Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi
Rabu 18 Rajab, 1426
24 Ogos, 2005
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi Siddiki Center
New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim

Medet Ya Seyidi Ya Sultanul Evliya, Medet.

Saya percaya bahawa semua orang yang hadir di sini telah pun memberi beyat kepada Sheykh Mevlana. Apakah erti beyat? Siapa yang tahu apakah itu beyat? Biar saya berikan penjelasan tentang makna beyat yang sebenarnya. Sewaktu Baginda Rasulullah (alayhi salatu wa salam) berserta dengan para pengikutnya yang beriman sedang dalam perjalanan untuk menunaikan ibadat Haji, mereka telah berhenti sejurus sebelum memasuki kota Mekah. Di situ, Rasulullah (asws) telah mengutuskan Osman (radiyallahu anh) ke Mekah sebagai wakilnya untuk menemui pihak Mushrik di situ. Tujuan penemuan itu adalah untuk memeterai satu perjanjian dengan golongan yang tidak beriman untuk mengumumkan kepada mereka bahawa kedatangan Rasulullah bersama para pengikutnya bukanlah dengan tujuan untuk berperang. Perjanjian ini juga akan memberi jaminan bahawa tiada sebarang serangan yang akan dilancarkan ke atas kaum Muslimin sewaktu mereka memasuki kota Mekah.

Sewaktu pemergian Osman (ra) ke Mekah, telah tersebar luas berita yang mengatakan bahawa beliau telah dibunuh oleh kaum Mushrik di sana. Pada ketika itu, turunlah Ayat dari Allah swt yang memerintahkan agar mereka yang beriman untuk mengambil beyat. Beyat merupakan satu perjanjian kepada Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa walau apa jua keadaannya, mereka tidak akan berpisah dari Rasulullah (alayhi salatu wa salam). Mereka bersumpah tidak akan meninggalkan Baginda Rasulullah, dan jika perlu, nyawa mereka sanggup dikorbankan demi mencapai tujuan murni itu.

Dalam pengambilan beyat, Rasulullah (asws) telah menghulurkan tangan beliau. Merekan semua meletakkan tangan mereka di atas tangan Baginda (asws). Lantas Allah berfirman, “Tangan Allah berada di atas tangan kamu semua.” Ini bermaksud, “Allah meletakkan perlindungannya ke atas diri setiap diantara kamu selagi kesetiaan diberikan kepada Rasulullah (asws).” Maka mereka semua memberi beyat kepada Rasulullah (asws). Mereka bersumpah untuk tidak mengkhianati Baginda (asws), dan walau apa pun keadaannya, mereka telah bersumpah untuk berpegang teguh kepada beyat itu selagi hayat dikandung badan.

Apakah pandangan kamu, jika terdapat sesiapa diantara mereka yang cuba untuk menarik diri dari beyat itu, apakah mereka akan menemui keselamatan pada waktu itu? Sudah semestinya tidak. Apabila Osman (ra) kembali pulang kepada Rasulullah (asws), beliau menjelaskan, “ Ya Rasulullah, kami tidak dibenarkan masuk ke kota Mekah pada tahun ini. Tetapi perjanjian telah ditandatangani unutk mengizinkan kita masuk pada tahun hadapan.” Mendengarkan penjelasan ini, Rasulullah (sws) mulai untuk berfikir sejenak. Seterusnya beliau berkata, “Baiklah, kami menerima perjanjian tersebut.” Dan Baginda mengarahkan, “sekarang, kamu semua dikehendaki untuk menyembelih binatang sepertimana kamu harus lakukan untuk menunaikan Haji. Ibadah kamu diterima. Cukurlah rambut kamu dan keluar dari Ihram kerana Haji kami ini telah diterima.”

Selepas memberikan arahan tersebut, Rasulullah (asws) menuju masuk ke dalam khemah beliau. Pada ketika itu, terdapat beberapa orang yang kurang senang dengan cadangan Rasulullah (asws). Mereka tetap berkeras dalam memenuhi keinginan masing-masing untuk memasuki Mekah. Rasulullah (asws) keluar dari khemah dalam keadaan rambutnya yang telah dicukur. Beliau telah pun keluar dari Ihram dan mula untuk menyembelih binatangnya. Melihatkan tindakan Rasulullah (asws), mereka semua turut melakukan yang serupa. Mereka terperangkap dan merasa serba salah. Mereka berkata, “Tiada pilihan lain. Jika Rasulullah (asws) sendiri telah melakukan begitu, kita juga harus melakukan yang serupa.” Rasulullah (asws) telah memberi amaran dengan mengatakan, “Jangan silap dalam memikirkan bahawa setelah membuat perjanjian di atas nama Allah, apabila hati kamu mula berubah kelak, kamu akan menggugurkan beyat itu dengan anggapan bahawa hidup kamu akan terus terselamat.”

Ketahuilah bahawa barangsiapa yang telah bertindak sedemikian, hingga ke saat ini, mereka belum lagi menemui keselamatan. Tiada keselamatan bagi diri mereka. Tiada keselamatan di Dunia dan tiada keselamatan di Akhirat. Beyat adalah sumpah setia di atas nama Allah bahawa kamu kini sedang berdiri di jalan Allah dan RasulNya (asws). Kamu akan kekal berdiri di jalan ini seterusnya. Ini juga bermakna bahawa segala perintah Allah harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh prihatin. Dengan cara ini, kita akan dicintai Allah (subhana wa ta’la) dan RasulNya (asws).

El-Fatiha.