BismillahirRahmanirRahim

TIADA GENTAR BAGI MEREKA YANG MEMPERJUANGKAN KEBENARAN

Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

Khamis 10 Zil-Qadah, 1430
29 hb Oktober, 2009
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Sultanul Awliya, Medet.

Tariqatuna Sohbet wa Khayru fil Jamiat. Cara kita berterusan menerusi persatuan. (Kita bermula dengan memasuki ke jalan ini). Seterusnya, selangkah demi selangkah setiap orang akan mencapai kepada apa yang telah ditentukan oleh Allah subhana wa ta’aala untuk diri masing-masing. Tetapi, manusia pada kurun ke 21 ini, sungguhpun mereka ditenggelami masalah dua puluh empat jam sehari, namun mereka masih tetap berlari untuk mengundang lebih banyak lagi masalah untuk diri mereka, bukan setakat di dunia, malah di kuburan dan juga di Akhirat. Barangsiapa yang berkejaran untuk Islam, Islam bererti penyerahan. Ketenangan. Dan ketenangan itu hanya akan dapat dimiliki menerusi penyerahan. Dan penyerahan itu adalah kepada maha pencipta kamu yang Esa. Tetapi bukan menurut kehendak ego kamu. Ia seharusnya menurut segala yang telah ditetapkan Allah swt. Sesungguhnya Dia telah mengutus 124,000 para rasul; untuk menunjukkan manusia jalan dari Dunia ke Akhirat dan untuk menyedarkan manusia bahawa mereka telah menjadi kotor dan ingkar terhadap Allah.

Sheytan telah ingkar, dan akibat daripada itu, segala keindahan yang telah menghiasi dirinya, setiap ilmu yang telah diturunkan kepadanya, seluruh kuasa yang telah diberikan kepadanya, sebaik sahaja dia menjadi penderhaka, bererti dia telah merubah setiap pemberian itu dengan penderhakaan. Allah tidak menarik balik setiap pemberiannya itu, akan tetapi sheytan yang angkuh dan degil, menerusi perbuatannya sendiri yang telah membuang setiap pemberian Allah subhana wa ta’ala ke atas dirinya. Dia mengambil dan melontarkannya jauh. Dan apabila amaran diturunkan, bukan setakat menjadi sombong dan bongkak, malah dia bertambah degil dengan perbuatan salahnya. Dia melakukan itu sehingga Allah subhana wa ta’ala memerintahkan para malaikat, para pengawal syurga, dengan berfirman, ‘Nyahkan yang ini dari Syurga!’ dan dia telah diusir keluar dari syurga.

Sheytan tidak duduk dengan selesa di dunia ini. Dia tidak akan dapat duduk dengan selesa hingga ke hari kebangkitan kelak. Kebimbangan dan ketakutan telah menyebabkannya menjadi gila. Dan dia tidak dapat duduk dengan selesa dan tenang maka dia pergi ke pintu syurga, berjaya masuk menerusi mulut seekor ular….terdapat begitu banyak ular di dunia sekarang ini, dia berjaya memasuki ke dalam dan memperdayai Hazrat Hawa. Maka Hazrat Hawa pula mengingkari perintah Allah. Dengan secara langsung, beliau telah melanggar perintah Allah subhana wa ta’ala. Dan Hazrat Hawa berjaya memperdaya Adam (alaihi salam). Sebaik sahaja Adam melakukan perkara yang dilarang itu, arahan telah diturunkan kepadanya yang berkata, ‘Sekarang kamu juga telah menjadi kotor. Sesiapa sahaja yang mengingkari perintah ku, mereka adalah sesuatu yang kotor, dan kekotoran tidak boleh kekal di Syurga. ‘ Seterusnya mereka diperintah untuk turun ke dunia dengan berkata, ‘Bersihkan diri kamu dan kembali ke Syurga. Jika kamu tidak membersihkan diri kamu, maka kamu tidak akan dapat kembali ke Syurga. Bersihkan diri kamu dari sikap-sikap kebinatangan’, kerana hanya sifat kebinatangan itu yang telah mengingkari Allah subhana wa ta’ala.

