Khutba Jumaat oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

Jumaat 25 Rabi-ul Awwal, 1428
April 13, 2007

Osmanli Naks-I’bendi Hakkani Dergah, Siddiki Center, New York.

Auzu billahi minash sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi Sultanul Awliya, Medet.

Alhamdulillah wa shukr Allah wa astaghfirullah. Baginda Rasulullah (sws) bersabda, “ Di kalangan orang-orang mukmin, mereka yang memiliki iman yang terbaik sekali adalah mereka yang mempunyai nilai budi pekerti yang tertinggi.” Kita harus memeriksa diri sendiri. Lihatlah di mana letaknya budi pekerti kita. Jangan asyik berbangga diri sambil berkata, “saya seorang yang beriman.” Keimanan seseorang itu akan terhapus jika dia tidak mempunyai akhlak yang mulia. Sheytan juga merupakan makhluk yang beribadah. Ibadah yang dilakukan sheytan itu terlalu banyak sekali untuk dihitung. Jika dikumpulkan seluruh ibadah umat manusia dari permulaan Adam (as) hingga ke manusia yang terakhir, ia tidak akan dapat menandingi ibadah yang telah dilaksanakan sheytan. Tidak terkira banyaknya ibadah sheytan. Amat mustahil bagi sekian manusia untuk mencapai ke tahap keimanan yang pernah dimiliki sheytan. Tetapi malangnya, segala-gala yang dimiliki sheytan terhapus dengan sekelip mata. Hanya satu perkara sahaja yang telah menyebabkan kejatuhan sheytan. Dia telah melupakan akhlak yang mulia. Satu perkataan. Hanya dengan melafazkan satu perkataan, maka terlucutlah segala budi pekerti yang pernah dimiliki. Sheytan hilang keimanan dan akibat dari itu, dia telah diusir keluar dari kehadirat Illahi.

Apakah sebabnya maka Allah (subhana wa ta’ala) menjadikan sheytan sebagai contoh? Mengapakah sheytan dihantar kepada manusia sambil kita dipesan untuk, “Perhatikan dan pelajari.” Apakah tujuannya? Adakah sekadar untuk kita berkata bahawa kita adalah jauh lebih baik dari yang itu? Tentu sekali tidak. Kita harus mengambil iktibar serta memahamkan pengajaran di sebalik apa yang sebenarnya telah berlaku. Jika seseorang itu memiliki iman yang mantap, maka jiwanya akan sentiasa bergetaran, hatinya akan tersentuh dan menjadi ketakutan. Sebelum mulut dibuka untuk berbicara, dia akan mula merasa takut. Dia seharusnya tahu apa yang hendak diluahkan dan kepada siapa kata-kata itu akan ditujukan. Dia harus fahami terlebih dahulu. Jika tidak, iman yang dimilikinya itu tidak kukuh. Ia bergoncangan dan rapuh. Ini juga menunjukkan bahawa iman yang sebegini turut mempunyai nilai yang tersendiri. Tetapi harga bagi nilai yang rapuh ini begitu cenderung ke arah duniawi. Ia terlalu bersifat keduniaan. Lama kelamaan, di suatu masa kelak, sheytan akan tipu dan perbodohkannya.

Cuba kita renungi keadaan sebatang pokok. Batang pohon serta akar itu ibarat iman seorang manusia. Dahan-dahan pokok menyerupai amalan baik seseorang insan. Dedaun yang tumbuh menghijau pula ibarat ilmu pengetahuan yang mengisi diri seseorang itu. Apakah pula ciri terpenting sekali bagi pokok itu? Sudah pastinya buah-buahannya. Adalah amat sia-sia bagi seseorang menanam pokok yang tidak menghasilkan sebarang buah-buahan. Tiada gunanya ditanamkan pokok yang begitu. Hanya menghabiskan masa dan tenaga. Begitu juga keadaanya dengan Iman, amal kebaikan serta ilmu pengetahuan seseorang manusia. Kesemua ini sepatutnya membolehkan manusia untuk menghasilkan buah-buahan yang bermutu tinggi. Buah yang dimaksudkan itu adalah nilai pekerti yang mulia. Jika seseorang itu tidak memiliki akhlak yang baik, mereka akan diusir keluar dari kehadirat Illahi. Barang sesiapa jua yang tidak mempunyai adab pekerti yang mulia, mereka tidak akan dapat berdiri di sisi orang-orang yang tinggi nilai pekertinya. Kamu akan ditendang keluar. Kamu akan diusir pergi atau mereka sendiri yang akan mengundurkan diri.

Pada zaman dahulu, hidup manusia sentiasa disandarkan pekerti murni dan adab yang sempurna. Mereka sering berpesan, menurut hadis-e-sharif, mengatakan, “Budi pekerti yang baik mampu untuk merubah seekor haiwan menjadi manusia dan merubah manusia menjadi raja, Sultan.” Sekarang ini, orang ramai sedang sibuk berlari untuk mengejarkan sesuatu di Dunia. “Saya inginkan ini. Saya inginkan itu.” Berlari ke sana dan ke sini. Alhamdulillahi Rabbil Alameen, Allah telah menutupi setiap jalan bagi mereka yang tidak memiliki akhlak yang baik. Keizinan tidak lagi diberikan pada mereka untuk melalui dan melewati batas yang telah dihadkan. Akibat dari keterbatasan had laluan ini, mereka yang tidak berakhlak baik akan kerugian segala-gala yang mereka memiliki.

Baginda Rasulullah (sws) telah diutuskan untuk mengajar manusia budi pekerti yang agung. Sabda baginda, “ Allah (subhana wa ta’ala) adalah guru bagi diriku. Dia telah mengajarku kemuliaan budi pekerti”. Dan Dia telah mengutuskan Rasulullah (sws) untuk mengajak kita akhlak dan budi pekerti yang mulia. Kita telah diberi contoh-contoh sebagai pengajaran. Contoh yang berlaku di kawasan padang pasir di mana ummat manusia telah kehilangan panduan. Merekah kehilangan kompas, kehilangan perilaku yang baik, kehilangan segala-galanya. Apakala tibanya baginda Rasulullah (sws), mereka berpegang erat kepadanya. Yang paling erat genggaman mereka terhadap Rasulullah (sws) adalah golongan yang memiliki iman yang terbaik dan akhlak yang termulia. Di manakah kedudukan kita? Apakah kita ini hanya setakat meniru-niru? Hanya sekadar memperkatakan sesuatu atau kita ini telah mencapai ke sesuatu tahap yang tertentu? Periksalah diri kamu sendiri. Periksa. Jangan menanti serta mengharapkan agar orang lain berkata, “Kamu adalah orang ini. Kamu adalah orang itu. Kamu mempunyai darjat yang tinggi. Kamu mempunyai darjat yang terlalu rendah.” Dunia mungkin mengatakan bahawa kamu itu berkedudukan di lubuk yang paling rendah dan hina. Periksalah tingkah laku kamu. Jika kamu memiliki akhlak yang mulia, maka tempat kamu telah dikhususkan di kehadirat Illahi.

Pekerti yang mulia bukan sekadar membuka mulut dan berbicara menurut sesuka hati. Pekerti yang mulia harus menjadikan seseorang itu lebih berwaspada dalam membicarakan sesuatu. Mereka harus mengetahui masa-masa yang sesuai untuk mengutarakan sesuatu hal dan mengawasi arah tujuan kata-kata yang telah diluahkan itu. Mereka juga harus mengetahui jika kata-kata yang diucapkan itu akan mendatangkan kebaikan atau kemusnahan. Ini juga menjadi penyebab utama maka baginda Rasulullah (sws) berpesan, “Berjanjilah kepadaku dua perkara ini nescaya aku akan memberi jaminan pada dirimu dan akan aku nantikan kamu di pintu Syurga untuk dibawa masuk ke dalam. Dua perkara. Pertama adalah apa yang terletak diantara dua kaki kamu yang harus dilindungi dan yang kedua adalah lidah kamu yang perlu dikawal. Sewaktu kamu membuka mulut untuk memperkatakan sesuatu, pastikan setiap kata-kata yang dilafazkan itu adalah sesuatu yang benar. Berbicaralah mengenai hal-hal yang memanfaatkani diri kamu dan diri orang lain. Jika tidak, hendaklah kamu terus berdiam diri”.

Semua orang membuat pengakuan, “Saya hanya mengenali Allah.” Bagaimankah caranya untuk kamu mengenal Allah? Apakah jalan yang harus dilalui untuk menuju serta mencapai kehadirat Illahi? Semua ini akan jelas kelihatan apabila seseorang itu membuka mulut mereka untuk berbicara. Maka itu, manusia yang berakhlak mulia akan sentiasa berada dalam keadaan yang berfikir, memahami serta mengerti dan mengaku bahawa, “Tuhanku sedang memerhatikan. Walaupun tiada seorang manusia pun yang hadir pada ketika ini, namun Allah sentiasa memerhatikan.” Seorang insan yang berakhlak mulia akan berkejaran dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Mereka akan menunaikan setiap tanggungjawab demi untuk Allah. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan. Jika sesuatu itu dilakukan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, maka lambat-laun, kamu akan menjadi penat. Akibat dari kepenatan ini, kamu tidak akan dapat meneruskan pekerjaan itu. Maka dari situlah, setiap tingkah laku kamu akan jelas diperlihatkan.

Baginda Rasulullah (sws) bersabda, “orang yang berada dekat denganku di Akhirat kelak merupakan orang yang mempunyai akhlak yang terbaik.” Yang juga menjadi keutamaan di dergah ini dan jelas kelihatan di sekitar kawasan dergah, “Edep Ya Hu, Edep Ya Hu, Edep Ya Hu.” Ungkapan ini diluahkan seperti ayat-ayat yang sering dipaparkan di merata tempat. Edep! Terapkan nilai serta budi pekerti yang mulia. Diri kamu harus terlebih dahulu dihiasi dengan kesempunaan akhlak yang teragung. Jika ini dapat dilakukan maka dalam perhubungan seharian kamu terhadap orang lain akan jelas memperlihatkan nilai budi yang mulia.

Malang sungguh, keseluruh rakyat kini telah kehilangan kompas, kehilangan pedoman hidup, tersasar jauh dari landasan yang menuju ke arah kebaikan. Setiap ajaran-ajaran murni yang telah diturunkan lesap begitu sahaja. Ini berpunca dari ketandusan adab yang mulia. Manusia kini melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. “Tiada sesiapa yang dapat memberi arahan kepada diri aku ini. Aku bebas melakukan apa sahaja.” Kamu tidak boleh bersifat begini. Mungkin, secara lahiriah kamu memang kelihatan seperti dapat melakukan apa sahaja yang diingini. Namun pada hakikatnya, kamu hanya sedang mempersiapkan diri untuk kesengsaraan. Riwayat hidup kamu akan berakhir dengan satu kesengsaraan. Jika kamu tidak sedarkan diri secepat mungkin, jika kamu tidak ingin merujuk serta mendengarkan kata nasihat dari golongan tua yang arif lagi berpengalaman, maka kamu itu sedang melakukan lebih banyak kemusnahan pada diri sendiri di kemudian hari.

Kita harus sentiasa awas berwaspada. Kita harus memeriksa diri sendiri. Jika keselamatan di Dunia dan di Akhirat yang sedang diidamkan, maka perhatikanlah dan fahamilah kedudukan diri kamu yang sebenar. Apakah tujuan hidup kamu? Kesemua Shariat, Tariqat, Pengajian dan ilmu pengetahuan bertujuan untuk mengajarkan manusia tata-tertib serta perilaku yang teragung. Setiap perintah dan larangan Allah (subhana wa ta’ala) adalah untuk kebaikan diri sendiri agar tersemainya nilai pekerti yang mulia di dalam jiwa setiap insan. Mereka yang berakhlak mulia akan ke Syurga. Namun mereka yang tidak memiliki sifat yang mulia ini hanya sedang menutupi pintu Syurga buat dirinya sendiri. Tidak kira dimana kamu berada. Mungkin kamu sedang duduk sepanjang dua puluh empat jam di dalam masjid. Tetapi apabila tiba ke penghujung hayat kamu, Sheytan berjaya mencangkuk serta menarik diri kamu ke arahnya. Mungkin juga kamu telah menghabiskan sepanjang hayat kamu di tempat yang terkotor dan tercemar. Namun dengan memiliki perlakuan yang mulia serta pekerti yang luhur, di akhir hayat kamu, para Awliya akan membelitkan tali mereka dikeliling dirimu untuk menarik kamu keluar dari segala kekotaran yang pernah mencemari hidup itu. Allah (subhana wa ta’ala) tidak akan membiarkan hamba-hamba yang berakhlak baik untuk menderita sekurang-kurangnya ke akhir riwayat mereka.

Fahamilah bahawa kita harus meneliti pada cara hidup sendiri yang ditempuhi saban hari. Harus dipastikan bahawa terdapat kemajuan keatas hari-hari yang berlalu itu. Dari hari Jumaat yang lepas hingga ke Jumaat yang bakal tiba, bertanyalah pada diri sendiri, “ Di manakah kedudukan saya kini? Apakah yang telah dilakukan sepanjang minggu ini? Bagaimana saya melakukannya? Apakah langkah yang telah diambil? Apakah tujuan saya dalam melakukan sesuatu perkara itu? Apa sebabnya dilakukan sesuatu pekerjaan?” Bertanyalah. Jika terdapat sebarang kesalahan dalam perbuatan ini dan jika ianya dilakukan demi untuk kepentingan diri sendiri, ego sendiri, maka kamu harus berasa malu. Malu pada diri sendiri. Tetapi jika kamu menemui sesuatu dan mengatakan, “semua ini saya lakukan kerana Allah”, maka bergembiralah kamu. Jika tidak, kamu mungkin hanya kelihatan gembira secara lahiriah. Terlompat kegirangan sambil tertawa, hee hee hee, khee khee khee. Bergembiralah. Namun ia hanya satu pertunjukan.

Di pihak yang lain, terdapat pula seseorang yang sering kelihatan sedih, menundukkan kepala tanpa banyak berbicara, dan pada masa kini, ramai dikalangan mereka ini, yang tinggi ilmu di dada, tidak lagi ingin berbicara. Kata-kata hanya ditelan dan disimpan di dalam hati. Mulut mereka dikatup. Ini kerana jika mereka menyuarakan sebarang pandangan walau sekecil biji zahrah sekalipun, ratusan malah ribuan jawapan akan dilemparkan terhadap kata-kata itu. Dari kaum wanita hingga ke kaum lelaki, dari yang kecil hingga ke dewasa dan hingga ke golongan tua, semuanya sedang sibuk berkata-kata. Namun, mereka yang berilmu dan berakhlak mulia lebih gemar berdiam diri. Mulut mereka dikunci dan tumpuan hanya diberi dalam usaha meneruskan hidup mereka dengan cara yang diredhai. Maka jelas kelihatan bahawa seluruh dunia ini, dari timur ke barat, dari seorang pembantu rumah hingga ke Para Pemimpin dunia, semuanya kehilangan pegangan dan akhlak yang mulia. Dari murid-murid hingga ke guru-guru sekolah. Dari para Imam hingga ke para jemaah. Semuanya telah kehilangan dan mengabaikan budi pekerti yang luhur.

Allah (subhana wa ta’ala) telah mengajar kita. Baginda Rasulullah (sws) juga turut mengajar kita. Allah berfirman, “ di dalam diri Rasul yang aku utus itu, terdapat banyak kebaikkan yang beliau miliki. Ambillah dan contohilah diri beliau itu. Jika kamu mengabaikannya, maka hidup kamu akan dirudung kekusutan yang berpanjangan.” Hidup kita semua akan terseksa dengan penderitaan yang berlarutan. Jika kita dan seluruh dunia ini ingin mencari jalan untuk meleraikan kekusutan hidup ini, maka hendaklah kita berpatah balik kepada baginda Rasulullah (sws). Janganlah setakat mengambil buku untuk membaca timbunan hadis-hadis baginda seraya berkata, “saya tahu ini, saya tahu itu.” Kamu seharusnya berpegang kepada hadis-e sharif untuk menerapkan setiap amalan baginda dalam hidup kamu. Jika seorang itu kini berpegang kepada hanya satu hadis, satu hadis-e sharif, bukan dua atau selebihnya, dan berjanji kepada dirinya dan kepada Allah, “hidup saya akan berlandaskan hadis ini. Setiap perbuatan yang bakal dilakukan saban hari akan dilandaskan dengan hadis ini. “ Jika ini yang menjadi pegangan hidup kamu, maka hadis itu amat mencukupi bagi menemukan keselamatan buat hidup kamu. Tiada apa lagi yang diperlukan.

Tidak perlulah bagi kamu untuk mengetahui seluruh kandungan al-Quran. Tidak perlu juga bagi kamu untuk mengetahui jutaan hadis-hadis yang ada. Hanya satu. Hanya satu hadis yang menjadi pengangan hidup kamu. Itu sudah mencukupi. Walau sekalipun kamu mampu untuk menghafal jutaan hadis-e sherif atau pula kamu merupakan seorang hafiz Quran, hafiz mazhab atau ahli fiqir, tetapi akhlak serta pekerti yang mulia dan luhur tidak diterapkan ke dalam jiwa, maka kamu akan menemui kegagalan. Kita semua akan gagal. Allah (subhana wa ta’ala) telah memberi kita contoh yang terbaik menerusi baginda Rasulullah (sws). Jika kita mengambil dan menerapkan nilai yang mulia itu dalam hidup ini, kita akan menang. Jika ia diabaikan, kita akan menemui kegagalan.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.