BismillahirRahmanirRahim

Anjing-anjing akan sentiasa menyalak namun perjalanan Kafilah masih tetap diteruskan

Sohbet dari Seyh Abdul Kerim al-Kibrisi

Khamis, 1 Jumad al-Thani, 1429

4hb June, 2008

Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim

BismillahirRahmanirRahim

Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet.

Tariqatuna sohbet wa khayru fil jamiat. Sheykh kami berkata, “Walaupun hanya untuk lima minit, dua orang – dua, tiga, empat atau lima, tidak kira berapa ramai bilangan kita, hanya seorang sahaja yang bercakap sementara yang lain mendengarkan. Dengan cara ini, kita akan memperolehi manfaat dari kata-kata yang diucapkan itu InshaAllah dan kita akan dirahmati kerana Baginda Rasulullah (sws) pernah bersabda, “Din-I Nasihat.” Din adalah nasihat. Dan Shah naksibendi (qaddasallahu sirruh) berkata, “Cara kita berterusan menerusi sohbet, menerusi persatuan.” Sekarang ini, kita bukan di tahap untuk memberi sohbet. Hanya membicarakan sepatah dua kata yang mungkin boleh menyedarkan diri dari kelekaan.

Sohbet dikhususkan bagi golongan orang yang bersedia. Bukan untuk mereka yang hadir secara lahiriah tetapi jiwa mereka sedang merayau-rayau ke tempat lain, atau sedang berlari untuk membebaskan diri. Seumpama mereka yang berlari untuk menghadiri sohbet pada saat-saat terakhir. Itu bukanlah sohbet. Kamu tidak boleh memberi sohbet dengan cara begitu. Namun kerana kita berada di sini, inshaAllah, kita nantikan apa yang diizinkan oleh Yang Maha Suci untuk kita berbicara dan kata-kata itu adalah untuk kebaikan diri saya dan juga diri kamu. Jika kamu menghayati kata-kata itu dan melakukan yang terbaik untuk hidup kamu, maka kamu akan menang. Jika tidak, maka berkatalah, ‘Saya hanya dengarkan diri saya sendiri, ego saya’.

Ini bertepatan sekali dengan apa yang dilakukan Sheytan. Dia tidak mendengar. Dia tidak mendengarkan. Apabila Allah memerintah, ” Bersujud kepada Adam”, bererti, patuhi Adam sekarang. Mulai saat ini, kamu harus mematuhinya. Dia tidak mentaati perintah itu kerana dia hanya mendengarkan egonya yang sedang berkata, “Saya adalah lebih baik. Jadi mengapa harus saya tunduk kepada yang itu.” Sekiranya dia mentaati perintah Allah, maka rahsia yang telah Allah subhana wa ta’ala tanamkan pada diri Adam (alayhi salam) akan melengkapkan segenap pengetahuan yang Sheytan miliki. Malangnya dia tidak melakukan itu. Oleh kerana keungkalan itu, dia menjadi pengingkar.

Keingkaran yang pertama sekali di kehadrat Illahi adalah Sheytan. Keingkaran kedua merupakan ego. Jika seseorang itu berkata, ‘Saya seorang yang beriman, saya seorang mukmin’ apakah tanda-tandanya? Ini bererti dia mentaati perintah tuhannya. Mukmin adalah seorang yang mentaati suruhan Tuhannya. Mentaati perintah Tuhan bukan dengan setakat mengatakan, “Saya sedang mengambil Quran dan membacanya.” Bukan. Kamu harus mentaati Rasulullah (sws). Sekarang ini dia berada terlalu jauh dari kita semua. Eh, maka kita harus mencari seseorang yang dapat kita katakan, “Baiklah. Saya akan dengarkan yang ini. Setiap perkara yang akan dilakukan, saya akan merujuk kepada yang satu ini. Saya akan menyuarakan hasrat hati saya dan mendengarkan pendapatnya mengenai apa yang terbaik buat diri saya dan sebaliknya.”

Seterusnya jika yang satu itu adalah salah……kerana ini juga merupakan antara penyakit masa kini dimana orang ramai berlumba untuk menguji guru-guru mereka. Bagaimana mungkin dapat kamu menguji guru itu? Kamu adalah seorang murid! Bagaimana dapat kamu memahami guru kamu itu? Maka inilah diantara salah satu penyakit. Sheytan sedang memperdayakan kamu dengan cara begitu. Dia berkata, “Benar, memang terdapat sheykh-sheykh yang baik di dunia ini di waktu dahulu, tetapi sekarang semuanya telah lenyap.” Ini menunjukkan betapa jahilnya orang tersebut kerana pemikiran begitu akan berlarutan hingga ke hari kebangkitan kelak. Mereka berkata, ” Pernah terdapat banyak para wali yang menghuni di muka bumi ini tetapi sekarang semuanya telah tiada lagi.” Saya mendengar pengakuan begini di merata tempat. Betapa jahil dan bodoh sungguh! Tidak memahami sesuatu apa sekalipun. Apa yang menyebabkan seseorang memperkatakan hal-hal demikian; Ego mereka. Ego mereka sedang berkata, “Jangan serahkan diri kamu kepada sesiapa. Serahkan hanya pada ku.” Ego berkata lagi, ” Kamu harus mematuhi aku. Tiada sesiapa lagi. Aku akan merasa gembira jika engkau mematuhi ku. Jika engkau ingkar, aku akan menjadi begitu sedih sekali.”

Pada abad ke 21 ini, manusia di timur, barat, utara dan selatan……..kamu menetap di Amerika, jangan fikir ini hanya berlaku di Amerika, tidak. Tidak lagi begitu. Sebelumnya, mungkin di beberapa benua, terdapat kebanyakkan di antara mereka yang berada di jalan benar. Keadaan telah jauh berubah. Kini hanya segelintir sahaja orang di merata dunia yang sedang berbuat demikian dan mereka sedang bersembunyi di sudut-sudut tertentu. Orang-orang di Barat sedang ligat berlari. Untuk apa? Untuk dunia. Salah satu daripada tipu helah dan perangkap sheytan yang terbesar adalah Dunia. Itu sahaja. Jika kamu jatuh ke dalam perangkap ini, ia bermakna kamu telah memberi kuasa ke tangan Sheytan untuk mengatur hidup kamu.

Jadi, siapakah orang yang tidak beriman? Siapakah orang kafir? Mereka itu terdiri daripada golongan manusia yang sedang mendengarkan hasutan Sheytan. Orang beriman adalah mereka yang mendengar dan mematuhi Allah, manakala orang yang hilang pegangan iman, orang-orang kafir, adalah mereka yang mentaati perintah Sheytan. Adakah dia mentaati Sheytan dengan secara langsung? Tidak. Dia mendengarkan bisikkan ego serta menolak segala kebaikan yang didengari dari yang lain. Seperti kanak-kanak yang berusia tujuh tahun. Jika kamu katakan “lakukan ini.”
“Tidak, saya tidak akan melakukan itu.”

Eh, apa yang kamu tahu? Apakah kamu tahu jika sesuatu itu benar dan baik buat diri kamu? Kamu tidak tahu. Maka kamu harus mendengar.
Malangnya, golongan dewasa kini telah hilang arah tujunya. Mereka tidak lagi tahu cara-cara untuk mendidik anak-anak walau untuk melakukan perkara-perkara yang mudah. Saya pernah terlihat seorang bapa yang memasuki sebuah kedai dengan anak kecilnya. Terdapat juadah seperti roti sandwic dan lain-lainnya yang dijual di kedai itu dan si bapa berkata, “Apa yang kamu suka? Pilihlah kegemaran kamu”

“Ah, saya inginkan yang itu.”

Dia memilih sesuatu yang orang dewasa sendiri tidak dapat memakannya jika dia benar-benar tidak terasa lapar. Dan bapanya bersetuju, “Ya, berikan itu kepadanya.”
Anak kecil itu sendiri tidak tahu apa yang harus di makan dan apa yang sepatutnya dipilih. Tetapi, si bapa yang bodoh itu mengizinkan anaknya membuat pemilihan kerana dia sendiri tidak pasti apa yang harus diberi kepada anak itu.

Ini hanyalah satu contoh mudah yang sudah sememangnya berlaku dalam hidup seharian kita. “Apa yang kamu suka? Apa yang kamu inginkan sayangku? Apa yang kamu gemari?” Letakkan sahaja di hadapannya dan katakan, “Makan ini.” Fahamkan apa yang baik untuk si dia dan berkata, “Kamu harus makan ini.” Namun, lupakan sahaja hal sedemikian. Manusia sekarang ini menghidapi pelbagai penyakit kerana ibu bapa mereka tidak menghidangkan makanan berkhasiat untuk kepentingan seisi keluarga, mereke berkata, “Saya tidak peduli.”

Ya, kamu tidak peduli. Sudah sememangnya begitu kerana kamu telah termasuk ke dalam perangkap dan tipu helah ego kamu itu. Dan (kamu berkata), ” Saya telah cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.” Kamu tidak melakukan yang terbaik. Kamu tidak cuba untuk berikan yang terbaik. Jika kamu cuba untuk memberi yang terbaik, maka sudah pasti sesuatu yang baik juga akan terhasil. Malangnya kamu tidak mencuba sedaya upaya yang mungkin. Ini bererti bahawa pertalian kamu dengan Allah subhana wa ta’ala telah terputus. Jika pertalian ini terputus, maka dengan siapakah sedang kamu berhubung? Tentunya kamu sedang menjalini hubungan dengan sesuatu. Dengan Sheytan. Dan Sheytan tanamkan sifat malas, Sheytan membuat manusia hilang harapan dan Sheytan membuat manusia untuk berfikir, “Saya telah melakukan yang terbaik. Jadi saya tidak peduli.”
Dari masa ke semasa, saya melihat, sewaktu menghadiri solat Jenazah, orang-orang yang seringkali terlonjak-lonjak kegirangan, apakala mayat diusung pergi, ribuan yang berada di belakang tidak lagi berlonjakkan. Saya perhatikan di televisyen. Terdapat ramai yang hadir di upacara pengkebumian itu, sungguhpun ramai di antara mereka yang tidak mengenali si mati itu, semuanya sedang bersedih. Beban kematian membuat mereka semua diam terpaku. Hiba mencengkam sanubari hingga membuatkan mereka yang meratap mayat si mati yang terbujur kaku untuk berfikir, “Sekarang, tibalah giliran saya.” Itu sememangnya benar.

Orang yang beriman adalah golongan yang sentiasa menanam kepercayaan ini di hatinya. Beliau mengakui serta memikirkan bahawa, “Azrail akan datang untuk diriku. Dalam keadaan diriku yang begini, mampukah aku menghadapi Azrail? Di manakah kedudukan diriku? Adakah aku seorang yang beriman atau tidak? Apakah bibit-bibit iman tertanam di hati ini atau ianya bertaburan di luar sana?” Sewaktu kalimah Shahadat diucapkan, maka tertanamlah cahaya keimanan di hati kita, tetapi apabila kita mula melakukan perkara-perkara yang terlarang dan ditegah Allah serta Rasulnya (sws), maka iman tidak lagi berada di dalam hati. Ini adalah kerana Rasulullah (sws) pernah bersabda,”Iman dan kufur tidak boleh bertakhta di hati yang satu.”
Apabila kamu sedang bersiap sedia untuk melakukan perbuatan salah dan kamu teruskan dengan perbuatan itu, maka lenyaplah iman dari hati itu. Kufur mula mengisi kekosongan di hati itu. Kamu berada di bawah kuasa Sheytan. Sewaktu kamu sedang melakukan kesalahan itu, iman sedang berligar-ligar di atas kepala kamu. Jika kesalahan kamu merupakan sesuatu yang kecil dan kamu menyesali perbuatan salah itu dan segera berkata, ‘Astaghfirullah’ maka iman akan kembali masuk ke dalam hati. Tetapi sekiranya kesalahan itu bukan satu perkara kecil, maka kamu harus merujuk kepada seseorang, seorang yang alim, untuk mengatakan, ‘ Saya telah melakukan satu perbuatan salah . Ia adalah satu kesalahan besar. Saya tidak lagi merasa selesa.’ Ya, sudah tentu kamu tidak akan merasa selesa. Ramai orang, yang sekarang ini sedang berada dalam keadaan tenteram dan aman, akan tiba waktunya di mana mereka akan merasa gundah dan gelisah kerana ini bukan penentuan kamu. Kamu tidak dapat mengelak.

Kita semua tidak boleh lari dari penentuan Allah subhana wa ta’ala. Dari masa ke masa, kita hanya akan jauh tersasar dari jalan yang benar. Berlari-lari ke sana sini. Namun, kita tidak dapat mengelak. Kuasa tetap berada dalam genggamannya. Tanpa kebenarannya, kita tidak mungkin dapat menghirup udara. Jadi, “Kami hidup mengikut sesuka hati kami.” Kenyataan ini tidak benar. Memang secara lahiriah, ianya kelihatan begitu, tetapi pada hakikatnya, kita tidak hidup mengikut sehendak hati. Lambat laun, ada yang akan datang untuk menangkap kita. Terdapat para pengawal yang sedang menunggu untuk menahan kita dengan mengatakan, “Inilah kawasannya. Kamu tidak boleh melewati batas ini. Mari kita lihat apa yang telah kamu bawa bersama setakat ini.”

Jadi siapakah itu golongan yang bijak pandai? Inilah golongan manusia yang berkejaran untuk mendapatkan cahaya keimanan seta melindungi iman tersebut. Itulah manusia yang bijak. Dan manusia yang bijak harus memiliki iman. Iman, kebijaksanaan. Iman, kesopanan. Sewaktu Adam (as) diusir dari Syurga, Allah subhana wa ta’ala mengutuskan Jibreel (as) kepadanya sambil berkata, “Perintahkan Adam untuk mengambil salah satu daripada tiga hadiah ini sebelum dia turun ke dunia.” Dan Jibreel (as) datang membawa kebijaksanaan, keimanan dan kesopanan. Dia berkata kepada Adam (as), “Allah subhana wa ta’ala menghulurkan pertolongannya kepada mu. Pilih salah satu daripada pemberiannya untuk di bawa ke dunia. Kamu memerlukannya. Kamu hanya dibenarkan untuk mengambil satu daripada pemberian itu.”

Adam (as) melihat kepada pemberian itu dan berkata, “Saya akan mengambil kebijaksanaan.” Dan Jibreel (as) berkata kepada dua pemberian yang lain itu, “Pulanglah ke tempat asalmu.” Maka Iman berkata, “Oh, saya tidak boleh pulang.” Jibreel menjawab, “Allah telah memerintahkan Adam untuk memilih hanya satu.” Iman berkata, “Ya, tetapi pada masa yang sama, Allah subhana wa ta’ala juga telah memerintahkan sesuatu pada saya. ‘Di mana perginya kebijaksanaan, di disitulah kamu harus berada. Jangan pernah terpisah dari sisi kebijaksanaan.’ Dan berkata pula Jibreel (as) kepada kesopanan, ‘Pergi. Kamu harus pergi.’ Jawapnya, “Saya tidak boleh berbuat demikian kerana perintah Allah pada saya adalah untuk sentiasa mendampingi kebijaksanaan dan kesopanan. Di mana mereka berada, saya harus mengikut. Saya tidak boleh berpisah dengan mereka.’ Lantas, Jibril (as) berkata, “Pergi dan ambil kesemuanya untuk dibawa ke bumi.”

Maka turunlah Adam ke bumi. Dengan besertakan kebijaksanaan, keimanan serta kesopanan, Adam (as) mula mengerti apa yang telah dia lakukan. Dia menyedari akan kesalahannya, memahami hikmah di sebalik apa yang telah terjadi, dia bangun dan mula menangis. Dia mula menunjukkan kelemahannya dan berkata, “Ya Rabbi, aku adalah hambamu yang lemah. Jika kamu menutup pintumu, tiada tempat lagi yang dapat aku tujui selain daripada berdiri di hadapan pintumu dan menangis. Aku tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Aku tidak berdaya untuk makan dan minum dan aku tidak akan berganjak dari tempat ini. Aku hanya akan menangis berterusan kerana aku adalah hamba mu yang lemah dan engkau adalah Raja yang amat berkuasa. Raja dari setiap raja-raja. Sultan dari segala sultan. Dan aku mohon keampunan dari mu.
Tiga ratus tahun lamanya. Bukan setakat tiga hari. Manusia masa kini, tidak sampai ke lima minit. Berlakunya musibah ke atas diri mereka, hanya lima minit.
‘Lakukan itu. Teruskanlah.’

‘Aku putus asa. Aku menyerah’

Kamu menyerah? Ke mana akan kamu pergi? Menyerah bererti, ‘Sekarang, aku berbalik ke jalan yang menghala ke neraka.’ Pintu neraka dibuka luas dan kamu sedang berlari ke arah itu. Jangan berputus asa. Sheytan sedang menghampiri manusia agar mereka dapat melepaskan segala tanggungjawab. Kebijaksanaan adalah ciri penting dalam diri manusia. Jika kebijaksanaan itu tidak dapat digunakan lagi, maka manusia akan hilang daya pertimbangan mereka. Ini membuatkan mereka mabuk dan mula lari berkeliaran di tengah-tengah jalan dalam keadaan mabuk dan leka.

Kita tidak pernah berada dalam keadaan seburuk ini sebelumnya. Terutama sekali orang-orang Islam. Khususnya mereka yang berasal dari negeri-negeri timur. Duhulu, mereka tidak berkelakuan begini. Lari berkeliaran tanpa arah tujuan. Inilah cara hidup orang-orang barat pada satu ketika duhulu. Namun kini orang-orang barat sudah mula sedar. Maka, ini adalah cara negeri-negeri yang mengamalkan dasar Kapitalis. Prinsip perniagaan mereka mendesak orang ramai supaya ulang-alik bergegasan ke kedai-kedai. Apakah urusan kamu berada dua puluh empat jam di simpang-simpang jalanan? Apakah tujuan kamu menghabiskan masa dua puluh empat jam di pasar-pasaraya? Apa yang sedang kamu lakukan? kamu tidak memerlukan apa-apa. Yang nyata ialah kamu tidak boleh duduk diam di rumah. Ya.

‘Saya tidak boleh duduk diam. Saya letih. Saya bosan. Kamu tahu, saya sedang lemas.’
Jika kamu sedang kelemasan, pergilah ke tanah perkuburan dan perhatikan. Mungkin kamu akan merasa tenang. Pergi ke hospital dan lihat betapa ramainya orang sedang lemas. Lihat dan katakan kepada ego kamu, “Si dia itu adalah aku. Mungkin ianya akan berlaku pada diriku di satu masa nanti.” Jika kamu tidak kembali ke jalan yang lurus, apa yang sedang kamu perhatikan itu akan terjadi keatas dirimu.
Jadi, manusia yang bijak akan sentiasa berwaspada agar dirinya berada di jalan yang lurus. Dia mengamalkan cara Rasulullah (sws), menjaga kesopanan dan tidak mencampuri urusan orang lain. Dia berikhtiar untuk memperbaiki akhlak diri sendiri, mendapatkan perlindungan terutama pada saat-saat keliru ini. Dia tidak banyak membuka mulut untuk membicarakan hal-hal yang merugikan.

Dosa! Apakah diantara dosa-dosa yang terbesar? Berzina adalah perbuatan berdosa yang membabitkan seorang individu dengan tuhannya. Terdapat dosa-dosa atau perbuatan terlarang yang di antara Allah dan orang yang melakukan kesalahan itu. Terdapat juga perbuatan dosa yang harus melibatkan si pelaku dosa itu dengan Allah dan keseluruh umat manusia. Jika kamu menanggung dosa yang begini, maka ia merupakan bebanan yang amat berat sekali bagi diri kamu. Salah satu daripada perbuatan yang mengakibatkan dosa begitu, dosa teramat besar, adalah mengumpat, menabur fitnah, berbohong dan menipu orang lain. Apakah yang pernah baginda Rasulullah katakan (sws)? “Seseorang yang beriman tidak akan menipu dan mereka juga tidak akan tertipu.” Jika dia seorang yang beriman, maka dia tidak boleh menipu dan dia juga tidak akan ditipu oleh sesiapa.
Sekarang ini, kita sedang menyaksikan keadaan yang amat memilukan. Di mana dunia sedang berkejaran untuk menuju ke neraka. Manusia dari timur, barat, selatan dan utara, semuanya sedang berlumba-lumba ke arah itu. Sheytan sedang memandu mereka semua ke destinasi terakhir itu. Kami berkata, ‘Selamatkan, selamatkan diri kamu sendiri dan selamatkan sesiapa yang turut berada di situ.’ Jika berlaku kebakaran besar di bangunan ini, saya harap ia tidak akan berlaku, tetapi jika ia berlaku, apakah reaksi kamu? Sudah tentunya kamu akan terlebih dahulu berfikir, “Ada baiknya saya menyelamatkan diri saya dari kebakaran ini.” Jika kamu fikir dan akui bahawa kamu itu gagah dan berupaya untuk menyelamatkan diri sendiri, maka selanjutnya kamu akan berkata, “lebih baik saya menyelamatkan barang-barang berharga dari sini.” Ini yang akan kamu lakukan. Keseluruh umat manusia sedang bergegasan ke arah neraka. Sheytan sedang menari-nari di hadapan mereka dan kesemua orang sedang berlumba-lumba di belakang tanpa menyedari bahawa mereka itu sedang berada dalam bahaya. Mereka harus menyelamatkan diri masing-masing atau setidak-tidaknya, cuba untuk menyelamatkan orang lain.

Menabur fitnah, menipu dan mengumpat adalah antara penyakit teramat besar orang-orang Islam di masa kini. Pada zaman dahulu, orang ramai tidak seberani itu. Mereka akan berkata, “Dia itu adalah seorang Sheykh.” Sungguhpun dia bukan seorang Sheykh yang handal, namun tiada sesiapa yang berani untuk memperkatakan sesuatu. Ini kerana mereka juga berfikir, “ mungkin dia mempunyai pertalian yang baik dengan Allah dan para awliya, nescaya saya akan dihukum kelak akibat mencampuri urusannya.” Sekarang, manusia telah hilang kepercayaan begini. Ini merupakan salah satu tanda bahawa keimanan telah mula lenyap. Iman sudah lesap dari situ. Ini adalah petanda yang cukup untuk mengatakan, ‘Ya, kamu telah kehilangan iman itu.’
Hari ini, kamu terlihat seseorang melakukan satu perbuatan salah. Mungkin kesokkan harinya, orang itu telah memohon keampunan dan Allah subhana wa ta’ala mengampuninya. Apakah urusan kamu untuk membuka kesalahan orang itu? Ini merupakan satu perbuatan yang dicegah. Allah melarang perbuatan begini. Alayhi salatu wa salam menegahnya dan para Awliya turut menegahnya. Lantas, siapa pula yang memberi kamu kebenaran itu dan untuk siapa kamu melakukannya? Semestinya Sheytan.

