Khutbah Jumaat oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

Jumaat 27 Muharram, 1428
16 February 2007

Osmanli Naks-I’bendi hakkani Dergah, Siddiki Center, New York.

Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet

Alhamdulillah, shukrAllah, astaghfirullah. Kami mohon keampunan dari Tuhan kami atas segala kesilapan yang telah dilakukan. Kami bersyukur di atas segala pertolongan serta kurniaan dalam hidup kami. Berterimakasih bukan dengan sekadar melafazkan ‘Alhamdulillah’ atau ‘saya adalah hambamu yang bershyukur’. Tidak. Manusia harus berlari dan berusaha untuk memenuhi perintah Allah (subhana wa ta’ala) dan cuba sedaya upaya jauhkan diri dari setiap perbuatan yang ditegah Allah (subhana wa ta’ala). Jika kita telah berniat dan berusaha untuk menuju ke arah kebaikkan serta berpegang kukuh pada cara yang mulia, maka InshaAllah ar-Rahman, kita akan menemui dan berada kekal di Sirat-ul Mustaqim.

Ini tidak pula bererti bahawa perjalanan hidup kamu itu akan disekat oleh segala perintah and segala larangan hingga kamu kini terpaksa merujuk kepada buku-buku. Tidak. Kamu seharusnya mempelajari dari setiap peluang dan kesempatan yang wujud dalam hidup kamu itu. Bertanyalah, “adakah ini suatu perkara baik yang akan menyenangkan Allah serta Rasulnya (sws)?” Kini, ramai orang sedang begitu asyik membaca pelbagai jenis buku. Akibat dari pembacaan yang banyak itu, mereka menjadi lebih berilmu hingga mencapai ke tahap sarjana dan cendekiawan. Begitu tinggi ilmu di dada sehingga mereka tidak terdaya untuk mengawal ego sendiri. Dengan megahnya mereka berkata, “Inilah yang telah dinyatakan dalam buku. Ini maksud sebenarnya.” Malangnya, setiap cubaan dan ujian yang dihadapi mereka dalam hidup mereka, mereka tetap gagal.

Allah tidak memerintahkan agar kita hanya membaca buku dan memahami isi kandungannya itu. Allah telah memberikan kita sesuatu menerusi ayat-ayat suci al-Quran serta hadis baginda Rasulullah sws yang secara langsung telah mengajarkan kita cara-cara untuk meneruskan kehidupan ini. Maka disebabkan ini, Rasulullah (sws) telah diutuskan dan menetap di bumi ini sebagai Rasul Allah selama 23 tahun. Itulah jangka waktu yang diambil untuk menyempurnakan kitab al-Quran. Setiap peristiwa yang berlaku, jika perlu, akan disertakan dengan turunnya ayat-ayat suci. Jika ini tidak diperlukan, maka Rasulullah (sws) sendiri yang akan menjelaskan menerusi hadis dan juga dari amalan-amalan dalam hidupnya. Oleh itu, adalah wajar untuk kita berpegang kepada ketiga-tiga kombinasi ini serta menerapkannya ke dalam kehidupan seharian.

Perkara yang harus dititik beratkan ialah untuk melihat pada kehidupan yang kita lalui setiap hari. Ramai diantara manusia kini lebih cenderung untuk mengunci keimanan mereka di dalam masjid-masjid. Mereka akan ke masjid untuk menunaikan solat lima waktu sehari. Di luar masjid, mereka berkelakuan lebih liar dari haiwan. Perkara-perkara yang mereka lakukan itu adakalanya tidak mempamerkan ciri-ciri kemanusiaan langsung.

Islam adalah gaya hidup. Islam mengajar kita cara-cara untuk hidup. Setiap ibadah, kewajipan, amalan dan perbuatan yang diharamkan itu bertujuan untuk menjadikan kita insan yang sempurna. Insan yang berpeluang untuk mencapai kepada kedudukan tinggi yang telah ditetapkan Allah. Manusia telah dicipta Allah (subhana wa ta’ala) dalam keadaan yang serba sempurna. Namun di sepanjang perjalanan hidup ini, manusia telah mencemari kesempurnaan itu dengan unsur-unsur yang tidak sihat dan amalan hidup yang tidak diredai. Ego manusia akan sentiasa berlari ke arah gaya hidup yang salah itu. Ayat-ayat suci yang terkandung di dalam kitab Quran, hadis Rasulullah sws berserta dengan ajaran-ajaran para Awliyah Allah telah ditujukan khusus untuk membimbing manusia. Ia adalah sumber untuk membolehkan manusia mencapai kedudukan yang telah Allah (subhana wa ta’ala) tetapkan, Ahsani Taqweem.

Ramai yang kini sedang sibuk berlari ke kiri dan ke kanan untuk mengejarkan pangkat serta gelaran. Terdapat gelaran Duniawi dan gelaran Ukhrawi. Namun yang menjadi tumpuan manusia sejagat adalah gelaran duniawi. Bagi mereka yang tidak menginginkan ini, mereka yang sedang memberi tumpuan pada perjalanan ukhrawi, mereka itu juga sedang mengejarkan gelaran. Mereka sibuk meletakkan gelaran pada diri sendiri dengan mengatakan, “saya adalah seorang Sheykh. Saya adalah seorang Tuan. Saya golongan sarjana. Sayalah guru yang bertauliah.” Tinggalkan semua itu. Allah telah mengurniakan ke atas diri kamu satu gelaran yang lebih baik. Di dalam firman Allah, dia telah mengatakan, “Kamu adalah Khalifatullah. Kamu adalah Khalifah ku. Aku telah mencipta dan menurunkan kamu ke muka bumi sebagai wakil ku.” Apakah kamu menginginkan gelaran yang lebih tinggi dari itu? Hasbinallah wa ni’mal wakeel. Ya. Malang sungguh, terdapat ramai orang yang masih sedang sibuk berkejaran untuk memberi gelaran pada diri sendiri.

Kita seharusnya berlari untuk memperbaiki diri sendiri. Itu sepatutnya menjadi tumpuan dalam hidup seharian kita. Usah dihiraukan jika terdapat sesiapa yang memerhatikan perilaku kita atau tidak. Yang penting, Allah sedang memerhatikan. Setiap amalan yang dilakukan, haruslah kita cuba untuk memperbetulkannya. Harus difikirkan,’Apakah perbuatan saya ini menyenangkan Allah dan Rasulnya (sws)?’ Jika kita rasa bahawa sesuatu perbuatan itu tidak menyenangkan mereka, hendaklah kita berhenti dari terus melakukannya. Sebaliknya, jika hati ini tenang mengatakan ‘Ya’, teruslah dengan perbuatan itu. Kita sedar bahawa setiap amal kebaikkan yang dilakukan begitu tidak layak untuk dihadiahkan kepada Allah (subhana wa ta’ala). Namun jika kita akui dan berkata, “ saya adalah hamba mu yang lemah Ya Rabbi. Sebanyak ini yang mampu untuk aku lakukan,” dengan niat yang ikhlas dan juga berkat syafaat dari Sheykh kami, Allah (subhana wa ta’ala) akan menerima. InshaAllah ar-Rahman, beliau menerima walau sekecil mana sekalipun amalan itu. Yang penting, kita harus berniat untuk memperbaiki diri sendiri dan terus melakukannya.

Kita sedang menghampiri ke satu bulan yang baru. Bulan Muharram telah hampir tamat ditempuhi. Kini, bulan Islam yang kedua, bulan Safar, sedang mengunjung tiba. Pada bulan Safar, sebanyak 700 000 sumpahan dari bentuk malapetaka dan hukuman akan dipindahkan dari Lawh-e Mahfuz. Ia akan diturunkan dari situ ke langit peringkat pertama. Sesuatu yang berat akan diturunkan pada bulan ini. Setiap kejadian yang bakal menimpa diri seseorang pada sepanjang tahun itu akan bermula pada bulan Safar. Ia akan berlarutan hingga ke bulan Safar tahun hadapan. Pelbagai bencana serta siksaan akan ditujukan pada sekian manusia. Kita harus lebih berhati-hati. Adalah tidak wajar bagi kita untuk berdiri secara terangan-terangan di sesuatu kawasan untuk menerima hukuman itu. Jadual hidup kita harus disemak semula agar ia lebih disibukkan lagi dengan amalan zikir dan solat sunnat yang berlebihan. Ada juga terdapat beberapa solat sunnat yang dikhususkan untuk bulan Safar ini. Kamu boleh merujuk kepada saya mengenainya selepas majlis ini. Pelbagai ibadah sunnat yang lain boleh dilakukan untuk menambahkan amalan suci di bulan ini. Membaca surah Ayat-ul Kursi sebelum melangkah keluar dari rumah harus diamalkan. Ini dilakukan dengan tujuan memohon perlindungan Allah (subhana wa ta’ala) dari segala macam azab dan bencana. InshaAllah, berserta dengan niat yang luhur, Allah (subhana wa ta’ala) akan melindungi hambanya. Kita harus memperbetulkan niat di hati dalam usaha kita untuk melakukan amal kebaikan serta kebajikan demi untuk Allah (subhana wa ta’ala).

Hidup ini hanya mempunyai dua pintu. Pintu masuk dan pintu keluar. Setiap yang wujud itu bersifat sementara. Boleh dikatakan setiap seorang diantara kita telah pun menempuhi setengah perjalanan hidup. Sekarang ini, kita sedang dalam perjalanan untuk menamatkan yang setengah lagi. Kita harus lebih berwaspada. Malaikat maut akan datang menjemput kita pulang pada bila-bila masa. Kita harus membuat persediaan yang rapi. Kaum muslimin tidak seharusnya berjalan-jalan di merata kawasan dalam keadaan yang tidak berwudhu. “Ini amat rumit sekali.” Sudah semestinya. Beberapa perkara tertentu yang mendatangkan kebaikan adakalanya tidak mudah untuk diamalkan. Ia seharusnya sesuatu yang agak payah. Tidak semudah yang disangkakan. Bukan sekadar dengan membuka mulut selebar yang mungkin dan mengharapkan segalanya akan dicurahkan ke dalam. Tidak.

Firman Allah telah mengatakan, “kami akan menguji kamu. Setiap seorang diantara kamu akan diuji. Dari orang kebanyakkan hingga ke para sahabat Allah, para Awliyah Allah dan para Rasul.” Kami semua akan diuji. Kita makhluk yang memenuhi ruang di muka bumi ini akan diuji mengikut peringkat, pengetahuan serta tahap pencapaian tersendiri. Allah tidak akan menguji seseorang itu berdasarkan tahap pemahaman orang lain. Ini tidak akan pernah terjadi. Apa jua yang kamu ketahui, itulah yang akan diuji. Kita harus memberi tumpuan kepada perkara ini. Tiada ujian yang sekecil biji saga atau sebesar biji labu di kehadirat Illahi. Fahamilah bahawa setiap ujian yang diturunkan ke atas diri seseorang itu berlaku menurut pemahaman dan kedudukan orang itu. Jadi kamu harus memerhatikan.

“ini perkara yang remeh. Biar aku pergi meninggalkannya begitu sahaja.”

Jangan. Mungkin sesuatu perkara itu kelihatan kecil. Mungkin dari perkara yang kecil itu kamu akan menemui kegagalan. InshaAllah ar-Rahman, jika kita berusaha untuk memperbaiki diri sendiri, niat serta amalan kita akan turut diperbaiki. Pertama sekali, kita harus memohonkan belas ikhsan Allah (subhana wa ta’ala). Selanjutnya kita juga mohonkan shafa’at dari baginda Rasulullah (sws) serta pertolongan dari para Saliheen, mereka yang berpihak kepada kebenaran. InshaAllah ar-Rahman.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha