Sohbet oleh Seyh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

Jumaat, 16 Shawwal, 1426

18hb November, 2005

Medet Ya Sayyidi Ya al-Hakkani, Medet

Jika seseorang menghulurkan pertolonganya kepada kamu, memberi kamu sesuatu namun pemberian serta bantuannya itu tidak disyukuri, maka Allah juga tidak akan menerima kesyukuran kamu terhadapnya. Begitu mudah bagi ego untuk mengatakan, “Tidak mengapa. Semuanya datang dari Allah.” Memang benar. Semuanya datang dari Allah. Tetapi Allah telah memilih seseorang untuk kamu contohi dan bukan untuk melihat pada sesuatu yang lain.

Para Sahaba-e kiram mencontohi baginda Rasulullah (sws). Mereka tidak berkata, “Ayat-ayat ini diturunkan kepada kami secara langsung dari Allah.” Malah mereka mengatakan, “Rasulullah.” Mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada Rasulullah (sws). Baginda Rasulullah (sws) membawa keberkahan dalam hidup mereka, hidup kita dan keseluruh umat manusia. Menerusi tangan baginda, Allah telah menghulurkan ihsan-nya kepada kita semua. Jika tidak kerana Baginda (sws), umat manusia tidak akan dapat menikmati sebarang belas ihsan dari Allah. Baginda Rasulullah (sws) merupakan sebab utama Allah menghulurkan ihsannya kepada setiap diantara kita. Hingga ke saat ini, ihsan Allah dapat lagi dinikmati disebabkan oleh mereka yang sedang berpegang kukuh kepada Rasulullah (sws). Mereka inilah golongan yang sentiasa memberi penghormatan yang tertinggi terhadap diri dan peribadi Rasulullah (sws).

Seyh kita tidak boleh diketepikan. Dan adalah tidak wajar untuk kita katakan “Saya berhubung terus dengan Rasulullah (sws) dan juga dengan Allah.” Jika itu benar, maka sudah tentu kamu tidak akan dapat berganjak untuk kemana-mana sahaja kerana Allah hanya akan menurunkan belas ihsannya menerusi Seyh kita. Jika kamu tidak berpuas hati dengan Seyh kamu dan mula untuk menyingkirkan dirinya dari hidup kamu, maka ini akan mendatangkan kebinasaan pada diri kamu sendiri.

Sekiranya terdapat peluang-peluang yang mula dibuka untuk kita, dunia dan segala di dalamnya sedang giat berusaha untuk kita, setiap yang disebarkan (mesej kerohanian dalam islam) dapat diterima dan dituruti oleh orang ramai, maka janganlah kita bermegah diri. Katakan bahawa, “Semua ini berlaku dengan keizinan Seyh kami.” Mereka semua dapat menerima kami akibat daripada cahaya Seyh yang jelas terpancar di raut wajah kami yang ditujukan khas untuk orang itu. Harus kita akui bahawa secara perseorangan, kita tidak mampu untuk melakukan apa–apa.

Sering kita perhatikan, terutamanya sejak kebelakangan ini, bahawa terdapat orang-orang….biar saya katakan dengan lebih jelas lagi, terdapat para wakil Seyh Mevlana yang kini tegar untuk mengisyitharkan diri sendiri sebagai Sultanul Awliya. Keberkatan Seyh Mevlana telah dihulurkan kepada mereka dan menerusi mereka itu, Seyh Mevlana telah mencapai ke banyak kawasan, kini, mereka mula untuk mengenepikan Seyh Mevlana untuk mengakui, “Saya yang melakukan semua itu.” Sebaik sahaja pengakuan begini diluahkan, maka terhapuslah diri mereka itu. Begitulah keadaan mereka semua. Begitu juga keadaannya dengan pengiku-pengikut yang menurut tanpa usul periksa, mereka yang hanya berminat untuk mencari sesuatu demi kepentingan sendiri.

