Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibirisi

Jumaat 30 Jumad al-Awwal, 1431

14 May, 2010

Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York.

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Ya Sultanul Awliya, Medet.

Soalan : Bagaimana dapat saya berhenti dari melakukan kekejaman ke atas diri saya dan juga ke atas orang lain?

Sheykh Effendi : Itu mudah sekali. Kamu jangan melakukan sesuatu perkara yang tidak diinginkan berlaku kepada dirimu, ke atas diri orang lain. Itu sahaja. Bagaimana? Bukankah mudah. Jika kamu tidak menyukai sesuatu perkara itu dilakukan terhadap dirimu, jangan melakukannya pada orang lain. Dengan cara ini, kamu tidak mungkin akan melakukan kekejaman ke atas diri sendiri dan diri orang lain.

Soalan : Bagaimana pula dengan sikap murah hati? Apakah yang dapat seseorang lakukan untuk merubah sikapnya daripada seorang yang bakhil menjadi seorang yang pemurah?

Sheykh Effendi : Sejurus selepas kamu insaf dan menerima kenyataan serta menyedari bahawa setiap yang wujud ini bukan milik kamu, maka kamu akan mampu untuk memberi serta berkongsi bahagian kamu dengan orang lain. Hidup ini bersifat sementara. Setiap yang dimiliki itu tidak akan kekal bersamamu. Setiap pemberian Allah seharusnya digunakan untuk memberi khidmat yang terbaik kepadanya. Pemberian itu bukan hak kamu. Allah memberi. Dia tidak mengambil. Dia hanya memberi. Jika kamu mengaku diri sebagai seorang hamba, perkara yang harus diutamakan ialah untuk memberi. Jika kamu tidak mempelajari cara ini, maka pelajarilah cara untuk menerima dengan kesyukuran. Apakah kamu tidak merasa bosan dengan hanya menerima? Hanya kamu yang menerima? Tidak teringinkah kamu untuk memberi?

Manusia kini tidak memiliki ketenangan hidup. Mereka sedang merana. Ini berpunca daripada sifat tamak yang tidak suka memberi dan berkongsi. Ketahuilah bahawa sikap murah hati seorang insan yang suka membahagi-bahagikan bahagian mereka itu mendatangkan ketenangan dan rahmat. Allah amat berpuas hati dengan kamu. Jika Allah berpuas hati dengan diri seseorang, itu sudah amat mencukupi. Tetapi, pertama sekali, kita mesti mengetahui apa itu Allah? Manusia hanya menyebut-nyebut namanya sepanjang hari, namun mereka tidak mengerti apakah Allah itu sebenarnya dan apa yang dimaksudkan dengan menjadi seorang hamba. Sebaik sahaja ini difahamkan, kamu akan mula menyedari kedudukan diri sebagai seorang hamba. Kamu insaf dan berkejaran untuk memberikan penghambaan yang terbaik. Maka dilimpahi segala rahmat pada hidup kamu akibat daripada keikhlasan hati memperhambakan diri.

Allah sentiasa memberi kepada hambanya. Bukankah ini merupakan satu layanan? Dia sedang melayani. Maka untuk mencapai ke darjat yang tinggi, kamu harus bermula dengan menjadi seorang hamba. Secara perlahan, kamu akan dapat naik ke atas, atas,atas, tinggi dan lebih tinggi. Apabila umur meningkat dewasa, kamu akan mendidik generasi muda cara-cara memberi layanan terbaik. Eh! Perhatikan golongan muda itu, lihat. Mereka sedang duduk seperti patung. Tidak berguna langsung! Thuuh! Semuanya ingin dilayani sepenuh masa. Thuuh! Bodoh. Datang ke sini hanya seminggu sekali. Selain daripada itu, mereka lari berkeliaran menuju ke dalam lubang yang kotor. Hmm? Bermasalah. Tiada akhirnya. Namun apa yang kamu harapkan? Benar ‘X’? Kamu sudah tidak membawa mereka ke sini lagi. Bukankah sudah beribu kali saya menyuruh mereka datang ke sini. Tidak. Mereka hanya akan lari tanpa hala-tujuan untuk menimbulkan kekecohan di sana sini.

Setiap perkara mempunyai had jangka-masa yang tersendiri. Jika kamu tidak berupaya untuk mengejar masa itu dan terlepas peluang, maka di kemudian hari kelak kamu tidak akan dapat mempelajari sesuatu. Akibat dari ketinggalan peluang untuk mempelajari beberapa ilmu yang tertentu itu, maka kamu tidak akan dapat menikmati manfaat hidup yang diturunkan bersama ilmu tersebut. Ini menyebabkan diri kamu berada dalam keadaan leka dan hayal. Berlari tanpa henti, mencari-cari sesuatu yang tidak mungkin dapat ditemui.

Hakikat sebenar ialah manusia hanya sedang mencari-cari satu perkara. Ketenangan. Ketenangan jiwa serta ketenangan dalam setiap perkara yang diresapi jiwa itu. Setiap yang terkandung di dalam sanubari, dengan izin yang Maha Esa, akan terpancar pada penampilan lahiriah. Dengan ketenangan yang diperolehi dan dinikmati dalam kehidupan seharian seseorang itu, dia tidak lagi perlu melakukan apa-apa. Ibarat besi sembrani. Kamu akan menjadi tumpuan bagi mereka yang sedang mencari-cari ketenangan. Dengan segera, mereka akan sedar bahawa kamu memiliki ketenangan yang diidam-idamkan itu. Mereka akan mengejar kamu. Mereka akan berebut-rebut untuk mendampingi dirimu. Allah akan mencurahkan rahmat-Nya keatas diri mereka itu dengan berfirman, ‘ Berdampinglah kamu dengan para Saliheen. Dekatilah mereka yang telah menemui ketenangan nescaya ketenangan itu akan juga menjadi milik kamu akibat dari keakraban kamu dengan mereka.’

Kita harus berusaha untuk menjadi seorang yang bersifat murah hati. Begitu juga keadaannya dengan golongan kafir. Jika mereka memiliki sifat ini, maka laluan untuk ke Syurga bagi diri mereka itu adalah lebih cerah berbanding dengan golongan kafir yang kedekut. Allah tidak menyukai kebakhilan. Begitu juga dengan Rasul-Nya (SWS). Mereka tidak suka kepada manusia yang bersifat kikir. Semakin banyak sifat buruk ini tertanam pada diri kamu, semakin tinggi pula peluang kamu untuk menjadi seorang yang begitu mementingkan diri sendiri. Dan sikap mementingkan diri sendiri akan menambahkan lagi keangkuhan serta kedegilan diri seseorang. Keangkuhan serta kedegilan yang berlebihan akan menyebabkan seseorang itu menjadi lebih zalim. Dan Allah subhana wa ta’ala berfirman bahawa Dia tidak menyayangi orang-orang zalim. Dan orang-orang yang tidak disayangi Allah, mereka itulah orang kafir, golongan yang tidak beriman dan golongan yang sedang dilanda masalah. Kesimpulannya ialah, jika seseorang itu bersifat pemurah, tidak kira sama ada dia itu seorang kafir yang tidak mempercayai sesuatu apa pun, rahmat Allah akan tetap ditujukan kepada orang itu di satu hari kelak.

Pada suatu masa dahulu, mungkin tiga atau empat kurun yang lalu di Amerika, rakyatnya bersifat murah hati. Malangnya kini, rakyat Amerika mempelajari cara untuk menjadi seorang yang bakhil. Sewaktu sifat murah hati itu tertanam dalam jiwa mereka, Allah subhana wa ta’ala sentiasa mencucuri rahmat serta keberkatan pada hidup mereka. Tidakkah begitu? Saya sendiri melalui detik-detik itu di negeri ini. Ramai diantara kamu yang belum lagi dilahirkan pada waktu itu. Saya juga pernah beramah mesra dengan mereka yang telah menempuhi masa-masa sukar di Amerika pada waktu itu. Di sebalik kepayahan hidup, mereka memiliki satu ciri terpuji, iaitu mereka amat mengambil berat serta saling membantu sesama insan. Kini, keadaan begitu jauh berbeza. Mustahil untuk kita mengatakan yang serupa bagi keadaan sekarang. Mereka kini terlalu kedekut. Di manakah mereka mempelajari ini? Tentunya dari orang-orang yang sudah sediakala bakhil. Dari Sheytan. Sheytan merupakan bakhil yang terunggul. Ya.

Sekarang, seperti yang sedia maklum, setiap nikmat dunia ini masih terletak di dalam tangan manusia. Segala yang terbaik daripada hasil bumi ini sedang berada di bawah kuasa orang-orang Amerika. Bukankah ini benar? Rakyat Amerika mampu untuk memiliki apa sahaja yang diingini dengan mudah sekali. Jika dibandingkan dengan orang-orang yang tinggal di negeri Eropah, Timur Tengah atau pun mereka yang berada di negara dunia ketiga, kehidupan rakyat Amerika begitu mewah. Tetapi, pada masa yang sama, mereka juga merupakan golongan manusia yang paling tidak bahagia. Mereka berlari-lari ke sini dan ke sana tanpa sebab. Sekiranya mereka bahagia dan memiliki ketenangan hidup, mereka tidak akan berkelakuan begitu. Malah, ada diantara mereka yang pergi merantau jauh hingga ke Tibet. Mengapakah kamu ke sana? Apa yang dapat dicari di situ, hmm? Yang dicari itu datangnya dari dalam sini (Sheykh Effendi menunjuk ke hatinya).

