Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim al-Hakkani al-Kibrisi

7 Jumaat Jumad al-Akhir, 1431
May 21, 2010
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi, Siddiki Center, New York.

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Sultanul Awliya, Medet.

Sheykh Effendi : Bagaimana dapat kamu melindungi diri dari musuh jika musuh itu sendiri tidak dikenali? ‘X’, menurut pendapat kamu, mampukah kamu menyelamatkan diri dari musuh yang sedang cuba untuk menyerang, menghancurkan dan membinasakan diri kamu? Musuh itu sanggup melakukan apa sahaja demi tujuan itu. Tiada undang-undang atau batasan. Dia melakukan segala-galanya. Setiap keburukkan dari bentuk apa sekalipun akan ditujukan kepada orang yang hendak dibinasakan itu. Jika orang itu tidak mengenali siapakah musuh yang sebenar, apa kamu fikir dia akan berdaya untuk menyelamatkan diri dari musuh itu? Jawablah.

Murid : Tidak, Sheykh Effendi.

Sheykh Effendi : Jadi, siapakah musuh kamu? Manusia tidak akan berhenti menyebarkan kekeliruan. Apakah sebabnya? Kerana musuh itu. Ini adalah kerana kamu tidak dapat melihat dengan jelas dan kamu juga tidak mengenali musuh itu. Hmm? Jadi, siapakah gerangan musuh kamu?

Murid : Ego saya. Diri saya sendiri. Yang sentiasa memikirkan bahawa dia itu betul. Yang suka bermegah-megah kepada orang ramai. Yang suka menonjolkan diri ke hadapan dan melakukan sehendak hati.

Sheykh Effendi : Kadang-kala diri itu tidak suka menunujuk-nunjuk. Ada yang berpura-pura mempamerkan sifat rendah diri. Seperti tidak bersalah, seumpama para malaikat. Itulah yang sedang cuba ditayangkan oleh sesetengah orang. Kepura-puraan. Mereka tidak akan menayangkan diri secara terbuka. Namun mereka tetap sedang bersandiwara. Cuma persembahan kali ini dilakukan dengan cara terselindung. Maka orang itu sendiri tidak akan menyedari. Jadi, siapakah musuh kamu?

Murid : Sheytan.

Sheykh Effendi : Sheytan? Apakah terdapat sheytan yang lebih besar dari manusia kini? Sekarang, sheytan sedang berehat sambil berkata, ‘Aku tidak dapat melakukan yang lebih dashyat dari manusia.’ Sekarang, manusia telah pun melangkah ke universiti untuk mendapatkan PhD dan sheytan lalu berkata, ‘Mereka sedang mendapatkan PhD. Mereka kini lebih dashyat dari aku. Aku juga harus memilikinya.’ Memang mudah bagi orang ramai mengatakan ‘Sheytan’. Lihat dulu pada sheytan yang sedang bertakhta di dalam diri itu. Diri kamu sendiri.

Musuh kamu adalah ego kamu sendiri. Ego yang paling buruk itulah merupakan musuh kamu. Amat mustahil bagi seseorang untuk mengenali ego mereka tanpa menyerahkan diri kepada seorang Guru/Sheykh. Beliaulah yang akan mengasuh serta mendidik kamu agar mampu mengenal ego sendiri. Penyerahan harus disertai dengan ketaatan. Tanpa ketaatan, penyerahan itu tidak membawa sebarang pengertian. Kepada mereka yang ingkar, tiada harapan bagi mereka untuk menemui perlindungan. Tiada harapan. Penderhaka. Allah berfirman, ‘sewaktu kamu dibangkitkan semula pada Hari Perhitungan, kamu akan merayu, ‘Oh Tuhan kami, kini kami mula memahami hakikat yang sebenar. Berilah kami peluang sekali lagi. Kembalikan kami ke dunia. Akan kami taati setiap perintahMu terlebih dahulu sebelum kami datang menghadapi diriMu kali ini.” Allah menjawab, ‘Tidak perlu. Kamu telah diuji sekali. Itu sudah mencukupi. Sekiranya kamu dihantar ke dunia beribu kali, tiada perubahan yang akan berlaku. Kamu tetap sama. Jadi lupakan sahaja itu. Kini, masanya telah tiba untuk kamu dilenyapkan. Kamu kerugian’.

Kehidupan dipersia-siakan. Bukan Jahannam. Ramai yang tidak memahami perbezaan di antara kedua ungkapan ini. Ya, hidup terbazir dan dicemari perbuatan yang tidak mendatangkan hasil, dengan kekotoran dan kebodohan. Bertanggungjawab. Manusia akan dipertanggungjawabkan. Sama ada mereka ingin memperbaiki diri sendiri, atau berada terus dalam kejahilan. Itu bukan persoalannya. Yang nyata, mereka harus bertanggungjawab. Jika seseorang itu tahu di mana letaknya mulut mereka, di manakah tempat untuk mencari makan sewaktu kelaparan, bila masanya untuk keluar dari rumah dan pulang, jika mereka tahu cara-cara untuk mengadu mengenai perkara-perkara yang mengganggu dirinya di Dunia ini, maka bertanggungjawablah. Tidak lagi menjadi persoalan. Adalah tugas manusia untuk mendidik diri sendiri, menemukan pusat-pusat pengajian, untuk menyerah diri kepada pusat pengajian tersebut serta mentaati guru di pusat itu agar dapat membuat kemajuan.

Pada pandangan kamu, apakah yang akan terjadi kepada para murid yang telah diberi bantuan grant? Semua orang di sini diberi bantuan tersebut. Apa yang telah kamu lakukan setelah diberi bantuan itu? Cuba salah seorang dari kamu beritahu saya, apakah kebaikkan yang telah kamu lakukan hingga dapat menemui Sultanul Awliya? Huh? Apakah, pada fikiran kamu, telah dilakukan? Terlalu banyak puji-pujian yang telah kamu berikan pada diri sendiri. Yang lelaki, mahupun yang perempuan. Apakah kebaikkan yang telah kamu lakukan, beritahu saya? Dan kamu duduk di dalam bilik darjahnya dengan tidak henti-henti menonjolkan sifat degil dan ingkar. Apa kamu fikir ketaatan itu cukup dengan sekadar duduk diam membisu di hadapan Sheykh sepanjang masa? Tanpa mengiyakan atau membantah. Namun sejurus selepas perhimpunan bersurai, kamu mula bercakap tanpa henti dan tanpa batasan. Apakah itu ketaatan? Apakah itu yang kamu fahamkan dengan maksud ketaatan? Huh, biar saya jelaskan perkara yang sebenar. Dengan guru yang begitu, kamu boleh katakan apa jua perkara yang tidak elok didengari, secara terang-terangan. Saya mungkin akan memadamkannya. Tetapi saya tidak akan tergesa-gesa untuk memadamkannya jika kamu memperkatakannya di belakang saya.

Jangan menjadi seorang yang munafik! Golongan munafik tidak dibenarkan untuk melangkah ke Syurga. Jangan lupa.

Murid : Sewaktu di sini (dergah) saya rasa seperti berada di sisi anggota keluarga sendiri. Namun apabila pulang ke rumah, perasaan terpaut terhadap keluarga saya sendiri yang dicintai semakin pudar. Malah, saya rasa seakan mereka sengaja membuat saya berperasaan begini.

Sheykh Efendi : Betul. Itu sudah semestinya. Semua orang yang berada di sini sepatutnya berperasaan begitu. Dengan cara itu, kehadiran mereka akan terasa di sini. Malangnya itu tidak berlaku. Seperti kata saya tadi, penyakit kurun ke 21 ini teramat berat sekali bagi manusia hinggakan saya hanya cuba memastikan agar kalimah Shahadat itu tidak putus diucapkan dari lidah mereka. Setidak-tidaknya, untuk mereka memelihara kalimah Shahadat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa mereka telah mencapai ke kedudukan-kedudukan yang tertentu. Tetapi pada hakikatnya, itu tidak benar. Hanya untuk menghidupkan Shahadat agar dapat kamu keluar dari dunia ini dengan kalimah yang suci itu. Ini yang harus dipelihara. Jika tidak, kamu sedang berada dalam bahaya. Pusat-pusat pengajian bertujuan untuk mengingatkan kita tentang persoalan ini. Sekurangnya, ia mengingatkan tentang kematian.