Apabila seseorang itu merasakan bahawa darjat mereka telah dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, harus dia sedar bahawa kedudukan Seyh-nya itu juga sedang meningkat ke darjat yang lebih tinggi. Sebanyak mana tugas yang kamu lakukan itu bukan menjadi ukuran. Saya perhatikan bahawa golongan tersebut itu juga tidak menyangkal kebenaran kata-kata ini. Mereka sendiri mengatakan, “Berapa banyak tugas yang kamu lakukan itu tidak menjadi ukuran, yang penting adalah sebanyak manakah tugas yang Seyh kamu lakukan.” Dan jika saya yang mengatakan ini kepada kamu, maka kebenaran kata-kata ini juga ditujukan pada diri saya. Persoalannya bukan tertumpu kepada berapa banyak yang telah kita lakukan, tetapi berapa banyak yang telah Seyh kita lakukan. Maka dari situ sesuatu akan diturunkan kepada saya.

Menerusi saya, sesuatu akan diturunkan buat diri kamu. Ibarat satu pasukan tentera. Perintah datang dari peringkat atasan dan seterusnya ia diturunkan kepada pegawai di peringkat bawah, di mana ia akan dibahagikan kepada wakil-wakil tertentu. Terdapat hanya satu ibu pejabat dalam pasukan tentera itu. Sungguhpun kamu dapat berhubung secara langsung dengan ibu pejabat itu akibat daripada perlantikan kamu sebagai ketua, katakanlah ketua bahagian tentera udara, apakah kuasa dalam tangan ini akan memabukkan kamu? Sehingga ia membuat kamu berkata dengan angkuhnya, “Saya akan menjatuhkan si dia itu, agar dapat saya menguasai keseluruhannya”? Untuk apa? Bukankah ini untuk ego semata? Ketahuilah jika sesuatu itu telah diperuntukkan buat diri kamu, ia pasti akan menjadi milik kamu. Sekiranya Allah telah memilih kamu untuk melakukan sesuatu tugas, maka ia tetap akan datang kepadamu, dan perlantikan ini akan terserlah menerusi perilaku dirimu.

Sepanjang hayat GrandSeyh Abdullah Daghestani qaddasallahu sirruh ( kita tidak layak untuk membicarakan hal Grandsheykh Daghestani tetapi hanya sebagai iktibar buat diri kita semuanya) di dunia ini, beliau dikelilingi oleh ramai pengikut. Begitu juga dengan para wakil beliau. Terdapat ramai yang mengelilinginya. Ramai diantara wakil ini yang memerhatikan Seyh Mevlana Nazim dan hati mereka merasakan bahawa beliau itu akan dijadikan pengganti. Mereka mengetahui. Walaupun ego mereka itu sentiasa memperdayakan diri masing-masing, namun mereka tetap mengakui di dalam hati bahawa Seyh Mevlana adalah pengganti. Ini bukan disebabkan oleh Seyh Mevlana yang sedang sibuk merebut serta menolak yang lainnya ke tepi demi untuk menonjolkan diri sendiri. Malah, bertentangan dengan keadaan ini, beliau bersifat amat rendah diri dengan tidak menayang-nayangkan diri tanpa keizinan dari GrandSeyh. Beliau mempamerkan sifat dan pekerti mulia yang jelas menjadi petanda bahawa beliau akan menjadi pengganti GrandSeyh. Sehingga akhirnya, gelaran itu telah direstui ke atas dirinya sepemergian GrandSeyh dari alam fana ini.