Kamu memutuskan hubungan dengan Tuhan kamu. Jika bekalan elektrik terputus dan tidak dapat disalurkan ke sini (Sheykh Effendi menunjuk ke arah lampu di siling Dergah),kamu gantunglah candeliar yang secantik mana sekalipun, ia tidak akan memberi sebarang kesan. Untuk memastikan agar bilik ini dapat disinari oleh cahaya lampu itu, bekalan elektrik harus ada. Begitu juga dengan diri kamu. Sebaik sahaja hubungan kamu dengan alam syurgawi itu terputus, maka kamu tidak akan dapat menikmati hasil dari setiap yang wujud di sekeliling dirimu. Disebabkan itu, kamu tidak akan mampu untuk menilai serta menghargai setiap kewujudan.

Inilah yang menjadi punca masalah, terutama sekali bagi mereka yang menetap di negara ini. Kita tidak menghargai sesuatu yang berada di dalam tangan. Seringkali, manusia hanya akan dapat mengerti setelah kehilangan apa yang dimiliki itu. Sewaktu berada di dalam tangan, mereka langsung tidak menghargainya. Ini merupakan salah satu rahsia. Rahsia di mana kamu harus mampu untuk menilai sesuatu pemberian dan menjadi seseorang yang mensyukuri. Tiada sesiapa yang berkata bahawa kamu itu lebih berhak memliki sesuatu sedangkan mereka di negara-negara lain tidak mampu untuk menikmatinya. Apakah perbezaan di antara diri kamu dengan mereka itu? Pencipta yang sama telah mencipta kamu dan juga mereka. Pencipta itu jugalah yang telah mengizinkan kamu untuk memiliki sesuatu yang tidak diberi kepada yang lain. Tetapi apakah yang telah kamu lakukan dengan pemberian itu? Mungkin kamu tidak berupaya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka di sebelah sana. Tetapi, cukuplah setakat dengan mensyukuri pemberiannya itu. Jika terdapat sesiapa yang memerlukan sesuatu dan kamu mampu untuk membantu, kamu harus berlari untuk menghulurkan pertolongan. Jadi, hindarkan sifat bakhil. Ia adalah perkara terburuk yang dapat dilakukan manusia. Untuk siapa? Untuk dirinya sendiri.

Sheykh Effendi bertanya kepada seorang murid remaja : Pernakah anda mengenangkan kawan anda (yang telah meninggal dunia)? Adakah anda memikirkan dirinya? Saya fikir tidak. Saya fikir kamu tidak melakukan itu kerana kamu sedang sibuk lari berkeliaran tanpa hala tujuan. Apa yang telah berlaku kepada kawan kamu akan berlaku ke atas diri kamu. Pernahkah ini difikirkan? Jadi mengapa masih lagi ingin berlari-lari ke sini dan ke sana? Hmm, okay.

Usah ditangguhkan hingga ke saat-saat terakhir. Pada detik terakhir, selalunya padah yang menunggu. Kamu mungkin tidak akan dapat melakukannya dengan baik. Hidup adalah satu pemberian. Ia boleh diambil semula pada bila-bila waktu. Usah berlari untuk melayani keperluan ego semata. Ini hanya bersifat sementara. Berikan tumpuan pada hidup yang nyata dan abadi. Setiap nikmat dunia, tidak kira apa sekalipun, ia hanya sesuatu yang begitu mudah dan terlalu kecil dan tidak berkekalan. Jangan merubah hidup kamu hanya untuk ini.

Allah sedang memerhatikan hambanya. Seringkali diperhatikan hambanya menjerit akibat kesusahan dan mengeluh di atas keinginan yang tidak kesampaian. Allah telah menurunkan pelbagai ujian pada diri manusia untuk menduga daya ketahanan mereka. Begitu mudah bagi Allah untuk memberikan segala kemahuan kamu. Namun dia tetap menguji diri kamu untuk melihat cara kamu menghadapi gejolak cabaran yang didatangkan. Seringkali, manusia gagal dalam ujian hidup. Namun sifat Allah yang maha pemurah itu telah membukakan lebih banyak peluang bagi mereka untuk mencapai kepada keinginan yang diidamkan. Sekali lagi, kita perhatikan manusia mula berkelakuan lebih liar dan berlari lebih jauh dari Allah dan perintahnya sebaik sahaja keinginan itu dipenuhi. Mereka mula meninggalkan Allah dan suruhannya. Apakah ini satu tindakkan yang disenangi Allah subhana wa ta’ala?

Fikirkanlah. Allah telah berfirman, ‘Jika dunia ini dinilai dengan harga yang setimpal dengan nilai sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi walau setitik air pun bagi mereka yang tidak beriman.’ Tetapi Allah telah menegaskan bahawa dunia dan segala inti patinya itu langsung tidak berharga di kehadirat illahi. Segala bentuk kepuasan yang dinikmati itu juga tidak mempunyai sebarang nilai kerana, seperti yang telah di nyatakan, semuanya bersifat sementara. Setiap perkara yang bersifat sementara itu tidak mendatangkan kepuasan. Tumpukan kepada hidup yang kekal abadi. Berusahalah untuk mencapai kearah itu selagi hayat dikandung badan. Jika peluang untuk mengejarnya di dunia ini terlepas, maka timbullah persoalan besar sama ada kamu akan dapat memperolehi kehidupan itu ataupun tidak.

Ramai orang berkata, ‘Syurga itu terlalu besar. Apakah yang akan berlaku? Adakah semua manusia itu dimasukkan ke neraka?’ Tidak. Setiap manusia akan menuju kepada apa yang telah mereka bina untuk diri masing-masing. Jika seluruh dunia ini sedang berada dalam kesesatan, ini tetap tidak akan merubah penentuan Allah. Beliau berfirman, ‘Kami akan mengambil kamu semula dan kami mampu untuk menciptakan sesuatu yang baru. Kamu tidak berharga.’ Allah berkata, ‘ kamu boleh memberi nilai yang tertinggi bagi diri kamu dan memandang ke cermin untuk memuji,’Oh! Aku kelihatan begitu cantik sekali!’ Ini terlalu mudah. Kecantikkan dan segala-galanya dapat ditarik semula dengan sekelip mata. Begitu juga dengan kehebatan serta kuasa yang berada pada diri manusia. Semuanya boleh ditarik semula dengan serta-merta.

Manusia tidak memerhatikan serta mempelajari . Insaf dan cuba untuk memahamkan kisah yang berlaku di sebalik sejarah silam. Allah subhana wa ta’ala telah mencatatkan kisah-kisah ini di kitab-kitab suci sebagai pengajaran buat umat manusia. Ramai yang mungkin tidak suka dengan apa yang terkandung di dalam Quran. Tidak mengapa. Ambil kata-kata dari kitab Taurat. Lihat apa yang tersebut di kitab Taurat, di sebalik kisah Namrud dan ibrahim (as). Renungkan juga kisah yang berlaku diantara Firaun dan Musa (as). Apakah yang telah diumumkan Namrud? Dia berkata, ‘Aku adalah Tuhan semesta alam. Semuanya kepunyaan aku.’ Lantas Allah meletakkan seorang hamba dihadapannya yang berkata,’Tinggalkan keangkuhan kamu. Bersujudlah kepada Tuhan yang telah mengurniakan segala kuasa yang ada pada dirimu.’ Jawab Namrud, ‘Tuhan? Akulah tuhan. Akulah pencipta. Apakah yang mampu dilakukan oleh Tuan kamu itu?

‘Dia memberi dan mengambil nyawa.’

‘Itu mudah sekali. Aku juga melakukan itu’ kata Namrud. Lantas dibawa dua orang tawanan penjara di hadapannya sambil memberi arahan, ‘Aku akan membebaskan tawanan yang satu ini. Bererti aku memberi nyawa kepadanya. Ambil nyawa yang satu itu. Bunuh dia.’ Hmm. Seterusnya, Ibrahim (as) berkata kepadanya, ‘Jika begitu….’ Para rasul adalah golongan yang tidak suka menimbulkan pertengkaran. Beliau berkata, ‘ Jika begitu keadaannya, Tuhan aku mampu untuk menerbitkan matahari dari arah Timur. Dapatkah kamu menghentikannya dan menerbitkannya dari arah Barat.’ Namrud mula menggeletar. Sememangnya ini adalah satu perkara yang tidak dapat dilakukan Namrud. Ibrahim(as) terus mencabar, ‘sedangkan tuhan yang kamu sembah itu juga tidak dapat melakukan ini. Tuhanku boleh.’ Untuk itu, Allah telah berjanji dari saat itu bahawa, ‘Sebelum hari kebangkitan, kami akan dapat menyaksikan, hanya sekali, terbitnya matahari dari arah Barat. Pastikan yang kamu akan sentiasa memohon keampunan hingga ke saat itu. Ini adalah kerana, tatkala terbitnya matahari dari arah Barat dan terbenamnya semula ke arah yang sama itu, segala pintu keampunan akan tertutup. Tiada lagi keampunan yang akan diterima selepas itu.

