri Barat, sebagaimana yang sedang dilakukan di Pakistan pada ketika ini, dua puluh tahun akan datang, dengan cara sebegini, kamu akan mendapati Pakistan menjadi seperti negara-negara Eropah yang lainnya. Banyak tempat yang akan ditutup. Itulah yang sedang dilakukan oleh Musharraf. Berkejaran untuk menghentikan pembacaan Quran dan segalanya yang cenderung ke arah itu. Ini adalah di atas arahan negara Barat. Negeri-negeri Barat berkata, “Jangan mengajar mereka membaca Quran sekarang. Itu sudah tidak diperlukan lagi.” Jadi mereka akan pergi dan mereka akan membakar masjid-masjid. Para Imam yang bangang sedang bertempur dengan pihak kerajaan. Masjid dibakar, orang dibakar dan segala-galanya dibakar. Ini bukan Islam. Untuk siapakah kamu berperang? (Sheykh Effendi senyum).

Kita telah kehilangan pembimbing, bukan Quran.

Semua ini berlaku kerana kita telah meninggalkan, bukan Quran, mereka mengaku bahawa mereka memiliki Quran, akan tetapi tidak mempunyai pembimbing yang dapat menunjukkan Quran itu kepada mereka. Manusia, mereka telah kehilangan pembimbing dan mereka percaya bahawa mereka akan dapat mencari jalan keluar. Mustahil. Allah telah memberi kita pemahaman dan berfirman, “ Baca dan fahamkan.” Tetapi membaca dan memahami bukan untuk semua orang. Umpanya, terdapat lima puluh orang di sini. Jika kamu membaca sesuatu, daripada lima puluh orang itu, mungkin hanya tiga yang dapat membuat rumusan daripada apa yang telah dibaca. Yang lainnya mungkin akan terlupa permulaan atau pertengahan jalan cerita dan ada juga yang tidak dapat memahami sepenuhnya. Jadi membaca adalah satu perkara, membaca serta memahami adalah perkara yang lain, membaca sambil memahami dan menghayati adalah perkara yang berbeza sama sekali. Oleh itu, Allah subhana wa ta’ala menurunkan pembimbing dan Dia berfirman, “ Mereka itu membaca, memahami serta menghayati dan hidup mereka diterajui oleh pemahaman yang diperolehi dari apa yang dibaca itu. Seterusnya, mereka akan membawanya ke tahap di mana kamu akan mudah memahami.”

Permulaan Quran adalah Surah Fatiha. Kamu buatlah permulaan itu. Sejurus selepas kitab dibuka, “BismillahirRahmanirRahim, Alif, Lam, Mim.” Berapa banyak Muslimin yang duduk untuk berfikir, “Sebaik sahaja kami membuat pembukaan, Allah telah mengunci kami dengan huruf-huruf ini. Mengapakah dia meletakkan huruf-huruf ini kepada kita? Apakah maksud di sebalik huruf-huruf ini?” Mereka tidak memikirkan ini dan mereka terus menyelam ke dalam dengan anggapan yang mereka itu akan memeperolehi sesuatu. Kamu akan memperolehi sesuatu berdasarkan ego kamu. Berdasarkan ego bererti pengertian yang di tahap pemahaman manusia yang cetek. Berdasarkan pemahaman kamu! Kamu sudah tentu tidak dapat untuk menerangkan isi Quran berdasarkan tahap pemahaman kamu yang rendah itu. Quran membicarakan persoalan silam, persoalan masa kini, dan persoalan masa depan. Jadi, apa yang tersurat buat kamu di Quran itu, bolehlah kamu ambil untuk diri kamu sendiri. Tetapi, terdapat banyak ayat di Quran itu yang tidak sesuai buat kamu. Ia dikhususkan untuk masyarakat kini, ia dikhususkan buat para pemerintah ini, ia dikhususkan buat mereka yang mengaku terdiri sebagai golongan masyarakat dan Ummat. Jadi jika kamu mengambil itu dan memahaminya berdasarkan tahap pemahaman sendiri dengan kuasa di tangan kamu, seperti sesetengah tokoh-tokoh Islam, mereka mempunyai kuasa wang ringgit dan mereka juga memliki kuasa senjata, mereka itu membaca Quran dan berkata,“ Oh ini yang dimaksudkan.” Itu yang kamu maksudkan buat diri kamu. Kamu tidak boleh mengambil maksud itu dan menujukannya kepada sekian masyarakat sambil berkata, “ Ikutilah saya, kita akan membuat Jihad.” Huh? Inilah yang sedang berlaku sekarang.

Jangan memohon doa bagi mereka yang kejam.

Rasulullah (sws) berkata, “ Sekiranya masyarakat Islam, Ummat ini, berterusan tanpa seorang Khalifah selama tiga hari, Islam tidak lagi memerintah.” Ummat ini sudah tidak mempunyai sebarang khalifah berkurun lamanya. Tanpa mempedulikan mereka, untuk kita berfikir, “bagaimana dapat kita memulihkan keadaan ini?” Mereka sedang berdiri membentengi di hadapan itu sambil berkata, “Apa yang sedang kamu lakukan itu tidak sejajar dengan pendapat Barat. Kita mesti menghapuskannya.” Begitulah yang sedang berlaku ke atas ummat Islam di masa kini. Jika kami memohon doa untuk mereka, maka kami juga akan turut mendoakan golongan yang zalim itu. Dengan secara langsung, kita juga akan bertanggungjawab di atas perbuatan salah mereka. Kita memohon perlindungan daripada kejadian sebegitu. Berdoalah untuk diri kamu sendiri dan juga untuk anggota keluarga kamu. Jika mereka juga merupakan seseorang yang zalim, maka janganlah didoakan. Berdoa untuk mereka yang zalim akan turut mengheret diri kamu ke dalam api yang akan membakar orang-orang zalim itu. Mereka yang zalim itu juga terbahagi kepada beberapa kategori.

InshaAllah, masyarakat ini akan sedar sebelum ianya terlambat. Namun, kita ini sedang menghampiri ke hari-hari terakhir di mana baginda Rasulullah (sws) pernah menjanjikan bebanan yang amat berat, kesempitan, kesakitan serta kepayahan sedang menanti di hadapan untuk mencengkami hidup kita semua. Ini semua belum tamat lagi, kita hanya baru bermula untuk menjejaki ke era itu, masa buat Dajjal, di mana terdapat kekeliruan yang berlarutan. Tiada lagi sesiapa yang menghiraukan sebarang nasihat. Semuanya sedang bergembira ria dengan pemikiran masing-masing, dengan pengetahuan cetek mereka. Pengetahuan yang tidak akan dapat berdaya untuk menggerakkan mereka, walau hanya ke tempat yang terdekat. Kanak-kanak tahu, yang dewasa tahu, lelaki dan juga perempuan tahu, semuanya tahu. Jika kamu berkata, “Ini adalah dari Rasulullah (sws)”, mereka akan berkata, “Itu tidak bersesuaian untuk masa kini.” (Sheykh Efendi tertawa). Ia tidak bersesuaian?

Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.