Mereka yang tidak dapat menerima perlantikan ini, berterusan dengan keangkuhan ini buat jangka masa yang agak panjang. Setiap dari mereka itu telah diberikan sesuatu oleh GrandSeyh. Mereka memiliki sesuatu namun mereka tidak dapat menerima kata-kata terakhir GrandSeyh. Beliau telah mengatakan, “ Sesiapa yang menjadi pengikut saya, sekarang ini kamu harus mematuhi Seyh Nazim. Beliau adalah ketua.” Ramai yang ketika itu menjadi mabuk. Mabuk dan bingung. Sekarang ini, terdapat juga mereka-mereka yang sedang dalam keadaan mabuk dan bingung. Mereka kini sedang menyisihkan Seyh Mevlana. Mereka mengumumkan, “Saya juga menimba ilmu pengetahuan dari GrandSeyh.” Hmm. Jadi sekarang ini, Sheytan sedang memperdayai mereka. Tiada yang lainnya. Hanya tipu daya Sheytan. Ada juga yang berani untuk mengatakan, “Seyh Mevlana telah bersara.” Persaraan? Betapa bodohnya pemikiran begini! Sedangkan seorang Paus (Pope) sendiri tidak boleh bersara. Bagaimana mungkin dapat kita katakan yang Sultanul Awliya itu telah bersara? Persaraan ialah untuk orang-orang yang akal pemikiran mereka sudah tidak berdaya untuk menguasai diri mereka. Darjat Sultanul Awliya yang semakin meningkat tinggi itu sudah cukup untuk memaparkan ciri-ciri kebijaksanaan dan kearifan yang begitu sempurna. Begitu tegar sekali untuk kamu mengaitkan diri beliau itu dengan sesuatu yang terlalu cetek. Malangnya, terdapat beberapa orang yang masih tetap melakukan perkara ini. Jelas sekali, terdapat agenda yang terselindung di sebalik semua ini.

Khusus buat mereka yang sedang memerhatikan dengan teliti, lihatlah sendiri. Swyh Mevlana tidak akan mengumum kepada dunia mengatakan, “Dia ini baik, dan si dia itu jahat.” Tidak. Beliau hanya mengirim inspirasi menerusi hati dan orang ramai akan melihat dan merumuskan. Siapakah itu yang tidak melihat? Mereka itulah yang sedang dikelabui mata masing-masing dengan ego. Akibatnya, mereka tidak dapat melihat kerana apa yang dapat dilihat kini hanyalah diri sendiri. Tiada lainnya. Betapa Sheytan mampu untuk menghampiri manusia dari setiap tahap kedudukan mereka.

Kata-kata ini dituju khas buat diri saya dan juga buat para wakil Seyh Mevlana agar mereka tidak menganggap bahawa diri mereka itu telah sampai ke tahap di mana mereka dapat melakukan sesuka hati. Jika kamu mempunyai pengalaman memandu selama empat- puluh tahun lamanya dan kamu sering berulang-alik mengikuti jalan yang sama sepanjang empat-puluh tahun itu, maka kamu harus tetap berwaspada. Kamu harus memegang roda steering dengan betul sambil memandu dalam keadaan awas di sepanjang perjalanan. Jika berlaku sedikit kecuaian, ia pasti akan membawa padah ke atas diri kamu. Begitu juga dengan perjalanan ini. Harus ditempuhi dengan penuh hati-hati. Para wakil Seyh Mevlana yang juga sedang mengharungi situasi yang serupa perlu berhati-hati pada setiap detik.

Keadaan begini merupakan suatu pengajaran buat diri saya dan juga buat sekian para wakil. Sememangnya saya tidak pernah mengisytiharkan diri saya sebagai wakil. Malah GrandSeyh yang memberikan saya gelaran itu. Apakah saya layak untuk tanggungjawab ini? Semestinya tidak. Saya akui bahawa diri ini tidak sesuai untuk memikul gelaran itu. Tetapi memandangkan beliau telah berkata, “Kamu lakukan itu.” Maka saya sedang cuba untuk melakukan ini dengan sebaik mungkin. Beberapa orang mungkin berada di kedudukan yang lebih tinggi dari diri saya. Itu hak mereka. Tidak usahlah kita melihat-lihat pada perkara begitu. Apa yang harus ditumpukan kini adalah perjalanan yang sedang kita tempuhi ini. Harus kita pastikan yang kita mengharunginya dengan sebaik mungkin agar tidak tersasar ke arah yang lain. Kita harus memeggang roda steering dengan betul. Bayangkanlah jika kita sedang memandu sebuah bas dalam keadaan yang cuai. Akibat kecuaian, kita melakukan kesilapan yang membahayakan nyawa orang ramai di dalam bas itu. Maka satu bebanan yang amat berat telah terpahat di bahu kita. Oleh itu, kita harus memupuk sikap yang lebih berwaspada dan bijak sewaktu menjalankan tugas, dan harus kita lebih banyak mengatakan, “Medet Ya Seyh Mevlana. Medet, medet, medet.”

Jika para wakil hanya melakukan sesuatu demi kepentingan diri sendiri, memberi tumpuan sepenuhnya kepada dirinya itu sambil melihat serta membesarkan kelemahan dan kesilapan Seyh-nya, susungguhnya orang itu telah tewas. Seperti yang telah saya katakan, kita tidak seharusnya nampak sesuatu kesalahan pada diri Seyh. Itu tidak patut berlaku. Jika kita mengizinkan perkara ini untuk berlaku, ia bererti bahawa kita telah membuka ruang dan memberi peluang untuk Sheytan. Dan Sheytan akan datang bergegasan untuk membuka lebih banyak lagi ruang. Dari sepuluh, ia akan berganda menjadi seratus. Seratus menjadi beribu. Hingga ia berlarutan ke tahap di mana kita akan mengisyhtiharkan perang terhadap Tuan kita sendiri. Eh, sudah tentu mereka tidak akan dapat melancarkan serangan secara terang-terangan kerana ini akan mengundang kebinasaan bagi pihak mereka. Lantas mereka cuba untuk menyerang dengan cara berselindung. Malangnya, pergerakkan mereka itu diawasi oleh banyak mata-mata yang sedang memandang.

Sejarah seringkali berulang kembali. Sejarah juga telah banyak memaparkan kejadian yang serupa itu. Di suatu ketika, terdapat seseorang yang cuba untuk menderhakai Abdul Qadir Geylani (qaddasallahu sirruh). Mereka berpaling tadah dan menjadi golongan Wahabbi. Mereka adalah ketua pihak Wahabbi. Mereka memiliki ilmu pengetahuan. Mereka mempelajari ilmu al-Quran. Namun pertalian kerohanian mereka telah terputus kerana segala yang diturunkan Allah kepada mereka seharusnya disampaikan menerusi tangan Abdul Qadir Geylani (qaddasallahu sirruh). Mereka mengenepikan semua itu. Akibatnya, setiap ilmu yang dimiliki menjadi pemusnah bagi hidup mereka. Menurut catatan sejarah masa kini, mereka ini adalah golongan Wahhabi. Wahhabi!

Maka haruslah kita membuka hati serta minda untuk memohon agar sentiasa menjadi golongan yang berpihak kepada kebenaran dan berada di Sirat-ul Mustaqim. Keadaan akan menjadi lebih rumit lagi pada masa-masa yang akan datang. Sudah tentu sekali, GrandsSeyh telah mengatakan, begitu juga dengan para wali yang telah datang dan pergi dari dunia ini, mereka semua turut mengatakan bahawa, “Askar-askar Mahdi, golongan yang beriman di zaman Mahdi, akan terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama merupakan mereka yang akan berpaling tadah dan mula untuk tidak mempercayai Mahdi. Kumpulan kedua adalah golongan yang akan gugur Shyahid dalam peperangan. Kumpulan ketiga akan tinggal kekal bersama Mahdi dan Isa (alayhi salam) setelah peperangan berakhir.” Semua orang mempunyai andaian yang berbeza dalam hal ini. Mereka mula untuk menjangkakan pelbagai perkara ini dan itu yang akan berlaku kelak. Mahdi (alayhi salam) tidak akan turun dari kayangan dengan membawa bakul barangan. Dan kunci bagi Mahdi (alayhi salam) terletak di dalam genggaman Seyh Mevlana. Beliau itulah pemegang kunci. Beliau adalah Tuan bagi Mahdi. (kamu boleh) berfikir sebaliknya. Namun yang nyata adalah beliau itulah Tuan. Barangsiapa yang memiliki sedikit pengetahuan, mereka tentu akan berkata, “Baiklah, sudah menjadi tugas saya untuk memerhatikan Seyh Mevlana dan itu sudah mencukupi. Setiap yang diperintahkan oleh Seyh Mevlana untuk dilakukan akan menjadi tumpuan utama bagi diri saya.” Setiap perkara yang menjadi tumpuan Seyh Mevlana, tidak kira dimana ia berada, jika beliau mengatakan “Perhatikan yang ini,” itulah yang harus diperhatikan. Jika tidak, bahaya akan menimpa.

Manusia telah diuji sejak dari zaman baginda Rasulullah (alayhi salatu wa salam). Allah serta Rasulnya (sws) juga telah menjanjikan bahawa manusia di Akhir Zaman akan menempuhi pelbagai ujian. Baginda Rasulullah (sws) berpesan kepada kita semua agar, “berwaspada dengan segala tipu helah Dajjal. Ia merupakan suatu kekeliruan yang amat dashyat. Ramai orang yang akan termasuk perangkap Dajjal itu.” Secara lahiriah, Dajjal kelihatan seperti seorang manusia biasa. Allah akan melengkapi dirinya dengan beberapa kuasa untuk ditayang-tayangkan kepada para pengikutnya. Ini merupakan satu ujian bagi golongan yang beriman. Semua ini berbalik kepada persoalan iman seseorang itu. Jika kamu memiliki iman yang kukuh serta memegang erat dengan menyerahkan jiwa raga kamu sepenuhnya kepada sheykh kamu, maka terselamatlah kamu dari ancaman dajjal. Jika tidak, kamu sedang berhadapan dengan satu tanda tanya besar.

Apa yang telah dijelaskan ini adalah buat renungan kita bersama. Bagi mereka yang ingin menghayati kata-kata ini, dipersilakan. Jika terdapat sesiapa yang mengatakan, “Tidak, saya tidak akan menerima kata-kata ini”, maka terpulanglah. Pintu-pintu sedang dibuka dua-puluh empat jam sehari bagi mereka yang ingin menyerang saya. Apa yang telah saya katakan ini amat bersangkutan dengan keadaan diri saya dan juga keadaan di dunia kini. Sheytan sedang mendekati kita semua.

Jika kamu sedang sibuk mencari-cari kesilapan pada diri Seyh kamu, maka Sheytan akan menumpaskan kamu. Habis! Sheytan hanya menemukan satu kesilapan….hanya satu kesilapan, bukan berjuta. Dia mencari satu kesilapan Allah dan berkata, “Bagaimana dapat kamu lakukan ini? Aku tidak sepatutnya bersujud kepada Adam. Dia yang seharusnya sujud kepadaku kerana telah berkurun-kurun lamanya aku menyembahmu sedangkan dia itu hanya baru dicipta.” Sheytan mengatakan bahawa ini adalah satu kesilapan. Kenyataan ini telah memusnahkan hidupnya. Segala Ibadah yang dilakukan berkurun-kurun lamanya tidak membuahkan sebarang hasil. Dia kehilangan segala-galanya.

Harus kita pelajari dan sentiasa memikirkan tentang perkara yang telah berlaku itu. Selanjutnya, perhatikan sebaik mungkin setiap pergerakan kita dan lakukan yang terbaik bagi hidup kita. Sentiasa kita bermohon kepada pencipta yang agung, “Ya Rabbi! Jangan engkau letakkan diri kami berserta dengan mereka yang ingkar kepadaMu. Sesungguhnya mereka yang mengingkari Mu kini adalah mereka yang telah ingkar kepada Tuan mereka. Kami percaya dan menerima bahawa Tuan kami Seyh Mevlana Nazim al-Hakkani al-Kibrisi Hazretleri adalah Sultanul Awliya. Beliau mengetuai setiap Tuan yang wujud. Kami meyakini dan menerimanya. Kami akur bahawa hanya menerusi beliau dapat kami menerima ayat-ayat dan perintah darimu. Kami tidak memahami apa-apa. Kami dengar menerusinya. Kami hanya mendengarkan kata-kata dari beliau serta Rasulnya (sws) yang juga adalah Rasul mu. Kami tidak dapat memahami sebarang hadis pun tanpa pertolongan ini. Kami hanya memerhatikannya. Izinkan kami untuk memahami kata-kata mu dengan sebaik mungkin dan jadikan kami di antara murid yang mentaati Seyh kami. Jika terdapat prasangka buruk yang tersemat di jiwa kami terhadap diri beliau itu, hapuskanlah ia dengan segera demi cinta kami terhadap kamu yang maha esa.”

Wa min Allahu taufiq

El-Fatiha