Manusia mungkin tidak tahu betapa beratnya bebanan yang harus dipikul akibat daripada perbuatan terkutuk itu. Saya mengatakan ianya adalah yang teramat berat. Bagi mereka yang sedang sibuk menebar fitnah dan mengumpat, kata-kata ini dikhaskan untuk kamu semua. Huh, jika apa yang kamu katakan itu adalah benar, maka kebenaran juga tidak diberi kepada kamu untuk membicarakan tentang hal yang benar itu kerana Allah berfirman, “Jika aku menunjukkan kamu suatu perbuatan salah dari seseorang, ianya adalah untuk penglihatan kamu seorang diri. Ambillah iktibar daripada apa yang telah kamu lihat. Seterusnya kamu harus menutupi kejadian itu dan beredar dari situ. Bukan urusan kamu untuk mencampuri hal orang itu serta pergi ke merata tempat untuk mengelirukan orang ramai. Kekeliruan juga merupakan satu pebuatan yang mendatangkan dosa besar kepada orang yang melakukanya.
Baginda Rasulullah (sws) bersabda, ‘Jika si pengumpat dan penabur fitnah adalah seorang lelaki, maka dosanya itu setimpal dengan dosa orang yang sedang berzina dengan ibunya sendiri di hadapan kaba.’ Kamu sukakan itu? Fikirkanlah. ‘Jika dia itu seorang wanita, maka diibaratkan wanita itu sedang berzina degan bapanya di hadapan kaba.’ Sekarang hati anda harus merasa gentar. Bagi mereka yang mempunyai iman, hati mereka seharusnya bergentar. Dan sekiranya saya, kamu atau sesiapa sahaja yang sedang melakukan itu, dengan segera kita mengucapkan, ‘Astaghfirullah Ya Rabbi! Saya tidak akan melakukannya lagi.’ Jika orang itu berfikir bahawa dia masih lagi memiliki kewenangan untuk meneruskan perlakuan buruk ini, mashaAllah. Ohho, Abu Jahil telah menimbulkan banyak fitnah terhadap Rasulullah (sws). Sama ada secara terang-terangan atau bersembunyian. Perbuatan ini langsung tidak meningkatkan martabatnya. Malah dia telah dijanjikan tempat khas di neraka yang di tahap paling rendah.
Adakah Baginda Rasulullah (sws) mengalami sebarang kerugian akibat dari perbuatan ini? Sama sekali tidak. Semakin banyak kata-kata nista yang dilempah kepadanya, semakin berlipat ganda pujian Allah Subhana wa ta’ala terhadap kekasihnya. Malah, darjat baginda Rasulullah semakin dipertingkatkan lagi. Begitulah keadaannya dahulu, begitu juga keadaannya sekarang dan di masa-masa akan datang. Para mukmin adalah golongan yang mentaati perintah Allah, perintah Rasulullah (sws) dan perintah Sheyknya. Mereka juga akan berebut-rebut untuk melakukan kebaikan buat dirinya agar terselamat daripada Azab api neraka. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik demi untuk melakukan tugas-tugas bagi Sheyknya agar dapat memberi perlindungan kepada yang lain. Walaupun dengan hanya memberikan sesuatu kepada seseorang. Ataupun dengan menghulurkan bantuan.
Ya, begitu ramai sekali orang yang sedang bertengkar di masa ini. Terutamanya di dalam tariqat kita. Mempersoalkan siapkah itu wakil, siapakah Sheykh dan siapa yang bukan sheykh. Mereka hanya sedang melilitkan tali kepada seluruh tariqat ini mengelilingi hanya dua orang. Tariqat ini bukanlah baru semalam ditubuhkan. Ia bertapak pada zaman Rasulullah (sws) dan ianya berterusan hingga ke hari ini dan hari-hari yang mendatang. Abu Bakar Siddiq (ra) telah mewarisi rahsia dari Baginda Rasulullah (sws). Beliau mempunyai 124,000 para sahabat di sekeliling dan setiap satu daripada mereka itu telah memperolehi rahsia dari Baginda Rasulullah (sws). Hazrat Ali (ra) tidak pula berkata, “Ali adalah satu-satunya pintu masuk untuk menuju ke Rasulullah (sws) atau untuk menuju ke Abu Bakar Siddiq (ra)” atau “Yang ini adalah satu-satunya pintu masuk.” Setiap sahabat mempunyai rahsia mereka yang tersendiri dan Allah subhana wa ta’ala juga telah memberi rahsia kepada setiap makhluk ciptaannya. Setiap makhluk memiliki rahsia masing-masing.
Sewaktu Abu Bakar Siddiq (ra) meninggalkan dunia yang fana ini, beliau telah mencurahkan segala rahsianya ke tangan Salman-e-Farsi (ra). Maka berduyun-duyun ramainya orang yang mula menerima Islam dan terdapat ramai lagi orang yang mula berkhidmat untuk Islam, berkhidmat untuk tariqat serta menebarkan segala kebenaran di seluruh kawasan. Hingga tiba ke saat ini di mana semua teriqat harus bercantum untuk menjadi satu tariqat. Kesemua tariqat sedang menuju ke arah satu tariqat dan tariqat yang dimaksudkan itu adalah Perjalanan Naksibendi Hakkani. Semua aliran tariqat sedang menghala ke satu landasan utama. Malangnya terdapat beberapa pihak yang cuba untuk memutuskan tali penghubung itu dengan mengatakan, “kita hanya memberi gelaran ini kepada dua orang.”

