BismillahirRahamanirRahim

ADAB SEWAKTU BERZIKIR

Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi

Jumaat 18 Rabi’ al-Thani, 1426
28 May, 2005
39th Street Dergah, Manhattan New York.

Hasbinallah wa ni’mal wakeel
Wa la hawla wa la quwwata illa billahil aliyyil azim.

Medet Ya Sayyidi Ya Sultanul Awliya.

Sebelum zikir dimulakan, lampu akan dipadamkan terlebih dahulu. Pejamkan mata kamu. Jangan melihat-lihat di sekeliling kamu. Ikuti gerak hati kamu. Apabila sohbet sedang dibaca, lampu dinyalakan semula. Kamu perhatikan. Kamu dengarkan. Kamu lihat. Tujuan kami memadamkan lampu sewaktu berzikir adalah agar kamu tidak sibuk dengan apa yang berada di sekeliling. Dengan cara ini, kamu akan dapat turut serta. Dan usahlah kamu bimbang dengan apa yang akan dikatakan oleh orang di sebelah-menyebelah. Sama ada dia akan mengatakan yang kamu itu gila atau kamu merupakan seorang wali, jangan hiraukan kata-kata dari sesiapa jua. Tujuan kamu ke sini adalah kerana Allah, mashallah. Ini akan membawa kamu terus ke syurga. (Sheykh ketawa mengusik)

Ingat! Ingat. Jika saya menyuruh kamu untuk bangun dan menyanyi, ‘X’ akan meninggikan suaranya menjadi lebih lantang dari yang lain jika dia bernyanyi untuk nafsu, untuk ego. Ini adalah untuk Allah. Kamu harus memberi sepenuh tumpuan kepada diri kamu sendiri. Lihat semula ke dalam hati kamu. Pejamkan mata. Jangan sibuk dengan keadaan di sekitaran. Selami hati kamu. Ikuti ketua yang sedang memimpin Zikir itu. Jika nada suaranya ditinggikan, maka tinggikan juga nada suara kamu. Jika diperlahankan nada suaranya, nada suara kamu juga harus diperlahankan. Jika kamu pejamkan mata dan mengikut dengan daya pendengaran, maka kamu dapat menyertai. Jika tidak, kamu tidak akan dapat turut serta.

Ala bi zikrillahi taqma’in qulub. Allah berfirman,“ Jika kamu ingin menikmati kepuasan di dalam hati, kamu harus berkata/menyebut/menyeru Allah.” Jangan pedulikan apa yang dikata orang. Kita inginkan kepuasan di hati dan kita mesti menyebut Allah. Itu sebabnya kita berada di sini dan itulah sebabnya mengapa diadakan ‘Zikir Sir’. Ini bukanlah ‘Zikir Qalbi’. Ia bukannya dari dalam hati. Jika ianya dilafazkan di dalam hati, kamu harus pastikan yang lidah kamu tidak menyentuh langit-langit (di bahagian mulut kamu). Kamu tidak harus menggerakkan anggota tubuh kamu. Tetapi saya sering lihat setiap orang bergerak-gerak. Dan saya juga terdengar banyak suara-suara.

Sekarang, kamu harus bergerak. Kamu harus turut serta. Kamu harus menempatkan diri kamu ke dalam bulatan keharmonian itu. Hanya dengan cara begini dapat kamu menemui sesuatu, atau merasai sesuatu, melihat sesuatu dan kamu akan dapat mendengar sesuatu. Bukan kamu sahaja yang berada di sini. Yang mulia, baginda Rasulullah (alayhi saltu wa salam) pernah bersabda, jika terdapat sekumpulan manusia sedang duduk berkumpul demi Allah dan mereka bersedia untuk menemui Tuhan mereka, maka para malaikat yang sedang berlalu-lalang di muka bumi ini akan terdengar seruan itu, mereka akan memanggil para malaikat yang lain dan mereka semua akan mengelilingi kawasan itu. Penghuni-penghuni syurga yang sedang memerhatikan akan turut turun ke bumi. Mereka akan turut serta dalam majlis itu.

Terdapat perkara-perkara lain juga yang turut menyertai majlis zikir kita ini. Jika kamu tidak dapat melihatnya, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena. Kamu harus melihat. Kita harus melihat. Kita harus merasa gentar. Sekurang-kurangnya, harus ada sedikit perasaan gentar dalam jiwa kita. Tetapi kamu tidak menyerahkan jiwa raga kamu ke dalamnya. Kamu terlalu sibuk melihat di sekeliling. Tinggalkan itu! Apa yang akan dapat kamu lihat? Ianya gelap. Padamkan lampu itu juga. Gelap gelita. Serahkan diri kamu sepenuhnya. Jangan bimbang! Jangan bimbang tentang apa yang orang akan berkata. Lihatlah apa yang Tuhan-mu serta Rasul-mu (saw) akan berkata. Kita semua sedang diperhatikan. Ada seseorang yang sedang memerhatikan. Perhatikan diri kamu sendiri. Perhatikan hati kamu. Serahkan seluruh jiwa kamu. Itulah zikir.

Ini adalah zikir terbuka, sebanyak mana yang kamu ingin, turut sertalah. Jika kamu ingin bersenyap, bersenyaplah. Jika kamu ingin melakukan zikir dengan lantang, kamu berzikirlah dengan lantang. Inshallah ar-Rahman. Jika kamu lakukan ini semua, kamu akan menang untuk diri sendiri. Jika tidak, kamu hanya ibarat sebuah pita rakaman. Jika pita itu dimainkan dengan nada suara yang tinggi, ia akan terus berbunyi selagi masih berputar. Tetapi ia tidak akan memperolehi apa-apa. Kita harus memperolehi sesuatu.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha