Sohbet dari Sheykh Abdul Kerim el-Hakkani el-kibrisi

Jumaat 20 Muharram, 1425
39th Street Dergah, Manhattan, New York

Selamun aleykum. Meded Ya Sayiddi, Ya Sultan Evliya, Mevlana Sheykh Nazim al-Hakkani. Meded.

Kemuliaan budi pekerti merupakan ciri penting yang harus diberi keutamaan dalam hidup setiap manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya saya itu diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” Kesemua para Rasul Allah s.w.t. telah diutus untuk menerapkan ciri penting ini di jiwa setiap umat manusia. Adab pergaulan yang sempurna tidak hanya terbatas kepada pergaulan sesama insan, malahan terdapat juga peradaban yang tertentu dalam perhubungan manusia terhadap alam persekitaran, adab perhubungan manusia terhadap maha pencipta yang agung, adab dan ketertiban terhadap para alim ulama, adab di antara kaum wanita dan kaum lelaki serta adab perilaku kanak-kanak terhadap orang dewasa. Jika seseorang itu tidak memiliki peradaban yang sesuai di atas perkara-perkara tersebut, maka lambat laun, mereka akan terjerumus ke lembah yang menuju ke arah kesesatan yang nyata.

Adab serta disiplin memainkan peranan terpenting dalam hidup setiap manusia. Terdapat undang-undang di sini sana, di setiap pelusuk negara. Ia berperanan untuk mendisiplinkan setiap manusia dengan caranya yang tersendiri. Kita bukanlah haiwan. Kita adalah manusia. Fitrah manusia tidak mengizinkan kita untuk hidup bersendirian di pergunungan. Manusia perlu hidup bermuafakat sesama insan. Sikap menghormati hak setiap individu serta jalinan kasih mesra sesama insan harus dipupuk. Apakah kamu mengerti apa yang sedang saya perkatakan ini? Pelajarilah cara-cara untuk hidup saling kasih mengasihi di antara kita. Pada masa ini, jalinan kasih mesra sesama manusia kian pupus ditelan kejahilan hidup. Kita harus bangkit dan bertekad untuk kembali mempelajari cara-cara untuk berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w bersabda, “ Kamu tidak akan menjejaki Syurga, dan juga tidak termasuk dalam golongan hamba yang beriman sekiranya kamu tidak mengucapkan kalimah ‘La ilaha illallah.” Baginda berkata, “ Sekiranya kamu tidak melafazkan La ilaha illallah kamu tidak akan masuk ke Syurga,” Ini bererti, jika kamu tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan yang esa, nescaya kamu tidak layak untuk menjejakkan kaki ke Syurga milikNya. Saya rasa ini amat adil. Tidak? Kamu tidak mahu menerimanya? Bahkan kamu masih lagi ingin berkata, “ saya ingin ke syurga anda”? Allah tentu akan membalas dengan berkata, “ Saya telah memberi kamu Dunia. Tinggal di sana. Jangan kamu datang ke Syurga.”

Beriman terhadap Allah s.w.t pencipta alam semesta dan menerima dunia dan akhirat, memberi kamu kebenaran untuk ke Syurga. Sebaliknya, jika kamu ingkar, kamu hanya akan mengenali diri kamu sendiri dan ketahuilah bahawa kehadiran kamu di Syurga tidak langsung diterima.

Sekiranya saya mengunjungi kamu di rumah dan kamulah yang berkuasa di rumah itu, sudah tentu saya harus patuh pada setiap garis pandu yang telah kamu tetapkan di rumah itu. Jika saya ingkar maka kamu akan berkata, “ Awak tidak layak untuk melakukan sehendak hati di rumah saya. Keluarlah!” Kamu tentu tidak akan lagi menerima kehadiran saya ke rumah kamu.

Pencipta semesta alam, Allah s.w.t berfirman, “ Asal kamu yang nyata adalah di Syurga. Kamu datang dari Syurga. Itulah rumah kamu. Tujuan kamu di dunia ini semata-mata untuk menerima dan meyakini bahawa Aku adalah Tuhan kamu. Sesudah itu, kembalilah kamu ke rumahmu (Syurga). Jika tidak, tinggallah kamu di Dunia ini. Jangan kembali ke tempat asalmu. Tinggallah sehendak hati kamu di Dunia ini. Tinggallah.” Inilah sebab mengapa kebanyakkan manusia tidak ingin kembali ke tempat asal kejadian mereka. Mereka berkata, “ Tuhan tidak wujud. Segala ciptaan tidak wujud. Kita semua akan mati dan terhapus begitu sahaja.” Kamu tidak akan terhapus. Yang terhapus itu hanya minda kamu yang cetek. Daya pemahaman kamu itulah yang akan terhapus.”

Ketahuilah bahawa kamu tidak akan ke Syurga sekiranya kamu tidak melafazkan kalimah La ilaha illallah. Jika kamu tidak berkata La ilaha illallah, kamu bukanlah di antara golongan orang yang beriman. Seseorang yang beriman harus melafazkan kalimah La ilaha illallah kerana ini merupakan detik permulaan terhadap ketetapan iman. Apakah pengertian La ilaha illallah? Ia bererti, “ Aku mempercayai wujudnya pencipta alam semesta ini. Aku percaya bahawa terdapat seseorang yang mencipta diriku.”

Kamu menggelarkannya Allah, Tuhan atau apapun gelaran yang kamu senangi. Hakikatnya ialah dia yang satu. Keesaan itu tidak dikongsi kuasa oleh mana-mana pihak.
Gelaran ketuhanan yang maha Esa itu ialah Allah. Beliau berkata, “ Itulah nama saya.” Sebagai contoh, saya boleh memanggil kamu Hamdi, Gandhi, Mindi, Bindi, Yandi, tetapi kamu akan berkata kepada saya, “Nama saya Ali.” Sekiranya saya berkeras juga untuk memanggil dengan gelaran Hamdi, sudah tentu kamu tidak akan memulakan pergaduhan hanya disebabkan hal ini. Tetapi kamu akan menjelaskan, “Baiklah walau bagaimanapun, kamu akan tetap memanggil saya Ali jika kamu ke rumah saya.”

Allah s.w.t. berfirman, “Allah adalah gelaran saya. Kamu memanggilnya Jehovah, tuhan atau sebagainya, tetapi pokoknya Aku adalah pencipta kamu. Aku telah mencipta kamu dan kedua ibu bapa kamu. Aku mencipta datuk dan nenek kamu dan apa jua yang wujud di muka bumi ini. Aku adalah maha pencipta. Jadi Akulah Tuhan yang berkuasa ke atas segala-gala yang berada di muka bumi ini dan juga di alam akhirat. Sekiranya kamu menerima akan kebenaran ini, maka masuklah kamu ke SyurgaKu. Jika kamu menyangsikannya, kamu tidak berhak ke atas SyurgaKu.”

Rasulullah s.a.w bersabda, “Menerima keesaan Allah s.w.t merupakan visa untuk memasuki Syurga.” Ini menjelaskan bahawa sekiranya seseorang Kristian menerima dan berkata, “Allah adalah tuhan yang satu.Tiada perpisahan. Tiada Trinity atau sebagainya.” Ini bermaksud bahawa orang tersebut memiliki keimanan. Beliau akan masuk ke Syurga. Jika seorang Yahudi berkata, “Tuhan itu wujud dan Dia telah mencipta Muhammad s.a.w, Musa, Adam dan para rasul yang lainnya,” maka dengan kepercayaan itu juga beliau akan masuk ke syurga, tetapi segala perilaku dan perbuatannya akan disoal terlebih dahulu. Yang nyata, visa untuk ke Syurga ialah dengan melafazkan kalimah La ilaha illallah. Ini merupakan visa untuk melayakkan diri kamu ke Syurga.