Siapakah yang memberi gelaran-gelaran? Siapakah yang berhak untuk memberikan gelaran? Sheykh Mevlana? Beliau merupakan seorang Sultanul Awliya yang teragung dan semua orang tidak menyangkal akan kebenaran ini. Namun beliau itu hanya mampu untuk mengasuh dua orang? Hanya dua orang sebagai pintu masuk untuk menuju kepadanya? Sedangkan cengkaman beliau itu sendiri luasnya mencapai ke arah timur, barat, utara, selatan dan ke seluruh ceruk rantau dunia. Ternyata sekali, ini hanya merupakan pengakuan ego. Itu sahaja. Mereka-mereka yang membuat penyataan yang tidak munasabah itu sebenarnya sedang berkhidmat kepada ego masing-masing. Dan barang sesiapa yang mengakui akan kebenaran kata-kata itu, maka mereka juga sedang berkhidmat kepada ego. Bukan setakat mereka yang berkata, malah yang membenarkan kata-kata itu dengan pengakuan, “Saya adalah satu-satunya”, mereka juga sedang memberikan khidmat terbaik untuk ego.
Jadi, apa yang telah Grandsheykh katakan? Apakah yang dikatakan oleh Sheykh Mevlana? Biar saya beritahu kamu apa yang Sheykh Mevlana katakan. Sheykh Mevlana berkata, dan sudah berulang kali dia memperkatakan ini di hadapan saya dan juga di hadapan orang ramai. Beliau berkata, “Jika seseorang itu mampu membawa empat puluh orang untuk bersama dengannya, sungguhpun dia itu berada jauh di hujung dunia dan dia tidak pernah melihat diri saya namun dia telah menerima diri ini menerusi hatinya, maka dia adalah wakil ke atas orang-orang itu. Jika mereka menerimanya dan dia menerima mereka, maka saya menerima orang itu. Dia menjadi wakil saya.”
Siapakah yang digelar wakil? Wakil bukanlah orang yang sibuk pergi ke sana sini untuk menabur fitnah, mengumpat serta menyerang orang lain. Wakil adalah mereka yang berlari untuk memberi khidmat terbaik kepada Sheykhnya, kepada Baginda Rasulullah (sws), kepada Allah subhana wa ta’ala dan kepada seluruh umat manusia. Itulah yang digelar wakil. Allah subhana wa ta’ala telah memberikan gelaran yang lebih tinggi dari itu kepada seorang wakil. Allah telah melantik manusia sebagai Khalifahnya di muka bumi ini. Kamu inginkan sesuatu yang lebih tinggi dari ini? Dia berkata, ” Kamu telah ku berikan penghormatan untuk menjadi Khalifah di muka bumi.” Khalifah bukan setakat kepada orang-orang tertentu kerana setiap seorang itu merupakan satu Khalifah. Malangnya, manusia tidak melaksanakan tanggungjawab dari rahsia yang telah Allah anugerahkan kepada mereka. Jadi, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan pemberian ini. Setiap daripada ciptaan Allah, segalanya yang berada dalam ciptaannya itu tertakluk di bawah kuasa Insan-i Kamil, manusia sempurna yang telah diberikan kuasa oleh Allah. Kesemua ciptaannya itu sedang berada di bawah kuasa manusia.

InshaAllah, setakat ini sudah mencukupi buat kamu dan juga buat diri saya kerana saya sedang mendengarkan serangan yang tidak putus-putus. Orang-orang sibuk menyerang bertalu-talu, terutama sekali di lelaman web kami. Saya dengarkan. Kami tidak membalas serangan-serangan itu. Kami tidak akan membalas perbuatan begitu. Mereka yang sedang mengikuti Perjalanan Osmanli Naksibendi, Perjalanan Osmanli bukanlah sekadar dengan membuka mulut kamu selebar yang mungkin untuk bertengkar. Kami tidak akan memberi sebarang jawapan. Seranglah sebanyak yang mungkin. Seranglah. Kami hanya akan meneruskan perjalanan yang suci ini. Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang wali Allah di satu masa dahulu, ” Anjing akan sentiasa menyalak namun perjalanan Kafilah harus diteruskan. Seandainya ada sesiapa yang menghentikan perjalanan untuk membalas salakan anjing itu, maka dia adalah seorang yang teramat bodoh.” Jangan menyalak kepada anjing-anjing itu. Sudah menjadi tugas sang anjing untuk menyalak. Manakala, tugas seorang manusia yang bijak adalah untuk memperhatikan dan awas berwaspada agar tidak diserang sang anjing ganas. Perjalanan yang murni itu harus diteruskan.

Kita semua sedang mengharungi satu perjalanan dan adalah wajar bagi kita untuk sampai ke penghujung jalan sebelum ketibaan Azrail. Banyak tugas-tugas yang harus kita selesaikan di sepanjang perjalanan ini. Tugas untuk diri sendiri, tugas untuk keluarga dan juga untuk orang-orang yang tercinta di sekeliling kita. Alangkah baiknya jika dapat disempurnakan kesemua tugas-tugas itu. Ohh…..jika kamu berada di Amerika, terdapat jumlah penduduk yang menjangkau bilangan 300 juta banyaknya. Bantulah mereka sebanyak yang mungkin. Usahlah asyik sibuk bertengkar sesama sendiri. Usah terus mengatakan, ” satu sheykh di Amerika? Bukan setakat satu Sheykh, malah jika ribuan Sheykh yang mendatang, ianya juga tidak mencukupi buat Amerika. Ribuan tidak mencukupi!” Hmm. Siapakah yang mengatakan ini? Ketahuilah bahawa Grandsheykh sendiri yang mengatakan hal ini. Saya hadir sewaktu persoalan ini sedang dibicarakan. Ketika itu, keadaan sedang dihebohkan sekali lagi dengan percakapan-percakapan karut yang mengatakan, ‘Satu sheykh, hanya satu sheykh,” lantas Grandsheykh bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan satu Sheykh?” Ketika itu, kami sedang keluar dari kereta untuk memulakan perjalanan ke sebuah kawasan. Perjalanan dari satu rumah ke rumah yang lain mengambil masa dua puluh empat jam. Grandsheykh menegaskan, “Bukan setakat satu Sheykh, malah jika diberi ribuan sheykh sekalipun, ianya tidak akan cukup untuk negeri ini.”