Semenjak waktu itu, Sheytan telah berjaya memasuki dan menyelit ke diri anak-anak Adam (as) sambil menanam kekeliruan serta Fitna. Namun, akan sentiasa terdapat satu kumpulan yang akan berlari untuk memelihara perintah Allah manakala terdapat kumpulan lain yang akan berlari untuk menebar kekeliruan dan pengingkaran terhadap Allah subhana wa ta’ala. Keadaan ini telah berterusan hingga ke rasul yang terakhir, baginda Muhammad (salatu wa salam). Dan adakah ia berhenti di situ? Tidak. Ia berterusan. Tatkala Islam menjadi sebuah negeri dan berada dalam pemerintahan yang kuat, Sheytan tidak lagi dapat lari berkeliaran dengan sewenangnya untuk menanam kekeliruan di dalam hati mereka yang beriman. Semenjak tahun 1908, bermula dari Ulul Hakan Sultan Abdul Hamid Khan turun dari kuasa pemerintahan, Sheytan mula ligat berlari untuk menyelam ke dalam orang-orang Muslim dan dia berjaya untuk memperdayakan mereka dari setiap arah,kiri dan kanan. Untuk mengelirukan mereka sewaktu mereka berada di dalam masjid yang sama dan sedang mengikuti Sheykh yang sama, atau sewaktu mereka berlari melakukan sesuatu demi untuk Allah.

Apa yang menyebabkan perkara ini terjadi? Ego mereka. Semua orang inginkan agar ego mereka dipuji. Eh, ego kamu itu merupakan makhluk yang telah mengingkari Allah subhana wa ta’ala. Sesiapa sahaja yang akan memuji ego kamu, mereka juga adalah sheytan. Terutama sekali pada masa kini, Akhir bagi Akhir Zaman, berada dalam kekeliruan sheytan-sheytan dan dajjal. Sudah tiada lagi masa yang tinggal bagi Dajjal terbesar untuk keluar. Dan saya melihat begitu ramai sekali yang lari berkejaran ke arah dajjal. Eh, berlarilah. Kamu bebas untuk ke mana sahaja. Berlari ke mana saja. Tetapi kamu itu hanya berlari dari Haqq menuju ke Batil. Itu sahaja. Dan dajjal-dajjal sedang menanti untuk melilitkan rantai di leher kamu dan lambat laun kamu akan menyesal. Namun adakalanya, penyesalan yang terakhir itu tidak mencukupi. Dan sheytan akan menyeret mereka semua itu ke Jahannam.

Kami adalah mereka yang memperjuangkan kebenaran. Para Hakkani. Pejuang Kebenaran. Bukan hanya pada nama. Bukan hanya setakat di kawasan yang kecil ini. Di mana jua kami berjalan di muka bumi ini, akan kami pertahankan kebenaran. Sesiapa yang berkata selain dari itu, mereka pastinya merupakan wakil-wakil sheytan. Dalam keadaan saya ini, saya merupakan seorang hamba yang lemah. Tetapi seperti kata Sheykh kami, dengan pertolongan Allah subhana wa ta’ala, saya akan menjadi yang paling kuat. Namun, tidak perlu untuk saya menjadi yang paling kuat kerana Sheykh Maulana berada di atas segalanya, Alhamdulillahi Rabbil Alameen.

Mereka semua yang akan berkejar-kejaran untuk menjadi pembantu Sheytan dan dajjal, dipersilakan. Berlarilah sekarang juga jika kamu mahu. Jika tiada seorang pun yang tinggal di sekeliling, jangan kamu fikir bahawa ini akan merubah segalanya. Ia tidak akan berubah. Ini adalah kerana kami sedang memperjuangkan kebenaran dan menentangi sheytan dan dajjal yang akan menjadi lebih kuat dan lebih berkuasa. Ia tidak akan pernah menjadi lemah. Kami mungkin tidak akan terdaya untuk memikul ini hingga ke penghujungnya. Apa jua yang Allah subhana wa ta’ala telah berikan pada kita di dunia ini, inshaAllah ar-Rahman, kami akan menggunakannya hingga ke hembusan nafas yang terakhir dan tiada seorang pun manusia di muka bumi ini, tiada sheytan, tiada dajjal dan tiada pemerintah yang akan dapat meletakkan sebarang ketakutan ke dalam jiwa kami kerana kami sedang berpegang kuat kepada Allah, pada Rasulnya (sws) dan pada Awliya nya.

Sesiapa sahaja yang sedang membuat pengakuan yang mereka mengenali Awliya itu, jika mereka tidak mengenali Sheykh Mevlana Muhammad Nazim al-Hakkani, sesungguhnya mereka itu hanya mengenali sheytan. Jika terdapat sesiapa sahaja yang mengaku diri mereka sebagai Awliya, mereka harus mengenal yang satu itu. Jika mereka tidak mengenal yang satu itu, maka yang sebenarnya, mereka itu adalah wakil-wakil sheytan. Setakat ini sudah mencukupi buat kamu, buat diri saya dan buat semua orang di seluruh dunia yang akan mendengar. Dan saya ingin ini dimasukkan di mana-mana sahaja. Terjemahkan ke dalam bahasa Turkish, bahasa Inggeris agar ia akan menusuk ke jiwa setiap orang daripada mereka, untuk mereka mendengarkan ini dan sesiapa sahaja yang sedang mencabar, saya berada di sini. Saya tidak mencabar sesiapa. Saya hanya hamba yang lemah. Akan tetapi bukan serigala, bukan dubuk, bukan kucing, tapi hanya tikus yang sedang cuba untuk mencabar saya. Mereka hanyalah tikus-tikus liar, dan tugas tikus itu adalah untuk masuk ke dalam longkang dan mengeluarkan segala kotaran yang berada di dalamnya itu. Mereka hidup bergelumang dengan kotoran. Itu sahaja.

Wa min Allahu tawfiq

InshaAllah ar-Rahman, kami memohonkan pertolongan dan sokongan dari Sheykh kami dan saya tidak tahu bagi pihak diri kamu, tetapi saya meletakkan leher saya di bawah telapak kakinya. Dan setiap titisan darah di tubuh saya menjadi korban baginya. Saya tidak akan pernah bertanya jika apa yang dilakukannya itu benar atau salah kerana saya tahu bahawa apa yang dia lakukan itu adalah benar. Dan sekiranya terdapat sesuatu yang dilakukan itu kelihatan tidak betul, sudah semestinya saya mempercayainya dan mengikut jejak langkahnya itu. Dan segalanya yang saya lakukan di negeri ini selama 35 tahun, bagi mereka-mereka yang tidak mengenali saya, ketahuilah bahawa saya mengikuti setiap jejak langkahnya, walaupun terdapat ramai di antara mereka yang tidak menyukai saya kerana hakikat ini. Dan saya tidak memiliki sebarang ketakutan dan kebimbangan. Sungguhpun jika beliau melemparkan kata-kata yang paling buruk sekali di dunia ini, inshaAllah usia saya sudah menjangkau lebih 50 tahun dan saya tidak pernah berubah hati walau sekali pun, dan saya tidak berniat untuk merubahnya hingga ke akhir hayat.

Kita sedang berkhidmat kepada Sheykh Mevlana Muhammad Nazim al-Hakkani selama lima generasi. Datuk saya, bapa saya, saya sendiri, anak lelaki saya dan cucu lelaki saya. Kita sedang berkhidmat untuknya. Dan kita akan terus berkhidmat padanya. Sesiapa yang mengatakan selain dari ini, sama ada orang itu sedang menyerang saya atau pun mereka merupakan seorang pendusta, atau pun mereka sedang berada dalam Ghaflat yang terbesar.

Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.