Apa yang sedang dikejarkan di luar sana? Tiada sesuatu apa pun. Tiada. Tiada. Kamu sendiri tahu jika terdapat sesuatu yang dikejar, sudah pasti kamu telah pun dapat memilikinya kini. Apa lagi yang sedang dikejarkan? Kehidupan ini telah berlalu. Jika usia kamu telah melewati empat puluh tahun, maka kehidupan itu telah jauh berlalu. Kamu boleh katakan, ‘Saya rasa seperti orang muda’. Katalah apa yang kamu suka. Mereka yang berusia 80 tahun sedang berkata, ‘Saya rasa seperti 18 tahun’. Eloklah itu. Kamu boleh berperasaan begitu. Jika itulah yang diakui, maka ia bermakna bahawa kamu telah gagal untuk memperolehi sesuatu apa pun sepanjang kehidupan itu. Sepatutnya, kamu harus mengatakan, ‘selama 80 tahun ini, aku rasa seolah telah hidup di dunia 800 tahun lamanya’. Malangnya, kamu berkata pula, ‘saya rasa seperti baru berusia 18 tahun’. Kamu telah terperangkap. Terperangkap di dalam masa itu. Terperangkap bersama ego sendiri. Perkara apakah yang telah dilakukan pada waktu itu hingga kamu tidak dapat menarik diri keluar dari situ? Hanya kekufuran. Seterusnya? Perkara-perkara terlarang yang telah Allah haramkan ke atas dirimu. Dan kamu masih merelakan diri untuk terus diperangkap? Jika seseorang datang untuk mengingatkan kamu tentang kisah silam, kamu seharusnya pejamkan mata dan berpaling ke arah lain agar peristiwa itu tidak dapat diingati semula. Walaupun teringat, kamu harus melarikan diri darinya. Malangnya kini, kamu sedang asyik mengingatkan diri tentang hal itu sepanjang masa?

Sukar bagi saya untuk mempercayai keadaan ini. Ia jelas menunjukkan bahawa identiti seseorang itu telah hilang. Orang itu tidak akan dapat menemui identitinya semula. Bererti, kamu tidak lagi tahu siapa diri kamu yang sebenar. Identiti sebenar. Begitu mudah untuk mengatakan, ‘Saya adalah orang ini. Saya dilahirkan di sini, pada tanggal ini, di tempat ini’. Itu bukan identiti kamu. Kamu harus menemukan identiti sendiri. Apakah yang sering diperkatakan? Seseorang yang mengenali diri sendiri, mengenali Allah. Maka selama ini pengertian kamu terhadap Allah adalah atas dasar imaginasi sendiri. Tanpa menemui Allah, pemahaman kamu adalah menurut imaginasi, menurut penyesuaian ego, kerana kamu tidak berusaha untuk meningkatkan diri. Kamu sedang berusaha untuk membawa Allah turun ke tahap pemahaman kamu yang rendah itu. Ini tidak akan berlaku. Ia tidak pernah berlaku dan tidak mungkin akan berlaku. Mereka yang telah capai pada kedudukan yang tinggi, akan turun ke bawah untuk menarik ke atas sesiapa yang masih di bawah. Dan kamu masih berdegil untuk terus terperangkap dalam lubuk hina yang di bawah itu. Begitulah keadaannya. Mungkin kamu telah melakukan banyak perkara dalam hidup kamu di masa lampau itu. Mungkin juga kebaikkan yang dilakukan itu telah mendatangkan manfaat bagi diri kamu. Tetapi kesimpulannya adalah, kamu tidak menemui diri sendiri

Apakah yang dapat dilakukan manusia di dunia ini? Tiada apa-apa. Itulah kebenarannya. Manusia mengatakan, ‘Saya sedang melakukan kebaikkan’. Kebaikkan bagaimanakah yang telah dilakukan itu? Apakah bentuk kebaikkan yang sering dibangga-bangga manusia? Sekiranya dunia ini berada di dalam genggaman kamu dan kamu mendermakan kesemuanya itu, kamu masih belum melakukan suatu kebaikkan. Kamu menuntut sesuatu yang belum pernah menjadi milik kamu. Dunia ini telah wujud sebelum kamu atau datuk moyang kamu diciptakan. Begitu juga dengan setiap kemewahan yang sedang berputar-putar di sekeliling dunia ini, ia sememangnya sediakala wujud. Ia tidak pernah ke mana-mana. Ia tidak naik ke atas atau tenggelam ke bawah. Apa pun yang ditenggelami akan ditimbulkan semula. Jadi seluruh harta kekayaan di dunia ini sentiasa berada di sini. Kamu masih belum wujud. Seterusnya, Allah telah berfirman bahawa kamu telah dihantar ke dunia ini melalui setitik air yang kotor.

‘Jangan menghina saya sedemikian rupa!’ Ada yang berkata, ‘Jangan menghina saya begitu!’

Kamu tidak ingin tahu asal usul kejadian kamu yang sebenar. Kamu muncul dari tempat yang paling kotor. Manusia tidak memahami kebenaran ini. Mereka berjalan di permukaan bumi seakan dunia ini adalah hasil ciptaan mereka. Hanya dengan memandang ke cermin, mereka menjadi begitu sombong. Sekeping kaca yang berkilauan itu mampu membuat mereka sombong dan angkuh. Bayangkanlah jika cermin itu tidak wujud. Tentu sekali kamu tidak akan berperangai sombong begitui. Benar? Jika kamu tidak dapat melihat penampilan diri, sudah tentunya kamu tidak akan menjadi riak dengan kecantikkan sendiri. Maka kamu telah terpadaya. Bukan sheytan yang memperdayakan. Sheytan kini tidak lagi perlu bekerja keras untuk memperdayai kamu. Kini, terlalu banyak tipu helah dan perangkap yang telah dibentangkan dihadapan seseorang itu sebelum sempat Sheytan datang untuk mendampingi diri mereka.

Abdul Khaliq Ghujdawani Hazratleri pernah berkata, ‘Aku adalah seorang penjaga pintu. Sepanjang empat puluh tahun, aku tidak pernah membuka pintu pada seruan yang salah. Empat puluh tahun. Aku telah berjalan di muka bumi ini tanpa memijak sebarang kekotoran selama empat puluh tahun’. Kita sedang mengikuti perjalanan Tariqat itu. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki ini dicemari oleh kekotoran akibat berpijak di merata kawasan. Penjaga pintu apakah yang dimaksudkan itu? Beliau juga mengatakan, ‘aku tidak pernah membuka sebarang ruang di hati ini terhadap perjalanan yang salah. Aku adalah penjaga pintu. Aku akan disoal pada hari kebangkitan kelak, ‘mengapakah kamu meletakkan perkara yang salah ini di hati kamu?’ Usah kamu merayau-rayau menuding jari kepada orang lain, ‘Dia yang melakukan ini, dia melakukan itu’. Tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. ‘apakah yang telah aku lakukan hingga menyebabkan orang itu bertindak sedemikian rupa?’ Itulah yang harus kamu tumpukan. Kamu seharusnya disibukkan dengan persoalan ini.

Semalam, saya terlupa untuk mengemukakan satu lagi perkara apabila kamu bertanya mengenai kemaafan. Islam tidak menganjurkan agar seseorang itu untuk langsung berkata ‘saya mohon maaf’. Bahkan Islam menuntut agar seseorang itu pergi meminta keampunan dan memohon juga agar hak orang itu dihalalkan ke atas dirinya. Terdapat dua dosa yang diketahui umum. Dosa besar yang telah Allah subhana wa ta’ala firmankan, ‘ Jangan datang kepadaku dengan dua perkara. Nescaya aku tidak akan mengampuni dosamu.’ Adakah kita memandang berat terhadap perkara ini? Apakah dua dosa yang dimaksudkan Allah subhana wa ta’ala. Telah berulang kali saya membicarakan tentang dua hal ini. Berapa ramaikah yang tahu? Angkat tangan kamu. Dua dosa. ‘Y’, apakah yang pertama?

Seorang murid : BismillahirRahmanirRahim. Melakukan Shirk.

Sheykh Effendi : Jangan membuat Shirk. ‘Jangan hadir padaku dengan Shirk’. Apakah pula yang kedua? Siapa yang tahu? Beritahu kami apa yang telah dipesan Allah. ‘Kamu tidak harus menghadapi ku dengan apa’?

Seorang murid : Hak orang lain.

Sheykh Efendi : Hak orang lain. ‘Jangan kamu menghampiri ku dengan itu’. Kamu faham ‘X’? Bukan hanya mengatakan, ‘saya minta maaf’. Dan seterusnya? ‘Okay’. Perkara masih lagi belum selesai. ‘Saya datang untuk memohon maaf terhadap kesalahan yang telah dilakukan keatas dirimu. Tolong maafkan saya dan maafkan juga hak saya bagi setiap kesalahan terhadap dirimu’.

Huh, berani sungguh. Keadaan tidak akan berubah. Dua perkara ini tidak akan berubah. Tidak kira siapa yang sedang melakukannya. Manusia kini sedang asyik melakukan kesalahan ini. Dari yang kecil hingga ke dewasa. Mereka tidak berhati perut. Ini kerana mereka telah mengasingkan diri. Manusia telah mengasingkan diri dari kebenaran dan mereka berkata, ‘Mengapakah saya berlainan? Saya amat berlainan!’ Itu Shirk. Shirk yang tersembunyi. Pencipta yang sama telah menciptakan dirimu dan orang yang lain itu. Apakah yang berbeza? Ego yang telah ditanam ke dalam orang itu, turut ditanamkan juga ke dalam diri kamu. Apakah perbezaannya? Yang membezakan ialah kamu sedang berusaha gigih untuk membersihkan ego kamu. Kamu sedang menjadi seorang hamba yang lebih baik. Apabila kamu sedang menjadi seorang hamba yang baik, usah berkata, ’saya berlainan. Saya harus diberi keutamaan. Saya ini.’ Jangan. Ia akan menjerumuskan kamu lebih jauh ke bawah. Jika berlakunya sesuatu di sekitar dirimu, harus disoalkan terlebih dahulu, ‘Kesalahan apakah yang telah saya lakukan dalam hal ini? Perbuatan salah yang bagaiman telah saya lakukan hingga ditimpa musibah ini?’

Malangnya kamu tidak melakukan ini. Jika terjadinya sesuatu ke atas diri kamu, janganlah kamu terus pergi berhadapan dengan orang yang menyebabkan berlakunya perkara itu. Kamu sepatutnya bertanya, ‘Apakah yang telah aku lakukan untuk menerima hukuman ini dari Allah subhana wa ta’ala. Aku yakin bahawa aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap orang ini. Tetapi apakah sebenarnya kesalahan ku maka hukuman ini diturunkan.’ Hmm. Bila dibelek-belek lembaran muka surat hidup kamu, akan dapat kamu temui jawapannya. Ia ada di situ. Tetapi kamu telah menutup lembaran itu. Jangan ditutup. Pastikan agar seluruh dunia ini melupakan kejadian tersebut, namun kamu harus mengingatinya.

Lupakan dua perkara. Mereka yang telah melakukan kesalahan pada dirimu dan semua amal kebaikkan kamu terhadap orang lain. Setiap perbuatan salah yang dilakukan seseorang terhadap dirimu, lupakan semua itu. Dan terdapat juga dua perkara yang tidak harus dilupakan. Jangan melupakan Allah dan hari kebangkitan yang telah dijanjikannya di mana kamu akan hadir ke hadirat Illahi. Jangan melupakan kematian. Semaikan di hati kamu sepanjang 24 jam berserta dengan setiap hembusan nafas. Jangan mengatakan, ‘Sheykh ini sengaja menakut-nakutkan orang.’ Kamu ingin merasa ketakutan? Pergi ke tanah perkuburan dan nantikan di sana. Atau berlari jauhlah dari kawasan perkuburan itu. Pergi ke tempat-tempat hiburan. Pergi ke kota Atlantik atau ke Disneyland. Pergi dan menjadi mabuk di sana. Tapi saya difahamkan bahawa malaikat maut diberi kebenaran untuk pergi ke mana jua. Dia tidak memerlukan tiket masuk. Waktunya juga tidak terhad dan tidak diduga. Kamu tidak boleh berkata, ‘Ini adalah waktu peribadi saya.’ Manusia kini melakukan perkara-perkara secara peribadi. Mereka kini mempunyai masa-masa peribadi yang tertentu.

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang lelaki yang juga merupakan salah seorang murid Sheykh Mevlana. Dia teringin untuk berkahwin. Dia meluahkan hasrat hati itu kepada Sheykh Mevlana. Sheykh Mevlana berkata, ‘Tidak, jangan berkahwin. Jangan. Jangan. Tidak usah. Tumpukan perhatian pada perjalanan ini.’ Lelaki itu menjawab, ‘Tidak Mevlana. Aku tidak boleh hidup tanpa itu.’ Mevlana berkata, ‘jangan berkahwin.’ Lelaki itu berdegil juga dan terus berkahwin. Belum sempat empat puluh hari berlalu, mereka menemuinya. Lelaki itu telah meninggal di atas isterinya sewaktu mereka sedang bersatu. Azrail tidak berkata,’ yang ini adalah murid Sheykh Nazim dan dia sedang melakukan sesuatu yang amat peribadi. Mungkin, saya harus mengetuk pintu dan berkata ‘sarungkan pakaian mu.’

Fahamkah kamu betapa seriusnya keadaan ini? Atau kamu hanya mentertawakan hal itu? Adakah kamu faham bahawa kamu turut terlibat? Kamu juga adalah salah seorang dari mereka? Apakah kamu mengerti bahagian itu? Mengerti bahawa ‘Ia mungkin terjadi pada diriku. Ia telah berlaku ke atas orang lain. Siapa kata perkara ini tidak akan menimpa diriku?’ Tahukah kamu tentang hal ini? Jika kamu tahu, maka kamu akan menjadi lebih takut, lebih gentar, lebih berwaspada, lebih tenang dengan setiap yang wujud di sekitaran. Kamu tidak akan terus pergi berhadapan dengan orang yang sedang memegang roda steering yang bebadan tegap dan gagah untuk berkata, ‘Kamu terlalu kasar Sheykh’.

Siapakah kamu yang berani untuk menyoal Sheykh sendiri? Apakah Sheykh kamu bersifat kasar dan tegas terhadap dirinya sendiri? Sudah semestinya dia teramat kasar dan tegas pada diri sendiri. Begitu tegas hingga terlupa untuk makan selama beberapa hari. Jika makanan tidak disajikan, sudah tentu dia tidak akan teringat langsung pada soal makan. Allah, Allah. Namun, masalah anak-anak buahnya sendiri tidak akan dilupakan. Sungguhpun dia tidak berbicara dengan mereka, atau menjawab soalan mereka, dia masih tetap mencari huraian bagi masalah mereka. Allah, Allah.

Teramat Dashyat. Masa yang paling dashyat. Sedarkan diri kamu dari terus terlena dalam keadaan yang dashyat itu! Jika tidak, kesudahannya merupakan suatu bencana. Ini adalah bilik darjah yang baik. Hanya perlukan sedikit disiplin dan ketaatan. Itu sahaja. Lakukan sendiri. Jangan dipaksa. Terdapat beberapa cara untuk melakukan perkara itu juga. Tetapi kita berkata, ‘jika kamu mengaku sebagai umat manusia dan kamu telah diturunkan ke dunia dengan tujuan untuk memahami, mengenali, menyintai serta menyembah Allah, maka lakukanlah ia tanpa sebarang paksaan. Ini kerana Allah telah meminta agar ibadah kamu itu dilakukan dengan penuh ketaatan dan perasaan cinta. Bukan dengan cara marah dan paksaan serta merungut mengatakan, ‘Ohh! Aku tidak ingin melakukannya, tetapi aku tidak mempunyai pilihan lain’. Ya. Begitu ramai yang sedang berbuat demikian. Tanpa perasaan cinta, tiada apa pun yang akan dapat digerakkan. Cinta mampu mengalihkan gunung-ganang. Malangnya cinta itu telah pupus. Lihatlah keadaan diri sendiri. Allah tidak memutuskan hubungannya. Malah kamu yang telah memutuskan hubungan cinta itu kerana pandangan kamu telah dialihkan pada perkara-perkara lain. Kamu mula menyintai perkara-perkara lain. Itulah yang telah berlaku pada dirimu. Itulah masalahnya.

Dan jika kamu mula merasai, ‘Ya, bila aku tidak lagi bersama persatuan ini, Sheykh ini, aku rasa keseorangan. Aku rasa seakan berada jauh. Seakan diri ini telah terputus tali persaudaraan’. Itulah masanya di mana sesuatu sedang ditanam di dalam jiwa kamu. Sesuatu sedang dibangunkan di situ. Apabila keluarga sendiri kelihatan seperti orang asing. Jika mereka ingkar terhadap perintah Allah, maka mereka semua menjadi asing bagi diri kamu. Sama ada kamu sedang beramah mesra ataupun berbual dengan mereka, itu tidak lagi penting bagi kamu. Wujud atau tidak mereka di sesuatu tempat, bukanlah sesuatu yang dihiraukan lagi.

Inilah hakikat. Begitulah keadaannya kini. Begitu juga keadaannya sebelum ini. Inilah cara manusia mendekati Allah. Setiap mereka yang telah berjaya mencapai pada tujuan murni ini melakukannya dengan cara yang serupa itu. Apakah kamu tidak membaca? Tidakkah kamu mengenali sejarah para Awliya Allah? Mungkin tidak. Mungkin kamu tidak lagi membaca kerana kamu memiliki ilmu yang begitu mendalam. Ya, oleh kerana kamu tidak membaca dan tidak pula datang untuk menanyakan soalan-soalan sama ada yang bersifat duniawi, kerohanian atau ukhrawi. Ini bererti bahawa ilham tidak langsung sampai kepada diri kamu. Ia masih tetap diturunkan. Tetapi kamu telah menghadangnya. Kamu tidak dapat melihat apa-apa. Kamu buta dan tuli. Jika kamu buta di Dunia ini, maka kamu juga akan menjadi buta di Akhirat kelak. Tiada sebarang ilham yang telah dapat diresapi jiwa kamu. Jika tidak, kamu tentu akan datang untuk menanyakan soalan.

Kini, saya sedang menantikan. Menanti kerana terdapat langkah-langkah yang perlu kamu lalui. Kamu telah tiba ke tahap yang ketiga. Mereka yang telah turun dan naik berulang-kali memahami bahawa terdapat kesukaran di peringkat ketiga itu. Sesiapa yang bakal menempuhi perjalanan itu sudah pasti akan bertanya, bagaimana cara untuk aku meredahi laluan ketiga itu. Perjalanan kali ini amat berlainan dengan yang pertama dan kedua.’ Malangnya tidak. Mereka hanya datang dengan khayalan dan bayangan tersendiri. Melihat-lihat ke alam yang ghaib. Tinggalkan semua perkara itu. Adakah kamu seorang penganut Buddha? Atau kamu hanya sedang mencari-cari sesuatu dalam bentuk khayalan? Ini jelas menunjukkan bahawa kamu tidak membuat sebarang kemajuan. Apakah puncanya? Dunia. Itu sahaja. Hati kamu masih terpaut dengan perasaan cinta dan puji-pujian kepada dunia. Tiada yang lainnya. Maka itu juga bermakna bahawa kamu turut mengenal erti cinta. Kamu tidak tahu apakah erti cinta.

Sedarkan diri kamu itu. Jangan menipu diri. Tidak kira di mana kamu berada dan siapa sebenarnya diri kamu. Kamu hanya satu lagi makhluk ciptaan Allah subhana wa ta’ala. Sama ada kamu berjaya, atau kamu gagal. Ramai orang yang telah menempuh alam persekolahan pernah bermegah dengan mengatakan, ‘aku telah melakukan yang terbaik dalam bidang ini dan itu’. Mereka telah berbohong pada diri sendiri. Hanya selepas menduduki peperiksaan, mereka mulai sedar bahawa mereka tidak melakukan yang terbaik. Namun, mereka tetap mengaku, ‘saya telah melakukan dengan baik.’ Seterusnya? Bila keputusan diumumkan, mereka akan menyalahi guru. Mereka menuduh, ‘dia adalah guru yang tidak baik. Aku telah berusaha dan melakukan yang terbaik tetapi dia tidak memberikan keputusan yang sepatutnya. Dia adalah punca kegagalan ku.’

Seluruh dunia maklum bahawa seorang guru tidak dibenarkan melakukan kesalahan yang begitu. Apatah lagi untuk mengulanginya berkali-kali. Mereka sedar bahawa terdapat guru-guru lain yang akan menyemak semula kertas peperiksaan itu. Malangnya ramai di sekeliling mereka mula untuk mempercayai tuduhan yang tidak berasas itu kerana mereka juga turut berada dalam situasi yang serupa. Mereka bersatu menjadi sebuah kumpulan yang menentang guru dan sistem pendidikan. Mereka akan berkumpul di jalanraya-jalanraya mengibarkan bendera sambil berteriak, ‘Kami menuntut hak kami!’ Pertama sekali yang jelas menunjukkan bahawa kamu itu bersalah ialah tindakan menuntut hak kamu di jalanraya. ‘Aku inginkan hak aku!’ Siapakah yang memiliki hak kamu? Siapakah yang mengawal hidup kamu? Saya atau Tuhan kamu? Kepada siapakah yang sedang kamu berteriakan itu? Kepada Tuhan kamu menjerit,’Aku inginkan hak Aku?’ MashaAllah, SubhanAllah.

Ya, hendakalah kamu menyedarkan diri kamu dari terus terlena demi untuk kebaikkan sendiri. Jangan menipu diri. Ini kerana masa telah jauh berubah. Keadaan kini begitu dashyat sekali. Apakkah kamu tidak mendengar? Jika kamu fikir bahawa saya sedang mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan kata-kata Sheykh Mevlana, tidakkah kamu mendengar apa yang telah beliau katakan? Dia berkata, ‘Semua orang sedang berlari menuju ke jahannam. Hanya segelintir manusia yang terkecuali. Yang lainnya sedang dalam kelekaan, kebodohan serta kelenaan.’ Tidakkah itu yang sering beliau katakan? ‘Selamat datang, O penghuni rumah sakit jiwa!’ Kamu faham maksud di sebalik kata-kata ini? Yeah? Rumah sakit jiwa. Bererti, kamu masih lagi memiliki sifat kehaiwanan. Bererti, kamu kehilangan daya untuk berfikir. Kamu tidak mempunyai akal. Dan? Ini adalah rumah sakit jiwa. Terdapat kemungkinan bahawa kamu akan dapat kami pulihkan dan kamu akan keluar dari penyakit itu setelah memahami siapa diri kamu yang sebenarnya. Selamat datang ke Rumah Sakit Jiwa.

Mengambil dadah? Dadah yang diambil itu tidak dapat membantu kamu. Ia hanya akan menambahkan lebih banyak masalah mental pada diri seseorang. Ia akan membuat kamu lupa diri. Berkelakuan seperti patung dan zombi. Kamu tidak akan dapat berfikir hingga ke nafas yang penghabisan. Ini kerana, sekalipun jika kamu ingin berfikir, orang ramai di sekeliling tidak akan membenarkan. Mereka akan berkata, ‘Oh, dia sedang berfikir. Dia sedang kemurungan. Berikan lebih banyak suntikan ubat.’ Dan lambat laun orang itu akan berhenti berfikir.

Ini berbeza pula dengan keadaan orang yang kini sedang duduk mengelamun di hadapan saya. Dia sedang khayal dan tidak mendengarkan. Dia tahu mengapa ini berlaku. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang tidak diketahuinya. Saya dapat memberitahu kenapa perkara itu sedang menimpa dirinya. Hmm. Saya seorang yang pakar. Apabila merenung kepada mata diri seseorang, akan dapat saya ketahui. Mata boleh berbicara. Seperti sebuah pita rakaman, kita akan dapat menonton semula di kaca television sepanjang 24 jam dengan hanya memutar ke bahagian awal. Huh? Saya lihat, dengan serta mertanya kamu semua sedang mengalihkan pandangan dan melihat ke arah bawah. Lebih ramai yang seharusnya melakukan begitu.

Itulah sebabnya kita sering berkata bahawa kamu tidak dapat merenung ke mata saya sewaktu sedang berbicara. Jika Allah serta Rasulnya adalah saksi bagi diri kamu, nescaya kamu tidak akan dapat merenung ke mata saya kerana kamu tidak akan menemui apa jua yang telah kamu katakan itu. Itupun jika kamu memiliki daya penglihatan. Dan? Jika kamu masih mengakuinya, maka kamu adalah seorang pencuri. Kamu sedang menipu dan berbohong dengan cara itu.
Kesimpulannya ialah kamu harus menyedarkan diri sendiri. Dunia ini tidak wujud secara kebetulan. Kamu juga tidak dicipta secara kebetulan. Allah subhana wa ta’ala telah mencipta kamu dan memberi tumpuan pada diri kamu itu. Jika kamu fikir bahawa kamu tidak berharga, kamu salah. Kamu amat berharga. Namun, harga diri itu hanya akan diberi menerusi kesetiaan terhadap Tuhanmu. Dan dari memohon kepada Allah subhana wa ta’ala. Mohonlah agar diberi petunjuk dalam cara untuk berkejaran dan belajar dan berusaha untuk membuat kemajuan. Kamu tidak sepatutnya berada terus dalam keaadan yang cuai dan leka. Saban hari hanya berpusing-pusing di lingkaran yang sama. Bangunkan diri kamu. Kamu harus melenyapkan kilauan yang sedang mengaburi pandangan mata kamu. Silauan yang membuat kamu percaya bahawa diri kamu telah berada jauh di atas. Lihatlah kebawah. Apa yang sedang berada di bawah telapak kaki kamu. Jangan memandang ke atas. Dengan cara ini, kamu akan menemui keselamatan.

Wa min Allahu tawfiq
Bihurmatil Habib
Bihurmatil Fatiha

Semua ini berlaku akibat ego kamu sendiri. Ego kamu adalah musah yang terburuk. Ego tidak akan berhenti untuk berehat hingga ke penghujung nafas. Ia tidak akan berehat hingga ke akhir hayat. Dan ego mempunyai terlalu banyak tipu helah. Jika kamu cuba untuk mencegahnya dari satu sudut, ia akan datang dari sudut yang baik. Jika kamu ingin menderhakai tuan kamu, ia akan memenggalkan leher kamu di situ. Maka, kamu tidak akan dapat mengatasi ego kamu dengan cara bersendirian. Mustahil.

Selam aleykum wa rahmatullah wa barakatahu.

Fatiha.