Ya, ini baru sekadar di Amerika. Kami merangkumi seluruh dunia. Setidaknya terimalah hakikat bahawa terdapat 124,000 para Sahabi dan terdapat 124,000 para wali yang mewakili sahabi-sahabi itu.Terimalah kenyataan ini. Tidak. Ego mengatakan, “Segala-galanya adalah milik aku. Aku inginkan yang ini dan aku inginkan yang itu. Aku menginginkan semuanya.” Sudah ditentukan bahawa segala apa yang telah Allah berikan kepada dirimu, ia tetap akan menjadi milik kamu. Tiada sesiapa yang dapat merampas pemberiannya itu. Manakala apa yang telah Allah berikan kepada orang lain, ianya tidak akan menjadi milik kamu.

Dalam angkatan tentera, Panglima tentera yang layak untuk memberi pingat-pingat kepada anggota yang terpilih. Para tentera yang lulus ujian mereka akan diberikan pingat mereka. Ketua bagi angkatan tentera, Genel Kurmay, apakah yang kamu gelarkan itu?

“Ketua Pegawai.”

Ketua pegawai atau sesiapa sahaja yang lalu di situ, memberi isyarat mengatakan , “Sekarang orang ini mempunyai tiga pingat.” Jika si pemilik tiga pingat itu cuba untuk merampas sesuatu dari yang memiliki empat pingat, ianya tidak akan dibenarkan. Kamu tidak boleh berbuat demikian kerana bukan kamu yang membahagikan pingat-pingat itu. Itu adalah hak mereka yang berkedudukan tinggi. Kamu juga tidak boleh mengambil daripada orang yang memiliki anugerah yang lebih tinggi lagi. Kamu harus memberikan seribu satu sebab sebelum kamu melakukan perkara itu. Orang-orang Turki dapat menyesuaikan diri mereka ke dalam tariqat dengan begitu baik sekali kerana mereka sentiasa dilatih dengan cara-cara ketenteraan. Dan ya, kebanyakkan daripada perkara-perkara yang dilakukan oleh pasukan tentera itu mirip dengan cara tariqat.

Pada saat-saat ini, oleh kerana terdapat begitu banyak kelemahan, maka kita tidak boleh menjalankan tugas dengan cara begitu. Kita akan tetap melaksanakan tugas tetapi dengan cara yang sedikit berlainan. Inilah penyebab yang mendorong lebih banyak lagi anjing-anjing untuk menyalak. Namun, perjalanan kita harus diteruskan.

Lakukan yang terbaik untuk lelaman web kita, lakukan sesuatu. Sebarkan kebenaran sebanyak yang mungkin. Keizinan diberi. Jika kamu fikir bahwa kamu ikhlas untuk menyumbang sesuatu, mengkhabarkan kepada pihak umum, maka bukalah lelaman web dan sebarkan. Walaupun kamu harus meletakkan gambar-gambar sendiri di lelaman itu, teruskan. Letakkan gambar dan sebarkan kata-kata benar kepada umum. Cuba untuk mendekati orang lain. Kamu akan diberi ganjaran di atas perbuatan ini. Satu hari nanti, orang itu akan terjaga dan berkata, “Apa yang telah aku lakukan? Mengapakah aku tergamak untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak ego? Biarlah aku perbetulkan cara ku.” Dan mengikut niat orang itu, Allah subhana wa ta’ala akan menunjukkan jalan benar kepadanya. Awliya Allah sedang memerhatikan. Mereka sedang memerhatikan setiap kegiatan, gerak-geri serta tingkah-laku kita. InshaAllah ar-Rahman, ganjaran akan diberi setimpal dengan perbuatan kita itu.

Cukuplah setakat ini buat renungan bersama. Kita tidak akan membalas serangan mereka yang sedang asyik menyerang kita. Hakikat yang nyata ialah saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa orang, seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini, menceroboh masuk ke lelaman web kami, mengintip, mengambil kata-kata, mencuri alamat email serta menyerang kami dengan menggunakan kata-kata nista. Begitu mudah sekali untuk menjejaki orang-orang ini dan menendang mereka keluar. Tetapi kita tidak melakukan demikian. Kita tidak akan mengambil tindakan demikian rupa. Mereka dipersilakan untuk melungsuri lelaman kami selama yang mungkin sehingga satu hari kelak, mereka sendiri yang akan menarik diri keluar. Mereka akan mempelajari adab. Mereka akan diajar cara untuk beradab kerana besar kemungkinan di kawasan yang sedang mereka pelajari itu tidak mengenal dan memiliki sebarang peradaban. Maka mereka itu tidak mengenal erti adab yang sempurna. Kami amat mengalu-alukan agar mereka hadir untuk mempelajari adab dan pekerti yang murni. Kita tidak akan menyerang mereka. Hadirlah ke dergah kami. Kamu dipersilakan untuk makan dan tidur, makan dan tidur berulang kali, tanpa melakukan apa-apa, jika itu yang kamu inginkan. Tetapi, hanya satu perkara sahaja yang harus kamu ingatkan. Kamu harus sedar bahawa kamu itu sedang berada di bawah penguasaan seseorang yang berkuasa.

Selamat datang kepada mereka yang hadir.

Selamat tinggal kepada mereka yang pergi.

Kata-kata ini adalah untuk kamu, untuk saya dan untuk semua yang membaca.
Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha