Sohbet oleh Seyh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi

Jumaat 15 Zul-Hijjah, 1427

5hb Januari, 2007

Osmanli Naks’ibendi Hakkani Dergah, Siddiki Center, New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim

BismillahirRahmanirRahim

La hawla wa la quwwata illa billah-il aliyyil azim

Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet.

Allah (subhana wa ta’ala) telah berfirman yang bermaksud; sesungguhnya dia akan memberi Iman kepada sesiapa sahaja yang diinginkan. Namun, bagi mereka yang meminta, Allah akan tetap meletakkan sesuatu kepada diri mereka. Mintalah, maka akan dikurniakan setiap permintaan itu. Allah memberi menurut kehendak seseorang. Manusia sentiasa menginginkan sesuatu. Bilakah masa yang mereka akan meminta? Tentu sekali sewaktu berada dalam kesusahan. Berkejaran. Sejurus selepas kesusahan itu berakhir, mereka akan melupakan segalanya. Namun Allah sedang memerhatikan. Sewaktu kamu berada dalam kesusahan, begitu pantas kamu menghadapi Allah untuk memohon pertolongan. Kamu nantikan dengan penuh harapan supaya masalah itu dapat dihuraikan dan berharap agar Allah membuka pintunya untukmu. Jika pemberian serta pertolongan ini dilupakan dengan begitu sahaja, maka akan terdapat lagi satu kesusahan yang sedang menanti. Di waktu itu, masalah tidak akan dapat terhurai dengan semudahnya. Kamu akan menderita berpanjangan. Bangunlah! Jika kalimah yang kamu lafazkan menerusi lidah itu telah menusuk ke dalam kalbu, maka ini seharusnya dapat membangkitkan diri kamu dari lamunan. Jika tidak, usahlah menyusahkan diri sendiri.

Orang ramai telah datang menghadapi baginda Rasulullah (alayhi salatu wa salam). Mereka bertujuan untuk membebani diri baginda dengan mengatakan, “Kami menerima Islam. Kami adalah golongan yang beriman dan kami menghendaki itu dan ini.” Allah (subhana wa ta’ala) berfirman, “Jelaskan kepada mereka semua bahawa penerimaan Islam mereka tidak akan memberi sebarang manfaat ke atas dirimu. Ia adalah untuk kebaikan mereka sendiri. Dan ketika mereka sedang menerima dan membawa peganggan Islam, agama ini langsung tidak menjadi lebih tinggi kedudukannya disebabkan oleh mereka. Islam sememangnya tinggi. Malah yang menerima itu akan dipertingkatkan lagi kedudukan mereka. Harga diri mereka menjadi lebih bernilai”. Katakan juga; “ Jika itu yang kamu ingini, tinggalkan segala-galanya dan pergi. Lihat sendiri sama ada darjat tertinggi Islam itu akan jatuh ataupun sebaliknya.” Mereka yang memelihara nilai agama Islam dan meletakkannya di kedudukan tertinggi, maka Allah akan mempertingkatkan darjat mereka. Ramai yang telah gagal dalam percubaan untuk menjatuhkan Islam. Berkurun lamanya mereka mencuba. Mustahil!

