BismillahirRahmanirRahim

Calon-calon penghuni Syurga

Sabtu 3 Shawwal, 1426

5hb November, 2005

Osmanli Naks-I’bendi Hakkani Dergah, Siddiki Center, New York.

Medet Ya Sayyidi Ya al-Hakkani, Medet

Menerusi sohbet, calon-calon penghuni Syurga akan mempelajari sesuatu. Mereka yang menjadi calon, sudah pastinya akan memperolehi sesuatu. Setiap yang dipelajari itu akan dihayati sebaik mungkin untuk dijadikan amalan serta pedoman dalam hidup seharian mereka. Sungguhpun sohbet yang sama diulangi pada setiap malam, namun murid itu akan tetap dapat mengaup manfaat dari sohbet tersebut. Oleh yang demikian, adalah wajar bagi seorang murid untuk terus hadir ke persatuan ini pada setiap malam dengan membawa sebuah bekas yang kosong, tanpa beranggapan bahawa dia itu mengetahui sesuatu. Setiap ilmu yang dipelajari pada malam itu harus dituangkan ke dalam bekas itu yang akan dikosongkan lagi agar dapat dibawa kembali pada keesokan harinya untuk diisi semula dengan sesuatu yang lebih segar. Sekiranya seseorang murid hadir besertakan sebuah bekas yang sudah separuh dipenuhi air, maka dia akan hanya memperolehi setengah daripada baki bekas itu. Jika murid hadir membawa bekas yang telah diisi air sepenuhnya, nescaya dia tidak akan memperolehi sesuatu apa pun. Apa jua yang kamu bawa kemari, itulah yang akan dibawa pulang. Kamu tidak memperolehi sesuatu. Maka bawalah bekas yang kosong itu.

Bekas itu adalah hati kamu. Kamu harus datang dengan kekosongan agar dapat kamu katakan, “Hari ini, aku akan mengisi lagi bekas yang kosong ini.” Mungkin pada malam itu, rahsia yang dicurahkan menepati jiwa kamu khususnya. Jika peluang itu terlepas, maka ucapkan sahaja selamat tinggal. Kamu ibarat ditinggalkan keretapi. Mungkin peluang itu akan datang bergolek lagi pada tahun hadapan, atau tujuh tahun kemudiannya. Nantikan sahaja. Namun, kamu harus nantikan lagi untuk jangka waktu yang agak lama, kerana kamu telah terlepas peluang yang satu itu.

Tariqat bertujuan untuk memastikan agar pandangan seseorang itu sentiasa menghala ke arah Qibla agar dirinya itu dapat dipersiap sediakan untuk tiba ke destinasi yang bakal ditujui dalam keadaan yang serba bersedia. Cara yang terunggul untuk mempersiapkan diri ke arah itu adalah dengan menyemai perasaan cinta, yang melebihi segala-galanya, ke dalam jiwa seseorang itu terhadap Allah subhana wa ta’ala serta perasaan cinta kepada baginda Rasulullah (sws). Jika perasaan cinta terhadap Allah dan baginda Rasulullah (sws) itu tidak dapat mengatasi perasaan kamu terhadap perkara-perkara yang lain, maka kamu belum lagi bersedia untuk alam Akhirat. Itu bererti yang kamu masih lagi terpaut dengan keduniaan. Terdapat sesuatu yang menahan diri kamu di dunia ini. Maka kamu tidak ingin untuk kembali ke tempat asalmu. Ini adalah amat merbahaya.

Bagi mereka yang sedang berada di dalam perjalanan tariqat ini, setiap hari yang dilalui itu harus menampakkan kemajuan. Kamajuan dari segi peningkatan amalan-amalan yang diperlukan untuk mengisi alam kubur dan alam selanjutnya yang bakal menjadi tempat pengabadian rasmi jangka panjang. Islam dan kesemua para Rasul yang telah diturunkan membawa perintah agar menuntut sekian manusia untuk hidup berlandaskan pegangan tersebut supaya diri mereka dapat dibersihkan untuk menempuhi perjalanan menuju ke tempat asal mereka, membersihkan diri agar mereka layak untuk menjejakkan kaki ke Syurga. Itu sahaja. Kesemua ibadat yang didirikan seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir dan amalan baik termasuk juga ibadat sunat yang lainnya, tujuannya hanyalah satu. Untuk mempersiapkan manusia dan mengarahkan semula pandangan mereka ke Qibla agar mereka akan bersedia menghadapi kedatangan malaikat maut dalam keadaan serba bersih dari dicemari kekotaran alam fana yang hina ini.

Itulah secara keseluruhannya. Erti sebenar kehidupan.

Kita semua sedang disibukkan dengan hal ehwal dunia seperti tugas seharian, harta kekayaan, urusan anak-anak, urusan itu dan ini dan bermacam lagi hal yang menjadi penghalang dalam perjalanan kita menuju ke destinasi terakhir itu. Secara terbuka, Allah telah menurunkan firmannya di dalam kitab suci Qur’an yang bermaksud, “Segala harta kekayaan kamu, anak-anak kamu dan setiap yang kamu miliki merupakan suatu kekeliruan bagi dirimu.” Tidakkah ini benar? Hanya kekeliruan semata. Setiap kemewahan yang kamu miliki, harta-benda bersifat keduniaan serta anak-anak, hanya mendatangkan kekeliruan dalam hidup.

Sekiranya sesuatu itu membuat kamu berjauhan dari Allah, maka itu adalah kekeliruan yang amat besar. Tetapi jika ianya digunakan dengan sebaik mungkin demi untuk menuju ke jalan Allah, maka ia adalah rahmat terbesar, yang dapat menggerakkan diri kamu untuk berada lebih dekat dengan Allah.

Kita harus menempatkan Allah dan Rasulnya (sws) sebagai keutamaan dalam hidup kita. Jika tidak, manusia akan binasa. Tiada jalan yang lainnya.

Wa min Allahu taufiq

El-Fatiha.