Rasulullah s.a.w juga bersabda, “ Jika kamu melafazkan kalimah tersebut maka kamu akan dianggap sebgai seorang yang beriman.” Tetapi, beliau berpesan (sekarang kepada kaum Muslim pula), “sekiranya tiada perasaan cinta dan kasih mengasihi diantara kamu, maka kalimah La ilaha illallah yang telah dilafazkan tidak akan dipertimbangkan. Ini bererti, keimanan kamu tidak kukuh.” Ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang memberi tumpuan terperinci kepada seseorang secara individu. Islam menumpukan perhatiannya kepada apa yang berada di hadapan orang itu. Perhatikanlah apa yang ada di hadapan kamu. Sekiranya kamu memberi kepada orang itu, nescaya Allah akan memberi kepada kamu. Cinta hadir dengan memberi. Bukan setakat dengan berkata,

“Saya cinta padamu sayangku.”

“Apa? Kamu mencintai saya? Bilamana saya keluar bekerja, kamu membawa seorang lelaki ke rumah ini? Itukah erti cinta bagimu? Mashallah.”

Atau, perkara yang serupa juga boleh berlaku sekiranya seseorang lelaki berkata, “Saya cinta padamu sayangku.”
“Ya, cinta yang kamu lafazkan, tetapi sejurus itu, kamu akan berpaling ke suatu sudut yang lain dan berlaku curang terhadapku.”

Sekarang ini, perkara yang sedemikian rupa sedang berleluasa . Lelaki, mahupun wanita, kedua-duanya serupa dalam melakukan perkara yang terkutuk ini. Keadaan pada masa kini amat dashyat. Inilah masa di mana manusia hidup di tengah-tengah kejahilan. Masa yang ditakluki dengan pelbagai perbuatan tercemar umat manusia. Sudah tentu, kebanyakkan di antara mereka melakukan perkara yang terkutuk ini secara bersembunyian dan mereka berfirkir bahwa tiada sesiapa yang akan dapat mengesan perbuatan sumbang ini.

Allah s.w.t maha mengetahui. Ini yang harus kamu ingatkan di benak fikiran kamu. Allah juga telah memberi kuasa kepada sesiapa yang beliau inginkan agar mereka juga mengetahui. Jangan kamu persoalkan bagaimana mereka ketahui. Sesungguhnya mereka ketahui segala apa yang tersirat. Paras rupa kamu ibarat sebuah buku. Apa yang tersirat di hati dapat dibaca dari raut wajah kamu. Mereka yang mempunyai penglihatan yang istimewa ini, mereka yang memiliki binokular, akan mempergunakan keistimewaan yang diberi untuk membaca dari raut wajah kamu. Apabila hati kamu terbuka, maka segala yang terkandung didalamnya akan dapat dibaca dan dibongkar.

Allah s.w.t bersifat maha pengasih lagi pengampun, terutama sekali pada waktu ini dimana kejahilan yang teramat berat tersebar luas di merata kawasan. Sekurang-kurangnya, pada zaman Rasulullah s.a.w, zaman jahiliah yang pertama, manusia tidak berpengetahuan. Oleh itu, mereka tidak beriman. Tatkala para Sahabat Rasulullah (saw) memberitahu dan mengajar mereka sesuatu, mereka mendengar dan menerima dengan rela hati.

Manusia pada zaman ini memiliki pengetahuan yang meluas dalam segala urusan. Disebabkan pengetahuan yang mendalam ini, mereka ungkal dan menjadi lebih jahil. Mereka bersifat tamak dan menafikan segala kebenaran kerana mereka fikir mereka mengetahui segalanya. Mereka tidak ingin mendengar dan tidak pula ingin membuka minda mereka untuk menyedari, “mungkin semua yang berlaku ini akan membawa kepada sesuatu.” Tidakkah kamu melihat bahawa mereka asyik menanyakan, “apakah kelulusan kamu? Di maktab manakah kamu mendapat pendidikan?” Seseorang menjawab bahawa beliau tamat pengajian di Universiti Columbia dan saya pula berkata bahawa saya menamatkan pengajian di University Havard. Sekarang beliau mula mendengar kata-kata saya. Sekiranya saya berkata yang saya habis pengajian di University Fordham, tentu sahaja kata-kata saya akan disia-siakan.

Alhamdullillah, saya berkata secara am. Tapi begitu ramai yang sedang memperlihatkan kepada ijazah atau kelulusan seseorang dan berkata, “Saya hanya akan patuh kepada yang ada kelulusan yang tinggi sahaja.” Ijazah senang diperolehi. Anda boleh membelinya sungguh senang sekali. Hanya perlu memberi maklumat kepada seorang pakar dalam bidang komputer dan dia akan mencetakkan ijazah itu. Tetapi tiada ilmu yang dapat diperolehi dengan ijazah tersebut. Kamu masih jahil.

Begitulah sikap manusia di masa ini. Berjuta malah beribu juta di antara mereka yang memiliki pengetahuan cetek tentang ilmu akhirat. Bahkan mereka menjadi sombong dan jahil. Mereka menutup setiap pintu yang menuju ke arah ilmu akhirat dengan berkata, “Semuanya berakhir selepas kematian kita di dunia ini. Tiada lagi yang wujud selepas itu.” Mengapakah mereka berpendirian sebegitu rupa?” Oleh kerana Shaytan telah menghasut dan berkata, “Jangan menerima segala-galanya. Hiduplah sesuka hatimu di dunia ini. Sekiranya kamu mempercayai tentang Akhirat, maka kamu tidak akan hidup seperti haiwan. Sekiranya kamu mempercayai, kamu akan hidup seperti seorang manusia. Kamu akan menerapkan disiplin ke dalam hidup kamu. Kamu akan meletakkan undang-undang ke atas dirimu.” Shaytan juga berkata, “Tinggalkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan hidup kamu dan marilah hidup berleluasa bersamaku kerana kamu akan menemaniku ke api neraka.” Itulah hala tujuan yang Shaytan sedang arahkan kepada sekian umat manusia.

Kejahilan di masa ini adalah yang teramat dashyat jika dibandingkan dengan kejahilan pada zaman Rasulullah s.a.w. Pada masa itu, manusia tidak mempunyai pengetahuan yang luas. Sungguhpun begitu, mereka bersifat terbuka dan mendengar segala ajaran yang dibawa kepada mereka. Terdapat beberapa ketua seperti Abu Jahil yang agak luas pengetahuannya. Disebabkan itu, mereka menjadi sombong dan jahil. Dengan megahnya beliau berkata, “saya tahu, saya mempunyai ijazah.” Abu Lahab juga berkata, “saya mempunyai ijazah. Sayalah orang yang terpelajar di antara kamu sekalian.” Dan kedua-dua mereka menjadi dalang bagi orang-orang yang jahil.

Kini, dengan peredaran waktu yang begitu pesat, keadaan bertambah lebih buruk dari yang sudah. Seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun boleh berdiri di hadapan kamu sambil berkata, “Tiada apa jua yang wujud (selepas kematian).” Lantas saya bertanya, “ wahai anak kecil, kamu sendiri belum mengetahui tata tertib untuk memasuki tandas. Dari manakah terbitnya mentari pagi?”

“Dari Utara.”

“Mereka belum lagi mengajar itu kepadamu di sekolah.” (Sheykh tersenyum)

Ternyata sudah bahawa kanak-kanak ini tidak mengetahui apa-apa. Walhal mereka juga tidak mahu menerima segala ajaran kerana ibu bapa di rumah hanya mendidik anak-anak untuk menjadi seorang yang hanya mementingkan diri sendiri dan seorang yang hanya memberi arahan. Kanak-kanak kecil memerintah ibu bapa mereka. Mashallah terhadap disiplin. Mashallah.

Maka itu, Rasulullah s.a.w telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Manusia harus terlebih dahulu memiliki kesempurnaan adab. Setelah ini dimiliki, apabila mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w, mereka akan melengkapi peradaban yang lebih sempurna. Meniru cara hidup Rasulullah s.a.w harus membawa kamu ke kedudukan yang tertinggi di mana kamu akan dapat memahami, “Oh, Tuhan ku mencipta diriku ini di Ahsani Taqweem.” Ya , insan yang amat sempurna. Yang paling sempurna dari segi bentuk, gaya, segi material, kerohanian, dan setiap pergerakan yang teramat sempurna. Barang sesiapa yang menerima pemberian dari Allah s.w.t, nescaya orang itu akan menjadi makhluk yang paling sempurna. Suatu hari kelak, dia akan mencapai kedudukan yang tertinggi.

Kian ramai diantara manusia yang tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah s.w.t. Seringkali kedengaran rintihan orang-orang yang berkata, “Kulitku gelap dan aku tidak menyukainya,” “Kulitku putih tetapi aku ingin menukarkanya menjadi gelap.” Inilah diantara golongan manusia yang sentiasa tidak berpuas hati dengan pemberian Allah s.w.t. Mereka melihat pada diri sendiri dan berkata, “ saya kelihatan terlalu pucat, saya terlalu cerah, saya itu dan ini, rambut saya terlalu kerinting dan saya ingin meluruskannya.” Mereka yang berambut lurus pula ingin mengerintingkan rambutnya. Ada pula yang menginginkan mata yang berwarna biru, ada pula yang mengingkan mata yang hitam. Lantas mereka menggunakan lensa mata yang beraneka jenis sehingga menyebabkan mata mereka menjadi rabun dan rosak. Saya berkata, “Lihatlah mata kamu, ia kelihatan seperti mata kucing,” mereka rasa terhina dengan kata-kata ini (Shyekh tersenyum). Tetapi bila saya berkata, “ mata kamu kelihatan seperti mata seekor singa,” mereka (dengan megahnya) berkata, “ah, itu sudah semestinya.” (Sheykh tertawa sinis).

Kamu tidak menyukai apa yang telah Allah s.w.t berikan kepadamu? Alangkah jahilnya manusia ini! Setiap pemberian adalah anugerah daripada yang maha berkuasa. Bukan dari orang sebarangan. Betapa besarnya berkat yang datang bersama pemberian Allah s.w.t. Dia telah memberi kesempurnaan itu hanya padamu. Rupa bentuk kamu dan segala-galanya amat sempurna. Tidakkah kamu gembira? Hanya jika kamu memahami maksud yang tersirat, maka kamu akan mencapai nikmat kebahagian. Jika tidak, kamu akan mendapati diri kamu keluar dari kamar doktor dengan perubahan yang tidak menentu ke atas raut wajah dan tubuh kamu, (saya tidak suka menyebut nama seseorang, tetapi ia perlu dilakukan pada waktu ini), kemudian, kamu akan kelihatan seperti Michael Jackson. Kamu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diubah kerana semua anggota tubuh kamu mulai tertanggal satu persatu. Jangan melakukan kesilapan yang sedemikian rupa. Bersyukurlah terhadap segala pemberian Allah s.w.t. kerana pemberian itu merupakan nikmat dan barakah buat dirimu. Ini menandakan bahawa Allah s.w.t amat senang dengan kamu. Bersyukurlah dengan kenyataan ini. Jika tidak, kamu tidak akan dapat mengenal erti kebahagian di dunia mahupun di Akhirat.

Rasulullah s.a.w datang untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dan meninggikan martabat sekian umat manusia. Barang sesiapa yang mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w, mereka bukan sahaja tidak berdaya untuk menyakiti sesama manusia, bahkan mereka juga tidak tergamak untuk mencederakan seekor semut yang tidak bermaya. Orang-orang yang begini hanya akan bangkit di suatu masa nanti, untuk menentang demi kerana Allah s.w.t, di bawah naungan seseorang yang bakal hadir [Mahdi as]. Sekiranya ini berlaku, berwaspadalah, kerana kamu semua tidak akan dapat lari jauh. Kamu tidak akan terselamat.

Wa min Allahu taufiq

Bihurmatil Habib

Bihurmatil Fatiha.

Advertisements