Hamba! Manusia itu hanyalah seorang hamba yang tidak dikenali sesiapa pun. Ratusan, ribuan serta jutaan manusia telah datang, memperhambakan diri dan mati sebagai seorang hamba. Berapa ramaikah yang kamu kenali? Lupakan golongan hamba. Berapa ramai raja-raja sejak zaman baginda Rasulullah (sws) hingga ke masa kini yang telah datang dan pergi itu kamu kenali? Bukankah mereka menguasai dunia ini. Berapa banyak nama para raja ini yang kamu kenali? Lupakan golongan raja. Kini, zaman kita yang serba canggih di mana pemilihan ketua dibuat menerusi dasar pilihanraya, berapa ramai Presiden yang kita kenali? Hilang semuanya. Nama-nama mereka terkeluar dari senarai dan dilontarkan ke dalam tong sampah. Namun, terdapat seorang hamba Allah, Bilal-e Habashi (Sayyidina Bilal Bin Rabah) (ra) yang namanya telah meninggalkan kesan abadi dalam jiwa setiap umat Islam. Beliau begitu istimewa hinggakan setiap kali namanya disebut, kita sewajarnya berdiri untuk memberi penghormatan. Apakah yang membuat nilai peribadinya begitu tinggi? Seperti yang lain, beliau juga hanya seorang hamba. Namun begitu, beliau menghargai pemberian Allah. Setiap yang diberi Allah, begitu diggenggam seerat mungkin tanpa menghiraukan pada yang lainnya. Beliau tidak rela ditukar gantikan pemberian itu dengan dunia yang hina ini atau juga untuk alam baqa. Beliau amat memelihara keimanan di jiwa.

Bilal-el Habashi (ra) meletakkan baginda Rasulullah (sws) di kedudukan yang teratas. Beliau sendiri akui bahawa, “ Inilah orang yang bertanggung-jawab bagi menyematkan Iman di jiwaku dan memberi perlindungan pada diriku.” Apakala wafatnya baginda Rasulullah (sws), seperti para sahabi yang lain, Bilal tidak lagi ingin meneruskan kehidupan ini. Namun pilihan bukan terletak di tangannya. Hidupnya itu harus diteruskan. Beliau memohon kebenaran dari Abu Bakr Siddiq (ra) dengan berkata, “Ya Abu Bakr, aku tidak terdaya untuk meneruskan hidup di sini lagi. Kamu harus menanggung beban yang lebih berat lagi dariku. Maka kamu harus menetap di sini. Tetapi aku tidak berdaya. Aku tidak mampu untuk melaungkan Azan lagi. Izinkanlah aku dibebaskan. Bebaskan diriku. Biar aku pergi membawa diri ke kawasan pergunungan.” Abu Bakr (ra) menjawab, “Ya Bilal, pergilah.” Dengan berjalan kaki, Bilal merantau jauh hingga menuju ke Damascus. Namun hatinya masih tetap membara dengan setiap yang telah baginda Rasulullah (sws) semaikan. Semangat ini sentiasa menyedarkan dirinya pada peristiwa lampau hingga di satu hari, beliau terlihat Baginda Rasulullah (sws) menyeru kepadanya, “Ya Bilal, hadirlah ke mari.” Bilal begitu bingung dengan apa yang sedang berlaku ke atas dirinya. Beliau bangun dan mula berlari menuju ke kawasan padang pasir hingga akhirnya beliau tiba di Medina. Rasulullah (sws) berkata, “laungkan Azan. “ Tatkala Bilal mula untuk malaungkan Azan, beberapa orang para sahabi yang masih tinggal di situ mula bergegas ke arah suara yang didengari itu. Mereka menyangkakan bahawa Rasulullah (sws) telah kembali. Mereka mencari-cari. Sebaik sahaja Bilal (ra) melafazkan, “Muhammadur Rasulullah” beliau mula rebah di situ dan berakhirlah riwayat hidupnya. Ya, begitulah.

Di manakah letaknya perbezaan diantara mereka dan kita? Bukankah kita juga mengaku mencintai Rasulullah (sws)? Di manakah perasaan cinta itu diletakkan? Huh? Di mana? Cinta kepada dunia? Hapuskan perasaan cinta kita terhadap dunia. Jika ini tidak dapat dilaksanakan, maka sukar bagi kita untuk mencapai ke tahap iman yang tinggi itu. Mustahil. Para sahabi bukan setakat melenyapkan dunia dari jiwa mereka, bahkan harta kekayaan dan segala yang dimiliki itu turut dihapuskan termasuk juga nyawa sendiri yang sanggup digadai demi Rasulullah (sws), demi Islam. Terdapat juga beberapa orang sahabi yang agak lemah. Mereka mengizinkan dunia mempengaruhi hidup masing-masing. Akibat daripada tipu daya dunia, mereka ditumpaskan sungguhpun mereka juga bergelar sahabi. Kini, setiap kali nama mereka di sebut, kita akan memalingkan muka ke arah lain kerana mereka memandang ringan setiap kata-kata Rasulullah (sws)

Di manakah Rasulullah (sws)? Dia telah lama pergi? Dia telah wafat? Apa yang akan kamu lakukan jika Rasulullah (sws) datang menziarahi ketika perhimpunan ini bakal bermula? Apa pula yang akan kamu lakukan jika Rasulullah (sws) hadir di sini ketika kamu tidak ada? Pernahkan kamu fikirkan ini? Kamu tidak. Kamu hanya lakukan ini sebagai kegiatan masa lapang. Maka kamu itu sedang dalam kerugian. Ketahuilah bahawa kita ini tidak mengejarkan sesuatu. Rasulullah (sws) juga tidak mengejarkan sesiapa pun. Beliau memberi mereka arah panduan untuk ke Syurga. Sesuatu yang tinggi nilainya akan sentiasa menjadi berharga. Sama ada kamu berada di sisinya ataupun tidak, ia tidak akan merubah nilai yang sedia kala tinggi itu. Malah, kamu yang tidak merebut peluang untuk memilikinya akan menjadi kerugian, kamu akan mengalami kerugian yang teramat besar sekali hinggakan para malaikat sendiri akan berkata, “Begitu bodoh sungguh orang ini! Di kalangan berbillion manusia, mereka telah dipilih sebagai salah seorang daripada golongan itu, namun dipersia-siakan sahaja kesempatan ini. Mereka tidak melakukan apa-apa.” Renungkan sejenak! Ikutlah sesuka hati kamu. Kamu boleh hidup mengikut sehendak hati kamu. Kamu akan mati bersama Iman yang terpupuk di jiwa dan bukan setakat iman yang dilafazkan menerusi kata-kata. Apa yang sedang kamu sibukkan, itulah yang akan dibawa bersama ke alam kubur. Seperti sabda baginda Rasulullah (sws), “Hidup kamu berlandaskan kepercayaan kamu, mati kamu berlandaskan penghidupan kamu itu.” Malangnya, istilah ‘mati’ ini dipandang remeh oleh orang ramai. Saya rasakan bahawa perkataan ‘mati’ memberi seseorang itu pemahaman bahawa ia adalah sesuatu yang mungkin berlaku sekurun akan datang. Tidak. Tidak benar sama sekali. Mungkin malam ini! Setiap hari, saya menerima panggilan dari merata tempat, “Sheykh, tolong doakan.”

“Apa yang telah berlaku?”

“Si dia itu meninggal.”

“Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Itulah yang dapat saya katakan. Saban hari. Mungkin kamu tidak mendengarkan, tetapi yang nyata, Allah juga telah memaparkan di hadapan kamu, di kaca televisyen dan di mana-mana. Sedarkan diri kamu itu. Jika hidup tidak berlandaskan kepercayaan diri, maka diri itu akan mula mempercayai kehidupan ini. Jangan pula kamu mengatakan di kemudian hari, “Allah tidak memberikan saya.” Allah memberi. Sebanyak mana yang kamu minta, sebanyak itu juga yang akan Allah berikan. Dia melihat kepada diri kamu, Ya. Allah memberikan apa jua yang kamu ingini, segalanya yang diminta, dan setiap sesuatu yang amat kamu hargai itu menjadi keutamaan dalam hidup kamu.

Selamat datang kepada kamu. Selamat datang ke New York. New York sedang menanti. ‘Big apple’. Rebutlah bahagian kamu dari itu. Azrail sedang menanti. Sejurus selepas bahagian itu dihabiskan, dia akan datang mengambilnya berserta dengan diri kamu.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha