Sohbet oleh Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-Kibrisi
Jumaat , 26 Jumad al-Akhir, 1430
19 June, 2009
Osmanli Naksibendi Hakkani Dergahi
Siddiki Center
New York

Auzu billahi min ash-sheytanir rajim
BismillahirRahmanirRahim
Medet Ya Seyyidi, Sultan Evliya, medet.

Alhamdulillah, Alhamudlillah, astaghfirullah, astaghfirullah al-azim wa atubu ilaih. Allah subhana wa ta’ala, Pencipta semesta alam telah berfirman, ‘Wahai hambaku, usah membiarkan dirimu diperdayai oleh dunia yang bersifat sementara ini.’ Dalam pesanan beliau itu, Allah turut menjelaskan erti Dunia yang sebenarnya. Beliau berkata, ‘ Jangan kamu diperbodohi oleh dunia ini.’ Tetapi kita telah mengizinkan diri ini untuk diperbodohkan. Apakah sebabnya? Manusia kurun ke 21 amat mengutamakan Dunia dalam hidup mereka. Mereka mengejarinya sepenuh masa tanpa mengingatkan Allah subhana wa ta’ala. Mereka tidak mengingati Allah di dalam solat dan tidak pula di dalam Zikir. Allah langsung tidak wujud di dalam hidup mereka. Hanya nama yang disebut-sebut, namun seluruh jiwa raga mereka ditumpukan kepada persoalan dunia. Masalah dunia yang tiada berkesudahan.

Kurun ke 21. Kurun di mana dunia dihuni oleh firaun-firaun dan namrud-namrud. Begitulah keadaan yang telah berlaku ke atas diri Namrud yang sebenarnya. Apakala diajak oleh Ibrahim (alayhi salam) untuk kembali bersujud kepada Tuhan maha berkuasa bagi sekian langit dan bumi, dengan angkuhnya beliau menolak. Dikatakan pula olehnya, ‘Akulah satu-satunya Tuhan yang berkuasa. Apakah terdapat Tuhan yang lainnya?’ Ibrahim (as) menjawab, ‘Kamu tidak memiliki sesuatu apa pun. Apa yang menyebabkan kamu mengaku diri sebagai Tuhan?’ Namrud membalas, ‘Segala-galanya adalah milik aku. Aku adalah Tuhan di muka bumi ini. Jika Tuhan kamu itu adalah Tuhan di kayangan, maka aku pula adalah Tuhan bagi bumi ini. Sekarang, aku mencabar Tuhan kamu itu. BeritahuNya bahawa aku mengisytiharkan peperangan. Akan aku hantar pasukan tentera-tenteraku.’

Manusia kurun ke-21 ini berkelakuan seperti Namrud. Tiada perbezaan diantara mereka. Setidak-tidaknya Namrud itu mempunyai kuasa di dalam cengkaman. Kuasa duniawi. Tetapi manusia kini tidak memiliki sesuatu apa pun. Kosong. Dengan kekosongan itu, mereka tetap ingin menjalani hidup ibarat Namrud. Ketahuilah bahawa Allah subhana wa ta’ala sedang memberi pengajaran kepada kita menerusi contoh kehidupan orang-orang terdahulu. Setiap yang berlaku ke atas diri mereka harus dijadikan sebagai iktibar untuk kita memperbaiki hidup diri sendiri. Allah swt sendiri telah mengatakan, ‘Ambillah iktibar.’ Quran-e Kerim bukan sekadar ayat-ayat kosong yang tidak membawa sebarang pengertian. Kata-kata mutiara itu harus dijadikan pedoman hidup bagi setiap insan yang wujud. Sama ada ianya diambil sebagai pengajaran atau diri kamu sendiri akan dijadikan pengajaran bagi yang lain. Begitulah keadaan yang sebenar.

Berbalik kepada kisah Namrud, maka dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Dia berkata, ‘Aku ingin berperang dengan yang satu itu.’ Allah swt menjawab, ‘Katakan kepadanya bahawa aku akan menghantar pasukan tentera untuk menghadapinya. Bersiap sedialah.’ Namrud mula untuk mempersiapkan diri sambil menantikan kedatangan pasukan tentera yang telah dijanjikan. Sambil memandang di sekililing, dia bertanya, ‘Di manakah mereka?’ Ibrahim (as) menjawab, ‘ Jangan khuatir. Mereka sedang dalam perjalanan ke sini. Lihat di atas.’ Dengan serta mertanya, langit diselubungi kegelapan. Apakah yang sedang berlaku? Pasukan tentera nyamuk datang menyerang.’ Ini adalah satu pengajaran bagi kita semua. Allah subhana wa ta’ala ingin memberitahu bahawa, ‘Kamu adalah jauh lagi rendah dari sang nyamuk. Kamu berlagak sombong terhadapKu dengan mengisytiharkan ketuhanan dirimu? Lihatlah itu, aku tidak perlu untuk menyediakan askar-askar yang gagah perkasa untuk menghadapi kamu. Hanya nyamuk-nyamuk kecil amat memadai.’ Maka pasukan tentera nyamuk telah berjaya menumpaskan askar-askar Namrud. Begitu juga dengan riwayat hidup Namrud yang juga telah ditamatkan oleh seekor nyamuk yang kerdil.

Cuba kita renungi keadaan manusia pada masa kini. Apakah yang telah berlaku kepada mereka? Nyamuk-nyamuk kini bebas berterbangan di sana sini, namun manusia tetap ingin menjadi seperti Namrud dan Firaun yang menentangi kuasa maha Pencipta semesta alam. Sungguhpun dalam keadaan bersujud, mereka masih tetap menentang. Setidak-tidaknya, orang-orang pada zaman Namrud dan Firaun itu langsung tidak bersujud kehadirat Illahi. Dengan secara terang-terangan, mereka menonjolkan keangkuhan. Namun kini, dalam keadaan mereka yang sedang bersujud dengan dunia, rukuk dengan dunia atau pun berzikir dengan dunia, hanya satu perkara yang sedang memenuhi fikiran manusia. Dunia. Sehari suntuk, mereka disibukkan dengan Dunia. Hidup mereka dibebani dengan pelbagai masalah. Apakah sebabnya?

‘Permulaan bagi setiap masalah berpunca daripada perasaan cinta kepada Dunia. Ia menjadi penyebab utama berlakunya segala kerosakkan di muka bumi ini.’ Itulah yang pernah disabdakan oleh Rasulullah (sws). Seluruh manusia di Dunia ini yang terdiri daripada pelbagai jenis dan ragam, semuanya sedang sibuk dengan urusan duniawi tersendiri. Apa jua yang sedang kamu sibukkan selain daripada Allah dan Rasulnya (sws), itulah Dunia buat kamu. Itulah yang sedang kamu kejari dan layani sepenuh masa. Itulah Dunia kamu. Kamu terlalu mementingkan urusan Dunia.
Sedarkan diri kamu! Usah kamu terus hidup dalam hayalan. Jangka hayat Umat Muhammad (sws) adalah diantara 60 hingga 70 tahun. Tidak ramai diantara mereka yang dapat hidup melewati usia 70 tahun. Mereka yang mampu untuk hidup lebih lama dari itu, kebanyakkannya akan menjadi nyanyuk dan hilang ingatan. Kaum Muslimin tidak sepatutnya mengalami keadaan nyanyuk dan hilang ingatan. Ini bukanlah diantara sifat-sifat orang muslim. Namun ianya tetap berlaku disebabkan perasaan takut mati. Akibat daripada kehidupan yang bergelumang dengan dosa-dosa, maka perasaan takut mati wujud di kalangan sekian orang-orang Islam. Walaupun demikian keadaannya, mereka masih tidak sedarkan diri. Mereka tidak mempelajari sambil mempersiapkan diri dengan berkata, ‘Azrail akan datang untuk membawaku pulang. Aku harus bersiap sedia untuk menghadapi saat-saat itu. Aku harus bersiap sedia bukan untuk Dunia, tetapi untuk Akhirat. Aku bukanlah dicipta untuk Dunia, tetapi untuk Akhirat. ‘ Sekiranya manusia memberi keutamaan terhadap persoalan ini, maka setiap masalah dan keraguan yang bersangkutan dengan dunia akan terhapus.

Malangnya, manusia kini lebih mengutamakan kehidupan di dunia ini. Sepanjang hidup itu dihabiskan dengan berlari berpusing-pusing di sekeliling tanpa arah tujuan untuk mengejari sesuatu yang bersifat sementara. Terdapat juga beberapa amal kebaikan yang turut disempurnakan tetapi semua ini telah dapat dihancurkan oleh perasaan cinta terhadap dunia yang melebihi segala-galanya. Cintailah Akhirat. Jika Dunia yang kamu idamkan, maka kamu harus menyintai Akhirat, cintai Allah swt. Dengan sendirinya, dunia akan mengejar kamu. Segala apapun yang menjauhkan dirimu dari Allah swt, Itulah Dunia kamu. Sebagai contoh, harta kekayaan, kereta, computer, wang simpanan, anak-anak. Jika hidup kamu sedang disibukkan dengan semua ini dan ia menjauhkan kamu dari Allah swt, maka itulah Dunia bagi kamu. Ini tidak seharusnya berlaku. Kamu sepatutnya berusaha untuk meningkatkan diri ke tahap yang lebih tinggi. Diri kamu itu harus disibukkan dengan Allah swt serta Rasulnya (sws) kerana tujuan ciptaan kamu adalah untuk berkhidmat kepada yang maha Esa.

Allah subhana wa ta’ala berfirman, ‘telah kami ciptakan Jinn dan manusia untuk mengenali dan menyembah kami.’ Penyembahan bukan setakat dengan berdiri dan duduk turun naik ibarat robot-robot. Ia harus diikuti dengan rasa kesedaran serta pengertian bahawa, ‘Allah swt sedang melihat aku. Apakah yang sedang dilakukan dan apa pula yang sedang difikirkan? Apakah perkara yang telah mempersibukkan diriku. Diri ini telah dicipta hanya untuk satu tujuan. Iaitu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik keapda Allah swt. Malangnya kita tidak menjalankan kewajipan yang satu ini. Apa yang sedang kamu sibukkan itu? Perhatikan diri sendiri dan kamu akan menemui jawapannya. Jika kamu masih lagi tidak mengerti, maka nantikan sahaja kedatangan Azrail. Dia berada tidak jauh dari kita. Dia terlalu dekat dengan kita.

Pada zaman Rasulullah (sws), terdapat seorang penzalim yang bernama Hajjaj. Dia telah menarik salah seorang daripada cucu Rasulullah (sws) untuk menghadapinya. Sewaktu bersemuka, dia mula menanyakan beberapa soalan. Dia berkata, ‘Hey budak kecil, kamu telah melampaui batas. Akan ku penggal leher mu.’ Cucu Rasulullah menjawab, ‘Aku tidak takut. Aku akan merasa sedikit gentar hanya jika aku tahu bahawa kuasa Azrail juga turut berada di dalam tangan kamu. Tetapi, sebelum sempat kamu berundur dari kerusi itu, Azrail mungkin akan mendapatkan kamu.’ Kata-kata ini cukup untuk menggegarkan hati si penzalim itu. Dia mulai merasa takut. Walhal dia itu adalah seorang Amir. Amir bagi sekian orang-orang ramai. Dia juga merupakan seorang Pentadbir yang tidak leka dalam mendirikan solat lima waktu sehari. Ya. Malangnya, hati itu lebih terpaut dengan Keduniaan. Dunia, satu perkataan yang telah berjaya untuk menggoncangkan dirinya dan lantas membawa kepada kejatuhan dirinya dari takhta kerjaan.

Azrail berada tidak jauh . Dia begitu hampir dengan kita semua.

Wa min Allahu tawfiq
Bihurmatil Habib
Bihurmatil Fatiha