Hari-hari yang dijanjikan itu berada terlalu dekat dengan kita. Malangnya manusia sedang leka, lena, khayal mengejarkan sesuatu di sini sana dan asyik berlari mencari penemuan baru di muka bumi ini. Dia sedang berlari untuk membuat penemuan terhadap serangga, penemuan itu dan ini di chanel Discovery, huh? Mereka berlari untuk menemukan segala-galanya tetapi tidak pernah saya melihat rancangan di chanel Discovery yang mengisahkan penemuan manusia terhadap dirinya sendiri. Apa kamu pernah melihatnya? ‘Manusia cuba untuk menemukan dirinya sendiri: Siapa itu Manusia.”

Kamu sedang menuntut? Semua orang sedang memperkatakannya, ‘menuntut’. Seterusnya? Memiliki diploma’. Seterusnya? Dan seterusnya, dan seterusnya? Sudahkah kamu menemui siapa diri kamu itu sebenarnya? Adakah kamu mengerti diri sendiri? Betapa kerdilnya kamu? Apakah kamu memahami ini? Dan bagi insan kerdil itu, Tuhan semesta alam telah menganugerahkan kuasa serta hak yang tidak terkira nilainya, sambil dikatakan, ‘Aku telah melantik kamu sebagai Khalifah, duta serta wakil ku di muka bumi ini.’ Selagi kamu belum mencapai ke tahap menjadi seorang hamba buat diriku, selagi aku belum menerima kamu sebagai seorang hamba yang baik, selagi itulah pintu-pintu di langit akan tertutup bagi dirimu. Jika aku senang dengan pengabdian kamu, maka akan aku bukakan pintu-pintu di langit. Kamu bebas untuk kemana sahaja.

Tidak mampu sampai dengan roket-roket. Ha ha! Roket ciptaan manusia itu ibarat belalang yang sedang melompat-lompat begini. Kejahilan membawa kepada salah tanggapan bahawa manusia telah menuju ke arah suatu kemajuan. Mereka mengatakan, ‘kami telah mengirim sebuah teleskop yang jauhnya menjangkau ratusan da da da jutaan tahun ke hadapan dan ia amat berguna kepada kita kerana telah menghantar gambar-gambar serta imbasan. Ciptaan ini mampu untuk meneroka lebih sebilion tahun ke hadapan. Di mana kamu? Mampukah kamu untuk menjejakkan kaki ke situ? Ianya tidak mungkin berlaku walaupun dalam dunia khayalan kamu. Hingga ke saat ini, masih lagi tidak diketahui jenis-jenis makhluk yang wujud di luar sana. Jika kamu renungkan semula kepada ciptaan-ciptaan tersebut dan betapa banyak kuasa yang telah diberikan, dikurniai menerusi roh pemberian Allah subhana wa ta’ala. Sekiranya kamu mampu untuk mendalami pengertian di sebalik kewujudan diri kamu ini, maka tiada tempat yang tidak dapat kamu tujui. Bahkan teknologi canggih ciptaan manusia itu sendiri mempunyai kegunaan yang terhad. Ibarat seekor belalang yang melompat-lompat begitu.

Maka Namrud membuat pengumuman, ‘Akulah Tuhan.’ Ibrahim (as) berkata kepadanya. ’Kamu gila. Kamu tidak boleh menjadi Tuhan dengan berkeadaan begini. Insaflah dan bersujud memohon keampunan. Allah telah meletakkan diriku ini, hamba yang paling lemah dan hina, untuk berbicara di hadapan kamu. Apa kamu masih tidak mengerti? Dan aku sedang berbicara dengan kamu. Aku telah berjaya untuk mematahkan kuasamu dan berdiri di hadapan sambil berbicara dengan kamu.’ Namrud menjawab, ‘Aku sangat marah dengan Tuhan kamu. Khabarkan padanya bahawa aku mengisytiharkan perang terhadapnya.’ Maka berkatalah Ibrahim (as), ‘Oh, kini kamu sedang dalam bahaya. Kamu isytiharkan peperangan? Tuhan ku tidak mempunyai sebarang tanggapan langsung terhadap dirimu.’ Namun perintah diturunkan kepada Ibrahim (as) yang mengatakan,’ Katakan kepadanya Ya Ibrahim, Kami menerima. Kami menyahut cabaran itu. Akan ku kirimkan pasukan tentera ku untuk menghadapinya.’ Namrud mengarahkan pasukan tenteranya untuk membuat persedian. Seperti masa kini, pemerintah di seluruh kawasan sedang mempersiapkan pasukan tentera, pasukan SWAT, tentera Udara, da da da da, pelbagai persiapan, pengiraan, dan mereka berkata, ‘Kami adalah yang terhandal.’

Namrud pastikan hanya yang terbaik dipilih untuk misi peperangan ini. Dia berkata, ‘Sekarang, Tuhan dari kayangan akan datang untuk berperang dengan aku. Bersiap sedia. Ini bukan senda gurauan.’ Namrud membuat persediaan yang rapi bagi pasukan tenteranya. Sementara menantikan peperangan bermula, dia bertanya kepada Ibrahim (as), ‘Takutkah dia? Apakah dia tidak akan menghantar tenteranya?’ Ibrahim menjawab, ‘Ia sedang menghampiri. Tidakkah kamu nampak? Lihat di atas situ.’ Dan mereka ternampak satu titik hitam yang sedang bergerak di langit dan ia sedang menuju dekat, lebih dekat, lebih dekat hingga mereka bertanya, ‘Apakah itu?’ Ibrahim berkata, ‘Inilah pasukan tentera nyamuk. Teruskan dengan niat kamu untuk menghapuskan mereka. Silakan.’ Maka bermulalah perperangan. Nyamuk-nyamuk mula menyerang masuk ke dalam tubuh badan para tentera sungguhpun pakaian seragam telah menutupi seluruh anggota mereka dari hujung rambut ke hujung kaki. Tentera Namrud digigit teruk oleh nyamuk sehingga mereka rebah dalam keadaan mengerikan seperti tengkorak.

Namrud yang ketakutan mula mengunci diri di dalam kamar yang teratas. Cermin kaca diletakkan di keliling kamar. Dia mengawasi setiap pergerakkan di ruang itu. Jiwanya bergentar. ‘Aku telah melakukan sesuatu yang bijak. Aku bersembunyi’ fikir Namrud. Tiba-tiba dia terlihat seekor nyamuk yang sedang menyelit masuk ke ruang kamar menerusi lubang kunci. Nyamuk itu mula berligar-ligar di dalam kamar. ‘Ohh! Apa yang harus aku lakukan?’ Namrud berkata. Hanya seekor nyamuk. Allah telah mengatakan bahawa nyamuk itu kurang sempurna anggota tubuhnya. Kaki serta sayapnya patah. Tidak seperti nyamuk-nyamuk yang lain. Allah berfirman, ‘Oleh kerana Namrud membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia adalah Tuhan yang berkuasa, maka kami menghantarkan seekor nyamuk yang paling lemah dikalangan tentera nyamuk itu.’ Begitu rumit sekali keadaan yang dihadapi Namrud. Dia terpaksa berlari-lari ke sana sini untuk cuba membunuh hanya seekor nyamuk. Akhirnya, nyamuk itu menemui jalan masuk ke dalam tubuh Namrud menerusi rongga hidungnya.

Ini kisah benar. Nyamuk berjaya masuk ke dalam otak Namrud dan mula memakannya. Nyamuk menggigit sedikit demi sedikit. Setiap kali otaknya digigit, Namrud menjerit, ‘Ugghh!’ Kamu beranggapan bahawa sakit gigi itu amat perit rasanya bukan? Jika dibandingkan dengan kesakitan yang sedang dialami Namrud, keperitan sakit gigi itu tidak seteruk mana. Ini kerana sakit gigi berakibat daripada tersentuhnya urat saraf yang tersalur ke bahagian otak manusia. Bayangkan jika urat saraf di otak itu sendiri digigt bertalu-talu oleh seekor nyamuk. Peritnya bukan kepalang. Maka terjerit-jerit Namrud kesakitan. Tiada perubahan. Rasa sakit berlarutan. Akhirnya, oleh kerana terdesak dek kesakitan yang tidak terkawal, Namrud mula mengetuk-ngetuk kepalanya. ‘Ahhh’, dia dapat rasakan bahawa kesakitan mula reda setiap kali kepalanya diketuk. Sebenarnya, rasa sakit itu hilang kerana sang nyamuk henti bergerak. Sebaik sahaja Namrud berhenti mengetuk, nyamuk mula bergerak dan rasa sakit kembali semula. Lambat laun, tindakkan mengetuk kepala tidak lagi berhasil . Namrud mula untuk menggunakan sebatang tukul kayu. Dia menggenggam sebatang tukul gergasi manakala seorang pengawalnya memegang yang satu lagi. Namrud memerintahkan, ‘Setiap kali aku menjerit, kau hayunkan tukul ini sekuat yang mampu ke arah kepala aku.’ Begitulah keadaannya. Kepalanya diketuk dengan sebatang tukul dan sang nyamuk berhenti bergerak. Kesakitan reda. Tetapi untuk sementara. Nyamuk bergerak semula dan mula memakan. Namrud meraung kesakitan, ‘Kuat!Kuat! Kuat lagi! Hingga akhirnya, si pengawal yang diupah untuk melakukan tugas itu merasa bosan dengan gelagat Tuannya.

Bukalah. Buka kitab Taurat. Kisah ini ada tercatat di situ. Buka kitab Injil. Ia juga tertera di situ. Buka kitab Quran. Ia jelas dicatatkan. Kamu fikir kitab-kitab ini hanya mengisahkan cerita-cerita dogeng? Kitab-kitab itu diturunkan pada waktu yang berbeza. Sebuah kitab diturunkan seabad yang lalu, sebuah lagi diturunkan berkurun-kurun yang lalu, dan yang sebuah itu dededahkan beberapa abad yang silam. Namun, kisahnya tetap sama. Akhir sekali, akibat merasa bosan terhadap tuannya, pengawal itu mula menghayunkan tukul itu sekuat hati hingga menyebabkan tempurung kepala Namrud retak dan terbelah dua. Maka keluar haiwan yang kelihatan seperti seekor burung dari kepala Namrud. Nyamuk yang pada mulanya itu kecil telah menjadi begitu besar akibat memakan otak Namrud. Ia terbang keluar.

Apa tujuannya maka Allah memaparkan kisah-kisah sedemikian di kitab-kitab sucinya? Pernahkah kamu memikirkannya? Allah sedang memberi kita satu pengajaran dengan firmannya, ‘Kamu hanya seorang hamba. Tidak lebih dari itu. Apa juga kedudukan serta martabat duniawi yang telah kamu capai sejauh ini, ia tetap tidak akan merubah hakikat yang kamu itu adalah seorang hamba. Jika kamu menyatakan sebaliknya, aku tidak akan menerima. Sesiapa sahaja yang sedang berusaha untuk menjadi seorang hamba yang terbaik, aku akan memberikan gelaran tertinggi kepada diri itu. Kamu akan ku lantik menjadi seorang Sultan. Ini merupakan satu perlantikkan khas yang diturunkan terus dari Syurgawi. Tiada sesiapa yang dapat merebut gelaran itu dari kamu jika ia diturunkan dari atas situ. Dunia mungkin akan mengejar untuk mendapatkannya. Mereka tidak akan berjaya. Ini adalah pemberian Istimewa. Pemberian Syurgawi.’

Kisah-kisah benar itu merupakan penjelasan serta didikkan Allah kepada manusia agar mereka tidak memiliki sikap angkuh. Ini tidak dibenarkan sama sekali. Kisah Namrud yang takbur jelas mengajar kita bahwa insan kerdil lebih berupaya untuk menumpaskan mereka yang memiliki sifat tercela ini. Satu lagi peristiwa yang Allah jadikan sebagai teladan bagi sekian manusia adalah kisah Firaun yang bongkak. Dengan hanya sebatang tongkat, kuasa Firaun ditumpaskan dengan serta merta. Allah swt memberikan tongkat itu kepada Musa (as) dengan berkata, ‘Dengan tongkat ini, kau jatuhkan kerajaan Firaun.’ Dengan tongkat yang memiliki pelbagai mukjizat, Musa (as) mampu meruntuhkan kerajaan Firaun. Firaun yang bangga dengan menggelarkan dirinya Tuhan akhirnya mati lemas ditenggalami lautan yang luas. Begitulah kesudahan riwayat hidup Firaun.

Pada kurun ke 21 ini, siapakah di antara manusia di muka bumi yang tidak menentang kuasa Allah? Hmm? Manusia sedang melarikan diri sejauh yang mungkin dari perintah yang diturunkan Allah. Dilengkapi ilmu pengetahuan yang mendalam, manusia semakin berlari jauh untuk mengabaikan perintah Allah. Mereka berkata, ‘Aku tidak suka kepada perintah itu. Aku hanya akan menurut kemahuan ego ku. Apa yang Allah inginkan dari ku, itu amat tidak bersesuaian dengan ego aku.’

Manusia kurun ke 21 kini tidak akan dihukum menerusi seekor nyamuk atau pula sebatang tongkat. Bagi golongan itu, hanya satu perkataan sudah memadai. Perkataan yang menjadi kebencian ramai manusia, terutama sekali mereka di Barat. Itulah laungan Takbir! Allahu Akhbar! Bergetaran seluruh anggota tubuh manusia. Takut dan cemas. Hanya satu laungan Takbir. Hinggakan para ahli Sufi sendiri turut mengatakan, ‘ Jangan disebutkan itu wahai saudaraku’ Hmmm. Apa yang menyebabkan jiwa mereka menggeletar? ‘Allahu Akbar!’ Laungan takbir ini akan membawa kepada keruntuhan serta menamatkan kejahilan kurun ke 21. Satu laungan Takbir oleh Mahdi (alayhi salam) akan mengakhiri segala-galanya. Saya merasa amat yakin, menurut ilmu yang telah dibuka kepada diri ini, bahawa hampir semua yang berada di sini akan menemui hari yang dijanjikan itu. Tetapi awas. Pastikan yang kamu akan berpihak kepada kebenaran dan bukan pada yang batil.

Sebelum takbir itu dilaungkan, kuasa nuklear yang sedang sibuk dibina manusia, akan tercetus, mengorbankan nyawa berbilion manusia. Cubalah untuk menghentikannya. Arahkan pemerintah kamu agar menghentikannya. Mustahil. Mereka tidak mampu untuk melakukan itu. Sebaliknya, mereka itu yang akan menggunakan kuasa nuklear. Jangan khuatiri. Mereka yang dihiasi Nur dari syurgawi tidak harus khuatir kerana serangan nuklear tidak akan dapat menembusi Nur itu. Ia akan terhenti di situ. Tidak kira di mana kamu berada, kamu sedang di bawah perlindungan. Berlarilah untuk segera mendapatkan perlindungan itu. Nescaya kamu akan selamat. Mereka yang lainnya, semua akan musnah. Tiada sesiapa dan apa pun yang dapat menyelamatkan kamu.

Manusia kini sedang sibuk membina kawasan perlindungan bawah tanah untuk menyembunyikan diri dari peristiwa dahsyat yang bakal berlaku. Namun bumi ini juga akan turut dilenyapkan. Seluruh bangunan-bangunan akan runtuh dan ditarik ke bumi dengan sekelip mata. Ia akan lesap. Kejadian ini sedang berlaku pada saat ini, tetapi mereka tidak mengumumkan. CNN tidak menayangkan. Ia sedang berlaku di pelbagai daerah di dunia ini dan ia telah berlaku di kawasan yang ketandusan kampung-kampung atau bandar-bandar. Ianya sedang berlaku ketika ini. Lubang besar terbuka dan menelan segala yang berada di permukaan bumi. Kemudiannya, keadaan akan kembali normal seakan tiada apa yang telah berlaku. Kota tempat penginapan kamu akan turut rebah ke bumi dan ditenggelamkan. Itulah dia. O manusia abad ke 21 yang sombong dan bongkak. Di manakah dapat kamu berlari? Mereka amat degil dengan keiinginan ego. Ini menimbulkan kemarahan Allah. Allah sangat marah terhadap manusia kurun ke 21 yang terlalu angkuh, degil dan bakhil.

Seperti yang telah dikatakan, golongan muslimin harus bersujud memohon perlindungan dari kejadian yang semakin hampir berlaku. Amat mustahil bagi mereka yang tidak bersujud untuk menemui perlindungan, sungguhpun mereka itu orang muslimin yang mempercayai Allah dan Rasulnya (sws). Mustahil. Bagi golongan kafir, perlindungan tertakluk kepada sifat murah hati mereka. Dengan memiliki sifat ini Isa (as) akan datang untuk mengarahkan mereka ke jalan yang menuju ke destinasi yang benar. Pada saat ini, kuasa tidak lagi terletak di tangan manusia. Ianya berada di dalam genggaman para Awliya Allah. Namun kebenaran tidak diberi untuk mereka menggunakan itu. Mereka tidak akan menggunakannya melainkan Isa (as) yang akan datang untuk membentangkan serta menunjukkan kepada semua manusia bahawa, ‘Akibat dari sifat murah hati kamu itu , sekarang ikutilah perintah yang aku bawa padamu. Berserta dengan ini, aku juga membawa perintah dari Rasul mu yang terakhir (sws). ‘ Maka mereka semua akan bergegasan ke arah itu insha Allah ar-Rahman.

Wa min Allahu tawfiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha